Tatacara dan Perisytiharan
Keluarga: Suatu Perisytiharan kepada Dunia


Keluarga

Suatu Perisytiharan kepada Dunia

Presidensi Utama dan Dewan Dua Belas Rasul dari Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir

Kami, Presidensi Utama dan Majlis Dua Belas Rasul dari Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir, dengan sungguh-sungguh mengisytiharkan bahawa perkahwinan antara seorang lelaki dan seorang perempuan ditahbiskan oleh Tuhan dan bahawa keluarga adalah utama di dalam rancangan Pencipta demi takdir ilahi yang abadi bagi anak-anak-Nya.

Semua insan—lelaki dan perempuan—dicipta untuk menyerupai Tuhan. Setiap insan adalah anak rohani lelaki atau anak rohani perempuan kepada ibu bapa syurgawi, dan, oleh demikian, masing-masing mempunyai sifat dan takdir ilahi. Jantina merupakan sifat yang asas untuk identiti dan tujuan prafana, fana, dan abadi seseorang.

Di alam prafana, anak-anak rohani lelaki dan perempuan mengenali dan menyembah Tuhan sebagai Bapa Abadi mereka dan menerima rancangan-Nya di mana melaluinya mereka dapat memperolehi suatu tubuh fizikal serta mendapat pengalaman duniawi untuk maju menuju kesempurnaan dan pada akhirnya mencapai takdir mereka sebagai waris kepada kehidupan abadi. Rancangan kegembiraan ilahi, membolehkan hubungan keluarga diteruskan selepas kematian. Tatacara-tatacara dan perjanjian-perjanjian yang sedia ada di rumah Tuhan yang kudus memungkinkan setiap orang kembali ke hadirat Tuhan dan membolehkan keluarga-keluarga disatukan secara abadi.

Perintah pertama yang Tuhan berikan kepada Adam dan Hawa berkaitan dengan kemungkinan mereka mencapai keibubapaan sebagai suami dan isteri. Kami mengisytiharkan bahawa perintah Tuhan bagi anak-anak-Nya untuk beranak pinak dan bertambah di dunia masih berkuat kuasa. Seterusnya kami mengisytiharkan bahawa Tuhan telah memerintah bahawa kuasa memperanakkan yang kudus harus digunakan hanya di antara seorang lelaki dan seorang perempuan yang telah dikahwinkan menurut undang-undang negara sebagai suami dan isteri.

Kami mengisytiharkan bahawa cara dengan mana kehidupan fana dicipta adalah ditetapkan oleh Tuhan. Kami menegaskan kesucian kehidupan dan kepentingannya di dalam rancangan kekal Tuhan.

Suami dan isteri mempunyai tanggungjawab yang mustahak untuk menyayangi serta menjaga satu sama lain dan anak-anak mereka. “Anak-anak adalah suatu warisan Tuhan” (Mazmur 127:3) Ibu bapa mempunyai tugas yang kudus untuk membesarkan anak-anak mereka dengan kasih sayang dan kesolehan, menafkahi mereka dari segi keperluan fizikal mahupun keperluan rohani mereka, dan mengajar mereka untuk menyayangi serta melayani satu sama lain, mentaati perintah-perintah Tuhan dan menjadi warganegara yang mematuhi undang-undang di mana-mana pun mereka hidup. Para suami dan para isteri—para ibu dan para bapa—akan dipertanggungjawabkan di hadapan Tuhan untuk menjalankan kewajipan-kewajipan ini.

Keluarga ditetapkan Tuhan. Perkahwinan antara lelaki dan wanita adalah perlu untuk rancangan abadi-Nya. Anak-anak berhak dilahirkan di dalam ikatan perkahwinan dan dibesarkan oleh seorang bapa dan seorang ibu yang melunaskan ikrar perkahwinan dengan kesetiaan yang mutlak. Kegembiraan dalam kehidupan kekeluargaan adalah paling mungkin dicapai apabila berasaskan ajaran Tuhan Yesus Kristus. Perkahwinan-perkahwinan dan keluarga-keluarga yang berjaya didirikan dan dikekalkan atas asas-asas iman, doa, pertaubatan, pengampunan, hormat, kasih sayang, belas kasihan, kerja, dan kegiatan rekreasi yang baik dan sihat. Menurut tujuan Tuhan, para bapa patut mengetuai keluarga mereka dengan kasih sayang dan kesolehan, dan bertanggungjawab menafkahi keperluan kehidupan dan memberi perlindungan bagi keluarga mereka. Para ibu terutamanya bertanggungjawab bagi pemeliharaan anak-anak mereka. Di dalam tanggungjawab-tanggungjawab yang suci ini, para bapa dan para ibu diwajibkan membantu satu sama lain sebagai ahli pasangan yang setaraf. Ketidakupayaan, kematian, atau keadaan-keadaan lain barangkali memerlukan penyesuaian tersendiri. Keluarga-keluarga terdekat harus memberi sokongan apabila perlu.

Kami memberi amaran bahawa orang yang melanggar perjanjian-perjanjian kemurnian akhlak, yang mendera isteri atau suami atau anak-anak, atau gagal memenuhi kewajipan-kewajipan kekeluargaan akan pada suatu hari dipertanggungjawabkan di hadapan Tuhan. Seterusnya, kami memberi amaran bahawa pemecahan keluarga akan mendatangkan bencana ke atas individu-individu, komuniti-komuniti, dan negara-negara seperti yang diramalkan oleh nabi-nabi kuno mahupun kini.

Kami memanggil warganegara-warganegara dan pegawai-pegawai kerajaan yang bertanggungjawab di merata tempat untuk menyokong dan menggalakkan langkah-langkah yang dicipta dengan tujuan mengekalkan serta menguatkan keluarga sebagai unit asas masyarakat.