Asas-asas Pelayanan, Ogos 2019
Bolehkah Saya Membantu Seseorang untuk Berubah?
Ya. Namun, peranan anda mungkin berbeza daripada yang anda fikirkan.
Kita dicipta dengan keupayaan untuk berubah. Kemajuan ke arah potensi sejati kita merupakan tujuan pengalaman fana kita. Salah satu matlamat terakhir kita dalam pelayanan adalah untuk membantu orang lain datang kepada Kristus dan membuat perubahan yang diperlukan untuk kembali ke hadirat-Nya. Namun, disebabkan hak pilihan mereka, peranan kita dalam membantu mereka menjadi lebih seperti Kristus adalah terhad.
Berikut ialah tujuh pelajaran yang hebat daripada Juruselamat tentang cara kita dapat membantu orang lain dalam usaha mereka untuk berubah dan menjadi lebih seperti Dia.
-
Jangan Takut untuk Menjemput Perubahan
Juruselamat tidak takut untuk menjemput orang lain meninggalkan kebiasaan lama dan memeluk ajaran-Nya. Dia telah menjemput Petrus dan Yakobus untuk meninggalkan pekerjaan mereka dan menjadi penjala manusia (Markus 1:17). Dia telah menjemput perempuan yang ditangkap berzina itu untuk “pergilah dan janganlah berdosa lagi” (Yohanes 8:11). Dia telah menjemput lelaki muda yang kaya itu agar tidak lagi mengejar kekayaan duniawi dan mengikut Dia (lihat Markus 10:17–22). Kita juga boleh menjadi berani dan penyayang apabila kita menjemput orang lain untuk berubah dan mengikut Juruselamat.
-
Ingatlah Keinginan untuk Berubah Adalah Pilihan Mereka
Perubahan yang dijemput oleh Juruselamat tidak boleh dipaksa. Juruselamat mengajar dan menjemput, tetapi Dia tidak memaksa. Lelaki muda yang kaya itu “meninggalkan tempat itu dengan susah hati” (Matius 19:22). Di Kapernaum, kebanyakan daripada pengikut-Nya memilih untuk “pulang” dan Dia bertanya Dua Belas sama ada mereka juga ingin pergi (lihat Yohanes 6:66–67). Beberapa daripada pengikut Yohanes Pembaptis memilih untuk mengikut Juruselamat, yang lain tidak (lihat Yohanes 1:35–37; 10:40–42). Kita boleh menjemput orang lain untuk menjadi lebih seperti Dia tetapi kita tidak dapat membuat keputusan untuk berubah bagi mereka. Selain itu, jika mereka belum memilih untuk berubah, kita tidak harus berputus asa—atau merasakan yang kita sudah gagal.
-
Doakan Keupayaan Orang Lain untuk Berubah
Semasa Doa Perantaraan-Nya, Yesus meminta kepada Tuhan agar pengikut-Nya dijauhi kejahatan, akan menjadi lebih seperti Dia dan Bapa serta akan dipenuhi dengan kasih sayang Tuhan (lihat Yohanes 17:11, 21–23, 26). Juruselamat berdoa untuk Petrus kerana menyedari bahawa dia memerlukan kekuatan dalam usahanya untuk memenuhi peranannya (lihat Lukas 22:32). Doa kita untuk orang lain dapat membuat perbezaan (lihat Yakobus 5:16).
-
Ajar Mereka agar Bergantung pada Kuasa-Nya
Hanya dengan Juruselamat kita dapat benar-benar berubah dan maju ke arah potensi sejati yang ada pada kita semua. Dia ialah “jalan, kebenaran dan hidup. Tidak seorang pun dapat datang kepada Bapa kecuali melalui [Dia]” (Yohanes 14:6). Kuasa-Nya yang dapat “menjadikan hal-hal yang lemah menjadi kuat” (Eter 12:27). Iman dalam kuasa penebusan-Nya yang membolehkan Alma yang Muda untuk berubah (lihat Alma 36:16–23). Kita mengajar orang lain agar bergantung pada Juruselamat supaya mereka juga dapat memiliki kuasa kesempurnaan-Nya dalam hidup mereka.
-
Layani Mereka sebagaimana Mereka Dapat Menjadi
Kasih sayang dan penerimaan boleh menjadi agen perubahan yang sangat berkuasa. Perempuan di perigi tinggal dengan seorang lelaki yang bukan suaminya. Pengikut Yesus “hairan melihat Yesus bercakap dengan seorang wanita” (Yohanes 4:27), tetapi Yesus lebih mengambil berat tentang apa yang wanita dapat menjadi. Dia mengajar dan memberinya peluang untuk berubah, dimana wanita itu telah melakukannya. (Lihat Yohanes 4:4–42.).
Apabila kita melayani orang lain dengan tanggapan siapa mereka dan bukan apa yang mereka dapat menjadi, kita boleh menyekat kemajuan mereka. Sebaliknya, kita boleh mengampuni dan melupakan kesalahan-kesalahan yang lalu. Kita boleh percaya bahawa orang lain dapat berubah. Kita boleh mengabaikan kelemahan dan mengetengahkan sifat positif yang mungkin tidak disedari oleh mereka sendiri. “Kita mempunyai tanggungjawab tidak membuat tanggapan siapa mereka tetapi sebagaimana yang mereka dapat menjadi.”1
-
Biarkan Mereka Maju Mengikut Rentak Sendiri
Perubahan mengambil masa. Kita semua mesti “teruslah dengan kesabaran sampai [kita] disempurnakan” (Ajaran dan Perjanjian 67:13). Yesus bersabar dengan orang lain dan terus mengajar walaupun kepada mereka yang menentang-Nya, bersaksi tentang peranan-Nya yang diberikan oleh Bapa-Nya dan menjawab soalan mereka (lihat Matius 12:1–13; Yohanes 7:28–29). Kita boleh bersabar dengan orang lain dan mendorong mereka agar bersabar dengan diri mereka sendiri.
-
Jangan Berputus Asa Jika Mereka Berbalik kepada Kebiasaan Lama
Selepas Kristus meninggal, Petrus dan beberapa Rasul lain pun berbalik kepada kebiasaan mereka (lihat Yohanes 21:3). Kristus mengingatkan Petrus bahawa dia perlu “menggembalakan domba-domba-Nya” (lihat Yohanes 21:15–17) dan Petrus kembali kepada pelayanan. Adalah sangat mudah untuk berbalik kepada kebiasaan lama. Kita boleh terus memberi sokongan melalui dorongan secara perlahan-lahan serta jemputan yang penuh ilham untuk terus mengikut Juruselamat dan berusaha untuk menjadi lebih seperti Dia.
Benarkan Orang Lain untuk Maju
Elder Jeffrey R. Holland daripada Kuorum Dua Belas Rasul mengisahkan cerita ini yang membenarkan orang lain untuk maju: “Saya diberitahu pada suatu ketika dahulu, seorang lelaki yang selama bertahun-tahun dipersendakan di sekolahnya. Dia serba kekurangan dan senang untuk rakan-rakannya mengusiknya. Selepas beberapa tahun, dia berpindah. Dia menyertai tentera pada akhirnya, berpeluang menikmati pengalaman pembelajaran yang indah dan telah meninggalkan kisah hitam masa lampaunya. Terutamanya, sebagaimana yang ramai telah lakukan setelah menyertai tentera, dia menemui keindahan dan keagungan Gereja, giat dan gembira menceburi bidang suci ini.
“Beberapa tahun kemudian, dia kembali ke kampung halamannya. Kebanyakan kenalan generasinya telah berpindah tetapi bukan semuanya. Jelas bahawa, apabila dia kembali dengan agak berjaya dan seolahnya seperti lahir semula, pemikiran lama dulu yang sama masih wujud, menanti kepulangannya. Bagi mereka yang di kampung halamannya, dia masih ‘si anu’ yang lama itu …
“Sedikit demi sedikit, usaha lelaki ini untuk meninggalkan sejarah lampaunya dan mendakap kurnia yang Tuhan aturkan di hadapannya beransur pudar sehingga dia amat bersedih dengan zaman remajanya. … Malangnya, dan sedihnya, sekali lagi dia dikelilingi … mereka yang fikir kisah silamnya lebih menarik daripada masa depannya. Mereka berjaya merobek genggaman Kristus daripada genggamannya. Dia meninggal dunia dengan sedih, walaupun bukan kesalahannya sendiri. …
“Benarkan seseorang untuk bertaubat. Benarkan seseorang untuk maju. Percaya bahawa seseorang dapat berubah dan bertambah baik.”2
© 2019 oleh Intellectual Reserve, Inc. All rights reserved. Dicetak di Amerika Syarikat. Kelulusan Bahasa Inggeris: 6/18. Kelulusan terjemahan: 6/18. Terjemahan Ministering Principles, August 2019. Malay. 15769 348