“2. Menyokong Individu dan Keluarga dalam Pekerjaan Penyelamatan dan Permuliaan,” Buku Panduan Umum: Melayani dalam Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir (2020).
“2. Menyokong Individu dan Keluarga,” Buku Panduan Umum.
2.
Menyokong Individu dan Keluarga dalam Pekerjaan Penyelamatan dan Permuliaan
2.0
Pengenalan
Sebagai seorang pemimpin dalam Gereja Yesus Kristus, anda menyokong individu dan keluarga dalam melaksanakan pekerjaan penyelamatan dan permuliaan Tuhan (lihat 1.2). Tujuan pekerjaan ini adalah untuk membantu anak-anak Tuhan menerima berkat-berkat kehidupan abadi dan kegenapan kebahagiaan.
Kebanyakan pekerjaan penyelamatan dan permuliaan dicapai melalui keluarga. Bagi semua ahli Gereja, pekerjaan ini berpusat dalam rumah. Bab ini akan membantu anda memperoleh pandangan tentang:
-
Peranan keluarga dalam rancangan Tuhan.
-
Pekerjaan penyelamatan dan permuliaan di rumah.
-
Hubungan di antara rumah dan Gereja.
2.1
Peranan Keluarga dalam Rancangan Tuhan
Keluarga ditetapkan Tuhan dan ia adalah utama dalam rancangan-Nya. Setiap kita adalah “anak rohani lelaki atau anak rohani perempuan kepada ibu bapa syurgawi [dengan] sifat dan takdir ilahi (“Keluarga: Suatu Perisytiharan kepada Dunia,” ChurchofJesusChrist.org). Kita adalah sebahagian daripada keluarga mereka. Kita hidup bersama mereka sebelum kita datang ke bumi.
Sebagai sebahagian daripada rancangan-Nya, Bapa Syurgawi telah menubuhkan keluarga-keluarga di bumi. Dia menghasratkan keluarga untuk membawa kebahagiaan kepada kita. Keluarga menyediakan peluang untuk belajar, berkembang, melayan, bertaubat, dan mengampuni. Mereka boleh membantu kita bersedia untuk kehidupan abadi.
Dalam kehidupan ini, ramai orang yang mempunyai peluang terhad untuk perhubungan keluarga yang penuh kasih. Tiada keluarga yang bebas daripada cabaran, kesakitan, dan kedukaan. Individu dan keluarga menjalankan iman terhadap Tuhan dan berusaha untuk hidup berdasarkan kebenaran yang Dia telah ungkapkan tentang keluarga. Juruselamat telah berjanji bahawa Dia akan membantu memikul beban semua yang datang kepada-Nya (lihat Matius 11:28–30).
Rancangan kebahagiaan Bapa Syurgawi memastikan semua anak-Nya berpeluang untuk menerima injil-Nya dan menerima berkat terbesar-Nya (lihat Ajaran dan Perjanjian 137:7–10). Semua yang membuat dan mentaati perjanjian dengan Tuhan dapat mengalami kebahagiaan dan “kedamaian di dunia ini, dan kehidupan abadi di dunia yang akan datang” (Ajaran dan Perjanjian 59:23; lihat juga Mosia 2:41).
Janji Tuhan tentang kehidupan abadi termasuklah perkahwinan abadi, anak-anak, dan segala berkat keluarga abadi yang lain. Janji ini melibatkan mereka yang belum berkahwin atau tidak mempunyai keluarga dalam Gereja (lihat 38.1.4). Walaupun masa dan cara yang tepat di mana penerimaan berkat-berkat permuliaan tidak diketahui, berkat-berkat ini dijamin kepada mereka yang berusaha untuk hidup sebagai pengikut Yesus Kristus.
2.1.1
Keluarga Abadi
Keluarga abadi dibentuk apabila ahli Gereja membuat perjanjian ketika mereka menerima tatacara pemeteraian dalam bait suci. Berkat keluarga abadi tertunai apabila ahli-ahli mentaati perjanjian tersebut dan bertaubat apabila gagal. Pemimpin Gereja membantu ahli-ahli bersedia untuk menerima tatacara-tatacara ini dan mematuhi perjanjian mereka.
Setiap orang boleh memenuhi beberapa peranan dalam sebuah keluarga abadi. Semua peranan keluarga adalah kudus dan penting. Peranan-peranan ini termasuklah ibu dan bapa, anak perempuan dan anak lelaki, adik beradik, makcik dan pakcik, serta datuk dan nenek. Memenuhi peranan ini dengan kasih sayang membantu anak-anak Tuhan berkembang menuju kehidupan abadi.
Aspek tambahan dalam penubuhan keluarga abadi adalah dengan melaksanakan tatacara bait suci yang membolehkan ahli-ahli dimeteraikan kepada nenek moyang mereka yang sudah meninggal.
Dengan pemahaman tentang rancangan Tuhan, para ahli mencari berkat keluarga abadi. Ini termasuk mempersiapkan diri untuk menjadi pasangan dan ibu atau bapa yang layak dan penuh kasih.
2.1.2
Suami dan Isteri
Perkahwinan di antara seorang lelaki dan seorang perempuan ditahbiskan oleh Tuhan (lihat Ajaran dan Perjanjian 49:15). Suami dan isteri harus berkembang bersama menuju kehidupan abadi (lihat 1 Korintus 11:11).
Salah satu syarat untuk memperoleh kehidupan abadi adalah untuk seorang lelaki dan seorang wanita membuat perjanjian perkahwinan selestial (lihat Ajaran dan Perjanjian 131:1–4). Pasangan suami isteri membuat perjanjian ini apabila mereka menerima tatacara pemeteraian perkahwinan dalam bait suci. Perjanjian ini adalah landasan sebuah keluarga abadi. Apabila dipatuhi dengan iman, ia membolehkan perkahwinan mereka bertahan selamanya. Akhirnya, mereka boleh menjadi seperti Tuhan (lihat Ajaran dan Perjanjian 132:19–20).
Tuhan memerintahkan suami dan isteri untuk saling berpaut kepada satu sama lain (lihat Kejadian 2:24; Ajaran dan Perjanjian 42:22). Dalam konteks ini, perkataan berpaut bermaksud mengabdi dan setia sepenuhnya kepada seorang. Pasangan yang telah berkahwin saling berpaut dengan mengasihi dan melayani satu sama lain.
Berpaut juga termasuk kesetiaan penuh di antara suami dan isteri. Hubungan intim di antara suami dan isteri diniatkan sebagai sesuatu yang indah dan kudus. Ia ditahbiskan oleh Tuhan untuk penciptaan anak-anak dan sebagai ungkapan kasih di antara suami dan isteri. Kelembutan dan hormat—bukan kepentingan diri—yang harus membimbing perhubungan intim mereka.
Tuhan memerintahkan bahawa perhubungan seksual intim dikhususkan untuk perkahwinan antara seorang lelaki dan seorang wanita. Mengekalkan kemurnian secara seksual sebelum berkahwin dan kesetiaan dalam perkahwinan memberi individu kebahagiaan sejati dan mengelak bahaya rohani, emosi dan jasmani. Ibu bapa dan para pemimpin Gereja digalakkan untuk sedaya upaya menekankan ajaran ini. (Lihat 38.6.5.)
Pasangan berusaha untuk bersatu dalam membina keluarga mereka (lihat Kejadian 2:24). Menjadi satu dalam perkahwinan memerlukan perkongsian penuh, perkongsian tanggungjawab. Seorang suami dan isteri adalah setaraf di mata Tuhan. Seseorang tidak harus menguasai yang lain. Keputusan mereka harus dibuat dalam kesatuan dan kasih, dengan penglibatan penuh bersama.
Adam dan Hawa adalah teladan untuk suami dan isteri. Mereka bekerja, berdoa, dan menyembah bersama (lihat Musa 5:1, 4). Mereka mengajarkan injil kepada anak-anak mereka dan berdukacita bersama atas percubaan mereka (lihat Musa 5:12, 27). Mereka bersatu dengan sesama dan dengan Tuhan.
2.1.3
Ibu Bapa dan Anak-anak
Sebelum anak-anak Tuhan menerima “kebaqaan dan kehidupan abadi,” mereka harus menerima tubuh fana (Musa 1:39). Perintah pertama Tuhan kepada Adam dan Hawa sebagai suami dan isteri adalah untuk mempunyai anak-anak (lihat Kejadian 1:28). Nabi zaman akhir mengajarkan bahawa “Perintah Tuhan bagi anak-anak-Nya untuk beranak-pinak dan bertambah di dunia masih berkuat kuasa” (“Keluarga: Suatu Perisytiharan kepada Dunia”; lihat Ajaran dan Perjanjian 49:16–17).
Adalah satu keistimewaan dan tanggungjawab kudus bagi suami dan isteri untuk menjaga anak-anak yang mereka lahirkan atau ambil sebagai anak angkat. Ibu bapa angkat mempunyai berkat dan tanggungjawab yang sama seperti ibu bapa kandung.
Suami dan isteri bersama menyediakan keadaan terbaik untuk membesarkan dan mendidik anak-anak. Situasi individu mungkin menghalang ibu bapa membesarkan anak-anak mereka bersama. Namun, Tuhan akan memberkati mereka apabila mereka mencari bantuan-Nya dan berusaha untuk mentaati perjanjian mereka bersama-Nya.
Ibu bapa mempunyai tanggungjawab penting untuk membantu anak-anak bersedia untuk menerima berkat kehidupan abadi. Mereka mengajar anak-anak mereka untuk mengasihi dan melayani Tuhan dan orang lain (lihat Matius 22:36–40). Mereka mengajar anak-anak mereka untuk berdoa kepada Bapa Syurgawi dan mengkaji firman Tuhan (lihat Alma 37:36–37, 44–46). Mereka membantu anak-anak mereka memahami ajaran iman kepada Yesus Kristus, pertaubatan, pembaptisan, dan kurnia Roh Kudus (lihat Ajaran dan Perjanjian 68:25). Mereka turut membantu anak-anak mereka bersedia untuk membuat perjanjian semasa mereka menerima tatacara penyelamatan dan permuliaan.
“Para bapa patut mengetuai keluarga mereka dengan kasih sayang dan kesolehan, dan bertanggungjawab menafkahi keperluan kehidupan dan memberi perlindungan bagi keluarga mereka” (“Keluarga: Suatu Perisytiharan kepada Dunia”). Ketika tidak ada suami atau ayah dalam rumah tersebut, ibu mengetuai keluarga itu.
Mengetuai dalam keluarga adalah tanggungjawab untuk membantu memimpin ahli keluarga kembali hidup di hadirat Tuhan. Ini dilakukan dengan melayani dan mengajar secara lembut, dengan kelembutan hati, dan kasih murni, mengikuti teladan Yesus Kristus (lihat Matius 20:26–28). Memimpin dalam keluarga termasuk membimbing ahli keluarga dalam doa harian, pengkajian injil, dan aspek penyembahan yang lain. Ibu bapa bekerja dalam kesatuan untuk memenuhi tanggungjawab ini.
“Para ibu terutamanya bertanggungjawab bagi pemeliharaan anak-anak mereka” (“Keluarga: Suatu Perisytiharan kepada Dunia”). Pemeliharaan bermaksud memelihara, mengajar, dan menyokong, mengikuti teladan Juruselamat (lihat 3 Nefi 10:4). Dalam kesatuan dengan suaminya, seorang ibu membantu keluarganya belajar kebenaran injil dan mengembangkan iman dalam Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus. Mereka bersama menyediakan persekitaran penuh kasih dalam keluarga.
“Di dalam tanggungjawab-tanggungjawab yang suci ini, para bapa dan para ibu diwajibkan membantu satu sama lain sebagai ahli pasangan yang setaraf.” (“Keluarga: Suatu Perisytiharan kepada Dunia”). Mereka dengan penuh doa berunding bersama dan dengan Tuhan. Mereka membuat keputusan bersama dalam kesatuan dan kasih, dengan penuh penglibatan bersama.
2.2
Pekerjaan Penyelamatan dan Permuliaan dalam Rumah
Presidensi Utama mengatakan, “Rumah adalah asas kehidupan yang soleh” (surat Presidensi Utama, 11 Februari 1999). Dalam rumah mereka, individu dan keluarga terlibat dalam pekerjaan penyelamatan dan pemuliaan. Pekerjaan ini terdiri daripada empat tanggungjawab yang dilantik secara ilahi:
-
Menjalankan injil Yesus Kristus (lihat 1.2.1)
-
Menjaga orang yang memerlukan (lihat 1.2.2)
-
Menjemput semua untuk menerima injil (lihat 1.2.3)
-
Menyatukan keluarga untuk keabadian (lihat 1.2.4)
Untuk menyokong ahli-ahli dalam melakukan pekerjaan penyelamatan dan pemuliaan di rumah, pemimpin Gereja menggalakkan mereka untuk menjadikan rumah tempat Roh hadir. Mereka juga menggalakkan ahli-ahli untuk menghormati hari Sabat, mengkaji dan mempelajari injil di rumah, dan mengadakan malam keluarga setiap minggu. Para pemimpin memberi penekanan khusus untuk menyokong individu yang mungkin kekurangan bantuan atau galakkan daripada ahli keluarga.
2.2.1
Rumah Tempat Roh Hadir
Ahli Gereja digalakkan untuk menjadikan rumah mereka sebuah tempat yang kuat dan bahagia secara rohani. Mereka boleh menjemput Roh Tuhan ke dalam rumah mereka melalui usaha-usaha mudah. Setiap rumah boleh menjadi sebuah “rumah doa, rumah puasa, rumah iman, rumah pembelajaran, rumah kemuliaan, rumah ketertiban, rumah Tuhan” (Ajaran dan Perjanjian 88:119).
2.2.2
Mematuhi Hari Sabat
Tuhan memerintahkan anak-anak-Nya untuk “rayakanlah hari Sabat dan hormatilah hari itu sebagai hari yang suci” (Keluaran 20:8). Ahli Gereja berkumpul pada hari Sabat untuk mengambil sakramen dalam memperingati Yesus Kristus dan Korban Tebusan-Nya (lihat Ajaran dan Perjanjian 59:12). Hari Sabat adalah hari pembelajaran dan pengajaran injil di gereja dan di rumah. Ahli-ahli boleh diperkuatkan pada hari Sabat semasa mereka terlibat dalam aktiviti-aktiviti seperti:
-
Penyembahan peribadi melalui doa dan puasa.
-
Pengkajian dan pembelajaran injil.
-
Pelayanan dan melayani orang lain.
-
Sejarah keluarga.
-
Masa bergembira dengan keluarga.
-
Perkumpulan lain yang sesuai.
2.2.3
Pengkajian dan Pembelajaran Injil di Rumah
Pengajaran dan pembelajaran Injil berpusat di rumah dan disokong oleh Gereja. Pemimpin Gereja menggalak semua ahli untuk mengkaji injil di rumah pada hari Sabat dan sepanjang minggu. Kajian injil di rumah menguatkan individu dan keluarga. Ia mendalamkan penukaran hati kepada Bapa Syurgawi dan Tuhan Yesus Kristus.
Kajian tulisan suci seperti yang digariskan dalam Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga adalah cadangan pengkajian injil di rumah. Ikutlah Aku melaraskan pengajaran di Sekolah Primer, Sekolah Minggu, Remaja Puteri, kuorum Imamat Harun, dan seminari dengan pengkajian injil di rumah.
Individu dan keluarga mencari ilham semasa mereka memilih untuk mengkaji apa yang akan memenuhi keperluan mereka. Sebagai tambahan kepada tulisan suci yang dicadangkan dalam Ikutlah Aku, mereka boleh dengan penuh doa mengkaji:
-
Kitab Mormon dan tulisan suci lain.
-
Pesanan persidangan umum.
-
Majalah Gereja dan kandungan membina yang lain.
2.2.4
Malam Keluarga dan Aktiviti Lain
Para nabi zaman akhir telah menasihati para ahli Gereja untuk mengadakan malam keluarga mingguan. Ini adalah masa kudus bagi individu dan keluarga untuk belajar injil, memperkuat kesaksian, membina kesatuan, dan saling menikmati.
Malam keluarga adalah fleksibel mengikut keadaan ahli-ahli. Ia boleh diadakan pada hari Sabat atau pada hari dan masa lain. Ini termasuk:
-
Kajian injil dan bahan arahan (Ikutlah Aku boleh digunakan jika perlu).
-
Melayani orang lain.
-
Menyanyi atau memainkan lagu rohani dan lagu Sekolah Primer (lihat bab 19).
-
Menyokong ahli keluarga dalam perkembangan Kanak-Kanak dan Remaja.
-
Majlis keluarga untuk menentukan matlamat, menyelesaikan masalah, dan mengatur jadual.
-
Aktiviti rekreasi.
Ahli muda-mudi dan yang lain boleh berkumpul di luar penyembahan hari Sabat yang biasa untuk mengambil bahagian dalam malam keluarga dan saling menguatkan melalui kajian injil. Ikutlah Aku boleh menjadi sumber untuk mereka yang ingin mengkaji bersama.
Pemimpin memberikan perhatian khusus untuk membantu orang-orang yang baharu mengadakan malam keluarga dan mengkaji injil.
Selain malam keluarga, pemimpin menggalakkan keluarga untuk mengutamakan masa bersama sepanjang minggu. Ini termasuk makan bersama, bekerja dan melayani bersama, dan aktiviti rekreasi.
Bagi menyediakan masa bagi keluarga untuk bersama, pemimpin harus mengelakkan pertemuan dan aktiviti Gereja pada malam Isnin.
Pemimpin menggalakkan ahli-ahli untuk menjadi konsisten dalam mengadakan malam keluarga dan meluangkan masa bersama sebagai sebuah keluarga (lihat Ajaran dan Perjanjian 64:33).
2.2.5
Menyokong Individu
Pemimpin Gereja membantu ahli-ahli yang kekurangan sokongan ahli keluarga. Ahli-ahli yang memerlukan bantuan tambahan termasuklah:
-
Kanak-kanak, remaja, dan orang dewasa yang keluarga mereka tidak terlibat dengan aktif dalam pertemuan dan aktiviti Gereja.
-
Dewasa bujang tanpa mengira usia, termasuk ibu bapa tunggal atau balu.
Pemimpin membantu ahli-ahli ini dan keluarga mereka mempunyai kesempatan untuk menjalin persahabatan, pengalaman sosial yang baik, dan perkembangan rohani. Pemimpin menggalakkan dan membantu mereka dalam usaha mereka untuk mempelajari dan menjalankan injil Yesus Kristus. Pemimpin turut memberi mereka kesempatan untuk melayani di Gereja.
2.3
Hubungan di antara Rumah dan Gereja
Pekerjaan penyelamatan dan permuliaan berpusat di rumah dan disokong oleh Gereja. Asas-asas berikut diterapkan dalam hubungan di antara rumah dan Gereja.
-
Pemimpin dan pengajar menghormati peranan ibu bapa dan membantu mereka. Pemimpin dan pengajar mendirikan dan mengekalkan komunikasi berkesan dengan ibu bapa.
-
Pemimpin memastikan pertemuan, aktiviti, dan program Gereja menyokong individu dan keluarga dalam melaksanakan pekerjaan penyelamatan dan permuliaan di rumah mereka.
-
Sesetengah pertemuan Gereja adalah penting dalam setiap bahagian atau cabang. Ini termasuk pertemuan sakramen dan kelas-kelas dan pertemuan kuorum yang diadakan pada hari Sabat. Banyak pertemuan, aktiviti, dan program lain yang tidak penting. Pemimpin mengaturnya mengikut keperluan untuk membantu memenuhi keperluan individu dan keluarga. Pemimpin perlu mempertimbangkan keadaan dan sumber tempatan.
-
Individu dan keluarga mempertimbangkan keadaan mereka semasa membuat keputusan untuk terlibat dalam program Gereja yang tidak penting.
-
Pelayanan Gereja dan penglibatan memerlukan pengorbanan. Tuhan akan memberkati ahli-ahli semasa mereka melayani dan berkorban dalam Gereja-Nya. Walau bagaimanapun, jumlah masa yang diberikan kepada pelayanan Gereja harus tidak mengalihkan keupayaan ahli untuk memenuhi tanggungjawab mereka di rumah, di tempat kerja, dan di mana pun. Pemimpin dan ahli-ahli tidak harus dibebani dengan terlalu banyak tanggungjawab Gereja. Mereka juga tidak harus diminta untuk membuat pengorbanan berlebihan untuk menyokong program atau aktiviti Gereja.
Apabila ahli-ahli mengikuti asas-asas ini dan bisikan Roh, Bapa Syurgawi akan memberkati usaha mereka.