Pengumpulan Israel yang Tercerai-berai
Kita membantu mengumpulkan umat pilihan Tuhan di kedua-dua belah tirai.
Para saudara dan saudari yang saya kasihi, terima kasih atas iman, kesetiaan dan kasih anda. Kita berkongsi tanggungjawab yang sangat besar untuk menjadi siapa Tuhan mahu kita menjadi dan melakukan apa yang Dia mahu kita lakukan. Kita sebahagian daripada satu gerakan hebat—pengumpulan Israel yang tercerai-berai. Saya berucap mengenai ajaran ini pada hari ini kerana kepentingannya yang unik dalam rancangan abadi Tuhan.
Perjanjian Abraham
Pada zaman dahulu, Tuhan memberkati Bapa Abraham dengan janji untuk menjadikan keturunannya sebagai umat terpilih.1 Rujukan kepada perjanjian ini wujud di seluruh kitab suci. Termasuk janji-janji bahawa Putera Tuhan akan datang dari keturunan Abraham, bahawa negeri tertentu akan diwarisi, bahawa bangsa dan keluarga di bumi akan diberkati melalui keturunannya, dan banyak lagi.2 Walaupun beberapa aspek dari perjanjian itu telah digenapi, Kitab Mormon mengajarkan bahawa perjanjian Abraham ini akan digenapi hanya pada zaman akhir ini!3 Ia juga menekankan bahawa kita adalah antara umat perjanjian Tuhan.4 Kita berkeistimewaan untuk menyertai secara peribadi dalam memenuhi janji-janji ini. Ini adalah masa yang menarik untuk hidup!
Israel Dicerai-beraikan
Sebagai keturunan Abraham, suku-suku Israel kuno memiliki akses kepada wewenang imamat dan berkat injil, tetapi akhirnya mereka memberontak. Mereka telah membunuh para nabi dan telah dihukum oleh Tuhan. Sepuluh suku dibawa sebagai tawanan ke Assyria. Dari sana mereka hilang dalam catatan manusia. (Jelas sekali, sepuluh suku itu tidak hilang bagi Tuhan.) Baki dua suku itu kekal untuk suatu waktu yang singkat dan kemudian, kerana pemberontakan mereka, tertawan ke Babel.5 Apabila mereka kembali, mereka dikasihi oleh Tuhan, tetapi sekali lagi mereka tidak mentaati-Nya. Mereka menolak dan mencerca Dia. Bapa yang pengasih tetapi bersedih bersumpah, “Kamu akan tercerai-berai di negeri orang,”6 dan itulah yang Dia telah lakukan—dicerai-beraikan ke seluruh negeri.
Israel akan Dikumpulkan
Janji Tuhan untuk mengumpulkan Israel yang tercerai-berai diungkapkan dengan tegasnya.7 Contohnya,Yesaya, meramalkan bahawa pada zaman akhir Tuhan akan hantar “utusan-utusan yang tangkas” kepada mereka “bangsa yang kuat dan perkasa.”8
Janji pengumpulan ini, ditemui di seluruh kitab suci, akan digenapi sama seperti nubuat tentang Israel yang tercerai-berai.9
Gereja Yesus Kristus pada Pertengahan Zaman dan Kemurtadan
Sebelum Penyaliban-Nya, Tuhan Yesus Kristus telah mendirikan Gereja-Nya. Ia termasuk para rasul, nabi, tujuh puluh, pengajar, dan sebagainya.10 Dan Guru menghantar para pengikut-Nya ke dunia untuk mengkhutbahkan injil-Nya.11
Setelah sekian lama, Gereja yang didirikan oleh Tuhan jatuh ke dalam kerosakan rohani. Ajaran-ajaran-Nya ditukar; tatacara-tatacara-Nya diubah. Kemurtadan Besar datang seperti yang telah diramalkan oleh Paulus, yang tahu bahawa Tuhan tidak akan datang sekali lagi “[kecuali] banyak orang memberontak terhadap Tuhan”12
Kemurtadan Besar ini mengikuti pola yang telah berakhir pada setiap zaman keagamaan sebelumnya. Zaman keagamaan yang pertama adalah zaman Adam. Kemudian zaman keagamaan Henokh, Nuh, Abraham, Musa dan yang lain. Setiap nabi mempunyai tugas ilahi untuk mengajar tentang ketuhanan dan ajaran Tuhan Yesus Kristus. Pada setiap zaman ajaran-ajaran ini bertujuan untuk membantu orang. Tetapi keingkaran mereka mengakibatkan kemurtadan. Oleh itu, semua zaman keagamaan sebelumnya adalah terhad pada masa dan lokasi. Masanya terhad kerana masing-masing berakhir dengan kemurtadan. Lokasinya terhad pada bahagian kecil di planet bumi.
Pemulihan Segala Sesuatu
Oleh itu, pemulihan yang lengkap diperlukan. Tuhan Bapa dan Yesus Kristus memanggil Nabi Joseph Smith untuk menjadi nabi zaman keagamaan ini. Semua kuasa ilahi dari zaman keagamaan sebelumnya harus dipulihkan melalui dia.13 Zaman keagamaan untuk kegenapan zaman ini tidak akan dihadkan kepada masa atau lokasi. Ia tidak akan berakhir dengan kemurtadan, dan akan memenuhi dunia.14
Pengumpulan Israel—Bahagian Lengkap dalam Pemulihan Segala Sesuatu
Seperti yang dinubuatkan oleh Petrus dan Paulus, segala sesuatu akan dipulihkan dalam zaman keagamaan ini. Oleh itu, mesti ada, sebagai sebahagian daripada pemulihan itu, pengumpulan Israel tercerai-berai yang telah lama dinantikan.15 Ini adalah permulaan yang diperlukan untuk Kedatangan Kedua Tuhan.16
Ajaran tentang pengumpulan ini adalah salah satu ajaran penting Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir. Tuhan telah mengisytiharkan: “Aku memberi kepadamu satu tanda … bahawa Aku akan mengumpulkan, dari penceraian mereka yang panjang, umat-Ku, Wahai bani Israel, dan akan menubuhkan Sion-Ku lagi di kalangan mereka.”17 Kemunculan Kitab Mormon merupakan satu tanda bagi seluruh dunia bahawa Tuhan telah memulakan pengumpulan Israel dan memenuhi perjanjian yang Dia buat kepada Abraham, Ishak, dan Yakub.18 Kita tidak hanya mengajarkan ajaran ini, tetapi kita turut serta di dalamnya. Kita melakukannya semasa kita membantu mengumpulkan umat pilihan Tuhan di kedua belah tirai.
Kitab Mormon adalah pusat pekerjaan ini. Ia mengisytiharkan ajaran tentang pengumpulan itu.19 Ia menyebabkan orang belajar tentang Yesus Kristus, mempercayai injil-Nya, dan menyertai Gereja-Nya. Malah, jika tiada Kitab Mormon, pengumpulan Israel yang dijanjikan tidak akan berlaku.20
Bagi kita nama terhormat Abraham sangat penting. Ia disebutkan lebih banyak dalam kitab suci Pemulihan daripada kitab suci Alkitab.21 Abraham dihubungkan kepada semua ahli Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir.22 Tuhan menegaskan kembali perjanjian Abraham pada zaman kita melalui Nabi Joseph Smith.23 Dalam bait suci kita menerima berkat-berkat utama kita, sebagai keturunan Abraham, Ishak, dan Yakub.24
Zaman Keagamaan dari Kegenapan Zaman
Zaman keagamaan dari kegenapan zaman ini telah diramalkan oleh Tuhan sebagai waktu untuk berkumpul, di syurga dan di bumi. Petrus tahu bahawa selepas tempoh kemurtadan, pemulihan akan datang. Dia, yang pernah bersama Tuhan di Gunung Perubahan Rupa, mengisytiharkan:
“Oleh itu, bertaubatlah daripada dosa dan kembalilah kepada Tuhan, supaya Dia menghapus dosa saudara-saudara; …
“Dia harus tinggal di syurga sehingga tiba masanya bagi Tuhan menjadikan semuanya baru, seperti yang difirmankan oleh Tuhan melalui nabi-nabi-Nya yang suci pada zaman dahulu.”25
Pada zaman moden, Rasul Petrus, Yakobus, dan Yohanes dihantar oleh Tuhan dengan “kunci-kunci kerajaan[-Nya], dan suatu zaman keagamaan injil untuk zaman terakhir; dan untuk kegenapan zaman,” di mana Dia akan “kumpulkan bersama segala sesuatu menjadi satu, baik yang ada di dalam syurga, mahupun yang ada di atas bumi.”26
Pada tahun 1830, Nabi Joseph Smith mengetahui tentang seorang utusan syurgawi bernama Elia, yang memiliki kunci-kunci untuk mendatangkan “pemulihan segala sesuatu.”27
Enam tahun kemudian Bait suci Kirtland dibaktikan. Setelah Tuhan menerima rumah kudus itu, utusan syurgawi datang dengan kunci-kunci imamat. Musa menampakkan diri28 “dan menganugerahkan … kunci-kunci pengumpulan Israel dari empat bahagian bumi, dan pimpinan sepuluh suku dari negeri utara.
“Selepas itu, Elias menampakkan diri, dan menganugerahkan zaman keagamaan Injil Abraham, mengatakan bahawa melalui kami dan keturunan kami semua generasi selepas kami akan diberkati.”29
Kemudian nabi Elia datang dan berkata, “Lihatlah, waktunya telah sepenuhnya datang, yang telah dibicarakan oleh mulut Maleakhi—bersaksi bahawa dia [Elia] akan diutus, sebelum hari Tuhan yang agung dan mengerikan datang—Untuk memalingkan hati nenek moyang kepada anak-anak, dan anak-anak kepada nenek moyang, agar seluruh bumi tidak dihentam dengan kutukan.”30
Peristiwa ini berlaku pada 3 April, 1836,31 dan dengan demikian memenuhi nubuat Maleakhi.32 Kunci-kunci kudus dari zaman keagamaan ini telah dipulihkan.33
Pengumpulan Jiwa di Sebelah Tirai
Dengan penuh belas kasihan, jemputan untuk “datang kepada Kristus”34 juga dapat dihulurkan kepada mereka yang mati tanpa pengetahuan tentang injil.35 Sebahagian daripada persiapan mereka memerlukan usaha duniawi orang lain. Kita mengumpulkan carta salasilah, mencipta lembaran kumpulan keluarga, dan melakukan pekerjaan bait suci secara perwakilan untuk mengumpulkan individu-individu kepada Tuhan dan ke dalam keluarga mereka.36
Untuk Menyertai dalam Pengumpulan: Komitmen melalui Perjanjian
Di bumi ini, pekerjaan menginjil sangat penting bagi pengumpulan Israel. Injil mula dibawa kepada “orang Israel, yang seperti domba yang sesat.”37 Seterusnya, hamba-hamba Tuhan telah pergi untuk mengisytiharkan Pemulihan. Di banyak negara, para penginjil kita telah mencari orang-orang Israel yang tercerai-berai; para penginjil telah memburui mereka “di gua-gua bukit batu”; dan mereka telah memancing seperti zaman dahulu.38
Pilihan untuk datang kepada Kristus tidak berdasarkan lokasi fizikal; ia adalah tentang komitmen individu. Orang ramai boleh “dibawa kepada pengetahuan tentang Tuhan”39 tanpa meninggalkan tanah air mereka. Benar, pada masa awal Gereja, penukaran hati juga bermaksud penghijrahan. Tetapi sekarang pengumpulan itu berlaku di setiap negara. Tuhan telah menetapkan penubuhan Sion40 di setiap wilayah di mana Dia telah berikan kepada para Orang Suci kelahiran dan kewarganegaraan mereka. Tulisan suci meramalkan bahawa orang ramai “[akan] dikumpulkan kembali ke negeri-negeri warisan mereka, dan akan didirikan dalam semua negeri mereka yang dijanjikan.”41 “Setiap negeri adalah tempat pengumpulan untuk rakyatnya sendiri.”42 Tempat pengumpulan untuk Orang Suci Brazil adalah di Brazil; tempat pengumpulan untuk Orang Suci Nigeria adalah di Nigeria; tempat pengumpulan untuk Orang Suci Korea adalah di Korea; dan sebagainya. Sion adalah “yang suci hatinya.”43 Sion berada di mana sahaja Orang Suci soleh berada. Penerbitan, komunikasi, dan umat sekarang membolehkan hampir semua ahli memiliki akses kepada ajaran, kunci-kunci, tatacara, dan berkat injil, tak kira lokasinya.
Keselamatan rohani akan selalu bergantung kepada bagaimana seseorang jalani hidup, bukannya di mana seseorang tinggal. Orang suci di setiap negeri memiliki tuntutan yang sama ke atas berkat Tuhan.
Pekerjaan Tuhan Yang Maha Esa ini benar. Dia hidup. Yesus ialah Kristus. Inilah Gereja-Nya, yang dipulihkan untuk mencapai takdir ilahi-Nya, termasuk pengumpulan Israel yang dijanjikan. Presiden Gordon B. Hinckley adalah nabi Tuhan hari ini. Saya bersaksi dalam nama Yesus Kristus, amin.