Panggilan Misi
7. Lampiran


7

Lampiran

7.0

Pengenalan

Apabila diperlukan dan bersesuaian dengan misi serta keadaan anda, ikut garis panduan tambahan yang dijelaskan dalam lampiran ini.

7.1

Tanggungjawab Kepimpinan Penginjil Muda

Tugasan dan tanggungjawab pemimpin penginjil muda termasuk tetapi tidak terhad kepada yang disenaraikan di bawah.

Rakan Senior

Seorang penginjil dalam setiap gandingan rakan ditugaskan sebagai rakan senior. Rakan senior:

  • Memimpin gandingan rakan untuk menyelesaikan kerja di kawasan pengajaran yang ditugaskan.

  • Menggalakkan gandingan rakan untuk belajar, berdoa, mengikut jadual harian dan menyimpan catatan yang tepat.

  • Membantu rakannya agar menjadi penginjil yang lebih baik.

  • Mengiktiraf dan menyebut tentang kemahiran, bakat dan usaha rakannya yang berkesan.

  • Menunjukkan cara bekerja yang berkesan dengan pemimpin dan ahli setempat dalam menyelaraskan usaha penginjil.

Pelatih

Seorang penginjil ditugaskan untuk melayani sebagai pelatih dan rakan senior bagi setiap penginjil baharu. Pelatih:

  • Bekerja dengan dan melatih penginjil baharu dengan penuh kasih, kesabaran, kasih ihsan dan empati.

  • Menghormati sumbangan dan pandangan penginjil baharu sebagai rakan yang setara.

  • Meluangkan masa latihan tambahan setiap hari dalam pengajian rakan (lihat “For New Missionaries: Additional Companion Study” dalam “Introduction: How Can I Best Use Preach My Gospel?” dalam Preach My Gospel [2018], ix–x).

  • Mengkaji standard dalam buku panduan ini dengan rakannya setiap hari.

  • Melatih penginjil baharu tentang topik yang ditemui dalam sumber Perlindungan untuk Menggunakan Teknologi dan Menyesuaikan Diri kepada Kehidupan Penginjil.

  • Menunjukkan cara menyelaraskan usaha penginjil yang berkesan dengan pemimpin dan ahli setempat.

Pemimpin Daerah

Seorang elder ditugaskan untuk melayani sebagai pemimpin daerah di sebuah daerah, yang terdiri daripada beberapa kawasan pengajaran. Pemimpin daerah:

  • Memimpin, melatih dan menasihati penginjil dalam majlis daerah mingguan.

  • Menjalankan temu duga pembaptisan (lihat 2.3.6).

  • Menjalankan pertukaran rakan dengan elder di daerahnya (lihat 2.3.1).

  • Bekerja dengan pemimpin dan ahli bahagian setempat untuk menyelaraskan usaha penginjil.

  • Melaporkan terus kepada pemimpin zon.

Pemimpin Latihan dan Pemimpin Zon Saudari

Dua orang saudari ditugaskan untuk melayani dalam gandingan rakan sebagai pemimpin latihan saudari di satu atau beberapa zon. Mereka bertanggungjawab untuk latihan dan kebajikan penginjil saudari yang ditugaskan kepada mereka. Mereka juga merupakan ahli daerah dan zon, membantu presiden misi, pemimpin zon dan pemimpin daerah dalam mesyuarat latihan serta persidangan zon.

Dua orang elder ditugaskan untuk melayani dalam gandingan rakan sebagai pemimpin zon dalam satu zon tunggal. Mereka bertanggungjawab untuk latihan dan kebajikan semua penginjil yang ditugaskan kepada zon mereka. Mereka juga membantu presiden misi dalam mesyuarat latihan dan persidangan zon.

Pemimpin latihan dan pemimpin zon saudari:

  • Memimpin, melatih dan menjalankan pertukaran rakan dengan penginjil di zon yang ditugaskan. Pemimpin latihan saudari melakukan pertukaran rakan dengan saudari dan pemimpin zon melakukan pertukaran dengan elder.

  • Bekerja dengan pemimpin dan ahli setempat untuk menyelaraskan usaha penginjil.

  • Mengambil bahagian dalam majlis kepimpinan misi.

  • Melaporkan terus kepada presiden misi.

Pemimpin zon turut menjalankan temu duga pembaptisan (lihat 2.3.6).

Pembantu kepada Presiden

Dua orang elder ditugaskan untuk melayani dalam gandingan rakan sebagai pembantu kepada presiden misi. Pembantu:

  • Menjalankan pertukaran rakan dengan pemimpin zon dan elder yang lain (lihat 2.3.1).

  • Memberi latihan dalam majlis kepimpinan misi dan persidangan zon sebagaimana yang diminta oleh presiden misi.

  • Boleh memberi nasihat tentang pertukaran penginjil atau penugasan kepimpinan, tetapi mereka tidak membuat keputusan muktamad.

  • Melaporkan terus kepada presiden misi.

7.2

Garis Panduan untuk Pelayanan

Ikut garis panduan pelayanan yang digariskan dalam subbahagian yang berikut.

7.2.1

Aktiviti Pelayanan yang Dianjurkan Secara Formal

Anda boleh menemui peluang pelayanan melalui organisasi seperti JustServe.org (jika tersedia), sebagaimana yang diarahkan oleh pemimpin misi anda.

Semasa mengambil bahagian dalam acara pelayanan yang dianjurkan, ingatlah standard yang berikut:

  • Hadkan pelayanan kepada waktu siang.

  • Elakkan daripada melayani sepanjang waktu pencarian dan pengajaran yang paling produktif melainkan diarahkan oleh presiden misi anda.

  • Ambil bahagian dalam projek khidmat masyarakat apabila boleh.

  • Elakkan aktiviti pelayanan pada hari persiapan atau sepanjang waktu yang bercanggah dengan majlis daerah atau persidangan zon.

  • Jangan batalkan atau jadualkan semula janji temu pengajaran untuk projek pelayanan melainkan jika diarahkan oleh presiden misi anda.

  • Kekal bersama rakan anda semasa anda melayani.

  • Pakai teg nama anda jika dibenarkan dan bersesuaian, walaupun anda memakai pakaian kerja.

  • Jangan ambil bahagian dalam aktiviti yang memerlukan wang atau yang anda diberi bayaran.

  • Jangan berikan komitmen anda pada projek jangka panjang tanpa kelulusan daripada pemimpin misi anda.

7.2.2

Keselamatan semasa Peluang Pelayanan

Untuk keselamatan anda sepanjang peluang pelayanan, gunakan akal budi dan ikuti bisikan Roh Kudus serta garis panduan yang berikut:

  • Hanya lakukan aktiviti yang anda berupaya untuk menyiapkannya secara fizikal.

  • Jangan menggunakan alat kuasa atau mengendalikan atau menunggang jentera (seperti traktor, treler atau katil trak).

  • Pakai pakaian yang sesuai (seperti sarung tangan atau baju berlengan panjang).

  • Jangan bekerja di tempat yang anda mungkin terjatuh dari tempat yang tinggi (seperti di bumbung atau di atas pokok).

  • Jangan bekerja di tempat yang anda mungkin terperangkap atau tercedera dalam ruang tertutup (seperti di dalam parit yang dalam).

  • Jangan melayani di sekolah, pusat jagaan harian atau mana-mana tempat lain yang anda mungkin bersendirian dengan kanak-kanak, termasuk di Sekolah Primer atau tabika (lihat 3.5.2).

Tonton video ini untuk maklumat lanjut tentang memberi pelayanan.

7.3

Menghormati Orang Lain

Sentiasa melayani orang lain dengan baik hati dan rasa hormat. Ikut juga garis panduan tambahan dalam bahagian ini.

7.3.1

Topik Perbualan untuk Dielakkan

Untuk menunjukkan rasa hormat kepada orang lain dan untuk melindungi keselamatan anda, elakkan daripada topik perbualan yang berpotensi mendatangkan masalah. Topik yang harus dielakkan merangkumi hal politik tempatan dan nasional di kawasan yang anda layani; elakkan juga daripada membuat kenyataan politik secara peribadi atau terbuka. Selain itu, jangan sekali-kali:

  • Bergurau tentang keganasan atau tindakan pengganas.

  • Mencadangkan agar orang lain berpindah ke negara lain—walaupun untuk bekerja atau bersekolah.

  • Menawarkan atau berjanji tentang sokongan kewangan atau visa untuk orang lain di kawasan misi anda, termasuk untuk pekerjaan, persekolahan, perumahan atau pengambilan anak angkat.

7.3.2

Undang-undang dan Budaya Tempatan

Patuhi undang-undang dan peraturan tempatan dalam penyebaran bahan, peraturan kastam dan sempadan serta keperluan pasport dan visa. Jika anda tidak biasa dengan undang-undang tempatan, tradisi dan adat setempat yang boleh diterima, minta bantuan daripada pemimpin misi anda.

Tonton video ini untuk maklumat lanjut tentang tingkah laku yang sesuai.

7.4

Kehadiran Bait Suci

Apabila anda menghadiri bait suci, ingatlah perkara yang berikut:

  • Berada di sisi rakan anda.

  • Ambil bahagian dalam apa-apa tatacara yang dilaksanakan di bait suci. Walau bagaimanapun, untuk mengelak daripada menyalahtafsirkan perasaan rohani sebagai perasaan romantis, jangan bertindak sebagai wakil untuk suami atau isteri dalam upacara pemeteraian atau sebagai saksi dalam sesi anugerahan.

  • Jangan risau tentang mengambil pakaian bait suci; pakaian bait suci diberikan kepada penginjil di bait suci tanpa sebarang kos.

  • Amalkan etika telefon yang baik. Anda boleh membawa telefon anda ke dalam bait suci untuk mencetak kad tatacara. Walau bagaimanapun, anda tidak boleh menggunakan kamera anda, bercakap dalam telefon anda atau menghantar mesej semasa berada di dalam bait suci.

  • Jangan membawa kamera atau bahan bacaan, termasuk berkat bapa bangsa, untuk digunakan di dalam bait suci.

  • Jangan berkumpul sebagai penginjil atau berlutut untuk berdoa dalam bilik selestial.

Ingatlah untuk sentiasa memakai pakaian suci bait suci seperti yang diarahkan. Jika anda mempunyai pertanyaan tentang memakai pakaian suci atau tentang kehadiran bait suci, tanyalah pemimpin misi anda.

7.5

Teknologi

Ikut standard teknologi yang digariskan dalam subbahagian yang berikut.

7.5.1

Mematuhi Standard Teknologi Umum

Berikan tumpuan pada orang, bukan teknologi. Semasa bertemu secara bersemuka, berikan perhatian anda yang sepenuhnya kepada orang lain. Perbuatan memeriksa e-mel, menjawab teks atau mengimbas media sosial apabila anda bersama dengan orang lain adalah mengganggu dan tidak hormat.

Anda boleh menggunakan:

  • Wi-Fi di rumah pertemuan dan kemudahan Gereja yang lain.

  • Komputer awam, seperti yang boleh didapati di perpustakaan dan kafe internet.

  • Komputer peribadi seseorang untuk mengajar jika orang itu memberi kebenarannya.

  • Fon kepala boleh digunakan untuk aktiviti penginjil yang diluluskan, seperti berkomunikasi dengan keluarga anda atau mengambil kursus penginjil.

Jangan mengurus teknologi, laman web, blog atau akaun media sosial bahagian atau pancang setempat.

Tonton video ini untuk maklumat lanjut tentang penggunaan peranti mudah alih dalam kerja penginjil.

7.5.2

Menggunakan Teknologi dengan Selamat

Anda harus melengkapkan kursus dalam talian Perlindungan untuk Menggunakan Teknologi semasa anda berada di pusat latihan penginjil. Standard yang berikut turut akan membantu anda menggunakan teknologi dengan selamat dan mengikut tujuan penginjil:

  • Gunakan teknologi dengan niat. Rancang aktiviti yang membantu anda menjemput orang lain untuk datang kepada Juruselamat.

  • Jangan gunakan teknologi untuk menghilangkan tekanan atau kebosanan.

  • Dengar dan ikuti bisikan daripada Roh Kudus. Hubungan yang kuat dengan Roh Tuhan merupakan pertahanan anda yang terbaik terhadap penggunaan teknologi yang tidak wajar.

  • Sentiasa berada pada kedudukan yang anda dan rakan anda dapat melihat skrin masing-masing. Jangan gunakan peranti mudah alih apabila anda bersendirian, seperti ketika berada di dalam bilik mandi.

  • Bekerja dengan rakan anda semasa mencari atau mengajar dalam talian. Semak komen dan mesej masing-masing sebelum anda menyiarkan atau menghantar mesej supaya anda berdua boleh berkongsi idea serta bertanggungjawab atas hasil komunikasi tersebut. Nota: Hal ini tidak berkenaan untuk komunikasi dengan ahli keluarga (lihat 3.9.1), pejabat misi atau presiden misi.

  • Rujuk kepada Perlindungan untuk Menggunakan Teknologi secara kerap dalam pengajian peribadi dan rakan.

7.5.3

Mengelakkan Pornografi

Pornografi datang dalam pelbagai bentuk. Tindakan merancang awal dan membuat pilihan yang soleh boleh membantu anda mengelakkan pornografi (lihat Perlindungan untuk Menggunakan Teknologi). Apabila anda berhadapan dengan pornografi, palingkan muka, matikan peranti atau tinggalkan situasi itu. Berikut ialah beberapa cadangan untuk membantu anda mengelakkan pornografi:

  • Mengelakkan laman web, bahan dan lokasi yang anda cenderung mendengar, membaca atau melihat bahan yang tidak senonoh atau pornografi.

  • Belajar mengenali detik masa ketika anda paling tergoda untuk menggunakan teknologi secara tidak wajar, seperti apabila anda berasa letih atau bosan.

  • Membuat rancangan perkara yang anda akan lakukan sebaliknya. Pemimpin misi anda boleh membantu. Anda juga boleh menemui maklumat di ChurchofJesusChrist.org/addressing-pornography.

Sesiapa yang ingin mengelak atau mengatasi pornografi boleh mendapatkan bantuan dan penyembuhan melalui Korban Tebusan Yesus Kristus. Jika anda berasa terkial-kial, berbincanglah dengan presiden misi anda, yang sepatutnya memberi sokongan, nasihat dan bantuan yang penyayang.

7.5.4

Mengajar dengan Teknologi

Jika diluluskan, gunakan teknologi dalam talian dengan ahli dan orang yang anda ajar untuk berhubung dengan mereka, membantu mereka dan berkongsi mesej injil dengan mereka.

  • Bantu orang lain mempelajari jalan yang berkesan untuk berkongsi injil dan menyokong ahli Gereja sambil mereka menggunakan teknologi dalam usaha penginjil mereka.

  • Bekerja dalam talian dengan orang yang anda ajar, yang tinggal di luar kawasan yang anda ditugaskan dan membantu mereka sepanjang penukaran hati mereka.

  • Apabila anda mengajar seseorang yang tinggal di luar kawasan anda, bekerja rapat dengan penginjil yang ditugaskan ke kawasan tempat tinggal orang yang diajar itu. Bersama-sama, bantu orang itu mendekati Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus.

  • Gunakan foto, video dan media lain daripada Media Library Gereja serta laman Gereja rasmi yang lain, sebagaimana yang sesuai. Dalam komunikasi anda, jangan menggunakan media yang tidak diluluskan oleh Gereja (contohnya, video yang dibuat oleh ahli atau unit setempat).

  • Apabila menyiarkan kandungan di media sosial, kongsi mesej tentang injil dan pengalaman penginjil anda dan bukan pada perjalanan anda.

Patuhi garis panduan berikut untuk melindungi privasi dan maklumat peribadi orang ramai:

  • Ketahui bahawa nama penuh, foto (lihat 3.7), maklumat hubungan dan situasi peribadi orang yang anda ajar adalah sulit. Perkongsian atau penyiaran maklumat ini mungkin melanggar undang-undang privasi data. Berhati-hati dengan kandungan yang anda tulis kepada ahli keluarga, kerana mereka mungkin menyiarkan surat dan mesej e-mel anda secara dalam talian.

  • Dapatkan kebenaran daripada sesiapa sahaja yang muncul dalam foto atau video sebelum berkongsi foto atau video tersebut dengan sesiapa sahaja atau menyiarkan kandungan tersebut dalam talian. Dapatkan keizinan ibu bapa sebelum berkongsi foto atau video kanak-kanak (lihat 3.7).

Tonton video ini untuk maklumat lanjut tentang melindungi privasi orang lain.

7.5.5

Menggunakan E-mel

Sepanjang misi, anda diperuntukkan akaun e-mel individu untuk digunakan sebagai pengganti kepada semua akaun e-mel peribadi yang lain. Gunakan akaun e-mel ini untuk semua komunikasi kecuali surat mingguan anda kepada presiden misi, yang anda akan hantar melalui Portal Penginjil.

7.5.6

Menggunakan Media Sosial

Media sosial boleh digunakan untuk berkongsi injil. Pastikan anda hanya menggunakan laman media sosial yang diluluskan untuk misi anda, memandangkan undang-undang mengenai media sosial berbeza-beza dari negara ke negara.

Ikut mana-mana standard khusus misi tentang media sosial dan juga standard yang berikut:

  • Pastikan akaun media sosial anda menggambarkan tujuan dan panggilan anda sebagai penginjil.

  • Pastikan gambar profil anda dan individu serta kumpulan yang anda ikuti menunjukkan bahawa anda merupakan salah seorang penginjil Tuhan.

  • Jangan cipta akaun yang kedua di laman media sosial untuk mengelak daripada membuat perubahan pada akaun yang sedia ada. Ini dianggap pelanggaran perjanjian pengguna bagi banyak laman media sosial.

  • Jangan gunakan gelaran “Elder” atau “Sister” dalam nama akaun anda. Gelaran seperti ini tidak dibenarkan oleh sesetengah platform media sosial.

  • Tumpukan pada interaksi satu kepada satu yang bermakna dan bukan untuk mendapat “suka” atau memastikan mesej anda dikongsi dalam talian.

  • Jangan memaksudkan siaran anda merupakan komunikasi rasmi Gereja.

  • Lindungi privasi anda sendiri. Berhati-hati apabila berkongsi jadual dan lokasi anda dalam talian. Berhati-hati tentang orang yang anda terima ke dalam rangkaian sosial anda; sesetengah individu akan mengeksploitasi penginjil.

  • Lindungi privasi orang lain. Jika anda ingin menyiarkan sesuatu tentang seseorang yang bekerja dengan anda, anda perlu meminta keizinannya (sama ada secara lisan atau bertulis) sebelum menyiarkan apa-apa kandungan yang namanya disebut atau gambarnya disertakan (lihat 3.7). Disebabkan undang-undang privasi tempatan, dalam sesetengah misi, penginjil tidak dibenarkan untuk berkongsi secara terbuka foto mereka yang anda ajar.

Tonton video ini untuk maklumat lanjut tentang melindungi privasi orang lain.

7.6

Situasi yang Sukar

Ikut garis panduan yang berikut untuk menangani situasi yang sukar.

7.6.1

Berurusan dengan Situasi Negatif

Seperti Juruselamat, para nabi dan ramai penginjil sebelum anda, sebagai penginjil, anda akan mengalami penolakan dan mungkin diberi layanan buruk yang lain. Garis panduan berikut akan membantu anda menangani penolakan:

  • Jangan abaikan emosi anda.

    • Sedari bahawa tiada masalah untuk meluahkan perasaan sedih dan kecewa kepada rakan, pemimpin penginjil muda, pemimpin misi dan ahli keluarga terdekat anda.

    • Fahami bahawa kadang-kadang berbual tentang situasi negatif boleh membantu kita melepaskan perasaan yang sedih.

    • Jangan fikirkan situasi negatif atau biarkan perasaan itu mengubah sikap anda pada masa akan datang.

  • Fahami maksud sebenar penolakan dalam satu perspektif.

    • Ketahui bahawa situasi negatif tidak menentukan siapa anda, perkara yang anda diminta untuk lakukan atau seberapa baik anda boleh melakukan perkara tersebut.

    • Cuba jangan membuat pernyataan yang terlalu umum seperti “Orang ramai tidak boleh mendengar”.

    • Fahami bahawa hak pilihan membenarkan individu untuk menerima atau menolak mesej anda.

    • Sedari bahawa kehidupan dan keadaan orang ramai akan berubah. Penolakan tidak selalu bermaksud orang itu tidak akan berminat dengan injil yang dipulihkan.

  • Layani diri anda dan orang lain dengan rasa kasihan.

    • Carikan ketenangan dalam doa. Ingat bahawa Tuhan mengenali anda, situasi anda dan keperluan anda.

    • Jangan kritik diri sendiri, situasi atau orang yang terlibat.

    • Lakukan yang terbaik untuk bersikap positif.

  • Belajar daripada pengalaman itu. Pertimbangkan perkara yang anda mungkin boleh lakukan secara berbeza lain kali.

7.6.2

Berurusan dengan Orang yang Bersikap Agresif

Anda mungkin berdepan dengan orang ramai yang bersifat negatif atau agresif. Jika seseorang itu bersikap biadab, jawab dengan sopan dan tinggalkan situasi itu. Jika anda merasakan bahaya, tinggalkan dengan segera. Keselamatan anda dan rakan anda (lihat 4.5) ialah keutamaan anda yang pertama.

Orang yang bersikap agresif dan interaksi yang bersifat negatif menimbulkan tekanan. Ambil langkah yang anda perlukan untuk menangani tekanan (lihat 4.3) dan menjaga diri anda secara emosi dan rohani.

Ketahui bahawa apa-apa jenis caci-maki, penderaan emosi atau fizikal oleh sesiapa sahaja, termasuk rakan anda, adalah tidak boleh diterima. Ini boleh termasuk pertuturan, gerak isyarat atau tindakan yang membimbangkan atau menzalimi orang lain.

Hubungi presiden misi anda, isterinya atau pemimpin dipercayai yang lain dengan segera, jika anda mengalami, melihat atau mendengar tentang sebarang gangguan atau ancaman seksual atau fizikal (lihat 7.8.2–7.8.4).

7.7

Kebimbangan Kesihatan Jasmani dan Mental

Ikut garis panduan kesihatan yang digariskan dalam subbahagian yang berikut.

7.7.1

Menghubungi Pejabat Misi tentang Kebimbangan Perubatan

Jangan bergantung pada diagnosis diri atau pendapat orang lain. Walaupun nasihat perubatan daripada rakan anda, ahli Gereja, keluarga atau rakan anda yang lain mungkin berguna, hubungi penyelaras perubatan misi apabila anda mempunyai sebarang pertanyaan atau kebimbangan, terutamanya tentang kecederaan atau masalah kesihatan yang serius. Presiden misi anda akan berkomunikasi dengan presiden pancang dan keluarga anda tentang kecederaan dan masalah kesihatan yang serius.

Hubungi penyelaras perubatan misi jika anda mengalami masalah kesihatan yang berikut:

  • Penyakit selain selesema dan gejala jangka pendek yang biasa.

  • Kecederaan yang serius.

  • Nadi berdenyut pantas (denyutan melebihi 100 dalam seminit) apabila anda tidak bersenam.

  • Demam pada suhu melebihi 101°F (38.3°C), demam pada suhu 101°F (38.3°C) selama lebih daripada dua hari, atau demam yang tidak sembuh walaupun selepas mengambil ubat.

  • Kesusutan berat badan atau kenaikan berat badan yang mendadak atau melampau.

  • Haus atau buang air kecil yang berlebihan.

  • Muntah, sakit kepala, pening, batuk atau ruam yang berterusan.

  • Bengkak pada bahagian kaki, abdomen, atau muka.

  • Kehilangan darah atau najis berwarna hitam.

  • Sembelit atau cirit-birit selama lebih daripada dua hari.

  • Sakit gigi.

  • Kuku cekam.

7.7.2

Menjaga Kesihatan Jasmani

Anda akan mempunyai pengalaman misi yang lebih seronok dan berupaya melayani Tuhan dengan lebih baik apabila anda menjaga kesihatan jasmani anda. Tekun mengusahakan kerja penginjil anda, tetapi jangan memaksa diri anda lebih daripada yang seharusnya.

Untuk membantu menjaga kesihatan jasmani anda, pastikan untuk:

  • Bersenam secara berkala.

  • Mendapatkan tidur yang mencukupi.

  • Makan makanan yang menyihatkan dengan banyak sayur-sayuran, buah-buahan dan biji-bijian.

  • Minum air yang banyak.

  • Membasuh tangan anda secara kerap.

  • Memakai pelindung suria dan bahan penjauh serangga jika bersesuaian.

  • Mencari jalan untuk berehat.

  • Menikmati rekreasi yang baik dan menyeronokkan pada hari persiapan.

7.7.3

Menjaga Kesihatan Mental

Ia adalah perkara biasa untuk anda berasa sedih, gelisah, rindu dan kecewa sekali-sekala semasa melayani misi. Walau bagaimanapun, emosi dan tingkah laku yang menghalang anda daripada berfungsi secara berkesan perlu ditangani. Keadaan ini mungkin termasuk:

  • Perubahan emosi.

  • Perasaan risau atau serba salah yang keterlaluan.

  • Emosi kemurungan.

  • Pola pemakanan yang tidak sihat.

  • Kesukaran mengurus perasaan seksual.

Fahami bahawa kita tidak perlu berasa malu untuk mengenali dan merawat masalah kesihatan, termasuk masalah emosi atau mental. Jika anda merasakan yang anda atau rakan anda memerlukan pertolongan, berbincanglah dengan presiden misi anda, isterinya atau penyelaras perubatan. Mereka boleh menghubungi sumber kesihatan mental. Anda juga boleh mendapatkan nasihat yang membantu dalam Menyesuaikan Diri kepada Kehidupan Penginjil.

7.7.4

Merawat Gigitan Haiwan dan Serangga

Gigitan haiwan dan serangga boleh menyebabkan penyakit yang serius dan kadangkala membawa maut. Jika gigitan serangga membengkak atau menjadi terlalu sakit, hubungi pejabat misi dengan segera.

Pencegahan

Anda boleh membantu mencegah gigitan sengkenit, nyamuk dan serangga lain dengan mengikut panduan yang berikut:

  • Elakkan air bertakung dan tidak bergerak, yang nyamuk sering membiak.

  • Elakkan kawasan berhutan dan berbelukar, yang sering didiami sengkenit.

  • Pakai pakaian yang menutup lengan dan kaki anda, walaupun pada cuaca panas.

  • Tonton video Pencegahan Penyakit Bawaan Nyamuk.

  • Sapu pencegah pada bahagian kulit yang terdedah dan sembur racun serangga pada permukaan pakaian luar.

Rawatan

Jika anda digigit atau dicakar oleh sengkenit atau nyamuk atau serangga atau haiwan lain, ikut garis panduan ini:

  • Rawat gigitan serangga yang kecil dengan ais atau ubat tanpa preskripsi.

  • Jumpa profesional perubatan untuk mengeluarkan sengkenit yang melekat pada kulit anda dengan selamat dan periksa untuk penyakit Lyme.

  • Basuh gigitan atau luka yang disebabkan oleh haiwan dengan sabun dan air (selama 15 minit jika boleh) dan hubungi pejabat misi. Kenal pasti pemilik haiwan tersebut, jika boleh, supaya pejabat misi boleh membantu mengetepikan kemungkinan dijangkiti penyakit rabies atau penyakit serius yang lain.

  • Jika gigitan sengkenit atau serangga atau haiwan lain membengkak, menjadi terlalu sakit atau membentuk ruam mata lembu atau ruam yang luar biasa, hubungi pejabat misi dengan segera.

Tonton video ini untuk maklumat lanjut tentang melindungi diri anda daripada serangga dan gigitan haiwan lain.

7.8

Situasi Berbahaya

Ikut garis panduan keselamatan yang digariskan dalam subbahagian yang berikut.

7.8.1

Bersedia untuk Situasi Berbahaya

Garis panduan yang berikut boleh membantu anda bersedia dan bertindak balas terhadap situasi berbahaya:

  • Berdoa untuk perlindungan Tuhan setiap hari.

  • Mendengar dan mengikuti bisikan Roh, yang boleh memberi amaran kepada anda akan bahaya yang mendatang.

  • Membiasakan diri dengan pelan tindakan kecemasan misi anda. Mengikut langkah bagaimana cara untuk bertindak semasa berlakunya situasi kecemasan.

  • Memasukkan maklumat hubungan kecemasan bagi kawasan dan negara anda dalam telefon anda. Memastikan telefon anda sentiasa dicas dan bersama anda sepanjang masa.

  • Mengelakkan kawasan yang ditetapkan oleh misi anda sebagai berbahaya.

  • Jangan memberi tanggapan bahawa anda mempunyai barang yang berharga (contohnya, dengan membawa beg yang besar).

  • Berhati-hati dengan apa-apa yang luar biasa, seperti seseorang yang memerhatikan anda secara dekat, mengemukakan soalan peribadi atau mengekori anda.

  • Cuba menggunakan bahasa gerak-geri untuk berkomunikasi bahawa anda berasa yakin dan tidak takut.

  • Menetapkan perkataan atau frasa kod untuk digunakan dengan rakan anda bagi memberi isyarat bahawa anda mahu minta diri. Gunakan kod ini jika anda mendapati bahawa anda berada dalam situasi yang anda berasa tidak selamat.

Berlatih menerapkan garis panduan ini secara konsisten, walaupun orang lain (termasuk penginjil lain) menggalakkan anda untuk meletakkan diri anda dalam risiko demi menyelesaikan kerja penginjil anda.

7.8.2

Menyedari Situasi Berbahaya

Hubungi salah seorang daripada pemimpin misi anda atau pemimpin lain yang dipercayai dengan segera jika anda mengalami, menyaksikan atau mendengar tentang sebarang salah laku fizikal atau seksual dalam apa jua bentuk. Ini mungkin termasuk serangan, ancaman atau gangguan. Walaupun bahaya yang berikut mungkin ditakrifkan secara berbeza mengikut undang-undang tempatan, laporkan apa sahaja yang membimbangkan anda:

  • Serangan melibatkan sebarang tindakan fizikal atau seksual yang dipaksa ke atas seseorang. Contohnya termasuk sebarang hubungan tubuh badan yang tidak diingini, sentuhan yang tidak bersesuaian atau kekerasan fizikal.

  • Ancaman fizikal berlaku apabila seseorang berada dalam ketakutan akan mengalami kecederaan atau maut. Contohnya termasuk ancaman secara lisan atau tingkah laku mengancam dalam apa jua bentuk.

  • Gangguan seksual termasuk ucapan atau gerak isyarat yang bersifat lucah, permintaan untuk nikmat seksual atau sebarang tindakan seksual yang tidak diingini. Contohnya mungkin termasuk menghendap (mengekori dengan niat untuk mengejutkan atau mengganggu) atau mendedahkan bahagian badan peribadi.

7.8.3

Bertindak Balas terhadap Serangan, Ancaman atau Gangguan

Lakukan perkara berikut jika anda atau rakan anda telah dirompak:

  • Serahkan barang kepunyaan anda dengan segera. Ini mendorong pencuri untuk pergi tanpa membahayakan anda. Nyawa dan kesejahteraan anda lebih berharga daripada harta benda anda.

  • Cuba jangan naik marah atau bertindak balas secara negatif. Ini mungkin memburukkan keadaan.

Lakukan yang berikut jika anda atau rakan anda berasa terancam atau diganggu dan lebih daripada harta benda anda dalam bahaya:

  • Anda sahaja yang boleh menentukan jalan yang terbaik untuk bertindak balas terhadap situasi tersebut. Anda boleh memilih untuk melarikan diri, mempertahankan diri atau mengakuri. Sebagai contoh:

    • Jika anda melarikan diri, anda mungkin mengelak daripada diserang.

    • Jika anda mempertahankan diri, anda mungkin boleh melindungi diri anda dengan menjerit, memukul, mencakar, menggigit, menendang atau berdoa.

    • Jika anda tidak bergerak atau memilih untuk mengakuri dan ini merupakan tindak balas yang biasa, jangan salahkan diri anda kemudian.

  • Pertimbangkan untuk mendapatkan bantuan atau perhatian orang lain. Sebagai contoh:

    • Anda boleh meminta pertolongan daripada orang lain, terutamanya daripada seseorang yang mempunyai hak kuasa (seperti pemandu bas) di tempat anda berada.

    • Jika anda berada di tempat awam yang ada orang di sekeliling anda dan tidak dapat melepaskan diri daripada serangan fizikal atau seksual (contohnya, ketika anda menaiki pengangkutan awam), pertimbangkan untuk bercakap dengan tegas demi mencuba memujuk orang itu supaya jangan mengambil tindakan atau menyebabkan gangguan yang lebih lanjut. Contohnya, anda boleh menggunakan bahasa gerak-geri yang ketara, memandang pelaku dan bercakap dengan kuat. Anda boleh memanggil orang itu, menyatakan tingkah laku yang menyinggung perasaan dan mengatakan perkara yang anda mahu orang itu lakukan, seperti, “Hei, kamu yang berbaju kuning, jangan sentuh saya. Jauhkan diri daripada saya.”

    • Jika tiada orang lain yang berada berdekatan, anda boleh menjerit, berteriak atau cuba menarik perhatian; seseorang mungkin perasan dan akan dapat membantu.

7.8.4

Melaporkan Serangan, Ancaman atau Gangguan

Jika anda telah diserang, diancam atau diganggu (lihat 7.8.2) oleh seseorang, hubungi salah seorang daripada pemimpin misi anda, seseorang di pejabat misi atau pemimpin lain yang dipercayai. Pemimpin misi anda mempunyai sumber untuk menyokong anda melalui rawatan perubatan, kaunseling profesional, penempatan semula atau bantuan lain yang diperlukan. Sedari bahawa anda mungkin dalam ketakutan selepas berlakunya kejadian itu dan anda juga mungkin mengalami tanda-tanda trauma. Sebaik sahaja anda berasa selamat, cuba catat apa-apa sahaja yang anda ingat tentang kejadian itu.

Fahami bahawa jika anda diserang, tidak kira perkara yang anda lakukan, serangan itu bukan salah anda. Anda sentiasa mempunyai pilihan untuk meminta nasihat daripada seseorang yang anda percaya dan berasa selesa, seperti presiden misi anda, isterinya, pihak berkuasa awam atau ahli keluarga di rumah. Untuk melibatkan pihak polis atau tidak, ini ialah keputusan anda.

Perbuatan mempersoalkan diri sendiri dan perkara yang anda atau rakan anda mungkin akan lakukan secara berbeza merupakan perkara biasa. Percayalah bahawa anda telah melakukan yang terbaik dalam krisis tersebut. Kita memproses pengalaman trauma secara berbeza. Tuhan akan membantu anda sambil anda sembuh.

Tonton video ini untuk maklumat lanjut tentang membuat persediaan, mengenali dan mengurus situasi serta ancaman berbahaya.

7.9

Keselamatan Tempat Tinggal

Ikut garis panduan di bawah untuk memastikan tempat tinggal anda adalah peribadi, selamat dan bersih.

7.9.1

Privasi dan Keselamatan

Patuhi garis panduan berikut untuk memastikan tempat tinggal anda adalah peribadi dan selamat:

  • Pasang dan selenggara pengesan karbon monoksida dan asap. Jalankan pemeriksaan dan gantikan bateri seperti yang dijadualkan oleh penyelaras tempat tinggal misi. Jangan mematikan peranti yang menyelamatkan nyawa ini.

  • Jangan membakar lilin dalam apa jua bentuk.

  • Kunci pintu dan tingkap luar. Jika perlu, pemimpin misi anda mungkin mencadangkan pilihan yang membenarkan aliran udara luar.

  • Sentiasa menutup langsir atau tirai pada waktu malam.

  • Jangan berkongsi alamat anda secara terbuka atau dengan mereka yang anda ajar.

  • Jangan membuka pintu jika anda tidak mengenali orang di luar pintu atau jika anda berasa tidak selesa dengannya.

  • Jangan sekali-kali mengajar orang ramai di tempat tinggal anda atau mengundang orang lain ke rumah melainkan mereka ialah penginjil atau pemimpin Gereja setempat yang kunjungan mereka telah diluluskan oleh pemimpin misi anda.

  • Jangan sekali-kali tinggal di rumah yang dihuni oleh penghuni berlainan jantina yang belum berkahwin atau di tempat yang pasangan sama jantina dengan anda sering tidak hadir.

  • Laporkan dengan segera ke pejabat misi tentang sebarang masalah keselamatan, termasuk siapa sahaja yang sedang mengawasi tempat tinggal anda atau membuat anda berasa tidak selamat.

  • Benarkan penginjil lain atas pertukaran diluluskan yang sama jantina sahaja untuk bermalam di tempat tinggal anda.

  • Belanjakan dana yang sewajarnya untuk memastikan tempat tinggal anda adalah selamat. Contohnya, gantikan mentol lampu yang telah terbakar sebagaimana perlu.

7.9.2

Kebersihan dan Penyelenggaraan

Pastikan tempat tinggal anda adalah bersih dan kemas:

  • Bersihkan pada hari persiapan (lihat 2.5.1) dan pada setiap hari sebagaimana perlu.

  • Ambil langkah untuk mencegah serangga (lihat 7.7.4) di dalam rumah anda.

  • Ketahui cara menggunakan peralatan, terutamanya dapur dan pemanas dengan selamat.

  • Jangan memelihara apa jua haiwan peliharaan.

Tempat tinggal anda akan diperiksa secara berkala untuk memastikan tempat tinggal anda adalah mencukupi, selamat dan dijaga dengan baik.

Tonton dua video ini untuk maklumat lanjut tentang keselamatan tempat tinggal.

7.10

Keselamatan Pengangkutan

Ikut garis panduan keselamatan yang digariskan dalam subbahagian yang berikut.

7.10.1

Berjalan Kaki

Semasa berjalan kaki:

  • Jika boleh, berjalan menghadap lalu lintas mendatang.

  • Berada di tempat yang terang pada waktu malam.

  • Ubah laluan dan waktu anda berjalan di sekitar kawasan anda. Ikuti bisikan rohani untuk mengubah laluan atau rutin anda.

Tonton video ini untuk maklumat lanjut tentang keselamatan semasa berjalan kaki.

7.10.2

Menunggang Basikal

Semasa menunggang basikal:

  • Patuhi undang-undang dan garis panduan keselamatan berbasikal, termasuk memakai topi keledar yang diperakui selamat, menggunakan gear yang memantulkan cahaya dan menggunakan isyarat tangan yang bersesuaian.

  • Jangan sekali-kali menganggap anda mempunyai hak untuk lalu.

  • Cuba mengelak daripada berbasikal pada cuaca buruk, semasa kesesakan lalu lintas atau pada waktu malam. Elakkan daripada menunggang sebelah-menyebelah atau terlalu dekat.

  • Kekalkan jarak yang selamat daripada rakan anda tetapi kekal pada tempat yang dapat dilihat.

  • Pastikan basikal anda dalam keadaan yang baik, termasuk lampu depan, lampu belakang dan pemantul cahaya sisi dan belakang.

  • Kunci atau simpan basikal anda apabila tidak ditunggang.

Tonton video ini untuk maklumat lanjut tentang keselamatan berbasikal.

7.10.3

Menggunakan Kenderaan

Jika anda ditugaskan untuk memandu sepanjang misi anda, kendalikan kenderaan misi sahaja. Untuk memandu kenderaan misi, anda mesti dilesenkan secara sah di negara tempat anda melayani, menunjukkan bahawa anda memahami standard kenderaan misi dan mempunyai kelulusan daripada pemimpin misi. Ikut garis panduan ini juga:

  • Fahami bahawa anda dan rakan anda bertanggungjawab atas keselamatan masing-masing, tidak kira siapa yang memandu.

  • Pakai tali pinggang keledar, pandu secara defensif, gunakan lampu depan pada waktu malam dan siang serta sentiasa berjaga-jaga dan sedar, sama ada anda ialah penumpang atau pemandu.

  • Jika anda memandu, jangan terganggu dengan cara apa pun, termasuk dengan menggunakan peranti mudah alih atau sistem audio di dalam kenderaan.

  • Jika anda ialah penumpang, bantu pemandu agar sentiasa berjaga-jaga.

  • Jika anda ialah penumpang, berdiri di jarak yang selamat di luar kenderaan untuk mengarahkan pemandu pada bila-bila masa dia mengundurkan kenderaan.

  • Atas sebab keselamatan dan liabiliti, anda tidak boleh menumpangkan sesiapa kecuali penginjil sepenuh masa yang sama jantina dengan anda.

  • Hadkan pemanduan kepada perbatuan yang dibenarkan untuk anda.

  • Jangan mengganggu odometer atau mana-mana alat keselamatan yang telah dipasang di dalam kereta.

  • Pastikan kenderaan sentiasa bersih dan dalam keadaan yang baik.

  • Jika anda terlibat dalam kemalangan, rujuk paket Perkara untuk Dilakukan Jika Anda Terlibat dalam Kemalangan, yang harus tersedia di dalam tempat menyimpan barang-barang kecil pada kenderaan. Hubungi penyelaras kenderaan misi sebaik sahaja selamat untuk berbuat demikian.

Tonton video ini untuk maklumat lanjut tentang keselamatan kenderaan.

7.10.4

Menggunakan Pengangkutan Awam

Apabila menggunakan pengangkutan awam:

  • Gunakan pengangkutan awam yang diluluskan untuk misi anda sahaja.

  • Biasakan diri dengan laluan pengangkutan awam dan kawasan yang anda lalui.

  • Duduk berhampiran dengan pemandu jika boleh. Letakkan beg anda di hadapan anda jika selamat untuk berbuat demikian.

7.11

Tatacara dan Berkat Imamat

Gunakan garis panduan umum ini untuk melaksanakan tatacara dan berkat imamat. Maklumat dalam bahagian ini diringkaskan daripada chapter 20 of Handbook 2: Administering the Church (2010).

Nota: Seperti yang dijelaskan dalam bahagian yang berikut, sesetengah tatacara mesti diberi hak kuasa oleh wewenang utama yang memegang kunci-kunci yang sesuai.

7.11.1

Melayani dalam Imamat: Garis Panduan Umum untuk Pemegang Imamat Melkisedek

Pemegang Imamat Melkisedek harus sentiasa berusaha untuk menjadi layak dan dibimbing oleh Roh Kudus. Mereka harus melaksanakan setiap tatacara dan berkat dengan cara yang menimbulkan rasa hormat, memastikan bahawa tatacara dan berkat ini memenuhi syarat yang berikut:

  1. Tatacara dan berkat harus dilakukan dalam nama Yesus Kristus.

  2. Tatacara dan berkat ini harus dilaksanakan oleh wewenang imamat.

  3. Tatacara dan berkat ini harus dilaksanakan mengikut sebarang prosedur yang ditetapkan, seperti menggunakan kata-kata doa yang telah ditetapkan dan menggunakan minyak yang telah ditahbiskan.

  4. Upacara ini harus diberi hak kuasa oleh wewenang pemimpin yang memegang kunci-kunci yang sesuai (biasanya uskup, presiden pancang atau presiden misi), jika perlu mengikut arahan dalam bahagian ini.

Mereka yang memberi berkat imamat melafazkan kata-kata doa berkat (“Saya [atau kita] memberkati anda agar …”) dan bukan mengucapkan doa (“Bapa Syurgawi, sila berkati orang ini agar …”).

Apabila beberapa orang saudara mengambil bahagian dalam tatacara atau berkat, masing-masing meletakkan tangan kanannya dengan lembut di atas kepala orang itu (atau di bawah bayi yang diberkati) dan tangan kirinya di bahu saudara di sebelah kirinya.

Hanya saudara yang memegang imamat yang diperlukan serta layak boleh melaksanakan tatacara atau berkat. Apabila dibimbing oleh Roh, para uskup dan presiden pancang mempunyai budi bicara untuk menjemput saudara imamat yang tidak layak bait suci sepenuhnya untuk melaksanakan atau mengambil bahagian dalam sesetengah tatacara dan berkat (lihat Handbook 2: Administering the Church, 20.1.2).

Jemputan bilangan ahli keluarga, rakan dan pemimpin yang ramai untuk membantu dalam tatacara atau berkat adalah tidak digalakkan kerana perbuatan ini mungkin kelihatan pelik bagi sesetengah orang dan menyukarkan pelaksanaan fizikal tatacara.

7.11.2

Pembaptisan

Presiden misi memegang kunci-kunci untuk membaptiskan penganut baru. Di bawah arahan wewenang pemimpin, seorang imam yang layak atau pemegang Imamat Melkisedek boleh melaksanakan tatacara pembaptisan. Untuk berbuat demikian, dia:

  1. Berdiri di dalam air dengan orang untuk dibaptiskan.

  2. Memegang pergelangan tangan kanan orang itu dengan tangan kirinya (untuk kemudahan dan keselamatan); orang yang dibaptiskan pula memegang pergelangan tangan kiri pemegang imamat dengan tangan kirinya.

  3. Mengangkat tangan kanannya ke udara (seperti mengangkat sumpah).

  4. Menyebut nama penuh orang itu dan mengatakan.“Dengan wewenang daripada Yesus Kristus, aku membaptis kamu dalam nama Bapa, dan Putera dan Roh Kudus. Amin” (Ajaran dan Perjanjian 20:73).

  5. Membenarkan orang itu memegang hidungnya dengan tangan kanan (untuk kemudahan). Pemegang imamat meletakkan tangan kanannya tinggi di bahagian belakang orang itu dan membenamkan orang itu sepenuhnya, termasuk pakaiannya.

  6. Bantu orang itu untuk keluar daripada air.

Seperti yang dijelaskan dalam Handbook 2: Administering the Church, 20.3.7, dua orang saksi memastikan bahawa setiap pembaptisan dilaksanakan dengan betul. Pembaptisan mesti diulang sekali lagi jika doa pembaptisan tidak disebut dengan tepat seperti yang diberikan dalam Ajaran dan Perjanjian 20:73 atau jika sebahagian daripada badan atau pakaian orang itu tidak dibenamkan sepenuhnya ke dalam air.

7.11.3

Penetapan

Presiden misi memegang kunci-kunci untuk menetapkan penganut baru. Walau bagaimanapun, uskup mengawasi pelaksanaan semua penetapan. Dia memastikan bahawa penganut baru ditetapkan dalam pertemuan sakramen di bahagian yang mereka bermastautin, sebaik-baiknya pada hari Ahad selepas pembaptisan mereka. Penganut baru tidak ditetapkan pada upacara pembaptisan.

Seorang atau beberapa orang pemegang Imamat Melkisedek boleh mengambil bahagian dalam penetapan. Mereka meletakkan tangan mereka dengan lembut di atas kepala orang itu. Kemudian, orang yang melaksanakan tatacara ini:

  1. Menyebut nama penuh orang itu.

  2. Menyatakan bahawa tatacara itu dilakukan melalui wewenang Imamat Melkisedek.

  3. Menetapkan orang itu sebagai ahli Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir.

  4. Menggunakan doa “Terima Roh Kudus” (bukan “Terima kurnia Roh Kudus”).

  5. Mengucapkan berkat seperti yang diarahkan oleh Roh.

  6. Menutup dalam nama Yesus Kristus.

7.11.4

Mentahbiskan Minyak

Seorang atau beberapa orang pemegang Imamat Melkisedek mesti mentahbiskan minyak zaitun sebelum ia digunakan untuk disapu kepada orang yang sakit atau sengsara. Tiada minyak lain yang boleh digunakan. Untuk mentahbiskan minyak, pemegang imamat:

  1. Memegang sebuah bekas terbuka yang berisi minyak zaitun.

  2. Memanggil Bapa Syurgawi.

  3. Menyatakan bahawa dia bertindak dengan wewenang Imamat Melkisedek.

  4. Mentahbiskan minyak (bukan bekas) dan menetapkan ia untuk disapu kepada serta memberkati yang sakit dan sengsara.

  5. Menutup dalam nama Yesus Kristus.

7.11.5

Melayani Orang yang Sakit dan Sengsara

Yesus telah memberi wewenang imamat kepada Rasul-Nya untuk “[menyembuhkan penyakit dan] mengusir roh jahat” (Markus 3:15). Pemegang Imamat Melkisedek memiliki wewenang yang sama. Gunakan kurniaan ini dengan betul dan kerap.

Pemegang Imamat Melkisedek sahaja yang boleh melayani orang yang sakit atau sengsara. Biasanya dua atau beberapa orang pemegang imamat melayani orang yang sakit, tetapi seorang boleh menyapu dengan minyak dan memeteraikan berkat secara sendirian jika perlu.

Jika minyak yang ditahbiskan tidak tersedia, berkat boleh diberikan oleh wewenang imamat tanpa menyapu dengan minyak.

Seorang suami atau bapa yang layak, yang memegang Imamat Melkisedek biasanya harus melayani ahli-ahli keluarganya yang sakit.

Para saudara harus melayani orang yang sakit atas permintaan orang yang sakit atau mereka yang sangat dekat dengan orang itu supaya berkat tersebut sesuai dengan iman mereka. Pemegang Imamat Melkisedek yang mengunjung ke hospital tidak harus meminta peluang untuk melayani orang yang sakit.

Jika seseorang meminta lebih daripada satu berkat untuk penyakit yang sama, pemegang imamat tidak perlu menyapu dengan minyak setelah berkat yang pertama. Sebaliknya, dia memberi berkat dengan perletakan tangan dan melalui wewenang imamat.

Pelayanan orang yang sakit terdiri daripada dua bahagian: (1) menyapu dengan minyak yang telah ditahbiskan dan (2) memeteraikan penyapuan tersebut.

Menyapu dengan Minyak yang telah Ditahbiskan

Penyapuan minyak dilakukan oleh seorang pemegang Imamat Melkisedek. Dia:

  1. Menitiskan setitis minyak yang telah ditahbiskan di atas kepala orang itu.

  2. Meletakkan tangannya dengan lembut di atas kepala orang itu dan memanggilnya dengan nama penuhnya.

  3. Menyatakan bahawa dia bertindak dengan wewenang Imamat Melkisedek.

  4. Menyatakan bahawa dia menyapukan dengan minyak yang telah ditahbiskan untuk memberkati orang yang sakit dan sengsara.

  5. Menutup dalam nama Yesus Kristus.

Memeteraikan Penyapuan Minyak

Biasanya, dua atau beberapa orang pemegang Imamat Melkisedek meletakkan tangan mereka dengan ringan di atas kepala orang itu untuk memeteraikan penyapuan; walau bagaimanapun, seorang pemegang Imamat Melkisedek boleh melaksanakan berkat itu secara sendirian, jika perlu. Semasa memeteraikan penyapuan, pemegang Imamat Melkisedek:

  1. Memanggil orang itu dengan nama penuhnya.

  2. Menyatakan bahawa dia memeteraikan penyapuan itu melalui wewenang Imamat Melkisedek.

  3. Mengucapkan doa berkat seperti yang diarahkan oleh Roh.

  4. Menutup dalam nama Yesus Kristus.

7.11.6

Memberi Berkat Kelegaan dan Nasihat

Pemegang Imamat Melkisedek boleh memberi berkat kelegaan dan nasihat kepada orang yang meminta. Untuk berkat sedemikian, seorang atau beberapa orang pemegang imamat meletakkan tangan mereka dengan ringan di atas kepala orang itu. Kemudian, pemegang imamat yang memberi berkat:

  1. Memanggil orang itu dengan nama penuhnya.

  2. Menyatakan bahawa berkat itu dilaksanakan melalui wewenang Imamat Melkisedek.

  3. Mengucapkan doa berkat seperti yang diarahkan oleh Roh.

  4. Menutup dalam nama Yesus Kristus.

Penginjil yang memberi berkat kepada ahli harus melaporkan pemberian berkat itu terus kepada ahli uskup atau melalui presiden kuorum penatua atau pemimpin misi bahagian, yang akan memberitahu uskup kemudiannya.