Berdirilah di Tempat yang Telah Ditetapkan Padamu
Semoga kita boleh menghubungi dan menyelamatkan mereka yang telah menjadi tidak aktif, agar tidak ada jiwa berharga yang akan hilang.
Kita berkumpul malam ini sebagai satu badan imamat yang kuat, di Pusat Persidangan sini dan di lokasi-lokasi seluruh dunia. Ada yang memegang Imamat Harun, sementara yang lain memegang Imamat Melkisedek.
Presiden Stephen L Richards, yang melayani sebagai penasihat kepada Presiden David O. McKay, menyatakan, “Imamat biasanya didefinisikan sebagai ‘kuasa Tuhan yang diwakilkan kepada manusia.’” Dia meneruskan: “Pada pendapat saya, definisi ini adalah tepat. Tetapi untuk tujuan praktikal saya ingin mendefinisikan Imamat dari segi pelayanan dan saya sering memanggilnya ‘rancangan pelayanan yang sempurna.’ … Ia adalah kaedah pelayanan … dan orang yang gagal menggunakannya boleh kehilangannya, kerana kita secara jelas diberitahu oleh wahyu bahawa mereka yang mengabaikannya ‘tidak akan dianggap layak untuk bertahan.’”1
Di Pancang Perintis, yang terletak di Salt Lake City dan di mana saya menerima kedua-dua Imamat Harun dan Melkisedek, kami diajar untuk membiasakan diri dengan tulisan suci, termasuk bahagian 20, 84, dan 107 dalam Ajaran dan Perjanjian. Dalam bahagian ini kami belajar tentang imamat dan kerajaan Gereja.
Malam ini saya ingin menekankan satu ayat dari Bahagian 107: “Kerana itu, sekarang, biarlah setiap lelaki mempelajari tugasnya, dan bertindak dalam jawatan yang telah ditetapkan kepadanya, dengan penuh ketekunan.”2
Presiden Harold B. Lee sering mengajarkan: “Ketika seseorang menjadi pemegang imamat, dia menjadi wakil Tuhan. Dia harus memikirkan panggilannya seolah-olah dia sedang melakukan tugas Tuhan.”3
Kami juga pelajari dari bahagian ini tentang tugas-tugas presidensi kuorum dan hakikat bahawa kita bertanggungjawab untuk orang lain selain daripada diri kita sendiri.
Saya benar-benar mempercayai bahawa Gereja hari ini lebih kuat dari yang sebelumnya. Tahap aktiviti remaja kita bersaksi bahawa ini adalah generasi yang beriman dan taat kepada kebenaran. Namun terdapat beberapa orang yang menjadi tidak aktif, mencari minat lain yang meyakinkan mereka untuk mengabaikan tanggungjawab Gereja mereka. Kita tidak boleh kehilangan jiwa yang berharga itu.
Terdapat jumlah yang semakin meningkat di kalangan bakal penatua yang tidak dapat ditemui dalam pertemuan Gereja atau mengisi tugasan Gereja. Keadaan ini boleh dan mesti diperbaiki. Ini adalah tugas kita. Tanggungjawab perlu ditugaskan dan usaha dilakukan tanpa menangguhkannya.
Presidensi kuorum Imamat Harun, di bawah kepimpinan lembaga uskup dan penasihat kuorum, dapat diberi kuasa untuk menghubungi dan menyelamat.
Tuhan berkata, “Ingatlah nilai semua jiwa adalah besar di mata Tuhan; … dan betapa besar kebahagiaan-Nya di dalam jiwa yang bertaubat!”4
Kadang-kadang tugas itu kelihatan amat besar. Kita boleh mengambil keberanian baru daripada pengalaman Gideon dari zaman purba, dengan kekuatannya yang sederhana, dia perlu berperang dengan bangsa Midian dan bangsa Amaleki. Anda akan mengingati bagaimana Gideon dan tenteranya menghadapi kekuatan amat besar yang sangat hebat dalam peralatan dan bilangan. Kitab Hakim-Hakim dalam Perjanjian Lama mencatat bahawa musuh bersatu, bangsa Midian dan bangsa Amaleki, “dari padang gurun, tersebar di seluruh lembah itu seperti kawanan belalang. Unta mereka banyak sekali, bagaikan pasir di pantai.”5 Gideon pergi kepada Tuhan Yang Maha Kuasa untuk kekuatannya.
Gideon terkejut kerana telah dinasihatkan oleh Tuhan bahawa pasukannya terlalu banyak untuk Tuhan untuk menyerahkan musuh ke dalam tangan mereka, jangan-jangan mereka mengatakan, “bahawa mereka menang kerana kekuatan mereka sendiri.”6 Gideon diarahkan untuk mengumumkan kepada bangsanya: “Sesiapa yang berasa takut, harus segera meninggalkan Gunung Gilead dan pulang ke rumahnya. Oleh itu dua puluh dua ribu orang pulang; hanya sepuluh ribu orang yang tinggal.”7
Kemudian, Tuhan berfirman, “Masih terlalu banyak anak buahmu.”8 Dia mengarahkan Gideon untuk membawa mereka itu ke sungai untuk memerhatikan cara mereka minum air. Mereka yang menjilat air diletakkan dalam satu kumpulan, dan mereka yang berlutut untuk minum diletakkan di dalam kumpulan lain. Kemudian Tuhan berfirman kepada Gideon, “Aku akan menyelamatkan engkau dan memberi engkau kemenangan atas orang Midian dengan tiga ratus orang yang menjilat air. Suruhlah semua orang yang lain itu pulang.”9
Gideon kembali kepada pasukannya dan berkata kepada mereka, “Bersedialah! Tuhan memberi kamu kemenangan atas angkatan tentera Midian.”10 Dia membahagikan anak buahnya kepada tiga pasukan, dan dia memberi tiap-tiap orang sebuah trompet dan sebuah buyung yang berisi obor. Dan dia berkata kepada mereka:
“Apabila aku sampai di depan perkhemahan musuh, perhatikan aku baik-baik. Lakukan apa yang aku lakukan.
“Apabila aku dan pasukanku meniup trompet, kamu juga harus meniup trompet kamu di sekeliling perkhemahan musuh serta berteriak, ‘Untuk Tuhan dan untuk Gideon.” Dia kemudian berkata, “Ikut aku.” Kata-katanya yang tepat adalah, “Lakukan apa yang aku lakukan.”11
Pada isyarat pemimpin, bala tentera Gideon meniup trompet dan memecahkan buyung dan menjerit, “Pedang untuk Tuhan dan untuk Gideon.” Tulisan suci mencatatkan hasil pertempuran penentuan ini: “Mereka semuanya tetap berdiri di tempat masing-masing,” dan kemenangan dicapai.12
Pengajaran keluarga adalah sebahagian dari rancangan hari ini untuk menyelamat. Apabila diperkenalkan oleh Presiden David O. McKay kepada semua Penguasa Umum, dia menasihatkan: “Pengajaran keluarga adalah salah satu peluang yang paling penting dan paling menggembirakan untuk memelihara dan mengilhami, untuk memberi nasihat dan memimpin anak-anak Bapa kita. … [Ini] adalah pelayanan ilahi, panggilan ilahi. Ini adalah tugas kita sebagai Pengajar Keluarga untuk membawa roh ilahi ke dalam setiap rumah dan hati.”13
Di beberapa kawasan di mana kekuatan Imamat Melkisedek yang mencukupi adalah kurang, presiden pancang dan uskup, bekerjasama dengan presiden misi, boleh menggunakan penginjil sepenuh masa untuk melawat keluarga yang kurang aktif dan keluarga separa ahli gereja. Ini bukan sahaja menyalakan semangat penginjil di rumah, tetapi ia juga memberikan peluang yang ideal untuk mendapatkan rujukan orang yang berminat untuk diajar.
Selama bertahun saya telah melawat banyak pancang di seluruh dunia, terdapat pancang di mana para pemimpin bahagian dan pancang, atas keperluan atau sebagai tindak balas kepada tugas, berhenti membuat alasan, terus melakukan tugas mereka, dan, dengan bantuan Tuhan, pergi bekerja dan membawa para lelaki yang berharga untuk menjadi layak untuk Imamat Melkisedek dan, dengan isteri dan anak-anak mereka, untuk memasuki bait suci untuk anugerahan dan pemeteraian.
Saya akan menyebut beberapa contoh secara ringkas:
Semasa lawatan ke Pancang Millcreek di Salt Lake City beberapa tahun yang lalu, saya mendapati bahawa lebih daripada 100 saudara yang merupakan bakal penatua telah ditahbiskan sebagai penatua satu tahun lalu. Saya bertanya kepada Presiden James Clegg rahsia kejayaannya. Walaupun dia terlalu rendah hati untuk menerima pujian itu, salah seorang penasihatnya mendedahkan bahawa Presiden Clegg, mengenal pasti cabaran, telah berusaha secara peribadi untuk menelefon dan mengatur janji temu peribadi di antara dia dan setiap bakal penatua. Semasa janji temu itu, Presiden Clegg akan menyebut tentang bait suci Tuhan, tatacara dan perjanjian penyelamatan yang ditekankan di sana, dan akan berakhir dengan soalan ini: “Tidakkah anda ingin mengambil isterimu yang manis dan anak-anakmu yang berharga ke rumah Tuhan, agar anda boleh menjadi keluarga selamanya sepanjang keabadian?” Kemudian, bakal penatua bersetuju, proses pengaktifan dijalankan, dan matlamat dicapai.
Pada tahun 1952 kebanyakan keluarga di Bahagian Ketiga Rose Park adalah bapa atau suami yang hanya memegang Imamat Harun, dan bukannya Imamat Melkisedek. Brother L. Brent Goates dipanggil untuk melayani sebagai uskup. Dia menjemput seorang saudara yang tidak aktif di dalam bahagian, Ernest Skinner, untuk membantu mengaktifkan 29 saudara-saudara dewasa di dalam bahagian yang memegang jawatan pengajar dalam Imamat Harun dan membantu orang-orang ini dan keluarga mereka masuk ke bait suci. Sebagai ahli kurang aktif juga, Brother Skinner enggan membantu pada mulanya tetapi akhirnya dia setuju melakukan apa yang dia boleh lakukan. Dia mula melawat pengajar-pengajar dewasa kurang aktif secara peribadi dengan cuba membantu mereka melihat peranan mereka sebagai pemimpin imamat di rumah mereka dan sebagai suami dan bapa kepada keluarga mereka. Tidak lama selepas itu, dia menyuruh beberapa saudara yang kurang aktif untuk membantunya dalam tugasnya. Satu demi satu, mereka kembali aktif sepenuhnya dan membawa keluarga mereka ke bait suci.
Suatu hari, kerani bahagian keluar dari barisan pembayarannya di kedai runcit untuk bertegur sapa dengan kumpulan terakhir yang pergi ke bait suci. Bercakap mengenai kedudukannya sebagai yang terakhir, lelaki itu berkata: “Saya berdiri dan memerhatikan ketika semua kumpulan itu menjadi aktif di bahagian kami dan pergi ke bait suci. Sekiranya saya dapat membayangkan betapa cantiknya di dalam bait suci, dan bagaimana ia akan mengubah hidup saya selamanya, saya tidak akan pernah menjadi orang ke-29 yang terakhir untuk dimeteraikan di bait suci.”
Dalam setiap laporan, terdapat empat unsur yang membuat mereka berjaya:
-
Peluang pengaktifan semula dijalankan pada peringkat bahagian.
-
Uskup dalam bahagian melibatkan diri.
-
Pengajar-pengajar yang layak dan diilhami disediakan.
-
Perhatian diberikan kepada setiap individu.
Saudara-saudara, marilah kita mengingati nasihat Raja Benyamin: “Apabila kamu berada dalam pelayanan sesamamu, kamu semata-mata dalam pelayanan Tuhanmu.”14
Marilah kita menghulurkan tangan untuk menyelamatkan mereka yang perlukan bantuan kita dan untuk mengangkat mereka ke jalan hidup yang lebih baik dan soleh. Marilah kita menumpukan pemikiran kita terhadap keperluan pemegang imamat dan isteri serta anak-anak mereka yang telah menjadi kurang aktif. Semoga kita mendengar pesanan yang tidak diucapkan dari hati mereka:
Kerja-kerja pengaktifan semula bukan tugas untuk pemalas atau orang yang suka berangan-angan. Anak-anak membesar, umur ibu bapa meningkat, dan masa tidak menunggu sesiapa. Jangan menangguhkan dorongan; sebaliknya, bertindak ke atasnya, dan Tuhan akan membuka jalan.
Sering kali, kesabaran hemah syurgawi diperlukan. Sebagai seorang uskup, pada satu hari, saya didorong untuk menelefon seorang lelaki yang isterinya agak aktif, begitu juga dengan anak-anak mereka. Tetapi lelaki ini tidak pernah menjawab. Ia adalah hari yang panas pada musim panas apabila saya mengetuk pintu Harold G. Gallacher. Saya dapat melihat Brother Gallacher duduk di kerusinya membaca surat khabar. “Siapa itu?” dia bertanya, tanpa melihat.
“Uskup kamu,” saya jawab. “Saya datang untuk mengenali anda dan untuk menggalakkan anda hadir dengan keluarga anda ke pertemuan kami.”
“Tidak boleh, saya terlalu sibuk,” jawapannya yang angkuh. Dia tidak memandang saya pun. Saya mengucapkan terima kasih kepadanya kerana mendengar dan meninggalkan tempat itu.
Keluarga Gallacher berpindah ke California tidak lama kemudian. Bertahun-tahun sudah berlalu. Kemudian, sebagai ahli Kuorum Dua Belas, saya sedang bekerja di pejabat saya pada suatu hari apabila setiausaha saya menelefon, mengatakan: “Brother Gallacher yang pernah tinggal di bahagian kamu ingin bercakap dengan kamu. Dia ada di sini dalam pejabat saya.”
Saya menjawab, “Tanya dia jika namanya Harold G. Gallacher dan keluarganya, yang pernah tinggal di Vissing Place di West Temple dan Fifth South.”
Dia berkata, “Dialah lelaki itu.”
Saya memintanya menghantar dia masuk. Kami mempunyai perbualan yang menyenangkan bersama-sama tentang keluarganya. Dia memberitahu saya, “Saya datang untuk memohon maaf kerana tidak berganjak dari kerusi saya dan membiarkan kamu di pintu pada musim panas bertahun-tahun yang lalu.” Saya bertanya kepadanya jika dia aktif dalam Gereja. Dengan senyuman, dia menjawab: “Sekarang saya seorang penasihat kedua dalam lembaga uskup saya. Jemputan kamu untuk ke gereja, dan balasan negatif saya menghantui saya sehingga saya bertekad untuk melakukan sesuatu mengenainya.”
Harold dan saya saling melawat satu sama lain beberapa kali sebelum dia meninggal dunia. Keluarga Gallachers dan anak-anak mereka memenuhi banyak panggilan dalam Gereja. Salah seorang cucu yang paling muda sekarang sedang melayani misi sepenuh masa.
Kepada ramai penginjil yang mungkin sedang mendengar petang ini, saya berkongsi pandangan bahawa benih-benih kesaksian sering tidak segera berakar dan berbunga. Usaha dalam melakukan sesuatu mengambil masa untuk membuahkan hasil. Tetapi ia akan tetap membuahkan hasil.
Saya menjawab telefon saya suatu malam dan mendengar suara bertanya, “Adakah kamu bersaudara dengan Elder Monson yang pernah melayani dalam Misi New England bertahun-tahun yang lalu?”
Saya menjawab tidak. Pemanggil itu memperkenalkan dirinya sebagai Brother Leonardo Gambardella dan kemudian mengatakan bahawa Elder Monson dan Elder Bonner menelefon rumahnya suatu ketika dahulu dan memberi kesaksian mereka kepadanya dan isterinya. Mereka telah mendengar tetapi tidak melakukan apa-apa untuk mengikuti ajaran mereka. Seterusnya, mereka berpindah ke California, di mana, kira-kira 13 tahun kemudian, mereka sekali lagi menjumpai kebenaran dan telah bertukar hati dan dibaptiskan. Brother Gambardella kemudian bertanya jika terdapat cara dia dapat menghubungi para Elder yang pertama kali melawat mereka, supaya dia dapat mengucapkan terima kasih untuk kesaksian mereka, yang kekal bersama dia dan isterinya.
Saya menyemak catatan. Saya menjumpai para elder tersebut. Bolehkah anda membayangkan betapa terkejutnya mereka yang kini sudah berkahwin, memiliki keluarga mereka sendiri, apabila saya menelefon mereka dan memberitahu mereka berita baik itu—bahkan hasil usaha awal mereka. Mereka dengan serta-merta teringat tentang keluarga Gambardellas. Saya mengatur panggilan telefon supaya mereka secara peribadi boleh mengucapkan tahniah kepada mereka dan mengalu-alukan mereka ke dalam Gereja. Mereka melakukannya. Terdapat air mata, tetapi ia air mata kegembiraan.
Edwin Markham menulis ayat-ayat ini:
Terdapat takdir yang membuat kita bersaudara;
Tiada orang yang keseorangan:
Semua yang kita berikan ke dalam hidup orang lain
Datang semula kepada kita.16
Malam ini saya berdoa agar kita semua yang memegang imamat dapat merasakan tanggungjawab kita, bahawa kita, seperti Gideon zaman purba, boleh berdiri pada tempat yang ditetapkan dan, sebagai satu, mengikut Pemimpin kita—bahkan Tuhan Yesus Kristus—dan nabi-Nya, Presiden Gordon B. Hinckley. Semoga kita boleh menghubungi dan menyelamatkan mereka yang telah menjadi tidak aktif, agar tidak ada jiwa berharga yang akan hilang.
Dalam nama Yesus Kristus, amin.