2020
Pelayanan melalui Sejarah Keluarga
Februari 2020


Asas-asas Pelayanan, Februari 2020

Pelayanan melalui Sejarah Keluarga

Imej
ministering

Ilustrasi oleh Joshua Dennis; imej latar belakang dan gambar foto daripada Getty Images

Membantu seseorang dengan sejarah keluarga mereka merupakan cara pelayanan yang hebat. Apabila anda menghubungkan seseorang dengan nenek moyang mereka melalui cerita dan butiran keluarga, anda mengisi kekosongan dalam hati mereka yang kadang-kadang tidak disedari oleh mereka (lihat Maleakhi 4:5–6).

Sama ada ahli Gereja seumur hidup atau seseorang yang tidak pernah mendengar tentang injil Yesus Kristus yang dipulihkan, semua anak Tuhan ingin tahu dari mana datangnya mereka.

Jawapannya, sebagaimana yang ditunjukkan dalam cerita berikut, lazimnya cepat meninggalkan tanggapan yang mendalam dan berkekalan.

Mencari Keluarga di Ketinggian 30,000 Kaki

Dalam suatu penerbangan pulang ke rumah baru-baru ini, saya duduk bersebelahan dengan Steve, yang berkongsi dengan saya kisah-kisah peribadinya. Selepas tamat sekolah menengah tinggi, dia menyertai Tentera A.S. pada usia 18 tahun sebagai pakar komunikasi, seterusnya bekerja di White House, memberi sokongan komunikasi kepada Presiden Amerika Syarikat. Antara usia 18 hingga 26, beliau telah berkhidmat untuk dua orang Presiden A.S. Ceritanya amat menarik!

“Steve,” saya berkata, “kamu harus menulis cerita-cerita ini untuk keturunan kamu! Mereka perlu mendengar cerita ini daripada perspektif kamu, terus daripada anda.” Dia bersetuju.

Seterusnya, Roh mendorong saya untuk bertanya apa yang dia tahu tentang nenek moyangnya. Steve mengetahui banyak tentang keluarga ibunya, termasuk cerita yang keluarganya pernah makan malam bersama Abraham Lincoln semasa beliau berkempen untuk pilihan raya presiden 1860 di kawasan luar bandar.

Namun, tidak banyak yang dia tahu tentang keluarga bapanya. Dia ingin mengetahui lebih banyak. Saya mengeluarkan telefon bimbit saya dan membuka aplikasi FamilySearch. “Steve, kita boleh mencari keluarga kamu!”

Saya bersambung ke Wi-Fi dalam penerbangan. Saya meletakkan telefon saya di meja dulang di hadapan saya agar kami berdua dapat melihatnya. Kami mencari FamilyTree. Dalam beberapa minit, kami berdua menemui sijil perkahwinan nenek moyangnya.

“Itulah mereka,” dia berkata. “Saya ingat nama moyang perempuan saya sekarang!”

Kami berdua begitu teruja. Kami membina profil nenek moyangnya yang kurang dikenali dalam masa 45 minit yang seterusnya. Dia meminta saya berjanji dengannya agar bersama-sama menyambung carian di Colorado. Kami bertukar maklumat hubungan sambil kapal terbang mendarat.

Di sini kami, dalam penerbangan pada ketinggian 30,000 kaki (9,145 m) di udara, dengan peranti sekecil tapak tangan saya, mencari lelaki dan perempuan yang telah berkahwin seratus tahun yang lalu, yang telah hilang bagi dia dan keluarganya. Luar biasa! Tetapi kami menemui mereka. Ahli keluarga saling berpaut. Cerita diingati. Rasa terima kasih dirasai kerana wujudnya teknologi dan alatan. Ini bagai suatu keajaiban.

Jonathan Petty, Colorado, Amerika Syarikat

Dikelilingi Keluarga Baharu

Maria kurang aktif sepanjang lebih daripada 20 tahun. Beberapa bulan yang lepas, kami meluangkan masa selama beberapa jam dengannya di rumah kami, menerokai keluarganya melalui bancian dan rekod yang lain. Pada suatu ketika dia menangis dan berseru, “Saya lebih mengenali keluarga saya dalam masa dua jam sahaja daripada yang saya tahu sepanjang hidup saya!”

Akhirnya, kami memperkenalkan kepadanya ciri Relatives Around Me (Saudara Mara Di Sekeliling Saya) dalam aplikasi FamilyTree. Saya dan suami saya ternyata saudara-mara jauh Maria. Dia menangis sekali lagi, mengatakan bahawa dia ingat dia hanya sebatang kara. Dia tidak pernah mengetahui yang dia mempunyai keluarga di tempat ini. Beberapa minggu kemudian, Maria berjumpa dengan uskup kami. Dia sedang giat membuat persediaan untuk gereja dan telah menemui ramai sepupu “baru” di bahagian kami!

Carol Riner Everett, Carolina Utara, Amerika Syarikat

Resipi Pelayanan

Saya dan Ashley, seorang adik perempuan yang saya layani, mempunyai buku masak daripada nenek kami masing-masing. Buku masaknya adalah daripada nenek moyangnya dan buku masak saya pula merupakan resipi yang saya kumpulkan apabila mewarisi kotak resipi Nenek Greenwood saya selepas beliau meninggal dunia.

Ashley dan saya memilih satu resipi daripada buku masak masing-masing dan berjumpa suatu malam selepas habis kerja untuk mencubanya. Dia memilih resipi pencuci mulut, jadi kami menyediakannya terlebih dahulu dan meletakkannya di dalam ketuhar. Saya memilih celup kerepek—suatu ruji di setiap parti keluarga Greenwood. Alice, anak perempuan Ashley, membantu kami menguji rasa makanan. Selepas itu, Ashley tidak mahu anak-anaknya menghabiskan semua pencuci mulut, oleh itu dia telah menghantar sebahagian daripadanya kepada saudari yang dilayaninya.

Perkara yang paling menyeronokkan tentang malam resipi kami adalah sambil kami memasak dan membakar, kami berbual tentang semua topik pelayanan biasa—perjuangan kami masing-masing. Tetapi kami juga berbual tentang nenek dan ibu kami, amat terharu bagi kami berdua.

Jenifer Greenwood, Utah, Amerika Syarikat

Cara Tertentu untuk Membantu

Sejarah keluarga dapat membuka pintu kepada peluang pelayanan yang nampaknya tiada cara lain boleh. Terdapat beberapa idea yang boleh anda cuba di sini.

  • Membantu mereka merekod dan memuat naik rakaman audio tentang cerita sejarah keluarga, terutamanya yang memadankan foto.

  • Mencipta carta bentuk kipas atau dokumen sejarah keluarga boleh cetak yang boleh anda berikan sebagai hadiah.

  • Mengajar cara mencatatkan sejarah peribadi mereka dan menyimpan jurnal mengikut kesukaan mereka. Jurnal audio? Jurnal foto? Log video? Terdapat banyak pilihan untuk mereka yang tidak suka format jurnal yang standard.

  • Pergi ke bait suci bersama-sama untuk melakukan tatacara bagi nenek moyang. Atau tawarkan untuk melakukan tatacara atas nama keluarga mereka sekiranya mereka terlalu sibuk untuk melakukannya.

  • Berkumpul bersama untuk berkongsi tradisi keluarga.

  • Mengambil bahagian dalam kelas sejarah keluarga bersama.

Cetak