“Jalan Anda Ke Bait Suci,” Liahona, Okt 2010, 72–75
Untuk Kanak-kanak
Jalan Anda Ke Bait Suci
Adakah anda tahu bait suci yang terdekat dengan anda? Lukis gambar bait suci itu dan gantung di tempat yang akan anda lihatnya setiap hari.
Bait suci ialah rumah Tuhan. Ini ialah tempat kita belajar tentang Bapa Syurgawi, membuat perjanjian (atau janji) dengan-Nya dan menerima berkat yang besar. Di bait suci, kita melakukan kerja yang penting untuk diri kita dan untuk ahli keluarga yang telah meninggal. Kerja yang dilakukan di bait suci termasuk pembaptisan untuk orang yang telah meninggal, anugerahan dan pemeteraian. Ini dipanggil tatacara bait suci.
Apakah yang Berlaku di dalam Bait Suci
Pembaptisan untuk Orang yang Telah Meninggal
Apabila anda berumur lapan tahun, anda boleh dibaptiskan dan ditetapkan menjadi seorang ahli Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir. Ramai nenek moyang anda telah meninggal dunia tanpa dibaptiskan dan ditetapkan. Walaupun tubuh mereka sudah meninggal, roh mereka masih hidup di dunia roh, di mana mereka boleh diajar tentang injil Yesus Kristus.
Apabila anda berumur 12 tahun, anda boleh pergi ke bait suci dan membantu orang-orang ini dengan dibaptiskan dan ditetapkan atas nama mereka. Mereka kemudiannya boleh memilih sama ada mahu menerima pembaptisan dan penetapan atau tidak. Anda akan memakai pakaian berwarna putih sepenuhnya apabila anda dibaptiskan untuk orang yang telah meninggal, seperti yang anda lakukan apabila anda dibaptiskan untuk diri anda sendiri.
Minta ibu bapa membantu anda membuat senarai ahli keluarga yang telah meninggal tanpa dibaptiskan di Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir. Ketahui sama ada sesiapa yang pernah pergi ke bait suci untuk dibaptiskan bagi mereka.
Anugerahan
Salah satu berkat besar bait suci ialah anugerahan. Anugerahan bermaksud “hadiah”. Apabila anda menerima anugerahan, anda akan belajar lebih lanjut tentang rancangan penyelamatan dan membuat perjanjian. Perjanjian ialah janji yang kita buat dengan Bapa Syurgawi. Apabila anda menepati perjanjian itu, anda membuat persediaan untuk tinggal bersama Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus pada suatu hari nanti.
Di dalam bait suci ialah sebuah bilik yang cantik dan tenang, yang digelar bilik selestial. Di dalam bilik selestial, kita merasa dekat dengan Bapa Syurgawi serta Yesus Kristus dan kita menyelami sedikit rasanya tinggal bersama Mereka di kerajaan selestial.
Pemeteraian untuk Waktu Ini dan Keabadian
Apabila seorang lelaki dan seorang wanita berkahwin di bait suci, mereka berlutut di altar dan dimeteraikan untuk waktu ini dan keabadian. Ini bermaksud bahawa mereka dan anak-anak mereka boleh disatukan bersama sebagai keluarga abadi. Rancang untuk berkahwin di bait suci pada suatu hari nanti. Ini ialah berkat bait suci yang terbesar.
Kad Rekomen Bait Suci
Bait suci ialah tempat yang kudus. Uskup dan presiden cabang memastikan bahawa mereka yang memasuki bait suci sudah bersedia dan layak. Sebelum anda pergi ke bait suci, temu duga khas akan diadakan antara anda dan uskup atau presiden cabang anda. Dia akan menanya sama ada anda mempunyai kesaksian tentang Gereja, mematuhi perintah, menyokong para pemimpin Gereja, mematuhi Kata-kata Bijaksana, membayar persepuluhan serta jujur dalam semua yang anda lakukan dan katakan. Dia akan membantu anda mengetahui perkara yang harus dilakukan agar layak untuk memasuki bait suci.
Membuat Persediaan Sekarang untuk Memasuki Bait Suci
Bapa Syurgawi memberi banyak berkat kepada mereka yang hidup dengan soleh dan pergi ke bait suci. Adalah penting anda membuat persediaan untuk memasuki bait suci semasa anda masih muda.
Bapa Syurgawi mengasihi anda dan menghendakkan anda menerima berkat bait suci. Dia akan memberkati anda kerana melaksanakan tatacara bait suci untuk diri anda dan orang lain. Walaupun anda mungkin tidak dapat memasuki bait suci sekarang, jika terdapat bait suci yang berdekatan, anda boleh mengunjungi bait suci tersebut dan merasakan roh yang ada di situ. Anda juga boleh menyimpan gambar bait suci di rumah anda untuk mengingatkan anda betapa pentingnya bait suci itu. Hidup dengan soleh supaya anda akan layak untuk memasuki rumah Tuhan.