Kitab Suci
1 Nefi 22


Bab 22

Israel akan dicerai-beraikan di seluruh permukaan bumi—Bangsa bukan Israel akan mengasuh dan memelihara Israel dengan Injil pada zaman akhir—Israel akan dikumpulkan dan diselamatkan, dan mereka yang jahat akan terbakar bagaikan tunggul jerami—Kerajaan iblis akan dihapuskan, dan Setan akan diikat. Kira-kira 588–570 tahun S.M.

1 Dan sekarang terjadilah bahawa setelah aku, Nefi, membaca hal-hal ini yang diukir di atas kepingan-kepingan loyang, saudara-saudaraku datang kepadaku dan berkata kepadaku: Apa ertinya hal-hal ini yang telah kamu baca? Lihatlah, adakah semestinya ia difahami menurut apa yang rohani, yang akan terjadi menurut roh dan bukan daging?

2 Dan aku, Nefi, berkata kepada mereka: Lihatlah, ianya diperlihatkan kepada nabi dengan suara Roh; kerana melalui Roh segala hal dinyatakan kepada nabi-nabi, yang akan datang kepada anak-anak manusia menurut keadaan daging.

3 Oleh demikian, hal-hal yang telah aku baca adalah hal yang berkaitan dengan apa yang duniawi mahupun rohani; kerana nampaknya bani Israel, cepat atau lambat, akan dicerai-beraikan di seluruh permukaan bumi, dan juga di kalangan semua bangsa.

4 Dan lihatlah, ada ramai yang sudah hilang dari pengetahuan mereka yang berada di Yerusalem. Ya, bahagian yang lebih besar dari semua suku-suku telah dituntun pergi; dan mereka dicerai-beraikan ke sana ke mari di pulau-pulau laut; dan di mana mereka berada, tiada seorang di antara kita mengetahuinya, kecuali bahawa kita tahu bahawa mereka telah dituntun pergi.

5 Dan sejak mereka telah dituntun pergi, hal-hal ini telah dinubuatkan berkenaan mereka, dan juga berkenaan semua mereka yang selepas ini akan dicerai-beraikan dan dicelarukan, disebabkan Dia yang Kudus dari Israel; kerana terhadap Dia akan mereka mengeraskan hati mereka; oleh demikian, mereka akan dicerai-beraikan di kalangan semua bangsa dan akan dibenci oleh semua manusia.

6 Namun demikian, setelah mereka diasuhkan oleh bangsa bukan Israel, dan Tuhan telah mengangkat tangan-Nya ke atas bangsa bukan Israel dan menegakkan mereka sebagai panji, dan anak-anak mereka telah dipangku dengan lengan mereka, dan anak-anak perempuan mereka telah diangkat di atas bahu mereka, lihatlah hal-hal ini yang berkenaannya telah dibicarakan adalah duniawi; kerana demikianlah perjanjian-perjanjian Tuhan dengan nenek moyang kita; dan ia bererti kita pada zaman akan datang, dan juga semua saudara kita yang adalah dari bani Israel.

7 Dan ia bererti bahawa masanya tiba bahawa setelah seluruh bani Israel dicerai-beraikan dan dicelarukan, bahawa Tuhan akan membangunkan suatu bangsa yang perkasa di kalangan bangsa bukan Israel, ya, bahkan di atas permukaan negeri ini; dan oleh mereka akan keturunan kita dicerai-beraikan.

8 Dan setelah keturunan kita dicerai-beraikan, Tuhan akan meneruskan untuk melaksanakan suatu kerja yang menakjubkan di kalangan bangsa bukan Israel, yang akan menjadi sangat berharga kepada keturunan kita; oleh kerana itu, ia diibaratkan sebagai mereka dipeliharakan oleh bangsa bukan Israel dan dibawa di atas lengan mereka dan di atas bahu mereka.

9 Dan ia juga akan berharga kepada bangsa bukan Israel; dan bukan sahaja kepada bangsa bukan Israel tetapi kepada seluruh bani Israel, untuk menjadikan nyata perjanjian-perjanjian Bapa syurga kepada Abraham, berfirman: Melalui keturunanmu akanlah semua kaum di bumi diberkati.

10 Dan aku ingin, saudara-saudaraku, bahawa kamu patut mengetahui bahawa semua kaum di bumi tidak dapat diberkati kecuali Dia mendedahkan lengan-Nya di mata semua bangsa.

11 Oleh kerana itu, Tuhan akan terus mendedahkan lengan-Nya di mata semua bangsa, dalam mendatangkan perjanjian-perjanjian-Nya dan Injil-Nya kepada mereka yang dari bani Israel.

12 Oleh kerana itu, Dia akan membawa mereka keluar lagi dari penawanan, dan mereka akan dikumpulkan bersama ke negeri-negeri warisan mereka; dan mereka akan dibawa keluar dari keadaan tidak terkenal dan keluar dari kegelapan; dan mereka akan mengetahui bahawa Tuhan adalah Juruselamat mereka dan Penebus mereka, Yang Perkasa dari Israel.

13 Dan darah gereja yang besar dan keji itu, yang adalah pelacur seluruh bumi, akan berpaling ke atas kepala mereka; kerana mereka akan berperang sesama mereka sendiri, dan pedang dari tangan mereka sendiri akan jatuh ke atas kepala mereka, dan mereka akan dimabukkan oleh darah mereka sendiri.

14 Dan setiap bangsa yang akan berperang melawanmu, Wahai bani Israel, akan dijadikan bermusuhan melawan satu sama lain, dan mereka akan jatuh ke dalam lubang yang telah mereka galikan untuk memerangkap umat Tuhan. Dan semua yang berlawan menentang Sion akan dihancurkan, dan pelacur besar itu, yang telah menyelewengkan jalan-jalan benar Tuhan, ya, gereja yang besar dan keji itu, akan jatuh ke debu dan hebat jadinya kejatuhannya.

15 Kerana lihatlah, kata nabi, masanya akan cepat tiba bahawa Setan tidak akan mempunyai kuasa ke atas hati anak-anak manusia; kerana harinya akan cepat tiba apabila semua yang angkuh dan mereka yang berbuat jahat akan menjadi bagaikan tunggul jerami; dan hari itu akan datang apabila mereka mesti dibakarkan.

16 Kerana masanya akan cepat tiba apabila kegenapan kemurkaan Tuhan akan dicurahkan ke atas semua anak manusia; kerana Dia tidak akan membiarkan yang jahat membinasakan yang soleh.

17 Oleh kerana itu, Dia akan memelihara yang soleh dengan kuasa-Nya, walaupun kegenapan kemurkaan-Nya mesti datang, dan yang soleh akan dilindungi, bahkan sampai pembinasaan musuh-musuh mereka dengan api. Oleh kerana itu, yang soleh tidak perlu takut; kerana demikianlah berbicara nabi, mereka akan diselamatkan, bahkan dengan api.

18 Lihatlah, saudara-saudaraku, aku berkata kepadamu, bahawa hal-hal ini mesti cepat tiba; ya, bahkan darah, dan api, dan wap asap mesti datang; dan ia semestinya berada di atas permukaan bumi ini; dan ia datang kepada manusia menurut keadaan daging jika demikian halnya bahawa mereka akan mengeraskan hati mereka terhadap Yang Kudus dari Israel.

19 Kerana lihatlah, yang soleh tidak akan terhapus; kerana masanya tentu akan tiba bahawa semua mereka yang berlawan menentang Sion akan disingkirkan.

20 Dan Tuhan tentu akan menyediakan suatu jalan untuk umat-Nya, hingga genaplah kata-kata Musa, yang dia ucapkan, mengatakan: Seorang nabi akan Tuhanmu bangunkan untukmu, sepertiku; dia akan kamu dengarkan dalam segala hal apa pun dia akan bicarakan kepadamu. Dan akan terjadi bahawa semua mereka yang tidak mahu mendengarkan nabi itu akan disingkirkan dari khayalak umat.

21 Dan sekarang aku, Nefi, mengisytiharkan kepadamu, bahawa nabi ini berkenaan siapa Musa telah bicarakan adalah Yang Kudus dari Israel; oleh kerana itu, Dia akan melaksanakan penghakiman dalam kesolehan.

22 Dan yang soleh tidak perlu takut, kerana mereka adalah mereka yang tidak akan ditumpaskan. Tetapi adalah kerajaan iblis, yang akan dibangunkan di kalangan anak-anak manusia, yang mana kerajaan ditegakkan di kalangan mereka yang berada dalam daging—

23 Kerana masanya akan cepat tiba apabila semua gereja yang dibangunkan untuk mendapat keuntungan, dan semua mereka yang membina pengaruhnya untuk mendapat kuasa ke atas daging, dan mereka yang membina pengaruhnya untuk menjadi termasyhur di mata dunia, dan mereka yang mencari nafsu daging dan benda-benda dari dunia, dan untuk melakukan segala macam kederhakaan; ya, kesimpulannya, semua mereka yang menganggotai kerajaan iblis adalah mereka yang perlu takut, dan menggementar, dan menggigil; merekalah mereka yang mesti dijatuhkan ke debu; merekalah mereka yang mesti dibakar bagaikan tunggul jerami; dan ini adalah menurut kata-kata nabi.

24 Dan masanya cepat sampai apabila yang soleh mesti dituntun bagaikan anak-anak lembu dari kandang, dan Yang Kudus dari Israel mesti memerintah dalam kekuasaan, dan kekuatan, dan kuasa, dan kemuliaan yang agung.

25 Dan Dia mengumpulkan anak-anak-Nya dari keempat-empat sudut bumi; dan Dia menghitung domba-Nya, dan mereka mengenali Dia; dan akan ada satu kawanan dan satu gembala; dan Dia akan memberi makan kepada domba-Nya, dan di dalam Dia mereka akan menemukan padang rumput.

26 Dan kerana kesolehan umat-Nya, Setan tidak berkuasa; oleh kerana itu, dia tidak boleh dilepaskan selama bertahun-tahun; kerana dia tidak berkuasa ke atas hati manusia, kerana mereka hidup dalam kesolehan, dan Yang Kudus dari Israel memerintah.

27 Dan sekarang lihatlah, aku, Nefi, berkata kepadamu bahawa semua hal ini mesti datang menurut keadaan daging.

28 Tetapi, lihatlah, semua bangsa, kaum, bahasa, dan orang akan hidup dengan selamat dalam Yang Kudus dari Israel jika demikian halnya bahawa mereka akan bertaubat.

29 Dan sekarang aku, Nefi, membuat pengakhiran; kerana aku tidak berani berbicara lebih lanjut pada waktu ini berkenaan hal-hal ini.

30 Oleh kerana itu, saudara-saudaraku, aku ingin agar kamu hendak ingat bahawa hal-hal yang telah ditulis di atas kepingan-kepingan kuningan adalah benar; dan ia bersaksi bahawa seorang manusia mesti patuh kepada perintah-perintah Tuhan.

31 Oleh kerana itu, kamu tidak patut menganggap bahawa aku dan bapaku adalah satu-satunya yang telah bersaksi, dan juga telah mengajarkannya. Oleh kerana itu, jika kamu akan patuh kepada perintah-perintah, dan bertahan sampai akhir, kamu akan diselamatkan pada hari terakhir. Dan demikianlah halnya. Amin.