Hasrat
Untuk mencapai takdir abadi, kita akan berhasrat dan mengusahakan sifat-sifat yang diperlukan untuk menjadi makhluk abadi.
Saya memilih untuk berucap tentang kepentingan hasrat. Saya harap kita akan menyelidiki hati kita untuk tentukan hasrat sebenar kita dan menempatkan hasrat terpenting kita.
Hasrat menentukan keutamaan kita, keutamaan membentuk pilihan kita, dan pilihan menentukan tindakan kita. Tindakan berdasarkan hasrat kita menentukan perubahan kita, pencapaian kita, dan siapa kita.
Pertama, saya berucap tentang beberapa hasrat umum. Sebagai manusia fana, kita ada keperluan jasmani yang asas. Hasrat untuk memuaskan keperluan ini mendesak pilihan kita dan menentukan tindakan kita. Tiga contoh berikut akan menunjukkan bagaimana kita kadangkala mengatasi hasrat ini dengan hasrat lain yang kita rasa lebih penting.
Pertama, makanan. Kita ada keperluan untuk makanan, tetapi ada masa hasrat itu diatasi dengan hasrat berpuasa yang lebih kuat.
Kedua, tempat perlindungan. Semasa berusia 12 tahun, saya menolak hasrat untuk berada di rumah kerana hasrat lebih besar saya adalah untuk memenuhi syarat Pengakap Lelaki iaitu bermalam di hutan. Saya salah seorang yang tinggalkan khemah selesa dan membina tempat berlindung dan membentuk katil dari bahan-bahan semula jadi yang kami temui.
Ketiga, tidur. Bahkan hasrat ini boleh diatasi buat sementara dengan hasrat yang lebih penting. Sebagai askar muda dalam Pengawal Nasional Utah, saya pelajari contoh ini dari seorang pegawai berpengalaman.
Ketika permulaan perang Korea, satu unit artileri (meriam) Pengawal Nasional Richfield Utah (Richfield Utah National Guard) dipanggil bertugas. Unit ini, yang diketuai oleh Kapten Ray Cox, terdiri daripada kira-kira 40 lelaki Mormon. Selepas latihan lebih dan penambahan askar simpanan dari tempat lain, mereka dihantar ke Korea, di mana mereka mengalami pertempuran yang paling ganas dalam peperangan itu. Dalam satu pertempuran mereka perlu menangkis serangan langsung dari pihak musuh, serangan yang melumpuhkan dan memusnahkan unit artileri pihak lawan.
Apakah kaitan ini dengan mengatasi hasrat untuk tidur? Pada satu malam yang kritikal, ketika infantri (askar) musuh telah menembusi barisan depan dan menuju kawasan belakang artileri, kapten itu memasang talian telefon lapangan pada khemahnya dan memerintahkan para pengawal perimeter untuk menelefonnya secara peribadi setiap jam sepanjang malam. Oleh itu para pengawal sentiasa berjaga, dan Kapten Cox juga tidak dapat tidur lena. “Bagaimana kamu lakukannya?” Saya bertanya. Jawapannya menunjukkan kekuatan untuk mengetepikan hasrat.
“Saya tahu apabila kami pulang, saya akan berjumpa dengan ibu bapa para pemuda itu di jalan-jalan kota kecil kami, dan saya tidak mahu menghadapi mereka jika anak mereka tidak dapat pulang disebabkan kegagalan saya sebagai komander mereka.”1
Itu contoh kekuatan mengetepikan hasrat kerana keutamaan dan tindakan! Itu teladan untuk kita semua yang bertanggungjawab atas kesejahteraan orang lain—ibu bapa, pemimpin Gereja, dan pengajar!
Sebagai kesimpulan ilustrasi itu, awal pagi esoknya, Kapten Cox memimpin unitnya dalam serangan balas terhadap infantri musuh. Mereka menangkap lebih daripada 800 tawanan dan hanya dua orang yang cedera. Cox diberi penghargaan atas keberanian, dan unitnya menerima Petikan Unit Presiden untuk kepahlawanan mereka. Dan, seperti askar teruna Helaman (lihat Alma 57:25–26), mereka semua selamat pulang ke rumah.2
Kitab Mormon mengandungi banyak ajaran tentang kepentingan hasrat.
Selepas berjam-jam merayu kepada Tuhan, Enos diberitahu dosa-dosanya diampuni. Dia kemudian “mula merasakan hasrat bagi kesejahteraan saudara-saudara [dia]” (Enos 1:9). Dia menulis, “Dan … setelah aku berdoa dan bekerja dengan segenap ketekunan, Tuhan berfirman kepadaku: Aku akan mengabulkan bagimu menurut hasratmu, kerana imanmu” (ayat 12). Perhatikan tiga keperluan yang mendahului berkat yang dijanjikan: hasrat, usaha, dan iman.
Alma mengajar bahawa iman bermula dengan “berhasrat untuk percaya” jika kita akan “[membiarkan] hasrat ini bekerja dalam [kita]” (Alma 32:27).
Ajaran lain tentang hasrat, terutamanya apa yang patut menjadi hasrat utama kita, terjadi dalam pengalaman raja bangsa Laman yang Harun ajar. Apabila ajaran Harun menarik minatnya, raja bertanya, “Apa yang hendaknya aku lakukan agar aku boleh dilahirkan dari Tuhan” dan “memperoleh kehidupan abadi ini?” (Alma 22:15). Harun menjawab: “Jika kamu menghasratkan hal ini, … jika kamu akan bertaubat akan segala dosa kamu, dan akan menundukkan diri di hadapan Tuhan, dan memanggil nama-Nya dalam iman, percaya bahawa kamu akan menerima, maka akanlah kamu menerima harapan yang kamu hasratkan” (ayat 16).
Raja berbuat demikian dan dalam doa berkata, “Aku akan melepaskan segala dosa Aku untuk mengenal Engkau … dan diselamatkan pada hari terakhir” (ayat 18). Dengan komitmen raja itu dan mengenali hasrat utamanya, doanya dijawab.
Nabi Alma berhasrat besar untuk menyerukan pertaubatan kepada semua orang, tetapi dia faham dia tidak patut menghasratkan kuasa ini kerana, dia berpendapat, “seorang Tuhan yang adil … mengabulkan kepada manusia menurut hasrat mereka, sama ada ia menuju kematian atau menuju kehidupan” (Alma 29:4). Dalam wahyu moden Tuhan mengisytiharkan bahawa Dia “akan menghakimi semua orang menurut pekerjaan mereka, menurut hasrat hati mereka” (A&P 137:9).
Adakah kita benar-benar bersedia untuk Hakim Abadi kita menunjukkan hasrat kita yang sebenar?
Banyak tulisan suci gambarkan apa yang kita hasratkan berdasarkan apa yang kita cari. “Dia yang sejak awal mencari-Ku akan menemui-Ku, dan tidak akan ditinggalkan” (A&P 88:83). “Carilah dengan sungguh-sungguh kurnia-kurnia yang terbaik” (A&P 46:8). “Dia yang tekun mencari akan menemui” (1 Nefi 10:19). “Dekatlah kepada-Ku dan Aku akan dekat kepadamu; carilah Aku dengan tekun dan kamu akan menemui-Ku; mintalah, dan kamu akan menerima; ketuklah, dan akan dibukakan bagimu” (A&P 88:63).
Menyesuaikan hasrat kita untuk memberi keutamaan pada hal-hal keabadian adalah tidak mudah. Kita tergoda untuk menghasratkan hal-hal duniawi seperti kekayaan, kemasyhuran, kebanggaan, dan kuasa. Kita mungkin hasratkan ini, tetapi kita tidak patut menetapkannya sebagai keutamaan tertinggi kita.
Mereka yang amat berhasrat untuk mendapat kekayaan jatuh ke dalam perangkap materialisme. Mereka gagal untuk mengendahkan peringatan “Janganlah mencari kekayaan tidak juga apa yang sia-sia dari dunia ini” (Alma 39:14; lihat Yakub 2:18).
Mereka yang inginkan kemasyhuran atau kuasa harus ikut teladan Panglima Moroni, pelayanannya bukan untuk “kekuasaan” atau untuk “kehormatan dunia” (Alma 60:36).
Bagaimanakah kita membentuk hasrat? Tidak ramai yang akan mengalami krisis seperti Aron Ralston,3 tetapi pengalamannya memberi pengajaran yang berharga tentang membentuk hasrat. Ketika Ralston mendaki bukit di Utah selatan, satu batu 800 paun (360 kg) tiba-tiba bergolek dan memerangkap lengan kanannya. Selama lima hari dia berjuang untuk membebaskan diri. Ketika hampir menyerah dan mengalah, dia mendapat penglihatan tentang seorang budak lelaki tiga tahun yang berlari ke arahnya dan didukung dengan lengan kirinya. Memahami ini adalah penglihatan tentang bakal anak lelakinya dan bahawa dia boleh hidup, Ralston memberanikan diri dan bertindak drastik untuk menyelamatkan nyawanya sebelum kekuatannya habis. Dia mematahkan dua tulang pada tangan kanannya dan menggunakan pisau untuk memotong lengannya. Dengan seluruh kekuatan dia mendaki lima batu (8 km) untuk dapatkan bantuan.4 Suatu teladan tentang kekuatan hasrat! Apabila kita tahu apa yang kita boleh menjadi, hasrat dan kuasa kita untuk bertindak bertambah besar.
Ramai di antara kita tidak akan menghadapi krisis yang melampau, tetapi kita semua hadapi potensi perangkap yang akan menghalang kemajuan ke arah takdir abadi kita. Jika hasrat soleh cukup kuat, ia akan mendorong kita untuk “memotong dan mengukir” diri kita bebas dari ketagihan, tekanan dan keutamaan berdosa lain yang menghalang kemajuan abadi kita.
Kita harus ingat bahawa hasrat soleh tidak boleh cetek, terburu-buru, atau sementara. Ia haruslah tulus ikhlas, tidak goyah, dan kekal. Demikian, kita akan temukan keadaan yang Nabi Joseph Smith gambarkan, di mana kita telah “mengatasi kejahatan di kehidupan kita dan melepaskan setiap hasrat untuk berdosa.”5 Itu adalah keputusan yang sangat peribadi. Seperti yang Elder Neal A. Maxwell katakan:
“Apabila orang digambarkan telah ‘kehilangan hasrat untuk berbuat dosa,’ ia kerana mereka sendiri, yang telah melepaskan hasrat yang salah itu dengan bersedia ‘melenyapkan segala dosa mereka’ untuk mengenali Tuhan.”
“Oleh kerana itu, apa yang kita hasratkan, sekian lama, adalah apa yang kita akan menjadi dan apa yang kita akan terima dalam keabadian.”6
Seperti pentingnya melepaskan setiap hasrat untuk berdosa, kehidupan abadi memerlukan lebih banyak usaha. Untuk mencapai takdir abadi, kita akan berhasrat dan mengusahakan sifat-sifat yang diperlukan untuk menjadi makhluk abadi. Contohnya, makhluk abadi mengampuni semua yang telah melukai mereka. Mereka mengutamakan kesejahteraan orang lain. Dan mereka mengasihi semua anak Tuhan. Jika ini kelihatan terlalu sukar—dan tentunya tidak mudah bagi kita—maka kita harus mula dengan menghasratkan sifat-sifat itu dan memohon Bapa Syurgawi kita untuk membantu kita. Kitab Mormon mengajar, kita harus “berdoalah kepada Bapa dengan sekuat tenaga hati, agar [kita] boleh dipenuhi dengan kasih ini, yang telah Dia berikan kepada semua yang merupakan pengikut sejati Putera-Nya, Yesus Kristus” (Moroni 7:48).
Saya tutup dengan contoh terakhir tentang hasrat yang semua lelaki dan wanita patut ada—mereka yang sudah berkahwin dan yang masih bujang. Semua harus berhasrat dan berusaha untuk memperoleh perkahwinan abadi. Mereka yang telah berkahwin di bait suci harus melakukan segala yang boleh untuk memelihara perkahwinan. Mereka yang bujang harus menghasratkan perkahwinan bait suci dan berusaha untuk memperolehnya. Remaja dan pemuda-pemudi harus menolak konsep yang tidak betul tentang kepentingan berkahwin dan mempunyai anak.7
Para lelaki bujang, sila pertimbangkan surat yang ditulis oleh saudari bujang ini. Dia memohon bagi pihak “para puteri soleh Tuhan yang sedang mencari pasangan yang layak, namun para lelaki seolah-olah buta dan keliru tentang tanggungjawab mereka untuk mencari para puteri Bapa Syurgawi ini, untuk berkenalan, dan bersedia untuk membuat dan mentaati perjanjian-perjanjian kudus di rumah Tuhan.” Dia menyimpulkan, “Terdapat ramai lelaki OSZA bujang di sini yang suka keluar dan berseronok, berdating, serta lepak, tetapi tidak berhasrat untuk membuat sebarang komitmen dengan seorang wanita.”8
Saya pasti ada para lelaki yang gigih ingin saya menambah bahawa ada sesetengah wanita yang lebih berhasrat untuk kerjaya dan hal-hal fana lain berbanding hasrat untuk perkahwinan dan anak-anak. Lelaki dan wanita perlukan hasrat soleh yang akan membimbing mereka ke kehidupan abadi.
Ingatlah hasrat menentukan keutamaan kita, keutamaan membentuk pilihan kita, dan pilihan menentukan tindakan kita. Selain itu, tindakan dan hasrat kita menjadikan kita sesuatu, sama ada seorang kawan baik, seorang pengajar berbakat, atau seorang yang layak untuk kehidupan abadi.
Saya bersaksi tentang Yesus Kristus, kasih-Nya, ajaran-ajaran-Nya, dan Korban Tebusan-Nya yang memungkinkan segalanya. Saya berdoa agar kita semua akan berhasrat untuk menjadi seperti Dia supaya suatu hari kita boleh kembali ke hadirat-Nya untuk menerima kegenapan kebahagiaan-Nya. Dalam nama Yesus Kristus, amin.