“Berjalan dalam cahaya Tuhan”, Untuk Kekuatan Remaja: Panduan untuk Membuat Pilihan (2022)
“Berjalan dalam cahaya Tuhan”, Untuk Kekuatan Remaja
Berjalan dalam cahaya Tuhan
Galatia 5:25
Anda membuat pilihan yang lebih baik apabila anda dapat melihat dengan jelas. Itulah sebabnya cahaya sangat penting: cahaya memudahkan untuk melihat jalan yang betul. Bapa Syurgawi telah memberi anda akses kepada cahaya syurgawi—kurnia Roh Kudus—untuk membantu anda melihat dengan jelas apa yang baik dan buruk, betul dan salah.
Kebenaran abadi
Pada pembaptisan anda memasuki hubungan perjanjian gembira dengan Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus. Di bait suci, anda akan membuat perjanjian tambahan yang boleh menguatkan hubungan itu. Setiap minggu semasa sakramen, anda membaharui perjanjian anda. Anda menyatakan kesudian anda untuk mentaati perintah dan Tuhan memberkati anda dengan peluang untuk memiliki Roh Kudus sebagai rakan tetap anda. Ini salah satu kurnia terbesar-Nya kepada anda.
Membuat pilihan yang baik meningkatkan keupayaan anda untuk merasai Roh. Terdapat banyak perkara yang baik dan menyeronokkan di dunia ini. Sepertimana tubuh anda dipengaruhi oleh makanan dan minuman yang anda ambil, minda dan roh anda dipengaruhi oleh kandungan yang anda baca, tonton serta dengar.
Jemputan
Luangkan masa untuk Tuhan setiap hari. Belajar daripada-Nya. Selalu mengingati-Nya. Berdoa kepada Bapa Syurgawi anda. Kaji tulisan suci dan firman para nabi yang hidup. Kemudian, berusaha untuk berpegang kepada perkara yang anda pelajari.
Cari perkara yang menggalakkan, mengilhami dan menjemput Roh. Apabila anda membuat pilihan mengenai kandungan yang harus ditonton, dibaca, didengar atau acara yang harus disertai, fikirkan tentang perasaan anda terhadap kandungan tersebut. Adakah kandungan ini menjemput fikiran yang baik? Jauhkan diri daripada apa-apa yang memperolok-olokkan hal yang kudus atau yang tidak berakhlak. Jangan melibatkan diri dalam apa-apa yang melemahkan pertimbangan atau kepekaan anda terhadap Roh, seperti keganasan, alkohol dan dadah yang memudaratkan. Berani untuk mematikan video atau permainan, meninggalkan panggung wayang atau tarian, mengubah muzik anda atau berpaling daripada apa-apa yang tidak selaras dengan Roh.
Gunakan media sosial untuk meningkatkan kehidupan. Media sosial boleh menjadi alat komunikasi yang sangat berkuasa. Jika anda menggunakan alat ini, tumpukan pada yang berfaedah, beriman dan benar. Jangan membandingkan hidup anda dengan pengalaman orang lain. Ingatlah bahawa harga diri anda datang daripada menjadi anak ibu bapa syurgawi, bukan daripada media sosial.
Cari pengalaman yang baik dan perhubungan yang benar serta berkekalan. Berhati-hati bahawa penggunaan teknologi dan media sosial anda tidak menggantikan masa yang anda luangkan bersama keluarga serta kawan-kawan anda. Media sosial dan teknologi lain boleh memakan masa anda yang banyak tanpa memberikan balasan yang setimpal. Berehat daripada dunia maya dan berhubung dengan orang dalam dunia nyata.
Berkat dijanjikan
Roh boleh sentiasa bersama anda. Roh Kudus akan memberikan kesaksian kepada anda tentang Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus. Dia akan menenangkan, membimbing, memberikan amaran dan menguduskan anda. Dia akan membantu anda mengenali kebenaran dan melihat aspek yang baik di dunia.
Soalan dan jawapan
Bagaimanakah saya boleh tahu sama ada saya merasai Roh Kudus? Belajar untuk menyedari akan kehadiran Roh mengambil masa, latihan dan kesabaran. Dia berucap kepada orang yang berbeza melalui cara yang berbeza. Jangan mengabaikan perkara remeh—perasaan damai yang anda peroleh apabila mendengar kesaksian seseorang atau perasaan tidak tenteram yang anda rasai selepas membuat pilihan yang salah. Cari dalam tulisan suci mengenai pelbagai cara yang Roh berkomunikasi, berdoa dan mencari peluang untuk merasai kehadiran Roh secara berterusan.
Apakah itu pornografi? Mengapakah saya harus mengelakkan benda ini? Pornografi merupakan pernyataan, dalam bentuk gambar atau perkataan, yang direka untuk membangkitkan perasaan seksual. Pornografi datang dalam pelbagai bentuk, termasuk video, gambar, buku dan muzik. Ini turut termasuk mesej atau imej yang dihantar antara kawan-kawan. Pornografi mengolah perkara yang kudus—tubuh jasmani dan perasaan seksual kita—tanpa hormat. Anda mungkin melihat pornografi secara tidak sengaja. Sama ada anda melihat pornografi secara sengaja atau tidak, berpaling dengan segera. Anda juga boleh berbincang dengan ibu, bapa atau orang dewasa lain yang boleh dipercayai. Melihat pornografi secara sengaja merupakan perbuatan yang berdosa dan menjejaskan keupayaan anda untuk merasai Roh. Ia melemahkan kawalan diri anda dan memutarbelitkan cara anda melihat diri anda serta orang lain. Yesus Kristus mempunyai kuasa untuk membantu anda menentang pornografi dan bertaubat. Berpalinglah kepada-Nya; berpalinglah daripada kejahatan. Uskup anda boleh membantu anda menerima kekuatan dan keampunan melalui Juruselamat.
Lihat Amos 5:14 (Berusahalah untuk berbuat baik); Galatia 5:22–23 (hasil Roh Tuhan); Moroni 7:18–19 (cahaya Kristus); Ajaran dan Perjanjian 6:23 (Tuhan memfirmankan kedamaian); 20:77, 79 (doa sakramen).
Soalan kad rekomen bait suci
Tuhan telah berfirman bahawa segala hal “dilakukan dalam kebersihan” di hadapan-Nya (Ajaran dan Perjanjian 42:41). Adakah anda berusaha untuk memupuk fikiran dan tingkah laku yang bersih dan bermoral? Adakah anda mematuhi hukum kemurnian akhlak?
Adakah anda berusaha untuk merayakan hari Sabat sebagai hari yang suci, di rumah dan juga di gereja; menghadiri pertemuan gereja; bersedia dan layak mengambil sakramen; serta menjalankan hidup anda selaras dengan hukum dan perintah injil?