Bab 6
Bangsa Nefi berkumpul di negeri Kumora untuk pertempuran terakhir—Mormon menyembunyikan catatan-catatan kudus itu di Bukit Kumora—bangsa Laman menang, dan bangsa Nefi dihancurkan—Ratusan ribu terbunuh dengan pedang. Kira-kira 385 tahun M.
1 Dan sekarang, aku menyelesaikan catatanku tentang kehancuran bangsaku, bangsa Nefi. Dan terjadilah bahawa kami telah berjalan maju di hadapan bangsa Laman.
2 Dan aku, Mormon, menulis sepucuk surat kepada raja bangsa Laman, dan menginginkan agar dia akan mengizinkan kami agar kami boleh mengumpulkan orang kami bersama ke negeri Kumora, berdekatan dengan sebuah bukit yang dipanggil Kumora, dan di sana kami akan bertempur dengan mereka.
3 Dan terjadilah bahawa raja bangsa Laman telah mengabulkan kepadaku hal yang aku hasratkan itu.
4 Dan terjadilah bahawa kami berjalan maju ke negeri Kumora, dan kami telah memasang khemah-khemah kami di sekitar Bukit Kumora; dan ia berada di kawasan di mana terdapat banyak perairan, sungai, dan sumber mata air; dan di sini kami berharapan untuk memperoleh kelebihan ke atas bangsa Laman.
5 Dan apabila tiga ratus lapan puluh empat tahun telah berlalu, kami telah mengumpulkan semua orang kami yang masih tinggal ke negeri Kumora.
6 Dan terjadilah bahawa apabila kami telah mengumpulkan semua orang kami dalam satu kumpulan ke negeri Kumora, lihatlah aku, Mormon, mula menjadi tua; dan mengetahui bahawa itu adalah perjuangan terakhir bangsaku, dan setelah diperintahkan oleh Tuhan bahawa aku tidak harus membiarkan catatan-catatan yang telah diturunkan oleh nenek moyang kami, yang adalah kudus, jatuh ke dalam tangan bangsa Laman, (kerana bangsa Laman akan menghancurkannya) oleh itu aku membuat catatan ini dari kepingan-kepingan Nefi, dan menyembunyikannya di dalam Bukit Kumora semua catatan yang telah dipercayakan kepadaku oleh tangan Tuhan, kecuali beberapa kepingan ini yang telah aku berikan kepada anak lelakiku Moroni.
7 Dan terjadilah bahawa bangsaku, bersama isteri mereka dan anak-anak mereka, sekarang melihat bala tentera bangsa Laman berjalan ke arah mereka; dan dengan rasa takut terhadap kematian yang memenuhi dada semua mereka yang jahat, mereka sedang menunggu untuk menyambut mereka.
8 Dan terjadilah bahawa mereka datang untuk bertempur menentang kami, dan setiap jiwa dipenuhi dengan ketakutan kerana jumlah mereka yang besar.
9 Dan terjadilah bahawa mereka telah menyerang bangsaku dengan pedang, dan dengan busur, dan dengan anak panah, dan dengan kapak, dan dengan bermacam-macam senjata peperangan.
10 Dan terjadilah bahawa orangku disembelih, ya, bahkan sepuluh ribu orangku yang berada bersamaku, dan aku jatuh tercedera di tengah-tengah; dan mereka lalu melepasiku sehinggakan mereka tidak mengakhiri hidupku.
11 Dan apabila mereka telah berlalu pergi dan menyembelih semua orangku kecuali kami yang seramai dua puluh empat orang, (di antaranya ialah anak lelakiku Moroni) dan kami yang telah terselamat daripada orang kami yang mati, telah melihat pada keesokan harinya, apabila bangsa Laman telah kembali ke khemah-khemah mereka, dari puncak Bukit Kumora, sepuluh ribu orangku yang telah disembelih, yang dipimpin olehku di barisan hadapan.
12 Dan kami juga melihat sepuluh ribu orangku yang telah dipimpin oleh anak lelakiku Moroni.
13 Dan lihatlah, sepuluh ribu orang Gidgidona telah tumpas, dan dia juga berada di antara mereka.
14 Dan Lama telah tumpas bersama sepuluh ribu orangnya; dan Gilgal telah tumpas bersama sepuluh ribu orangnya; dan Limha telah tumpas bersama sepuluh ribu orangnya; dan Yeneum telah tumpas bersama sepuluh ribu orangnya; dan Kumeniha, dan Moroniha, dan Antionum, dan Siblom, dan Sem, dan Yos, telah tumpas bersama sepuluh ribu orang mereka masing-masing.
15 Dan terjadilah bahawa ada sepuluh lagi yang telah ditumpaskan oleh pedang, bersama dengan sepuluh ribu orang mereka masing-masing; ya, bahkan semua orangku, kecuali dua puluh empat orang yang berada bersamaku, dan juga beberapa orang yang telah melepaskan diri ke negara-negara selatan, dan sedikit yang telah membelot kepada bangsa Laman, telah tumpas; dan daging, dan tulang, dan darah mereka bertaburan di atas permukaan negeri, yang ditinggalkan oleh tangan-tangan mereka yang telah membunuh mereka untuk mereput di atas tanah, dan untuk diuraikan dan untuk kembali ke dalam tanah bumi.
16 Dan jiwaku dihiris dengan kepedihan, kerana pembunuhan bangsaku, dan aku berseru:
17 Wahai kamu yang rupawan, bagaimanakah kamu sanggup meninggalkan jalan Tuhan! Wahai kamu yang rupawan, bagaimanakah kamu sanggup menolak Yesus itu, yang berdiri dengan tangan-tangan yang terbuka untuk menerimamu!
18 Lihatlah, jika kamu tidak melakukan ini, kamu tidak akan tumpas. Tetapi lihatlah, kamu telah tumpas, dan aku berkabung di atas kehilanganmu.
19 Wahai kamu anak-anak lelaki dan perempuan yang rupawan, kamu para ayah dan ibu, kamu para suami dan isteri, kamu yang rupawan, bagaimanakah kamu dapat ditumpaskan!
20 Tetapi lihatlah, kamu telah pergi, dan kesedihanku tidak akan dapat mengembalikan kamu.
21 Dan hari itu akan segera tiba bahawa tubuh fanamu mesti mencapai kebaqaan, dan tubuh-tubuh ini yang sedang mereput dalam kebinasaan segera akan menjadi tubuh-tubuh yang tidak dapat dibinasakan; dan pada waktu itu kamu mesti berdiri di hadapan kerusi penghakiman Kristus, untuk dihakimi menurut pekerjaanmu; dan jika demikian halnya bahawa kamu adalah soleh, barulah kamu diberkati bersama nenek moyangmu yang telah meninggal sebelum kamu.
22 Ah, sekiranya kamu telah bertaubat sebelum kehancuran yang besar ini datang atas dirimu. Tetapi lihatlah, kamu telah meninggal, dan Bapa, ya, Bapa Yang Abadi dari syurga, mengetahui keadaanmu; dan Dia akan melakukan terhadapmu menurut keadilan dan belas kasihan-Nya.