Remaja
Kasihilah Tuhan, kasihilah sesama manusia


“Kasihilah Tuhan, kasihilah sesama manusia”, Untuk Kekuatan Remaja: Panduan untuk Membuat Pilihan (2022)

“Kasihilah Tuhan, kasihilah sesama manusia”, Untuk Kekuatan Remaja

Lukisan seorang lelaki mendukung kepala seseorang lelaki kurus kering dilitupi pembalut yang tertiarap di atas lantai.

Kasihilah Tuhan, kasihilah sesama manusia

Matius 22:37–40

ikon orang melaksanakan pelayanan

Untuk membantu anda membuat pilihan yang baik, Tuhan memberikan perintah. Dia berbuat demikian kerana Dia mengasihi anda. Dan sebab yang terbaik untuk mematuhi perintah Tuhan adalah kerana anda mengasihi-Nya. Kasih sayang ialah unsur yang paling penting dalam perintah Tuhan.

Eemaja putera membantu wanita berkerusi roda menyeberangi jalan.

Kebenaran abadi

Tuhan mengasihi anda. Dia Bapa anda. Kasih sempurna-Nya boleh mengilhami anda untuk mengasihi-Nya. Apabila kasih anda terhadap Bapa Syurgawi menjadi pengaruh yang paling penting dalam hidup anda, banyak keputusan menjadi lebih mudah.

Dua perintah terhebat yang diajar oleh Yesus, adalah untuk mengasihi Tuhan dan mengasihi sesamamu. Dan siapakah sesamamu? Semua orang! Segala yang diajar dalam tulisan suci dan oleh para nabi berkaitan dengan dua perintah ini.

Semua orang ialah saudara dan saudari anda—termasuk, sudah tentu, mereka yang berbeza daripada anda atau tidak sependapat dengan anda. Bapa Syurgawi menginginkan anak-anak-Nya menyayangi satu sama lain. Apabila anda melayani anak-anak-Nya, anda melayani-Nya.

Jemputan

Tunjukkan kasih kepada Tuhan dengan mematuhi perintah-Nya. Contohnya, dengan menguduskan hari Sabat sebagai hari yang suci, termasuk dengan mempersiapkan diri dan mengambil sakramen secara beriman, anda menunjukkan kepada Tuhan bahawa anda bersedia untuk mendedikasikan sehari dalam seminggu kepada-Nya. Apabila anda berpuasa dan membayar sepersepuluh serta sumbangan, anda menunjukkan kepada Tuhan bahawa pekerjaan-Nya adala lebih penting bagi anda daripada kebendaan lain. Apabila anda menggunakan nama Tuhan dan Kristus dengan ketakziman, tidak sekali-kali dengan maksud yang jahat atau bersahaja, anda menunjukkan yang anda bersyukur atas semua yang Mereka telah dilakukan untuk anda.

Layanilah semua orang sebagai anak Tuhan. Sebagai pengikut Yesus Kristus, anda boleh menunjukkan teladan dengan melayani orang daripada semua bangsa dan agama serta mana-mana kumpulan lain dengan perasaan kasih, hormat dan penyertaan—terutamanya mereka yang kadang-kadang menjadi mangsa kata-kata serta tindakan yang melukakan hati. Hulurkan tangan kepada mereka yang berasa sunyi, terasing atau tidak berdaya. Bantu mereka rasai kasih Bapa Syurgawi melalui anda.

Dua orang remaja putera dalam pakaian kemeja dan tali leher.

Pastikan pertuturan anda mencerminkan kasih kepada Tuhan dan orang lain—sama ada anda berkomunikasi secara bersemuka atau secara maya. Ucapkan kata-kata yang menggalakkan—elakkan apa-apa yang memecahbelahkan, melukakan hati atau menyinggung perasaan, walaupun sebagai gurauan. Kata-kata anda boleh menjadi sangat berkuasa. Pastikan kata-kata anda berkuasa demi kebaikan.

Mengasihi semua anak Tuhan bermula di rumah. Lakukan tanggungjawab anda untuk menjadikan rumah anda satu tempat di mana semua orang boleh merasai kasih Juruselamat.

Berkat-berkat yang dijanjikan

Hubungan anda dengan Tuhan akan menjadi semakin erat apabila anda meluahkan kasih anda dengan mematuhi perintah-Nya dan mentaati perjanjian anda bersama-Nya.

Hubungan anda dengan orang lain akan menjadi semakin erat apabila anda meluahkan kasih anda melalui pelayanan seperti Kristus. Anda akan menemui kegembiraan dalam menjadikan dunia ini tempat yang lebih penyayang.

ikon soalan dan jawapan

Soalan dan jawapan

Bagaimanakah saya boleh merasai kasih Tuhan? Kasih Bapa Syurgawi sentiasa tersedia. Selalu bercakap dengan-Nya melalui doa. Kongsi perasaan anda dengan-Nya dan dengar tanggapan daripada-Nya. Baca firman-Nya dalam tulisan suci. Fikirkan tentang segala yang Dia telah lakukan untuk anda. Luangkan masa di tempat dan aktiviti di mana Roh-Nya hadir.

Adakah Tuhan mengharapkan saya untuk mengasihi semua orang, bahkan mereka yang memperlakukan saya dengan teruk? Tuhan mengharapkan anda agar mengasihi musuh anda dan berdoa untuk mereka yang menganiayai anda. Namun, ini tidak bermaksud anda harus kekal berada dalam situasi yang mengganggu anda secara emosi, jasmani atau rohani. Kekalkan sempadan yang sihat untuk memastikan diri anda selamat. Jika anda dibuli atau dianiayai—atau tahu seseorang yang lain sedang mengalami isu ini—berbincanglah dengan seorang dewasa yang boleh dipercayai.

Bilakah dan bagaimanakah saya harus berkenalan dengan ahli berlainan jantina? Cara yang terbaik untuk berkenalan dengan orang lain adalah melalui persahabatan sejati. Semasa anda masih muda, jalin persahabatan yang baik dengan ramai orang. Dalam sesetengah budaya, remaja berkenalan dengan ahli berlainan jantina melalui aktiviti kumpulan yang baik dan menyeronokkan. Demi perkembangan dan keselamatan emosi serta rohani anda, aktiviti satu dengan satu harus ditangguhkan sehingga anda menjadi matang—umur 16 tahun merupakan garis panduan yang baik. Berbincang dengan ibu bapa dan pemimpin anda. Tangguhkan perhubungan eksklusif sehingga anda lebih matang. Luangkan masa bersama mereka yang membantu anda mentaati komitmen anda kepada Yesus Kristus.

Apakah yang boleh saya lakukan jika rumah saya bukan satu tempat yang penuh kasih sayang? Juruselamat mengetahui situasi anda dan Dia mengasihi anda. Bersabarlah, terus mematuhi perintah Tuhan dan menjadi teladan yang baik kepada keluarga anda. Jalinkan hubungan dengan ahli gereja dalam bahagian anda. Buat persediaan sekarang untuk membina keluarga anda sendiri yang berasaskan ajaran-ajaran Yesus Kristus.

Lihat Yesaya 58:3–11 (tujuan berpuasa); 58:13–14 (berkat merayakan hari Sabat sebagai hari yang suci); Maleakhi 3:8–10 (berkat memberikan persepuluhan); Lukas 6:27–28 (kasihlah musuh kamu); 10:25–37 (siapakah sesamaku?); Yohanes 3:16–17 (Tuhan mengasihi kita, jadi Dia mengutuskan Anak-Nya); 14:15 (kita mentaati perintah kerana kita mengasihi Tuhan); 1 Yohanes 4:19 (kita mengasihi Tuhan kerana Dia mengasihi kita); Mosiah 2:17 (apabila kita berada dalam pelayanan sesama kita, kita dalam pelayanan Tuhan).

ikon bait suci

Soalan kad rekomen bait suci

Adakah anda mengikut ajaran-ajaran Gereja Yesus Kristus dalam tingkah laku anda secara peribadi dan di tempat awam dengan ahli keluarga serta orang lain?

Adakah anda berusaha untuk merayakan hari Sabat sebagai hari yang suci, di rumah dan juga di gereja; menghadiri pertemuan gereja; bersedia dan layak mengambil sakramen; serta menjalankan hidup anda selaras dengan hukum dan perintah injil?

Adakah anda pembayar persepuluhan penuh?