Kitab Suci
Eter 14


Bab 14

Kederhakaan bangsa itu mendatangkan kutukan ke atas negeri tersebut—Koriantumr terlibat di dalam peperangan menentang Gilead, kemudian Lib, dan kemudiannya Siz—Darah dan pembunuhan beramai-ramai menyelubungi negeri itu.

1 Dan sekarang, mulailah ada sebuah kutukan yang besar ke atas seluruh negeri tersebut disebabkan kederhakaan bangsa itu, di mana, jika seseorang akan meletakkan peralatannya atau pedangnya di atas rak, atau di tempat di mana dia akan menyimpannya, lihatlah, pada keesokan harinya, dia tidak akan dapat menemuinya, begitu besarnya kutukan atas negeri itu.

2 Oleh itu setiap orang berpegang erat pada benda yang merupakan miliknya, dengan tangannya, dan tidak akan meminjam dan dia juga tidak memberi pinjam; dan setiap orang memegang hulu pedangnya di dalam tangan kanannya, mempertahankan harta miliknya dan nyawanya sendiri dan nyawa isteri dan anak-anaknya.

3 Dan sekarang, setelah tempoh waktu dua tahun, dan setelah kematian Sared, lihatlah, bangkitlah saudara lelaki Sared dan dia bertempur dengan Koriantumr, yang mana Koriantumr telah mengalahkannya dan mengejarnya ke padang belantara Akis.

4 Dan terjadilah bahawa saudara lelaki Sared itu bertempur dengannya di padang belantara Akis; dan pertempuran itu menjadi amat parah, dan beribu-ribu jatuh dibunuh oleh pedang.

5 Dan terjadilah bahawa Koriantumr mengepung padang belantara tersebut; dan saudara lelaki Sared berjalan maju keluar dari padang belantara pada malam hari, dan membunuh sebahagian daripada bala tentera Koriantumr, semasa mereka sedang mabuk.

6 Dan dia pergi ke negeri Moron, dan menempatkan dirinya di atas takhta Koriantumr.

7 Dan terjadilah bahawa Koriantumr tinggal bersama bala tenteranya di dalam padang belantara untuk tempoh waktu dua tahun, di mana dia telah menerima kekuatan yang besar kepada bala tenteranya.

8 Sekarang, saudara lelaki Sared, yang namanya adalah Gilead, juga telah menerima kekuatan yang besar kepada bala tenteranya, disebabkan oleh komplot-komplot rahsia.

9 Dan terjadilah bahawa imam tingginya telah membunuhnya semasa dia duduk di atas takhtanya.

10 Dan terjadilah bahawa salah seorang dari komplot-komplot rahsia itu telah membunuhnya di sebuah laluan rahsia, dan telah mendapatkan bagi dirinya sendiri kerajaan tersebut; dan namanya adalah Lib; dan Lib adalah seorang lelaki yang bertubuh besar, lebih daripada mana-mana lelaki lain pun di antara semua orang itu.

11 Dan terjadilah bahawa pada tahun pertama Lib, Koriantumr datang ke negeri Moron, dan bertempur dengan Lib.

12 Dan terjadilah bahawa dia bertempur dengan Lib, yang mana Lib telah menghentam lengannya sehingga dia tercedera; walaupun demikian, bala tentera Koriantumr maju ke hadapan ke arah Lib, sehingga dia melarikan diri ke sempadan di tepi laut.

13 Dan terjadilah bahawa Koriantumr mengejarnya; dan Lib bertempur dengannya di tepi laut.

14 Dan terjadilah bahawa Lib menghentam bala tentera Koriantumr, sehingga mereka melarikan diri lagi ke padang belantara Akis.

15 Dan terjadilah bahawa Lib mengejarnya sehingga dia tiba di padang rumput Agos. Dan Koriantumr membawa semua orang yang bersamanya semasa dia melarikan diri daripada Lib di dalam bahagian negeri tersebut tempat dia melarikan diri.

16 Dan apabila dia telah tiba di padang rumput Agos dia bertempur dengan Lib, dan dia menghentamnya sehingga dia mati; walaupun demikian, saudara lelaki Lib datang melawan Koriantumr sebagai penggantinya, dan pertempuran itu menjadi amat parah, yang mana Koriantumr melarikan diri lagi daripada bala tentera saudara lelaki Lib.

17 Sekarang, nama saudara lelaki Lib disebut Siz. Dan terjadilah bahawa Siz mengejar Koriantumr, dan dia telah menjatuhkan banyak kota, dan dia telah membunuh kaum wanita dan kanak-kanak, dan dia telah membakar kota-kota tersebut.

18 Dan tersebarlah ketakutan kepada Siz di seluruh negeri itu; ya, suatu seruan telah tersebar ke seluruh negeri—Siapakah yang dapat bertahan di hadapan tentera Siz? Lihatlah, dia menghapuskan bumi di hadapannya!

19 Dan terjadilah bahawa orang ramai mula berkumpul bersama di dalam tentera-tentera, di atas seluruh permukaan negeri itu.

20 Dan mereka terbahagi; dan sebahagian daripada mereka melarikan diri kepada tentera Siz, dan sebahagian daripada mereka melarikan diri kepada tentera Koriantumr.

21 Dan begitu besar dan berlarutannya peperangan itu, dan sudah begitu lama keadaan pertumpahan darah dan pembunuhan beramai-ramai, sehingga mayat-mayat orang mati bertaburan di atas seluruh permukaan negeri tersebut.

22 Dan begitu cepat dan pantasnya peperangan itu sehingga tidak ada seorang pun yang tinggal untuk menguburkan mayat-mayat itu, tetapi mereka berjalan maju dari sebuah pertumpahan darah ke sebuah pertumpahan darah, meninggalkan mayat para lelaki, wanita, mahupun kanak-kanak bersepah di atas permukaan negeri itu, untuk menjadi mangsa kepada ulat-ulat daging.

23 Dan baunya tersebar di atas permukaan negeri, bahkan di atas seluruh permukaan negeri; oleh itu orang itu terganggu pada siang hari dan pada malam hari, disebabkan bau tersebut.

24 Walaupun demikian, Siz tidak berhenti mengejar Koriantumr; kerana dia telah bersumpah untuk membalas dendam kepada Koriantumr kerana darah saudara lelakinya, yang telah dibunuh, dan firman Tuhan yang datang kepada Eter bahawa Koriantumr tidak akan jatuh oleh pedang.

25 Dan demikianlah kita melihat bahawa Tuhan telah mengunjungi mereka di dalam kegenapan kemurkaan-Nya, dan kejahatan dan kekejian mereka telah menyediakan jalan untuk kehancuran abadi mereka.

26 Dan terjadilah bahawa Siz telah mengejar Koriantumr ke arah timur, bahkan sampai ke sempadan di tepi laut, dan di sana dia bertempur dengan Siz untuk tempoh waktu tiga hari.

27 Dan begitu dashyatnya kehancuran di kalangan bala tentera Siz sehingga orang ramai mula ketakutan, dan mulai melarikan diri dari hadapan bala tentera Koriantumr; dan mereka melarikan diri ke negeri Korihor, dan menghapuskan para penduduknya di hadapan mereka, semua yang tidak mahu bergabung dengan mereka.

28 Dan mereka mendirikan khemah-khemah mereka di Lembah Korihor; dan Koriantumr mendirikan khemah-khemahnya di Lembah Sur. Sekarang Lembah Sur berada berdekatan dengan Bukit Komnor; oleh itu, Koriantumr mengumpulkan bersama bala tenteranya di atas Bukit Komnor, dan membunyikan trompet kepada pasukan Siz untuk mengajak mereka datang untuk bertempur.

29 Dan terjadilah bahawa mereka maju, tetapi dihalau kembali; dan mereka datang untuk kali kedua, dan mereka dihalau kembali untuk kali kedua. Dan terjadilah bahawa mereka datang lagi untuk kali ketiga, dan pertempuran itu menjadi amat parah.

30 Dan terjadilah bahawa Siz menghentam Koriantumr sehingga dia memberinya banyak kecederaan yang dalam; dan Koriantumr, kerana kehilangan darahnya, jatuh pengsan, dan dibawa pergi seolah-olah dia telah mati.

31 Sekarang kematian lelaki, wanita dan kanak-kanak di kedua-dua belah pihak adalah begitu banyak sehingga Siz memerintahkan rakyatnya agar mereka tidak mengejar bala tentera Koriantumr; oleh itu, mereka kembali ke tempat perkhemahan mereka.