“Yesus Kristus akan membantu anda”, Untuk Kekuatan Remaja: Panduan untuk Membuat Pilihan (2022)
“Yesus Kristus akan membantu anda”, Untuk Kekuatan Remaja
Yesus Kristus akan membantu anda
Mazmur 147:3
Yesus Kristus ialah kekuatan anda. Dia telah melakukan segala yang diperlukan untuk anda memiliki kebahagiaan dalam kehidupan ini dan selamanya. Dengan memilih-Nya dan injil-Nya, anda memilih kebahagiaan abadi.
Walaupun anda mencuba sedaya upaya untuk membuat pilihan yang baik, kadangkala anda akan melakukan kesilapan. Anda akan melakukan perkara yang anda harap anda tidak lakukan. Hal ini berlaku pada semua orang. Apabila hal ini berlaku, anda mudah berasa kecewa atau berfikir sama ada anda mampu menjadi cukup bagus. Tetapi ada berita baik—berita penuh harapan yang mengagumkan! Oleh kerana Tuhan mengasihi anda, Dia mengutuskan Putera-Nya, Yesus Kristus, yang mengambil ke atas diri-Nya dosa-dosa anda supaya anda boleh bertaubat dan terus maju.
Kebenaran abadi
Yesus Kristus boleh menguatkan anda. Dia boleh membantu anda mengubah keinginan anda, fikiran anda dan tindakan anda. Apabila anda berasa risau, takut atau bergelut dalam apa jua situasi, Dia akan menenangkan anda. Dia akan membantu anda dalam semua aspek kehidupan anda.
Pertaubatan bukan hukuman untuk dosa; ia merupakan cara Juruselamat membebaskan kita daripada dosa. Untuk bertaubat bermaksud untuk berubah—untuk berpaling daripada dosa dan kepada Tuhan. Ia bermaksud untuk menambah baik dan menerima keampunan. Perubahan seperti ini bukanlah suatu peristiwa yang berlaku hanya sekali; ia suatu proses yang berterusan.
Jemputan
Bertaubat. Berpaling kepada Tuhan dengan keinginan untuk bertambah baik. Apabila anda telah melakukan sesuatu yang salah, mengaku dengan jujur di hadapan Tuhan dan, jika perlu, kepada uskup anda dan sesiapa pun yang mungkin telah anda cederakan. Cuba sedaya upaya untuk membuat pembetulan.
Bersukacitalah dalam kurnia untuk memperbaiki dan menjadi lebih baik. Walaupun tidak mudah dan mengambil masa lebih lama daripada yang anda harapkan, jangan berhenti mencuba. Terus berusaha dan mempercayai Tuhan. Juruselamat akan membantu anda di setiap langkah sepanjang perjalanan.
Berkat-berkat yang dijanjikan
Yesus Kristus akan mengampuni dan menyembuhkan anda apabila anda bertaubat. Dia akan menggantikan kesalahan anda dengan kedamaian dan kebahagiaan. Dia tidak akan mengingati dosa-dosa anda. Dengan kekuatan-Nya, keinginan anda untuk mematuhi perintah-Nya akan meningkat.
Dia akan mengubah hati dan kehidupan anda. Sedikit demi sedikit, anda akan berkembang dan menjadi lebih seperti Dia. Hubungan perjanjian anda dengan-Nya akan membawa anda lebih dekat kepada kuasa-Nya.
Soalan dan jawapan
Bagaimanakah saya tahu sama ada Tuhan telah mengampuni saya? Tuhan berjanji bahawa Dia akan mengampuni mereka yang bertaubat. Apabila anda merasai ketenangan daripada Roh, anda boleh tahu bahawa kuasa penebusan Juruselamat berfungsi dalam hidup anda.
Bilakah saya memerlukan bantuan uskup untuk bertaubat? Uskup anda memegang kunci-kunci imamat dan kurnia rohani untuk membantu anda bertaubat. Anda boleh mendapatkan bantuan dan nasihatnya pada bila-bila masa pun. Jika anda telah melakukan kesilapan yang besar, seperti melanggar hukum kemurnian akhlak, berjumpalah dengan uskup anda. Dia tidak akan menghukum anda. Dia seorang wakil Yesus Kristus dan akan membantu anda mengetahui cara untuk bertaubat sepenuhnya serta menerima kuasa penyembuhan dan pengukuhan Juruselamat.
Saya sedang cuba bertaubat, tetapi saya masih melakukan kesilapan yang sama. Apakah yang harus saya lakukan sekarang? Pemupukan tabiat yang baik dan penyingkiran tabiat yang buruk mengambil masa, jadi jangan berputus asa. Berpaling kepada Kristus. Rahmat-Nya mencukupi. Cuba lagi. Anda tidak bersendirian dalam usaha anda untuk maju. Yesus Kristus sentiasa bersama anda.
Lihat Enos 1:6 (rasa bersalah boleh disapu bersih); Mosia 4:3 (melalui Roh Kudus, Tuhan memberitahu anda yang anda telah diampunkan); 26:30 (Juruselamat mengampuni kita sekerap kita bertaubat); Eter 12:27 (rahmat Juruselamat boleh menjadikan hal-hal yang lemah menjadi kuat); Moroni 6:8 (mereka yang bertaubat akan diampunkan); 10:32 (sempurna di dalam Kristus); Ajaran dan Perjanjian 1:32 (Tuhan mengampuni mereka yang bertaubat); 58:42–43 (pertaubatan termasuk mengakui dan meninggalkan dosa).
Soalan kad rekomen bait suci
Adakah anda mempunyai keimanan terhadap serta kesaksian tentang Tuhan Bapa yang Abadi, Putera-Nya, Yesus Kristus dan Roh Kudus?
Adakah anda mempunyai kesaksian tentang Korban Tebusan Yesus Kristus serta peranan-Nya sebagai Juruselamat dan Penebus anda?