Kitab Suci
Mosia 21


Bab 21

Rakyat Limhi didera dan dikalahkan oleh bangsa Laman—Rakyat Limhi bertemu Amon dan diinsafkan—Mereka memberitahu Amon tentang dua puluh empat kepingan orang Yared. Kira-kira 122–121 tahun S.M.

1 Dan terjadilah bahawa Limhi dan rakyatnya kembali ke Kota Nefi, dan mula berdiam di negeri itu lagi dalam kedamaian.

2 Dan terjadilah bahawa setelah berhari-hari bangsa Laman mula lagi terhasut dalam kemarahan terhadap bangsa Nefi, dan mereka mula datang ke sempadan negeri di sekitarnya.

3 Sekarang, mereka tidak berani membunuh mereka, kerana sumpah yang telah raja mereka buat kepada Limhi; tetapi mereka menampar pipi mereka, dan menguasai mereka; dan mula menaruh beban berat ke atas belakang mereka, dan menghalau mereka seperti mereka menghalau keldai bisu—

4 Ya, semuanya ini terjadi agar firman Tuhan boleh digenapkan.

5 Dan sekarang, kesengsaraan bangsa Nefi adalah teruk, dan tidak ada cara mereka dapat membebaskan diri mereka daripada tangan mereka, kerana bangsa Laman telah mengepung mereka pada setiap sisi.

6 Dan terjadilah bahawa rakyat mula merungut terhadap raja kerana kesengsaraan mereka; dan mereka mula berhasrat pergi melawan mereka untuk bertempur. Dan mereka menyengsarakan raja dengan teruk dengan aduan mereka; oleh kerana itu dia mengabulkan bagi mereka bahawa mereka hendaknya melakukan menurut hasrat mereka.

7 Dan mereka berkumpul bersama lagi, dan mengenakan baju zirah mereka, dan pergi melawan bangsa Laman untuk menghalau mereka keluar dari negeri mereka.

8 Dan terjadilah bahawa bangsa Laman mengalahkan mereka, dan menangkis mereka, dan membunuh ramai daripada mereka.

9 Dan sekarang, ada duka nestapa dan ratapan yang teruk di kalangan rakyat Limhi, balu berduka nestapa untuk suaminya, anak-anak lelaki dan perempuan berduka nestapa untuk ayah mereka, dan para saudara lelaki untuk saudara-saudara mereka.

10 Sekarang, ada amat ramai balu di negeri itu, dan mereka meraung-raung dengan amat kuat dari hari ke hari, kerana rasa takut yang teruk terhadap bangsa Laman telah datang ke atas diri mereka.

11 Dan terjadilah bahawa raungan mereka yang berterusan mendorong rakyat Limhi yang selebihnya pada kemarahan terhadap bangsa Laman; dan mereka pergi lagi bertempur, tetapi mereka ditangkis lagi, menanggung kehilangan banyak nyawa.

12 Ya, mereka pergi lagi bahkan yang kali ketiganya, dan menderita dalam cara yang sama; dan mereka yang tidak terbunuh kembali lagi ke Kota Nefi.

13 Dan mereka merendahkan hati mereka bahkan sampai ke debu, menundukkan diri mereka pada kuk perhambaan, menyerahkan diri mereka untuk didera, dan untuk dihalau ke sana ke mari, dan dibebani, menurut hasrat musuh mereka.

14 Dan mereka merendahkan hati mereka bahkan di kedalaman kerendahan hati; dan mereka berseru dengan amat kuat kepada Tuhan; ya, bahkan sepanjang hari mereka berseru kepada Tuhan mereka agar Dia akan membebaskan mereka daripada kesengsaraan mereka.

15 Dan sekarang, Tuhan lambat mendengar seruan mereka kerana kederhakaan mereka; walaupun demikian Tuhan mendengar seruan mereka, dan mula melunakkan hati bangsa Laman agar mereka mula meringankan beban mereka; namun Tuhan tidak menganggap patut untuk membebaskan mereka daripada perhambaan.

16 Dan terjadilah bahawa mereka mula makmur secara beransur-ansur di negeri itu, dan mula menumbuh biji-bijian dengan lebih berlimpahan, dan memelihara kawanan domba, dan kawanan ternakan, agar mereka tidak menderita kerana kelaparan.

17 Sekarang, ada sejumlah besar wanita, lebih banyak daripada lelaki; oleh kerana itu raja Limhi memerintahkan bahawa setiap lelaki hendaknya memberi untuk tunjangan para balu dan anak-anak mereka, agar mereka tidak akan binasa kerana kelaparan; dan ini mereka lakukan kerana besarnya jumlah mereka yang telah terbunuh.

18 Sekarang, rakyat Limhi tetap bersama-sama dalam suatu kelompok sebanyak yang mungkin, dan menjaga biji-bijian mereka dan kawanan ternakan mereka;

19 Dan raja sendiri tidak mempercayai dirinya berada di luar tembok kota, kecuali dia membawa para pengawalnya bersamanya, jangan-jangan dia akan dengan sesuatu cara jatuh ke dalam tangan bangsa Laman.

20 Dan dia menyuruh agar rakyatnya hendaknya menjaga negeri di sekitarnya, agar dengan sesuatu cara mereka boleh menangkap para imam itu yang melarikan diri ke padang belantara, yang telah mencuri para puteri bangsa Laman, dan yang telah menyebabkan kehancuran yang sedemikian teruknya datang ke atas diri mereka.

21 Kerana mereka berhasrat untuk menangkap mereka agar mereka boleh menghukum mereka; kerana mereka telah datang ke negeri Nefi pada malam hari, dan membawa lari biji-bijian mereka dan banyak benda berharga mereka; oleh kerana itu mereka menunggu untuk menghendap mereka.

22 Dan terjadilah bahawa tidak ada lagi gangguan antara bangsa Laman dan rakyat Limhi, bahkan sampai waktu ketika Amon dan saudara-saudaranya datang ke negeri itu.

23 Dan raja kerana sedang berada di luar gerbang kota bersama para pengawalnya, menemukan Amon dan saudara-saudaranya; dan menyangka mereka adalah imam Nuh oleh kerana itu dia memerintahkan agar mereka hendaknya ditangkap, dan diikat, dan dilemparkan ke dalam penjara. Dan seandainya mereka adalah imam Nuh dia akan memerintahkan agar mereka mesti dihukum mati.

24 Tetapi ketika dia mendapat tahu bahawa mereka bukan, tetapi bahawa mereka adalah saudara-saudaranya, dan telah datang dari negeri Zarahemla, dia dipenuhi dengan kebahagiaan yang amat besar.

25 Sekarang, raja Limhi telah mengutus, sebelum kedatangan Amon, sejumlah kecil lelaki untuk mencari negeri Zarahemla; tetapi mereka tidak dapat menemukannya, dan mereka tersesat di padang belantara.

26 Walaupun demikian, mereka menemukan sebuah negeri yang pernah didiami; ya, negeri yang diliputi dengan tulang-tulang kering; ya, negeri yang pernah didiami dan yang telah dihancurkan; dan mereka, kerana menyangka ianya adalah negeri Zarahemla, kembali ke negeri Nefi, telah tiba di sempadan negeri tidak banyak hari sebelum kedatangan Amon.

27 Dan mereka membawa sebuah catatan bersama mereka, bahkan sebuah catatan tentang orang yang tulang-tulangnya telah mereka temukan; dan ianya terukir di atas kepingan-kepingan bijih logam.

28 Dan sekarang, Limhi kembali dipenuhi dengan kebahagiaan kerana mendapat tahu daripada mulut Amon bahawa raja Mosia memiliki kurnia daripada Tuhan, yang melaluinya dia dapat mentafsirkan ukiran seperti itu; ya, dan Amon juga bersukacita.

29 Namun Amon dan saudara-saudaranya dipenuhi dengan dukacita kerana sedemikian banyaknya saudara mereka telah terbunuh;

30 Dan juga bahawa raja Nuh dan para imamnya telah menyebabkan rakyat berbuat sedemikian banyaknya dosa dan kederhakaan terhadap Tuhan; dan mereka juga berduka nestapa kerana kematian Abinadi; dan juga kerana kepergian Alma dan orang yang pergi bersamanya, yang telah membentuk gereja Tuhan melalui kekuatan dan kuasa Tuhan, dan iman pada kata-kata yang telah diucapkan oleh Abinadi.

31 Ya, mereka berduka nestapa kerana kepergian mereka, kerana mereka tidak tahu ke mana mereka telah melarikan diri. Sekarang, mereka akan dengan gembira bergabung dengan mereka, kerana mereka sendiri telah masuk ke dalam perjanjian dengan Tuhan untuk melayani-Nya dan mentaati perintah-perintah-Nya.

32 Dan sekarang, sejak kedatangan Amon, raja Limhi juga telah masuk ke dalam perjanjian dengan Tuhan, dan juga ramai daripada rakyatnya, untuk melayani-Nya dan mentaati perintah-perintah-Nya.

33 Dan terjadilah bahawa raja Limhi dan ramai daripada rakyatnya berhasrat untuk dibaptis; tetapi tidak ada seorang pun di negeri itu yang memiliki wewenang daripada Tuhan. Dan Amon enggan melakukan hal ini, menganggap dirinya seorang orang suruhan yang tidak layak.

34 Oleh kerana itu mereka pada waktu itu tidak menyusunkan diri mereka menjadi sebuah gereja, menunggu Roh Tuhan. Sekarang, mereka berhasrat untuk menjadi bahkan seperti Alma dan saudara-saudaranya, yang telah melarikan diri ke padang belantara.

35 Mereka berhasrat untuk dibaptis sebagai saksi dan kesaksian bahawa mereka bersedia untuk melayan Tuhan dengan segenap hati mereka; walaupun demikian mereka menangguhkan waktunya; dan sebuah laporan tentang pembaptisan mereka akan diberikan setelah ini.

36 Dan sekarang, segala penelaahan Amon dan orangnya, dan raja Limhi dan rakyatnya, adalah untuk membebaskan diri mereka dari tangan bangsa Laman dan dari perhambaan.