2000–2009
Diberkatilah Semua yang Suci Hatinya
Oktober 2007


Diberkatilah Semua yang Suci Hatinya

Semoga Tuhan memberkati usaha tulen kita untuk menjadi suci hati dan minda, agar “kehemahan [boleh] mengisi fikiran [kita] tanpa henti.”

Berjalan di pantai Caribbean satu pagi yang cerah beberapa tahun lalu, isteri saya dan saya melihat beberapa perahu kecil yang ditarik ke darat. Apabila kami berhenti untuk melihat perahu-perahu itu, saya pelajari sesuatu tentang memancing yang saya tidak akan lupa. Daripada menggunakan jaring, tali pancing, atau cangkuk, nelayan tempatan gunakan perangkap mudah yang diperbuat dari dawai. Setiap perangkap berbentuk seperti kotak. Nelayan-nelayan memotong kira-kira lapan inci panjang pada setiap sisi perangkap dan kemudian membengkokkan dawai itu ke dalam, membuat slot sempit agar ikan dapat masuk.

Anda mungkin boleh meneka bagaimana perangkap berkesan. Nelayan-nelayan ini melemparkan perangkap ke laut dan menurunkannya ke dasar. Apabila seekor ikan besar mendekati perangkap dan merasakan umpan, ia akan menemukan satu celah di sisi perangkap dan berenang masuk, menyisip di antara dawai yang dipotong. Kemudian, apabila ikan itu cuba berenang keluar, ia akan mendapati bahawa lebih senang memasuki ke dalam perangkap, tetapi sangat sukar untuk berenang melawan hujung tajam itu untuk keluar—ikan itu tertangkap. Apabila nelayan-nelayan kembali, mereka menarik perangkap itu dari air, dan ikan yang terperangkap itu segera menjadi hidangan laut yang segar.

Terdapat satu laporan dalam Perjanjian Lama tentang seseorang yang menjadi mangsa kepada perangkap yang serupa. Lelaki itu ialah Raja Daud yang perkasa, dan cerita ini adalah salah satu cerita yang paling sedih dalam tulisan suci.

“Pada musim bunga tahun itu, Raja Daud menyuruh Yoab maju berperang bersama dengan para pegawai tentera dan segenap tentera Israel. Mereka [berperang dengan orang Amon] Tetapi Raja Daud tinggal di Yerusalem.

“Pada suatu petang, setelah Raja Daud bangun daripada tidur, baginda pergi berjalan-jalan di bumbung istana yang rata. Dari situ baginda nampak seorang wanita sedang mandi, dan wanita itu sangat cantik” (2 Samuel 11:1–2).

Daud dapat tahu nama wanita itu ialah Batsyeba. Suaminya, Uria, seorang tentera, telah pergi berperang melawan orang Amon bersama tentera-tentera lain, di mana Daud, raja mereka, seharusnya berada. Daud telah membawa Batsyeba ke istana. Mereka berzina, Batsyeba menjadi hamil, dan Daud mula takut jika penzinaan mereka akan diketahui. Dengan harapan untuk menutup dosanya, Daud memerintahkan agar Uria kembali ke Yerusalem. Uria kembali, tetapi enggan pergi ke rumahnya untuk menemui Batsyeba. Daud kemudian mengatur untuk Uria dibunuh dalam pertempuran (lihat 2 Samuel 11:3–17). Keputusan ngeri ini menyebabkan kematian Uria dan kesengsaraan kepada Daud, Batsyeba, dan akhirnya seluruh kerajaan. Dengan pernyataan besar, Alkitab berkata, “Tuhan tidak berkenan dengan apa yang sudah dilakukan oleh Raja Daud” (2 Samuel 11:27).

Adakah anda melihat bagaimana Daud terperangkap dalam perangkap ini? Dia berada di atas bumbung istananya, dan melihat ke halaman berdekatan, dia melihat sesuatu yang dia tidak patut lihat. Itulah umpan musuh. Kesopanan, kemurnian akhlak, dan penghakiman yang baik menuntut agar Daud segera berpaling dan tidak melihat lagi, tetapi dia tidak melakukannya. Sebaliknya, dia membenarkan fikirannya membayangkan hal-hal terlarang, pemikiran itu membawa kepada tindakan, dan segalanya dengan cepat berubah dari sesuatu yang jahat kepada sesuatu yang teruk dan kepada kematian. Daud terperangkap, dan akibatnya adalah abadi.

Terdapat perangkap rohani hari ini yang disebut pornografi, dan banyak orang, didorong oleh pesanan-pesanannya yang provokatif, memasuki perangkap yang bahaya ini. Seperti perangkap lain, ia mudah untuk masuk tetapi sukar untuk melepaskan diri. Ada yang merasionalisasikan bahawa mereka boleh bersahaja melihat pornografi tanpa menderita kesan buruknya. Pada mulanya mereka berkata, “Ini tidak begitu teruk,” atau, “Siapa yang kisah? Ia tidak ada apa-apa perbezaan,” atau, “Saya hanya ingin tahu.” Tetapi mereka salah. Tuhan telah memberi amaran, “Dan dia yang memandang kepada seorang wanita sehingga berhawa nafsu terhadapnya akan menyangkal iman, dan tidak akan memiliki Roh; dan jika dia tidak bertaubat dia akan diusir”(A&P 42:23). Itulah yang berlaku kepada Daud: Dia memandang Batsyeba, berahi terhadapnya, dan kehilangan Roh. Betapa berbezanya kehidupan Daud jika dia tidak memandang.

Selain kehilangan Roh, pengguna pornografi juga kehilangan perspektif dan rasa pertimbangan yang wajar. Seperti Raja Daud, mereka cuba menyembunyikan dosa mereka, lupa bahawa tiada apa pun yang dapat disembunyikan daripada Tuhan (lihat 2 Nefi 27:27). Akibat-akibat nyata mula berkumpul apabila harga diri berkurang, hubungan manis menjadi hampar, perkahwinan menjadi layu, dan mangsa yang tidak bersalah mula bertambah. Mendapati bahawa apa yang mereka telah lihat tidak lagi memuaskan, mereka mula mencuba imej yang lebih ekstrem. Mereka perlahan-lahan menjadi ketagihan walaupun mereka tidak mengetahuinya atau mereka menyangkalnya, dan seperti Daud, kelakuan mereka memburuk semasa standard moral mereka bertambah teruk.

Seperti budaya popular di seluruh dunia yang semakin memburuk, kebusukan semakin memenuhi media, hiburan, pengiklanan, dan Internet. Tetapi populariti menurut standard dunia adalah skala yang sangat berbahaya untuk digunakan untuk mengukur apa yang benar atau apa yang tidak bahaya. Satu tayangan wayang atau televisyen mungkin terkenal dan disukai oleh berjuta-juta penonton dan walaupun demikian menunjukkan gambar dan kelakuan yang bersifat pornografi. Jika sesuatu dalam wayang “tidak terlalu jahat,” itu bermakna ia juga tidak terlalu baik. Jadi, hakikat bahawa orang lain menonton wayang atau membuka laman web yang tidak sesuai bukanlah alasan bagi kita. Kehidupan pemegang imamat harus mengikut standard Juruselamat dan Gereja-Nya, bukan standard dunia.

Juruselamat mengajar, “Dan diberkatilah semua yang suci hatinya, kerana mereka akan melihat Tuhan” (3 Nefi 12:8). Janji-janji injil mengangkat dan menyucikan, bahkan memuliakan. Kita menerima janji-janji itu melalui perjanjian yang bersyarat pada cara kita menjalani kehidupan yang suci dan bermoral. Apabila kita hidup dengan benar dan berusaha untuk menyucikan hati kita, kita lebih mendekati Tuhan dan Roh. Keadaan hati kita menentukan berapa banyak bukti ketuhanan yang kita lihat di dunia sekarang dan melayakkan kita untuk sedar pada akhirnya yang suci “akan melihat Tuhan.” Tugas kita adalah mencari kesucian. Demikianlah, Rasul Yohanes menulis:

“Sahabat-sahabat yang aku kasihi! Kita sekarang anak-anak Tuhan, tetapi keadaan kita kelak belum jelas. Tetapi kita tahu bahawa apabila Kristus datang, kita akan menjadi seperti Dia, kerana kita akan melihat Dia dalam keadaan-Nya yang sebenarnya.

“Setiap orang yang mempunyai harapan ini kepada Kristus, menjaga dirinya supaya suci, sebagaimana Kristus pun suci” (1 Yohanes 3:2–3).

Jika anda terperangkap dalam perangkap pornografi, inilah masa untuk membebaskan diri anda dengan bantuan Juruselamat. Terdapat jalan keluar, tetapi anda memerlukan bantuan-Nya untuk melepaskan diri. Pemulihan anda yang lengkap bergantung kepada pertaubatan anda yang lengkap. Temuilah uskup anda dengan segera. Cari bimbingannya. Dia akan membantu anda membuat rancangan pertaubatan yang akan memulihkan harga diri anda dan membawa Roh kembali ke dalam hidup anda. Kuasa penyembuhan Korban Tebusan Tuhan Yesus Kristus menjangkau segala kesengsaraan, bahkan ini. Jika anda akan berpaling kepada Juruselamat dengan sepenuh hati dan mengikuti nasihat uskup anda, anda akan menemukan penyembuhan yang diperlukan. Juruselamat akan membantu anda mencari kekuatan untuk menentang godaan dan kuasa untuk mengatasi ketagihan. Seperti yang Moroni ajarkan:

“Datang kepada Kristus, dan berpegang pada setiap kurnia yang baik, dan janganlah menyentuh kurnia yang jahat, ataupun perkara yang tidak bersih. …

“Ya, datanglah kepada Kristus, dan disempurnakanlah di dalam Dia, dan jauhilah dirimu daripada segala kejahatan; dan jika kamu akan menjauhi dirimu daripada segala kejahatan, dan mengasihi Tuhan dengan segala daya, fikiran dan kekuatanmu, maka rahmat-Nya adalah mencukupi bagimu, agar dengan rahmat-Nya kamu boleh menjadi sempurna di dalam Kristus” (Moroni 10:30, 32).

Semoga Tuhan memberkati usaha tulen kita untuk menjadi suci hati dan fikiran, agar “kehemahan [boleh] mengisi fikiran [kita] tanpa henti” (A&P 121:45). Saya bersaksi tentang kasih penebusan Juruselamat dan kuasa penyucian Korban Tebusan-Nya dalam nama Yesus Kristus, amin.