2013
Kepatuhan Membawa Berkat
Mei 2013


Pesanan Presidensi Utama, Mei 2013

Kepatuhan Membawa Berkat

Pengetahuan kebenaran dan jawapan-jawapan kepada soalan-soalan terbesar kita datang kepada kita apabila kita mematuhi perintah-perintah Tuhan.

Para saudara dan saudariku yang terkasih, betapa bersyukurnya saya untuk bersama anda pagi ini. Saya meminta iman dan doa-doa anda semasa saya berucap kepada anda.

Sepanjang zaman, para lelaki dan wanita telah mencari pengetahuan dan pemahaman mengenai kewujudan fana ini dan kedudukan dan tujuan mereka di dalamnya, juga bagi cara untuk mendapat kedamaian dan kebahagiaan. Setiap antara kita adalah terlibat dalam pencarian sebegini.

Pengetahuan dan pemahaman ini boleh didapati oleh semua manusia. Ianya terkandung dalam kebenaran-kebenaran yang abadi. Dalam Ajaran dan Perjanjian bahagian 1, ayat 39 }, kita membaca, “Karena lihatlah, dan tengoklah, Tuhan ialah Raja, dan Roh memberikan kesaksian, dan kesaksian itu benar, dan kebenaran tetap tinggal selama-lamanya.”

Seorang penyair terkenal menulis:

Walaupun semuanya di syurga dan di bumi hilang atau binasa,

Kebenaran, jumlah kewujudan, akan bertahan dalam keadaan yang paling teruk,

Yang abadi, tidak berubah, selama-lamanya.1

Ada yang akan bertanya, “Di manakah kebenaran sedemikian untuk didapati, dan bagaimana kita boleh mengenalinya?” Dalam sebuah wahyu yang diberikan melalui Nabi Joseph Smith di Kirtland, Ohio, pada bulan Mei 1833, Tuhan mengisytiharkan:

“Kebenaran adalah pengetahuan tentang hal-hal sebagaimana adanya, dan sebagaimana adanya dahulu, dan sebagaimana adanya yang akan datang. …

“Roh kebenaran adalah dari Tuhan. …

“Dan tak seorang pun menerima kegenapan kecuali dia menaati perintah-perintah-Nya.

“Dia yang menaati perintah-perintah [Tuhan] menerima kebenaran dan terang, sampai dia dimuliakan dalam kebenaran dan mengetahui segala sesuatu.”2

Betapa hebat janji itu! “Dia yang menaati perintah-perintah [Tuhan] menerima kebenaran dan terang, sampai dia dimuliakan dalam kebenaran dan mengetahui segala sesuatu.”

Pada zaman ini apabila kita mempunyai banyak pengetahuan dan kegenapan injil yang telah dipulihkan, kita tidak perlu mencari kebenaran dalam cara yang belum pernah dilakukan. Bapa Syurgawi yang penyayang telah merancang haluan kita dan memberi panduan yang pasti—iaitu kepatuhan. Pengetahuan kebenaran dan jawapan-jawapan kepada soalan-soalan terbesar kita datang kepada kita apabila kita mematuhi perintah-perintah Tuhan.

Kita belajar kepatuhan sepanjang kehidupan kita. Bermula apabila kita masih sangat muda, orang yang bertanggungjawab untuk menjaga kita mendirikan garis panduan dan peraturan-peraturan untuk memastikan keselamatan kita. Kehidupan akan lebih mudah bagi kita semua kalau kita dengan sepenuhnya mematuhi peraturan-peraturan sedemikian. Ramai antara kita, bagaimanapun, belajar melalui pengalaman mengenai kebijaksanaan menjadi patuh.

Semasa saya membesar, setiap musim panas dari awal bulan Julai hingga bulan September, keluarga saya tinggal di pondok di Vivian Park di Provo Canyon di Utah.

Salah seorang kawan baik saya pada masa ceria di lembah dalam itu adalah Danny Larsen. Keluarga dia juga mempunyai sebuah pondok di Vivian Park. Setiap hari, dia dan saya berjalan-jalan di kawasan itu di mana ada banyak perkara menyeronokkan yang budak-budak lelaki boleh buat. Kami memancing di sungai, mengumpul batu dan benda-benda lain, mengembara, mendaki, dan seronok menikmati setiap minit dalam setiap jam dalam setiap hari.

Satu pagi, Danny dan saya memutuskan bahawa kami mahu membina sebuah unggun api pada petang itu bersama semua kawan kami di lembah dalam itu. Kami cuma perlu mengosongkan sebuah kawasan berdekatan sebuah padang di mana kami semua boleh berkumpul. Rumput bulan Jun yang ada di padang itu sangat kering, dan padang itu tidak sesuai bagi tujuan kami. Kami mula menarik rumput tinggi, merancang untuk mengosongkan sebuah kawasan bulatan yang besar. Kami menarik dengan segenap kekuatan kami, tetapi kami hanya mendapat segenggam kecil rumput-rumput yang degil. Kami tahu bahawa tugas ini akan mengambil sepanjang hari, dan tenaga dan semangat kami sudah berkurangan.

Kemudian, apa yang saya fikirkan adalah penyelesaian sempurna yang masuk akal kepada saya yang baru berumur lapan tahun. Saya berkata kepada Danny, “Semua yang kita perlu adalah membuatkan rumput-rumput ini terbakar. Kita hanya perlu membakar sebuah bulatan pada rumput-rumput ini!” Dia segera bersetuju, dan saya berlari ke pondok kami untuk mendapatkan beberapa mancis.

Supaya anda tidak berfikir bahawa kami dibenarkan untuk menggunakan mancis pada umur muda lapan tahun, saya mahu menjelaskan bahawa Danny dan saya dilarang menggunakannya tanpa pengawasan orang dewasa. Kami kedua-duanya telah diberi amaran berkali-kali tentang bahaya api. Namun begitu, saya tahu di mana keluarga saya menyimpan mancis itu, dan kami perlu mengosongkan padang itu. Tanpa berfikir banyak, saya berlari ke pondok kami dan mengambil beberapa batang mancis, memastikan tiada orang yang melihat. Saya menyembunyikannya dengan cepat di dalam salah satu poket saya.

Saya berlari kembali kepada Danny, gembira kerana di dalam poket saya ada penyelesaian bagi masalah kami. Saya mengingat berfikir bahawa api itu akan terbakar hanya sejauh yang kami mahukan dan kemudian terpadam sendiri dengan ajaibnya.

Saya menggores sebatang mancis pada sebuah batu dan mula membakar rumput bulan Jun yang kering kontang itu. Ia bernyala seolah-olah lencun dengan petrol. Pada mulanya, Danny dan saya berasa seronok ketika kami memerhati rumput-rumput itu lenyap, tetapi tidak lama kemudian kami menyedari api itu tidak akan berhenti sendirinya. Kami berasa panik apabila kami menyedari tiada apa-apa yang boleh kami buat untuk menghentikannya. Api mula membakar banyak rumput liar di atas kawasan bukit, membahayakan pokok-pokok pain dan semua benda lain di dalam laluannya.

Akhirnya kami tiada pilihan tetapi berlari mencari bantuan. Tidak lama selepas itu, semua orang yang boleh didapati di Vivian Park berlari ulang alik dengan karung kain terpal basah, cuba menghentikan api itu. Selepas beberapa jam, bara api yang terakhir pun berhenti. Pokok-pokok pain yang telah hidup berkurun-kurun lamanya diselamatkan, begitu juga rumah-rumah diselamatkan.

Danny dan saya telah belajar beberapa pelajaran yang sukar, tetapi penting, pada hari itu—seperti kepentingan kepatuhan.

Adanya peraturan-peraturan dan undang-undang untuk memastikan keselamatan jasmani kita. Begitu juga, Tuhan memberi garis panduan dan perintah-perintah untuk memastikan keselamatan rohani kita supaya kita boleh berjaya memandu arah kewujudan fana ini yang sering berbahaya dan akhirnya kembali kepada Bapa Syurgawi kita.

Berabad yang lalu, Samuel dengan berani mengisytiharkan kepada orang yang diajar banyak tentang korban haiwan bahawa “mendengarkan lebih baik dari pada korban sembelihan, memperhatikan lebih baik dari pada lemak domba-domba jantan.”3

Pada zaman keagamaan ini, Tuhan mengungkapkan kepada Nabi Joseph Smith bahawa Dia memerlukan “hati dan suatu pikiran yang rela; dan yang bersedia dan yang patuh akan memakan yang baik dari tanah Sion pada zaman terakhir ini.”4

Semua nabi, kuno dan masa kini, telah mengetahui bahawa kepatuhan adalah penting untuk keselamatan kita. Nefi mengisytiharkan, “Aku akan pergi dan melakukan apa yang telah Tuhan perintahkan.”5 Walaupun orang lain teragak-agak dalam iman dan kepatuhan mereka, Nefi tidak pernah sekalipun gagal melakukan apa yang Tuhan meminta darinya. Banyak generasi telah diberkati sebagai hasilnya.

Cerita Abraham dan Ishak adalah cerita yang sangat mengilhamkan tentang kepatuhan. Pasti sangat susah bagi Abraham, dalam mematuhi perintah Tuhan, membawa anaknya yang terkasih, Ishak, ke tanah Moria untuk memberikan dia sebagai korban. Bolehkah kita membayangkan kesedihan Abraham semasa dia pergi ke tempat yang ditetapkan itu? Pasti seksaan batin itu membuat tubuh dan minda dia berasa sangat sakit semasa dia mengikat Ishak, meletakkan dia di atas altar, dan mengambil pisau untuk membunuhnya. Dengan iman yang tidak tergoyah dan kepercayaan penuh kepada Tuhan, dia memberikan respons kepada perintah Tuhan. Betapa agung pengumuman tersebut, dan Abraham pasti sangat gembira apabila dia mendengarnya: “Jangan bunuh anak itu dan jangan kau apa-apakan dia, sebab telah Kuketahui sekarang, bahawa engkau takut akan Tuhan, dan engkau tidak segan-segan untuk menyerahkan anakmu yang tunggal kepada-Ku.”6

Abraham telah dicubai dan diuji, dan kerana kesetiaannya dan kepatuhannya, Tuhan memberikannya janji hebat ini: “Oleh keturunanmulah semua bangsa di bumi akan mendapat berkat, kerana engkau mendengarkan firman-Ku.”7

Walaupun kita tidak diminta untuk membuktikan kepatuhan kita dalam cara yang dramatik dan amat menyedihkan sepertinya, kepatuhan adalah diperlukan dari kita juga.

Presiden Joseph F. Smith mengisytiharkan pada bulan Oktober 1873, “Kepatuhan adalah hukum pertama dari syurga.”8

Presiden Gordon B. Hinckley berkata, “Kepatuhan kepada ajaran-ajaran Tuhan adalah sangat penting bagi kebahagiaan Orang Suci Zaman Akhir, kedamaian mereka, kemajuan mereka, kemakmuran mereka, dan keselamatan abadi dan kemuliaan rakyat ini.”9

Kepatuhan adalah sifat biasa bagi nabi-nabi; ia telah memberikan kekuatan dan pengetahuan kepada mereka sepanjang zaman. Adalah penting bagi kita untuk menyedari bahawa kita, juga, berhak untuk sumber kekuatan dan pengetahuan ini. Kita boleh mendapatnya dengan mudah hari ini apabila kita mematuhi perintah-perintah Tuhan.

Sepanjang kehidupan saya, saya telah mengenali ramai orang yang sangat beriman dan patuh. Saya telah diberkati dan diilhami oleh mereka. Saya mahu berkongsi bersama anda cerita tentang dua orang sebegitu.

Dahulu, Walter Krause adalah seorang anggota Gereja yang setia, bersama keluarganya, tinggal di tempat yang dikenal sebagai Jerman Timur selepas Perang Dunia Kedua. Walaupun dia mengalami kesusahan kerana kekurangan kebebasan di kawasan itu pada masa itu, Saudara Krause seorang yang mengasihi dan melayani Tuhan. Dia dengan kesetiaan dan dengan lengkap memenuhi setiap tugas yang diberikan kepada dia.

Seorang yang lain, Johann Denndorfer, yang berasal dari Hungary, masuk ke Gereja ini di Jerman dan dibaptiskan di sana pada tahun 1911 pada usia 17 tahun. Tidak lama selepas itu dia pulang ke Hungary. Selepas Perang Dunia Kedua, dia mendapati dirinya hampir menjadi orang tahanan di negaranya, di kota Debrecen. Kebebasan juga telah diambil daripada rakyat Hungary.

Saudara Walter Krause, yang tidak mengenali Saudara Denndorfer, menerima tugas untuk menjadi pengajar keluarganya dan untuk melawatnya secara tetap. Saudara Krause memanggil rakan pengajar keluarganya dan berkata kepada dia, “Kita telah menerima tugas untuk melawat Saudara Johann Denndorfer. Bolehkah kamu pergi bersama saya minggu ini untuk melawat dia dan memberinya satu pesanan injil?” Dan kemudian dia menambah, “Saudara Denndorfer tinggal di Hungary.”

Rakannya yang terkejut bertanya, “Bilakah kita akan berangkat?”

“Besok,” jawab Saudara Krause.

“Bila kita akan pulang?” tanya rakannya.

Saudara Krause menjawab, “Oh, selepas kira-kira satu minggu—kalau kita dapat pulang.”

Dua orang pengajar keluarga itu pun berangkat untuk melawat Saudara Denndorfer, menaiki keretapi dan bas dari Jerman timur laut ke Debrecen, Hungary—suatu perjalanan yang panjang. Saudara Denndorfer tidak pernah punya pengajar keluarga sejak sebelum perang. Sekarang, apabila dia melihat hamba-hamba Tuhan ini, dia ditenggelami dengan kesyukuran kerana mereka telah datang. Pada mulanya, dia tidak mahu berjabat tangan dengan mereka. Sebaliknya, dia pergi ke bilik tidurnya dan mengambil dari kabinet kecil sebuah kotak yang mengandungi persepuluhannya yang dia telah kumpulkan selama bertahun-tahun. Dia memberikan persepuluhan itu kepada pengajar keluarganya dan berkata, “Sekarang saya telah memenuhi kewajipan persepuluhan saya kepada Tuhan. Sekarang saya berasa layak untuk menjabat tangan hamba-hamba Tuhan!” Saudara Krause kemudian memberitahu saya bahawa kata-kata tidak dapat menggambarkan betapa emosinya dia merasakan kerana saudara yang setia ini, yang tidak ada hubungan dengan Gereja selama bertahun-tahun, masih dengan patuh dan dengan konsisten mengambil dari gajinya yang kecil 10 peratus untuk membayar persepuluhannya. Dia mengumpulkannya tanpa mengetahui bila atau jika dia akan ada peluang untuk membayar persepuluhan.

Saudara Walter Krause telah meninggal sembilan tahun yang lalu pada usia 94. Dia telah melayani dengan setia dan dengan patuh seluruh kehidupannya dan merupakan satu inspirasi kepada saya dan semua yang mengenali dia. Apabila diminta untuk memenuhi tugas, dia tidak pernah meragui, dia tidak pernah merungut, dan dia tidak pernah memberi alasan.

Para saudara dan saudariku, ujian terbesar dalam kehidupan ini adalah kepatuhan. “Kita akan menguji mereka dengan ini,” firman Tuhan, “untuk melihat apakah mereka akan melakukan segala hal apa pun yang akan Tuhan mereka perintahkan kepada mereka.”10

Juruselamat mengisytiharkan, “Karena semua yang menghendaki untuk memperoleh berkat dari tangan-Ku hendaknya menuruti hukum yang ditetapkan bagi berkat itu, dan syarat-syarat darinya, yang ditegakkan sejak sebelum pelandasan dunia.”11

Tiada teladan kepatuhan yang lebih baik daripada teladan Juruselamat kita. Paulus berkata tentang-Nya:

“Sekalipun Ia adalah Anak, Ia telah belajar menjadi taat dari apa yang telah diderita-Nya;

“Dan sesudah Ia mencapai kesempurnaan-Nya, Ia menjadi pokok keselamatan yang abadi bagi semua orang yang taat kepada-Nya.”12

Juruselamat menunjukkan kasih sejati Tuhan melalui hidup dengan sempurna, melalui menghormati misi kudus-Nya. Dia tidak pernah angkuh. Dia tidak pernah tertelan dalam kesombongan. Dia selalu setia. Dia selalu rendah hati. Dia selalu ikhlas. Dia selalu patuh.

Walaupun Dia digodai oleh tuan penipuan itu, iaitu iblis, walaupun Dia dilemahkan secara jasmani kerana berpuasa 40 hari dan 40 malam dan berasa lapar, namun apabila iblis menawarkan kepada Yesus perkara yang paling menarik dan menggodai, Dia masih memberi kepada kita teladan kepatuhan yang ilahi dengan menolak menyimpang dari apa yang Dia tahu adalah benar.13

Bila Dia mengalami azab di Getsemani, di mana Dia bertahan dengan kesakitan sampai “peluh-Nya menjadi seperti titik-titik darah yang bertetesan ke tanah,”14 Dia adalah teladan sempurna Anak yang patuh dengan berkata, “Bapa-Ku, jikalau Engkau mau, ambillah cawan ini daripada-Ku; tetapi bukanlah kehendak-Ku, melainkan kehendak-Mulah yang terjadi.”15

Seperti Juruselamat mengarah para Rasul-Nya yang terawal, Dia juga mengarah anda dan saya, “Ikutlah Aku.”16 Adakah kita sanggup untuk patuh?

Pengetahuan yang kita cari, jawapan-jawapan yang kita mahukan, dan kekuatan yang kita inginkan hari ini untuk menghadapi cabaran-cabaran dari dunia yang rumit dan berubah boleh didapati oleh kita apabila kita dengan rela mematuhi perintah-perintah Tuhan. Sekali lagi saya mengulang firman Tuhan bila dia berkata: “Dia yang menaati perintah-perintah [Tuhan] menerima kebenaran dan terang, sampai dia dimuliakan dalam kebenaran dan mengetahui segala sesuatu.”17

Saya dengan rendah hati berdoa bahawa kita boleh diberkati dengan banyak anugerah yang dijanjikan bagi orang yang patuh. Dalam nama Yesus Kristus, Tuhan dan Juruselamat kita, amin.