Malaikat Moden
Selamat petang, saudara dan saudari yang dikasihi. Saya bersyukur atas peluang untuk berucap kepada anda malam ini semasa kita meraikan peristiwa yang paling mulia dalam sejarah manusia—kedatangan Putera Tuhan ke dunia. Kelahiran, kehidupan, dan Korban Tebusan Kristus adalah kurnia Bapa Syurgawi kepada kita semua.
Semasa kita bergembira meraikan kelahiran Juruselamat, kasih Tuhan yang berterusan dan tanpa akhir nampaknya meresap ke jiwa kita dengan berlimpah, membantu kita memalingkan hati kita kepada keluarga, kawan, dan jiran-jiran kita, dan membantu kita lebih peka kepada mereka yang berasa keseorangan, kesunyian, atau memerlukan penghiburan dan kedamaian.
Saya sentiasa kagumi peristiwa-peristiwa yang mengelilingi kelahiran Yesus, Injil Lukas berkongsi beberapa contoh penghiburan dan kedamaian yang tersedia kepada mereka yang berada dalam keadaan ini. Contohnya apabila Bapa Syurgawi kita mengutus malaikat-Nya untuk kunjungi para gembala yang terpencil pada malam hari untuk mengumumkan kelahiran Putera-Nya, gembala mengunjung Maria dan Yusuf, yang sedang menjaga bayi mereka yang baru lahir jauh dari rumah mereka di Galilea.
Perjalanan jauh Yusuf dan Maria dari Nasaret ke Bethlehem bukanlah satu kebetulan, kerana selama berabad, para nabi zaman dahulu telah bernubuat bahawa Juruselamat dunia akan dilahirkan di Bethlehem, Kota Daud.1 Kita lihat Bapa Syurgawi sangat peka dan terlibat dalam setiap butiran yang mengelilingi kelahiran Putera Tunggal-Nya. “Ketika mereka di Betlehem, tibalah masanya bagi Maria untuk bersalin.”2
Semasa saya berfikir tentang keadaan sosial para gembala dan pasangan muda itu, Maria dan Yusuf, saya tertanya bagaimana kemunculan malaikat kepada para gembala di padang dan ketibaan para gembala ke tempat Maria dan Yusuf membawa penghiburan, kedamaian, dan kebahagiaan ke dalam hidup mereka masing-masing.
Bagi para gembala, malaikat mungkin telah membawa penghiburan bahawa Tuhan peka tentang mereka dan menilai mereka sebagai saksi pertama anak Domba Tuhan yang baru lahir. Bagi Maria dan Yusuf, para gembala mungkin telah membawa penghiburan bahawa orang lain tahu kehidupan mereka adalah sebahagian daripada mukjizat ilahi.3
Sudah tentu, ada gembala moden di kalangan kita—para lelaki dan wanita yang bekerja lewat malam dan awal pagi untuk menjalani kehidupan. Gembala moden ini termasuklah pengawal keselamatan, kakitangan hospital dan kecemasan, pekerja kedai serbaneka 24 jam dan pekerja stesen gas, serta pasukan penyiaran berita. Kadangkala mereka yang bekerja malam mungkin terasing dari interaksi sosial berbanding mereka yang biasanya bekerja pada waktu pejabat. Selain itu, ada juga Yusuf dan Maria moden yang telah berpindah dari tempat asal mereka dan cuba menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu.
Semasa Krismas mendekati, saya tertanya jika kita boleh menjadi seperti malaikat itu iaitu melawat gembala moden untuk menyampaikan berita baik tentang Kristus, [menyampaikan] kedamaian dan penghiburan. Dan bolehkah kita menjadi seperti para gembala yang melawat dan melayani Yusuf dan Maria moden di kawasan kejiranan dan komuniti kita untuk memberi ketenangan bahawa Tuhan mengasihi mereka dan sedang mengawasi dan menjaga mereka.
Saya dan keluarga telah mengalami beberapa keadaan tentang penghiburan dan kedamaian yang malaikat moden bawakan. Malam ini saya ingin merenungkan salah satu masa itu. Pada tahun 2003, kami berpindah dari tempat asal kami ke Utah. Musim sejuk itu, kami mengalami salah satu ribut salji terbesar yang Utah alami selama beberapa tahun. Kami tidak pernah alami itu dalam hidup kami, kerana kami membesar di kawasan pokok palma dan pantai pasir (kawasan panas). Rumah kami terletak di atas bukit di Bountiful yang mempunyai laluan pejalan kaki yang panjang. Sewaktu salji turun, isteri saya dengan berani mula meniup salji dengan mesin peniup salji di jalan masuk dan laluan pejalan kaki. Saya pernah tergelincir dan pergelangan tangan saya patah beberapa hari sebelum itu ketika saya berjalan menuju ke rumah seorang jiran kami. Kemalangan itu mengakibatkan pembedahan dan lengan saya dibalut selama beberapa bulan. Semasa isteri saya meniup salji kawasan itu buat pertama kali dalam hidupnya, dia tidak tahu dia perlu mengubah hala tiub itu selepas membersihkan satu sisi jalan masuk. Apabila dia bersihkan bahagian lain, alat peniup salji mengotori lagi kawasan yang dibersihkan tadi. Ulang alik dia berusaha dan tidak berjaya. Betapa susah sekali! Kerana isteri saya terdedah kepada cuaca sejuk dengan lama, dia mendapat jangkitan telinga dan hampir pekak sepenuhnya selama dua bulan. Pada masa yang sama, anak lelaki saya yang berumur enam belas tahun belakangnya cedera semasa meluncur ais dan terpaksa terlantar di atas katil agar sembuh. Di antara kami ada seorang yang terlantar, seorang pekak, seorang lengan berbalut dan semuanya kesejukan. Saya pasti kami kelihatan lucu di mata jiran-jiran kami. Pada suatu pagi yang amat sejuk, saya terbangun pada pukul 5:00 pagi kerana bunyi mesin peniup salji di luar tingkap. Saya melihat ke luar tingkap dan ternampak jiran saya dari seberang jalan, Brother Blaine Williams. Dalam usia hampir tujuh puluh tahun, dia telah meninggalkan rumahnya yang hangat dan selesa, dan secara senyap datang dan membersihkan jalan masuk dan laluan pejalan kaki kami, kerana tahu kami tidak dapat melakukannya sendiri. Dalam cara sama, seorang lagi kawan, Brother Daniel Almeida, datang ke rumah untuk hantar saya ke kerja di Salt Lake, kerana saya tidak dapat memandu dengan lengan saya yang berbalut. Mereka dengan baik hati dan tanpa heboh membantu saya setiap pagi sehingga keluarga saya sembuh dan kami dapat sendiri lakukan hal-hal lain. Pada musim Krismas tahun 2003 yang sejuk, para malaikat ini dihantar kepada kami, sama seperti malaikat pelayan yang dihantar kepada para gembala yang rendah hati zaman dahulu. Dua saudara ini mengikuti teladan Juruselamat kita dan meletakkan keperluan kami sebelum keperluan mereka sendiri.
Saudara dan saudari yang dikasihi, kehidupan Juruselamat merupakan suatu teladan sermpurna mengenai kasih dan kebaikan kepada manusia. Dia selalu melupakan diri-Nya untuk orang lain. Dalam semua yang Dia lakukan setiap hari, Dia tidak mementingkan diri dan ini tidak terhad pada musim atau cuti tertentu. Apabila kita menjangkau seperti Juruselamat, saya berjanji kita boleh mengalami semangat Krismas dengan lebih baik. Jika kita berbuat sedemikian, saya yakin kita akan menemukan peluang yang tidak terbatas untuk melayan dengan tanpa heboh dan berbaik hati terhadap orang yang memerlukan kita. Ini akan membantu kita untuk lebih mengenali Juruselamat dan menemukan kedamaian di bumi dan kebaikan terhadap manusia, yang akan, menentukan kasih, kedamaian, dan kekuatan memperbaharui yang kita boleh rasa dan kongsi kepada orang lain. Apabila kita mengikuti teladan Juruselamat, semoga kita mendapati ilham dan kekuatan daripada Juruselamat. Apabila kita mencari Juruselamat dalam segala yang kita lakukan, Krismas bukan hanya tentang hari atau satu musim tetapi akan menjadi keadaan hati dan minda, dan kebahagiaan dan kasih musim Krismas akan sentiasa dirasai. Saya bersaksi bahawa Yesus Kristus, bayi yang dilahirkan di Bethlehem, adalah Juruselamat dan Penebus dunia.
Selamat Hari Natal kepada anda semua. Saya katakan semua ini dalam nama Yesus Kristus, amin.