Buku Panduan dan Panggilan
1. Rancangan Tuhan dan Peranan Anda dalam Pekerjaan Penyelamatan dan Permuliaan


“1. Rancangan Tuhan dan Peranan Anda dalam Pekerjaan Penyelamatan dan Permuliaan,” Buku Panduan Umum: Melayani dalam Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir (2020).

“1. Pekerjaan Penyelamatan dan Permuliaan,” Buku Panduan Umum.

lelaki membina rumah

1.

Rancangan Tuhan dan Peranan Anda dalam Pekerjaan Penyelamatan dan Permuliaan

1.0

Pengenalan

Anda telah dipanggil untuk melayan dalam Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir. Terima kasih atas pelayanan anda. Anda akan memberkati kehidupan dan mengalami sukacita semasa anda melayani dengan setia.

Buku panduan ini akan membantu anda belajar asas-asas pelayanan seperti Kristus dan memahami tanggungjawab anda. Anda akan menjadi lebih berkesan ketika anda melaraskan pelayanan Gereja anda dengan pekerjaan Tuhan Bapa dan Putera-Nya, Yesus Kristus. Bab ini akan membantu anda memperoleh pandangan tentang:

  • Rancangan kebahagiaan Tuhan.

  • Pekerjaan penyelamatan dan permuliaan.

  • Tujuan Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir.

1.1

Rancangan Kebahagiaan Tuhan

Bapa Syurgawi menyediakan rancangan kebahagiaan untuk membolehkan kita menikmati segala berkat-Nya. Pekerjaan dan kemuliaan-Nya adalah untuk “mendatangkan kebaqaan dan kehidupan abadi bagi manusia” (Musa 1:39). Kebaqaan adalah untuk hidup abadi dengan tubuh jasmani yang telah dibangkitkan. Kehidupan abadi, atau permuliaan, adalah untuk menjadi seperti Tuhan dan hidup di hadirat-Nya sebagai keluarga abadi.

Kita tidak dapat memperoleh kebaqaan dan kehidupan abadi tanpa bantuan Tuhan. Dalam kehidupan ini, kita tertakluk kepada dosa dan kematian, yang memisahkan kita daripada Bapa Syurgawi dan menghalang kita daripada menjadi seperti-Nya.

Yesus Kristus adalah pusat rancangan Tuhan. Kerana kasih Bapa Syurgawi yang tidak terbatas untuk kita, Dia mengutus Putera-Nya untuk menebus kita daripada dosa dan kematian melalui korban tebusan-Nya (lihat Yohanes 3:16). Melalui korban tebusan-Nya, Yesus Kristus memastikan setiap kita yang dilahirkan ke bumi akan dibangkitkan dan memperoleh kebaqaan. Korban tebusan-Nya juga membolehkan kita dibersihkan daripada dosa dan mengubah hati kita agar boleh menerima kehidupan abadi dan kegenapan kebahagiaan.

Untuk menerima kehidupan abadi, kita harus “datanglah kepada Kristus, dan disempurnakanlah di dalam Dia” (Moroni 10:32). Jemputan ini dihulurkan kepada semua yang pernah hidup atau akan hidup di bumi. Bapa Syurgawi ingin semua anak-Nya memilih untuk kembali kepada-Nya.

1.2

Pekerjaan Penyelamatan dan Permuliaan

Semasa kita datang kepada Kristus dan membantu orang lain melakukan yang sama, kita terlibat dalam pekerjaan penyelamatan dan permuliaan Tuhan. Pekerjaan ini dibimbing oleh dua perintah yang penting iaitu untuk mengasihi Tuhan dan mengasihi sesama manusia (lihat Matius 22:37–39). Kita menunjukkan kasih kita kepada Tuhan semasa kita mematuhi perintah-perintah-Nya dan melayani anak-anak-Nya (lihat Yohanes 14:15).

Pekerjaan penyelamatan dan permuliaan tertumpu pada empat tanggungjawab yang dilantik secara ilahi. Ini digariskan di bawah:

Buku panduan ini akan membantu anda memahami empat aspek pekerjaan Tuhan ini. Roh Kudus akan membimbing anda semasa anda melakukan bahagian anda dalam memenuhinya (lihat 2 Nefi 32:5).

1.2.1

Menjalankan Injil Yesus Kristus

Menjalankan injil Yesus Kristus termasuk:

  • Beriman kepada Kristus, bertaubat setiap hari, membuat perjanjian dengan Tuhan semasa kita menerima tatacara penyelamatan dan permuliaan, dan bertahan sampai akhir dengan mentaati perjanjian tersebut (lihat 3.5.1).

  • Pembelajaran dan pengajaran injil Yesus Kristus di rumah dan di Gereja.

  • Berdikari dalam menafkahi diri dan keluarga kita, secara rohani dan duniawi.

misionari saudari mengajar wanita

1.2.2

Menjaga Orang yang Memerlukan

Menjaga orang yang memerlukan termasuk:

  • Melayani individu, keluarga, dan komuniti.

  • Berkongsi sumber, termasuk bantuan Gereja, dengan mereka yang memerlukan.

  • Membantu orang lain menjadi berdikari.

1.2.3

Menjemput Semua untuk Menerima Injil

Menjemput semua untuk menerima injil termasuk:

  • Terlibat dalam kerja misionari dan melayani sebagai misionari.

  • Membantu ahli Gereja baru dan ahli yang kembali semula berkembang di sepanjang jalan perjanjian.

1.2.4

Menyatukan Keluarga untuk Keabadian

Menyatukan keluarga untuk keabadian termasuk:

  • Membuat perjanjian semasa kita menerima tatacara bait suci untuk diri sendiri.

  • Mencari nenek moyang kita yang telah meninggal dan melaksanakan tatacara bagi mereka di bait suci agar mereka boleh membuat perjanjian dengan Tuhan.

  • Hadiri bait suci dengan kerap, jika mungkin, untuk menyembah Tuhan dan melaksanakan tatacara bagi anak-anak-Nya.

1.3

Tujuan Gereja

Yesus Kristus mendirikan Gereja-Nya untuk membolehkan individu dan keluarga melakukan pekerjaan penyelamatan dan permuliaan (lihat Efesus 4:11–13; lihat juga 2.2 dalam buku panduan ini). Untuk membantu mencapai tujuan ilahi ini, Gereja dan para pemimpinnya menyediakan:

  • Wewenang dan kunci-kunci imamat.

  • Perjanjian dan tatacara.

  • Arahan nabi.

  • Kitab suci.

  • Pembelajaran injil dan sokongan pengajaran.

  • Peluang pelayanan dan kepimpinan.

  • Sebuah komuniti Orang suci.

1.3.1

Wewenang dan Kunci-kunci Imamat

Melalui imamat, Tuhan mencapai pekerjaan penyelamatan dan permuliaan. Wewenang dan kunci-kunci imamat yang diperlukan untuk mengarah pekerjaan Tuhan di bumi telah dipulihkan kepada Nabi Joseph Smith (lihat Ajaran dan Perjanjian 110:11–16; 112:30; lihat juga 3.1 dalam buku panduan ini). Kunci-kunci ini dipegang oleh para pemimpin Gereja hari ini. Mereka memanggil dan memberi wewenang kepada orang lain untuk membantu dalam pekerjaan Tuhan (lihat Ajaran dan Perjanjian 107:8, 65–67).

1.3.2

Perjanjian dan Tatacara

Dalam rancangan Bapa Syurgawi, kita membuat perjanjian semasa kita menerima tatacara penyelamatan dan permuliaan, seperti pembaptisan (lihat Yohanes 3:5; lihat juga bab 18 dalam buku panduan ini). Perjanjian dan tatacara ini penting untuk kita menjadi lebih seperti Tuhan dan untuk kembali hidup di hadirat-Nya (lihat Ajaran dan Perjanjian 84:19–22).

1.3.3

Arahan Nabi

Melalui nabi-Nya yang terpilih, Tuhan mengungkapkan kebenaran dan menyediakan bimbingan dan amaran (lihat Amos 3:7; Ajaran dan Perjanjian 1:4). Bimbingan ini membantu kita memasuki dan kekal di jalan yang menuju kehidupan abadi.

1.3.4

Kitab suci

Di bawah arahan para nabi dan rasul Tuhan, Gereja menyediakan dan memelihara firman Tuhan seperti yang terdapat dalam tulisan suci kudus. Tulisan suci bersaksi tentang Kristus, mengajar injil-Nya, dan membantu kita beriman kepada-Nya (lihat Yakub 7:10–11; Helaman 15:7).

1.3.5

Pembelajaran Injil dan Sokongan Pengajaran

Gereja menyokong individu dan keluarga dalam tanggungjawab mereka untuk belajar kebenaran injil dan mengajarkan kebenaran tersebut kepada ahli keluarga dan orang lain (lihat Ajaran dan Perjanjian 88:77–78, 118; lihat juga 2.2.3 dalam buku panduan ini).

1.3.6

Peluang Pelayanan dan Kepimpinan

Melalui panggilan dan tugasan dalam Gereja, Tuhan memberi ahli-ahli peluang untuk melayani dan membimbing. Gereja menyediakan struktur untuk membantu menjaga ahli-ahli yang memerlukannya dan memberi bantuan kelegaan untuk orang lain (lihat Mosia 18:27–29).

1.3.7

Sebuah Komuniti Orang Suci

Sebagai sebuah komuniti Orang Suci, ahli Gereja berkumpul dengan kerap untuk menyembah Tuhan dan mengingati Juruselamat dengan mengambil sakramen (lihat Moroni 6:4–6; Ajaran dan Perjanjian 20:77). Ahli-ahli juga saling menjaga dan melayani sesama (lihat Efesus 2:19).

1.4

Peranan Anda dalam Pekerjaan Tuhan

Sebagai seorang pemimpin dalam Gereja, anda telah dipanggil untuk mengajar dan menyokong orang-orang yang anda layani semasa mereka terlibat dalam pekerjaan penyelamatan dan permuliaan (lihat 1.2). Anda bertanggungjawab untuk memenuhi panggilan anda dan “mengajar … firman Tuhan … dengan sepenuh ketekunan” (Yakub 1:19). Bekerja dengan Tuhan di ladang-Nya akan membawakan anda kebahagiaan yang besar (lihat Yakub 5:70–72).

Memiliki pemahaman jelas tentang pekerjaan Tuhan, tentang apa yang Dia jemput anda untuk lakukan, dan tentang tujuan Gereja-Nya akan membantu anda menumpukan usaha anda dalam membawa jiwa kepada Kristus. Mengingati pandangan ini dalam minda akan membantu melaraskan anda dengan Juruselamat, serta membimbing segala yang anda lakukan sebagai seorang pemimpin dalam Gereja.

Sering rujuk kepada asas-asas dalam bab ini. Dengan penuh doa cari cara untuk tahu bagaimana anda dapat membantu membawa tujuan Tuhan ke dalam kehidupan mereka yang anda layani. Tuhan akan mengarah anda melalui bisikan Roh Kudus.

bait suci, Tijuana Mexico