2010–2019
Berjamu dengan Firman Kristus
Persidangan Umum April 2019


Berjamu dengan Firman Kristus

Berjamu dengan firman Kristus boleh berlaku bila-bila dan di mana jua situasi, jika kita menyediakan hati kita.

Bapa di Syurga menyayangi kita. Dia telah menyediakan rancangan yang sempurna bagi kita untuk menikmati berkat-berkat-Nya. Dalam kehidupan ini, kita semua dijemput untuk datang kepada Kristus dan menerima Injil terpulih Yesus Kristus melalui pembaptisan, penerimaan kurnia Roh Kudus, dan menjalankan hidup Injil dengan iman. Nefi menerangkan komitmen kita untuk dibaptiskan bagaikan memasuki “lorong sempit dan kecil,” dan dia mengingati kita untuk “maju terus dengan ketabahan di dalam Kristus, … berjamu dengan firman Kristus, dan bertahan sampai akhir,” supaya kita boleh menerima segala berkat yang Bapa Syurgawi inginkan bagi kita (2 Nefi 31:19–20).

Nefi juga mengingatkan kita bahawa jika kita akan “berjamu dengan Firman Kristus,” ia “akan memberitahu [kita] segalanya yang [kita] harus lakukan” (2 Nefi 32:3) dan kita akan mengatasi “anak panah berapi dari musuh” (1 Nefi 15:24).

Apakah itu Berjamu?

Ketika saya masih kecil, saya fikirkan bahawa berjamu bermaksud satu makan besar bersama nasi, sushi, dan kicap soya. Kini saya tahu bahawa menjamu bermaksud lebih daripada menikmati makanan yang lazat. Ia merupakan satu pengalaman yang menggembirakan, perayaan, perkongsian, mengungkap kasih kepada keluarga dan orang tersayang, menyampaikan kesyukuran kita kepada Tuhan, dan merapatkan perhubungan sambil menikmati makanan yang banyak dan enak. Saya percaya bahawa apabila kita berjamu dengan firman Kristus, kita patut memikirkan pengalaman yang serupa. Menjamui ayat suci bukan bermakna hanya membacanya. Ia patut memberi kegembiraan benar dan mengembangkan perhubungan kita dengan Juruselamat.

Ini diajar dengan jelas dalam Kitab Mormon. Ingatkan mimpi Lehi di mana dia telah melihat satu pokok “yang buahnya dihasrati untuk menjadikan seseorang gembira.” Buah ini melambangkan kasih Tuhan, dan apabila Lehi telah merasai buah itu, “ianya … manis, melebihi segala lain yang [dia] pernah rasai.” Ia “memenuhi jiwa [dia] dengan kebahagiaan yang tersangat besar” dan merupakan sesuatu yang dia ingin kongsikan bersama keluarga dia (1 Nefi 8:10–12).

Apabila kita menjamu, kita juga akan dapati bahawa jumlah atau jenis makanan tidaklah penting jika hati kita penuh dengan kesyukuran. Keluarga Lehi makan daging mentah di padang belantara, namun Nefi menggambarkan cabaran yang susah ini, dengan berkata, “Begitu banyaknya berkat Tuhan” maka “kaum perempuan kami … kuat” dan boleh “menanggung pengembaraan mereka tanpa rungutan” (1 Nefi 17:1–2).

Berjamu kadang kala melibatkan uji kaji dan rasa. Alma memberitahu akan satu biji benih baik yang sedang ditanam dalam hati-hati kita. Apabila kita mengujinya, kita akan dapati biji benih itu mula “menjadi lazat” (lihat Alma 32:28–33).

Berjamu dengan Firman Kristus

Berkat-berkat dari menjamui firman Kristus adalah amat berkuasa dan mengubah hidup. Terdapatnya tiga berkat yang saya ingin menjemput anda untuk aplikasikan dalam kehidupan anda.

Pertama, firman Kristus dapat membantu kita “meningkatkan kemampuan rohani [kita] untuk menerima wahyu” (Russell M. Nelson, “Wahyu untuk Gereja, Wahyu untuk Kehidupan Kita,” Liahona, Mei 2018, 96) dan untuk membimbing kehidupan kita dengan selamat. Mormon mengajar bahawa firman Kristus mempunyai “kecenderungan besar untuk menuntun umat itu untuk melakukan apa yang adil” dan ia juga lebih kuat daripada sebarang “pedang” boleh capai (Alma 31:5). Ketika saya mencari kebijaksanaan Tuhan untuk menangani cabaran-cabaran saya, sentiasa apabila saya cuba “menguji kuasa firman Tuhan” (Alma 31:5), saya telah diilhami dan boleh membuat keputusan yang bijak, mengatasi godaan, dan memberkat kehidupan saya dengan kepercayaan lebih terhadap Kristus dan kasih yang lebih kepada orang sekeliling saya. Nabi kita, Russell M. Nelson, telah mengajar kita bahawa “di hari-hari yang mendatang, ia akan menjadi mustahil untuk bertahan secara rohani tanpa bimbingan, arahan, galakkan, dan pengaruh yang tetap dari Roh Kudus” (“Wahyu untuk Gereja, Wahyu untuk Kehidupan Kita,” 96). Wahyu yang diperlukan akan datang apabila kita cuba “menguji kuasa firman Tuhan,” dan firman itu akan menjadi lebih berkuasa daripada apapun yang kita cuba atau boleh bayangkan.

Kedua, apabila kita bergelutan dengan identiti diri dan keyakinan diri yang rendah, “firman Tuhan yang menyenangkan” (Yakub 2:8) dalam ayat suci akan membantu kita kenali siapa diri kita sebenarnya dan memberi kita kekuatan yang melebihi diri. Menyedari identiti saya sebagai anak Tuhan merupakan salah satu ketika yang amat manis bagi saya. Di awal zaman remaja saya, saya tidak tahu apa pun tentang ajaran-ajaran Juruselamat. Apabila saya membaca Perjanjian Baru buat pertama kalinya, firman Kristus benar-benar telah memulih jiwa saya yang terluka. Saya dapati saya tidak keseorangan dan bahawa saya seorang anak Tuhan. Apabila saya kenali identiti sebenar saya kepada Tuhan, saya sedari akan potensi saya yang tidak terhingga melalui Korban tebusan Kristus.

Enos begitu juga berkongsikan pengalaman peribadinya tentang keterangan yang datang dari renungan firman Kristus. Apabila Enos membenarkan kata-kata bapanya mengajarnya tentang “kehidupan abadi, dan sukacita para orang suci, [meresap] jauh ke dalam hati [dia],” jiwanya “lapar; dan [dia] berlutut di hadapan Pencipta [nya] … dalam doa yang membara” (Enos 1:3–4). Melalui doa itu dia mengenali Juruselamat dan mempelajari bahawa kita amat bernilai, dan dikasihi dan boleh diampuni kesalahan-kesalahan kita, dan benar-benar anak Tuhan.

Ketiga, kita boleh mengangkat orang lain melalui firman Kristus. Sepertimana Enos punyai masa dan tempatnya sendiri di mana firman Kristus menyentuh hati dia, Tuhan akan menjalankan usaha-Nya untuk menyentuh hati mereka yang kita ingin kongsikan injil bersama. Ramai di antara kita yang mungkin telah berasa patah hati apabila kita cuba menjemput seseorang untuk mendengar injil kerana keputusan yang diingini tidak berlaku. Tanpa mengira kesudahannya, Tuhan menjemput kita untuk membuka mulut dan berkongsikan pesanan injil bersama orang.

Dua tahun yang lalu, Tuhan telah menyentuh hati ibu terkasih saya, dan telah membantu dia membuat keputusan untuk menerima tatacara Injil pembaptisan. Saya telah menunggu untuk hari itu selama hampir 35 tahun. Untuk membuat keputusan itu, ramai ahli gereja melayannya sepertimana Kristus melayani. Pada satu Ahad, dia terasa dia patut pergi ke gereja. Dia mengikut dorongan itu. Ketika dia duduk di barisan depan dan menunggu untuk bermulanya pertemuan sakramen, seorang kanak lelaki berumur empat tahun berdiri di depan dan melihatnya. Ibu memberi dia satu senyuman. Kanak lelaki itu meninggalkannya dengan cepat untuk kembali ke tempat duduknya, iaitu barisan seberang di mana ibu saya berada. Kanak lelaki ini mengutip sesuatu daripada tempat duduknya dan kembali ke ibu saya untuk memberinya satu buku nyanyian rohani dan berjalan kembali ke tempat duduknya. Ibu saya dapati bahawa satu buku rohani terletak di setiap selang kerusi gereja itu. Dia dengan mudahnya boleh mengambil satu daripada kerusi sebelahnya. Namun, dia amat kagum dengan tindakan baik kanak itu, yang mana dia telah pelajari di rumah dan di gereja. Ia merupakan satu ketika yang manis bagi dia. Dia memperoleh tanggapan yang kuat bahawa Tuhan ingin menjemput dia untuk datang dan mengikut Juruselamat. Dia berasa dia harus dibaptiskan. Kanak lelaki ini tidak menginginkan pengiktirafan bagi tindakan dia, tetapi dia hanya melakukan yang terbaik untuk mengikut firman Tuhan dan mengasihi jirannya. Kebaikan hatinya mencipta satu perubahan yang penting dalam hati ibu saya.

Firman Kristus akan menyentuh hati dan memberi pemahaman bagi mereka yang belum mengenali Dia. Dalam perjalanan ke Emau, dua pengikut berjalan bersama Yesus. Mereka berasa sedih dan tidak memahami bahawa Juruselamat telah berjaya mengatasi kematian. Dalam kedukaan, mereka tidak kenali bahawa Kristus yang hidup sedang berjalan bersama mereka. Walaupun Yesus “menerangkan apa yang tertulis tentang diri-Nya,” mereka masih tidak mengenali Dia sebagai Juruselamat yang telah dibangkitkan sehinggalah mereka duduk dan makan bersama Dia. Kemudianlah “mata” mereka dibuka. Apabila kita—atau rakan, kenalan, dan jiran kita—menjamu dan membahagi roti bersama Dia, mata pemahaman kita akan dibuka. Apabila pengikut-pengikut di Emau mengimbas kembali ke masa mereka bersama Juruselamat yang Dibangkitkan itu, mereka berkata bahawa hati mereka berasa seperti meluap ketika Dia menerangkan isi Alkitab kepada mereka (lihat Lukas 24:27–32). Ini benar bagi kita semua.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, saya bersaksi bahawa berjamu dengan firman Kristus boleh berlaku bila-bila dan di mana jua situasi jika kita menyediakan hati kita untuk menerimanya. Berjamu dengan firman Kristus akan memberi wahyu yang menyokong kehidupan, mengesah semula identiti benar dan nilai kita sebagai anak Tuhan, dan membimbing kawan-kawan kita kepada Kristus dan kehidupan abadi. Biarlah saya akhiri dengan mengulang jemputan Nefi di mana dia berkata: “Kamu mesti maju terus dengan ketabahan di dalam Kristus, memiliki kecerahan harapan yang sempurna, dan kasih bagi Tuhan dan bagi semua manusia. Oleh kerana itu, jika kamu akan maju terus, berjamu dengan firman Kristus, dan bertahan sampai akhir, lihatlah, demikian firman Bapa: Kamu akan memperoleh kehidupan abadi” (2 Nefi 31:20). Dalam nama Yesus Kristus, amin.

Cetak