Pesanan Bulanan Liahona, Mei 2021
Kristus Sudah Bangkit; Iman kepada-Nya Akan Mengalihkan Bukit
Iman kepada Yesus Kristus adalah kuasa terbesar yang tersedia bagi kita dalam kehidupan ini. Orang yang percaya kepada Tuhan dapat melakukan segala sesuatu.
Saudara dan saudari, saya bersyukur atas kesempatan berucap kepada anda di Ahad Easter ini.1 Korban Tebusan dan Kebangkitan Yesus Kristus mengubah hidup setiap kita buat selama-lamanya. Kita mengasihi Dia dan menyembah Dia dan Bapa Syurgawi kita.
Selama enam bulan terakhir, kita terus menghadapi pandemik global. Saya kagumi kebertahanan dan kekuatan rohani anda dalam menghadapi penyakit, kehilangan, dan pengasingan. Saya selalu berdoa agar, melalui semua itu, anda akan merasai kasih Tuhan kepada anda. Jika anda telah hadapi ujian anda dengan penganutan yang lebih kuat, apa yang dilalui ini tidak akan sia-sia.
Pagi ini, kita telah mendengar daripada para pemimpin Gereja dari setiap benua di bumi. Sesungguhnya, berkat injil adalah untuk setiap bangsa, bahasa, dan orang. Gereja Yesus Kristus adalah sebuah gereja global . Yesus Kristus adalah pemimpin kita.
Syukur, bahkan pandemik belum dapat memperlambat perjalanan kebenaran-Nya. Injil Yesus Kristus adalah apa yang diperlukan dalam dunia yang keliru, berbalah, dan letih ini.
Setiap anak Tuhan berhak mendengar dan menerima pesanan penebusan Yesus Kristus yang menyembuhkan. Tiada pesanan lain yang lebih penting untuk kebahagiaan kita—sekarang dan selamanya.2 Tiada pesanan lain yang lebih dipenuhi dengan harapan. Tiada pesanan lain yang dapat menghilangkan perselisihan dalam masyarakat kita.
Iman kepada Yesus Kristus adalah asas semua kepercayaan dan saluran kuasa ilahi. Menurut Rasul Paulus, “Tanpa iman, tidak seorang pun dapat menyenangkan hati Tuhan. Orang yang datang kepada Tuhan mesti percaya bahawa Tuhan wujud, dan bahawa Tuhan menganugerahi orang yang mencari-Nya.”3
Segala sesuatu yang baik dalam hidup—setiap berkat yang berpotensi abadi—bermula dari iman. Membiarkan Tuhan menang dalam hidup kita bermula dengan iman bahawa Dia bersedia membimbing kita. Pertaubatan sejati bermula dengan iman bahawa Yesus Kristus mempunyai kuasa untuk membersihkan, menyembuhkan, dan menguatkan kita.4
“Tidak menyangkal kuasa Tuhan,” kata nabi Moroni, “kerana Dia bekerja melalui kuasa, menurut iman anak-anak manusia.”5 Iman kita inilah yang membuka kuasa Tuhan dalam hidup kita.
Namun, menjalankan iman boleh rasa sungguh susah. Ada masanya kita tertanya-tanya adakah kita dapat memperoleh iman yang cukup untuk terima berkat yang sangat kita perlukan. Namun, Tuhan menenangkan ketakutan itu melalui kata-kata nabi Alma dalam Kitab Mormon.
Alma minta kita untuk mencuba kata-kata itu dan “menjalankan segelintir iman, ya, bahkan jika [kita] tidak dapat membuat lebih daripada berhasrat untuk percaya.”6 Ungkapan “segelintir iman” mengingatkan saya tentang janji Tuhan bahawa jika kita “beriman seperti biji sawi,” kita akan dapat “berkata kepada bukit ini, ‘Beralihlah ke sana!’ dan bukit ini akan beralih. Kamu dapat melakukan apa sahaja!”7
Tuhan memahami kelemahan fana kita. Ada masanya kita semua goyah. Tetapi Dia juga tahu potensi besar kita. Biji sawi mulanya kecil tetapi tumbuh menjadi pokok yang cukup besar untuk burung-burung bersarang di dahannya. Biji sawi itu melambangkan iman kecil tetapi berkembang.8
Tuhan tidak mengharapkan iman sempurna untuk kita akses kuasa sempurna -Nya. Tetapi Dia minta kita untuk percaya.
Saudara-saudari, panggilan saya kepada anda pada pagi Easter ini adalah mula hari ini untuk tingkatkan iman anda. Melalui iman anda, Yesus Kristus akan meningkatkan kemampuan anda untuk mengalihkan bukit dalam hidup anda,9 meskipun cabaran peribadi anda sebesar Gunung Everest.
Bukit anda mungkin terdiri daripada kesunyian, keraguan, penyakit, atau masalah peribadi lain. Bukit anda berbeza-beza, namun jawapan untuk setiap cabaran adalah tingkatkan iman anda. Itu memerlukan usaha. Pelajar malas dan pengikut yang lemah sering bergelut untuk kumpulkan bahkan segelintir iman.
Untuk melakukan segalanya dengan baik memerlukan usaha. Menjadi pengikut sejati Yesus Kristus juga tidak terkecuali. Peningkatan iman dan kepercayaan anda kepada-Nya memerlukan usaha. Izinkan saya memberi lima cadangan untuk membantu anda membentuk iman dan kepercayaan itu.
Pertama, mengkaji. Jadilah pelajar yang aktif. Selami diri anda dalam tulisan suci untuk memahami misi dan pelayanan Kristus dengan lebih baik. Ketahui ajaran Kristus sehingga anda memahami kuasanya untuk hidup anda. Selami kebenaran bahawa Korban tebusan Yesus Kristus berlaku bagi anda. Dia menanggung kesengsaraan anda, kesalahan anda, kelemahan anda, dan dosa-dosa anda. Dia membayar ganti rugi dan memberi anda kuasa untuk mengalihkan setiap bukit yang akan anda hadapi. Anda memperoleh kuasa itu dengan iman, kepercayaan, dan kesediaan anda untuk mengikuti-Nya.
Mengalihkan bukit memerlukan mukjizat. Belajarlah tentang mukjizat. Mukjizat datang menurut iman anda kepada Tuhan. Pusat iman itu adalah mempercayai kehendak dan waktu-Nya—bagaimana dan bila Dia akan memberkati anda dengan bantuan yang anda hasratkan. Hanya ketidakpercayaan anda yang akan mencegah Tuhan daripada memberkati anda dengan mukjizat untuk mengalihkan bukit dalam hidup anda.10
Semakin anda pelajari tentang Juruselamat, semakin senang untuk percaya pada belas kasihan-Nya, kasih, dan kuasa menguatkan, penyembuhan dan penebusan-Nya. Juruselamat lebih dekat dengan anda ketika anda hadapi atau mendaki bukit dengan iman.
Kedua, pilih untuk percaya kepada Yesus Kristus. Jika anda ada keraguan tentang Tuhan Bapa dan Putera Terkasih-Nya atau kesahihan Pemulihan atau kebenaran panggilan ilahi Joseph Smith sebagai seorang nabi, pilihlah untuk percaya11 dan tetap setia. Tujukan soalan anda kepada Tuhan dan sumber-sumber lain yang boleh dipercayai. Kajilah dengan hasrat untuk percaya dan bukan dengan harapan anda dapat temukan kecacatan dalam kehidupan nabi atau percanggahan dalam tulisan suci. Hentikan peningkatan keraguan anda dengan berbincang dengan orang yang juga ragu. Izinkan Tuhan memimpin anda dalam perjalanan penemuan rohani anda.
Ketiga, bertindak dalam iman. Apakah yang anda akan lakukan jika anda memiliki banyak iman? Fikirkannya. Tulis tentangnya. Kemudian terima lebih banyak iman dengan melakukan sesuatu yang memerlukan lebih banyak iman.
Keempat, terlibat dalam tatacara kudus secara layak. Tatacara akan membuka kuasa Tuhan ke dalam hidup anda.12
Kelima, minta Bapa Syurgawi, dalam nama Yesus Kristus, untuk bantuan.
Iman memerlukan usaha. Menerima wahyu memerlukan usaha. Tetapi “setiap orang yang meminta sesuatu daripada Tuhan akan menerimanya; setiap orang yang mencari sesuatu daripada Tuhan akan mendapatnya, dan Tuhan akan membuka pintu bagi setiap orang yang mengetuknya.”13 Tuhan tahu apa yang akan bantu iman anda berkembang. Minta, dan minta lagi.
Orang yang tidak percaya mungkin berkata bahawa iman adalah untuk mereka yang lemah. Tetapi penegasan ini mengabaikan kuasa iman. Adakah para Rasul Juruselamat akan terus ajarkan ajaran Tuhan setelah kematian-Nya, dengan membahayakan hidup mereka, jika mereka meragui-Nya?14 Adakah Joseph dan Hyrum Smith akan mati syahid mempertahankan Pemulihan Gereja Tuhan kecuali mereka mempunyai kesaksian yang pasti bahawa itu benar? Adakah hampir 2,000 Orang Suci mati di sepanjang jalan perintis15 jika mereka tidak beriman tentang injil Yesus Kristus telah dipulihkan? Sesungguhnya, iman adalah kuasa yang membolehkan apa yang mustahil tercapai.
Jangan memperkecilkan iman yang anda miliki. Ia perlukan iman untuk menyertai Gereja dan kekal setia. Ia perlukan iman untuk mengikuti nabi daripada mengikuti pakar dan pandangan popular. Ia perlukan iman untuk melayani misi semasa pandemik. Ia perlukan iman untuk jalani kehidupan murni ketika dunia mencaci hukum kemurnian akhlak Tuhan telah ketinggalan zaman. Ia perlukan iman untuk ajarkan injil kepada anak-anak di dunia yang sekular. Ia perlukan iman untuk mendoakan orang terkasih, dan lebih banyak iman untuk menerima jawapan yang mengecewakan.
Dua tahun lalu, Sister Nelson dan saya mengunjungi Samoa, Tonga, Fiji, dan Tahiti. Setiap negara pulau itu mengalami hujan lebat selama berhari-hari. Anggota Gereja telah berpuasa dan berdoa agar pertemuan luar rumah mereka dilindungi dari hujan.
Di Samoa, Fiji, dan Tahiti, ketika pertemuan bermula, hujan berhenti. Tetapi di Tonga, hujan tidak berhenti. Namun 13,000 Orang Suci datang beberapa jam lebih awal, sabar menunggu, dan kemudian duduk di pertemuan selama dua jam dalam keadaan basah.
Kami melihat iman yang kuat di kalangan setiap penduduk pulau itu—iman yang cukup untuk menghentikan hujan, dan iman untuk bertahan ketika hujan tidak berhenti.
Bukit dalam hidup kita tidak selalu beralih seperti atau bila yang kita mahu. Tetapi iman kita akan sentiasa mendorong kita untuk maju. Iman selalu meningkatkan akses kita kepada kuasa Tuhan.
Sila ketahuilah ini: segala dan semua orang di dunia yang anda percaya mungkin akan gagal, Yesus Kristus dan Gereja-Nya tidak akan mengecewakan anda. Tuhan tidak pernah terlelap, ataupun tertidur.16 Dia “ialah sama kelmarin, hari ini, dan [esok].”17 Dia tidak akan meninggalkan perjanjian-Nya,18 janji-janji-Nya, atau kasih-Nya kepada umat-Nya. Dia melakukan mukjizat hari ini dan Dia akan melakukan mukjizat esok.19
Iman kepada Yesus Kristus adalah kuasa terbesar yang tersedia bagi kita dalam kehidupan ini. Orang yang percaya kepada Tuhan dapat melakukan segala sesuatu!20
Iman anda yang semakin meningkat kepada-Nya akan mengalihkan bukit—bukan bukit batu yang mencantikkan bumi—tetapi bukit penderitaan dalam hidup anda. Iman anda yang subur akan membantu anda mengubah cabaran menjadi perkembangan dan peluang.
Pada Ahad Easter ini, dengan kasih dan kesyukuran mendalam, saya menyatakan kesaksian saya bahawa Yesus Kristus sudah bangkit. Dia bangkit untuk memimpin Gereja-Nya. Dia bangkit untuk memberkati kehidupan semua anak Tuhan, di mana pun mereka berada. Dengan iman kepada-Nya, kita boleh mengalihkan bukit dalam hidup kita. Saya bersaksi dalam nama kudus Yesus Kristus, amin.
© 2021 by Intellectual Reserve, Inc. All rights reserved. Dicetak di Amerika Syarikat. Kelulusan Bahasa Inggeris: 6/19. Kelulusan terjemahan: 6/19. Terjemahan Monthly Liahona Message, May 2021. Malay. 17468 348