2015
Jadilah Teladan dan Cahaya
November 2015


Pesanan Presidensi Utama, November 2015

Jadilah Teladan dan Cahaya

Apabila kita mengikut teladan Juruselamat, kita akan berpeluang untuk menjadi cahaya dalam hidup orang lain.

Saudara dan saudari, saya bergembira dapat bersama anda sekali lagi. Sepertimana anda tahu, sejak bulan April, kita telah kehilangan tiga orang Rasul-rasul tersayang: Presiden Boyd K. Packer, Elder L. Tom Perry, dan Elder Richard G. Scott. Mereka telahpun kembali ke rumah syurgawi. Kita merindui mereka. Kita sangat bersyukur ke atas teladan kasih Kristus mereka dan ajaran-ajaran terilham yang telah ditinggalkan kepada kita semua.

Kita dengan mesra mengalu-alukan Rasul-rasul baru, Elder Ronald A. Rasband, Elder Gary E. Stevenson, dan Elder Dale G. Renlund. Lelaki-lelaki ini amat berdedikasi dalam pelayanan Tuhan. Mereka cukup layak untuk memenuhi jawatan penting ini.

Baru-baru ini, semasa saya membaca dan merenungkan ayat suci, dua ayat suci khas telah kekal dalam minda saya. Kita kenali kedua-duanya. Pertamanya adalah Khutbah di atas Bukit: “Hendaklah cahaya kamu juga bersinar di hadapan orang, supaya mereka melihat perbuatan kamu yang baik, lalu memuji Bapa kamu yang di syurga.”1 Ayat kedua timbul ke minda saya ketika saya merenungkan maksud yang ayat suci pertama. Ia adalah dari Surat Rasul Paulus kepada Timotius: “Hendaklah engkau menjadi teladan bagi semua orang yang percaya kepada Kristus dengan percakapanmu, kelakuanmu, kasihmu untuk orang lain, imanmu kepada Kristus dan cara hidupmu yang suci.”2

Saya percaya ayat suci yang kedua menerangkan, dengan jelas, bagaimana kita boleh mencapai ayat yang pertama. Kita menjadi teladan mereka yang percaya dengan mematuhi Injil Yesus Kristus dalam kata, pertuturan, ihsan, roh, iman dan kesucian. Apabila kita berbuat demikian, cahaya kita akan bersinar untuk orang lain melihat.

Kita semua yang datang ke bumi telah diberi Cahaya Kristus. Apabila kita mengikut teladan Juruselamat dan menjalankan kehidupan dan mengajar sepertimana Dia telah lakukan, cahaya tersebut akan berbara dalam diri kita dan menyinari jalan untuk orang lain.

Rasul Paulus menyenaraikan enam sifat-sifat seseorang yang mepercayai, sifat yang akan membenarkan cahaya kita menyinar. Marilah kita melihat setiap sifat-sifat itu.

Saya menyebutkan dua sifat pertama bersama—menjadi teladan dalam kata dan pertuturan. Kata-kata yang kita gunakan boleh mengangkat dan mengilham, atau ia boleh menyakiti dan merendahkan. Dunia hari ini dilimpahi ketidaksenonohan dan kita sentiasa menghadapinya di mana-mana kita pergi. Sangat sukar untuk menghindari diri dari mendengar nama Tuhan diguna dengan sambil lewa. Ulasan-ulasan kasar bagai telah menjadi ruji di television, filem, buku-buku, dan muzik. Penghinaan dan kemarahan menjadi buah mulut ucapan. Marilah kita berbicara bersama dengan kasih sayang dan kehormatan, sentiasa memastikan bahasa yang digunakan bersih dan elakkan kata-kata yang boleh melukai atau menyinggung. Marilah kita ikut teladan Juruselamat, yang bertutur dengan tolak ansur dan baik hati sepanjang pelayanan-Nya.

Sifat seterusnya yang disebut oleh Paulus ialah ihsan, dimana ia telah didefinisikan sebagai “kasih sempurna Kristus.”3 Saya yakin mereka yang boleh dipengaruhi ialah orang yang keseorangan, mereka yang jatuh sakit, dan mereka yang lemah semangat. Kita berpeluang untuk membantu dan memberi galakkan. Juruselamat memberi harapan kepada mereka yang putus asa dan kekuatan kepada mereka yang lemah. Dia menyembuhkan mereka yang sakit; Dia menjadikan yang lumpuh untuk berjalan, yang buta boleh melihat, yang pekak dapat mendengar. Apatah lagi Dia membangkitkan mereka yang sudah mati. Sepanjang pelayanan-Nya Dia memberi dengan ihsan kepada mereka yang memerlukannya. Apabila kita mengikut teladan-Nya, kita akan memberkati kehidupan-kehidupan orang, termasuk kehidupan diri sendiri.

Seterusnya, kita patut menjadi teladan melalui sikap kita. Ia bermakna kita berusaha untuk memperoleh kebaikan, kesyukuran, pengampunan, dan berniat baik dalam kehidupan kita. Sifat-sifat ini akan menyediakan suatu roh yang akan menyentuh kehidupan orang sekeliling. Bertahun-tahun saya telahpun berpeluang untuk bergaul dengan individu-individu yang mempunyai roh sedemikian. Kita mengalami perasaan yang istimewa apabila bersama mereka, perasaan yang membuatkan kita ingin mengaitkan diri dengan mereka dan mengikuti teladan mereka. Mereka memancar Cahaya Kristus dan membantu kita merasai kasih-Nya untuk kita semua.

Untuk menggambarkan bahawa cahaya dari seseorang yang suci dan penyayang boleh dikenali oleh orang, saya ingin berkongsikan satu pengalaman beberapa tahun dahulu.

Pada masa itu, ketua-ketua Gereja berjumpa dengan pegawai-pegawai Yerusalem untuk merundingkan perjanjian penyewaan tanah di mana Pusat Gereja Yerusalem akan dibina. Untuk memperoleh kebenaran yang diperlukan, Gereja bersetuju agar tiada ahli yang tinggal di pusat itu akan mengkhutbah. Selepas perjanjian tersebut dibuat, seorang pegawai Israel, yang sudah biasa dengan Gereja dan ahlinya, berkata bahawa dia tahu Gereja akan menghormati perjanjian itu. “Tetapi,” dia berkata, merujuk kepada pelajar-pelajar yang menghadiri pusat itu, “apa yang boleh kita buat berkenaan mata-mata mereka yang bersinar?”4 Semoga cahaya istimewa ini sentiasa menyinar dalam diri kita, agar ia boleh dikenali dan dihargai oleh orang lain.

Menjadi teladan iman bermakna kita percayai Tuhan dan firman-Nya. Ia bermaksud kita miliki dan kita memelihara kepercayaan yang akan membimbing pemikiran dan tindakan kita. Iman kita terhadap Tuhan Yesus Kristus dan Bapa Syurgawi akan mempengaruhi apa jua yang dilakukan. Di tengah-tengah keadaan kebingungan dalam zaman kita, konflik suara hati, dan kerusuhan dari kehidupan sehari-hari, iman yang tetap menjadi sebuah sauh bagi kehidupan kita. Ingatlah bahawa iman dan sangsi tidak boleh wujud bersama dalam minda pada masa yang sama, kerana satu akan menghapuskan yang lain. Saya menegaskan apa yang kita telah diberitahu berulang kali—untuk memperoleh dan mengekalkan iman yang kita perlu, adalah sangat penting untuk membaca, mengkaji dan merenungkan kitab suci. Komunikasi bersama Bapa Syurgawi melalui doa sangatlah penting. Kita tidak mampu untuk mengabaikan perkara-perkara ini, kerana musuh dan pengikut-pengikutnya bertungkus lumus mencari kelemahan kita, iaitu pengurangan dalam keimanan. Tuhan berfirman, “Carilah dengan tekun, berdoalah selalu, dan percayalah, dan segala sesuatu akan bekerja bersama demi kebaikanmu.”5

Akhirnya, kita perlu menjadi suci, ini bermakna bersih dari segi badan, minda dan roh. Kita tahu badan kita satu bait suci, dan patut dilayan dengan takzim dan hormat. Minda kita patut dipenuhi dengan fikiran yang baik dan mulia dan bebas dari semua yang boleh mencemar. Kita perlu berkelayakan agar kita peroleh Roh Kudus sebagai teman sentiasa. Saudara dan saudari, kemurnian akan memberi ketenangan dan melayakkan kita untuk menerima janjian Juruselamat. Dia telah berfirman, “Berbahagialah orang yang murni hati, mereka akan mengenal Tuhan.”6

Apabila kita membuktikan diri sebagai teladan dalam kata-kata, pertuturan, ihsan, dalam roh, iman, dan dalam kemurnian, kita akan berkelayakan untuk menjadi cahaya kepada dunia.

Saya ingin berkata kepada anda, terutamanya anda yang muda, bahawa apabila dunia semakin menjauhi dari prinsip-prinsip dan garis panduan yang diberi oleh Bapa Syurgawi, kita akan menonjol dari orang ramai kerana kita berbeza. Kita akan menonjol kerana kita berpakaian dengan sopan. Kita berbeza kerana kita tidak menggunakan kata-kata yang tidak senonoh dan kerana kita tidak mengambil bahan yang boleh membahayakan badan kita. Kita berbeza kerana kita mengelak jenaka yang tidak wajar dan ulasan yang menghina. Kita berbeza apabila kita mengambil keputusan untuk tidak mengisi minda dengan bahan media yang tidak bermoral dan yang merendahkan dan yang akan menyebabkan Roh meninggalkan rumah dan kehidupan kita. Kita sudah pasti menonjol apabila kita membuat pilihan berkenaan sifat moral—pilihan-pilihan yang selari dengan prinsip dan piawai Injil. Perkara-perkara yang membuatkan kita berbeza daripada dunia jugalah membekalkan kita cahaya dan roh yang akan menyinar dalam dunia yang semakin gelap.

Kerap kali ia sangat susah untuk menjadi berlainan dan menonjol dalam kumpulan orang ramai. Lazimnya kita takut apa yang akan dikatakan oleh orang lain. Kata-kata mazmur memberi ketenangan: “Tuhan adalah cahayaku dan penyelamatku; aku tidak takut kepada sesiapa pun? Tuhan melindungi aku daripada segala bahaya; aku tidak akan gentar?”7 Apabila Kristus dijadikan pusat dalam kehidupan kita, ketakutan akan diganti dengan keberanian pendirian kita.

Kehidupan kita semua tidaklah sempurna, dan ada masanya cabaran dan kesusahan yang dihadapi sangat hebat, sehinggakan cahaya kita menjadi malap. Namun, dengan bantuan Bapa Syurgawi, dan sokongan dari yang lain, kita boleh mendapat semula cahaya yang menyinari lorong kita sekali lagi dan memberi sinaran cahaya kepada mereka yang memerlukannya.

Untuk menggambarkannya, saya ingin berkongsikan kata-kata yang menyentuh hati dari puisi kegemaran yang dibaca bertahun dahulu:

Saya terjumpa seorang yang tidak dikenali pada satu malam

Di mana pelitanya telahpun padam.

Saya berhenti untuk membenarkan dia menyalakan

Pelitanya dengan menggunakan pelita saya.

Ribut kencang datang kemudiannya

Dan menggoncangkan dunia.

Dan apabila angin ribut berhenti

Pelita saya terpadam!

Kembalilah orang yang tidak dikenali tadi—

Pelitanya bernyala terang!

Dia memegang nyalaan api tersebut

Dan menyala pelita saya!8

Saudara dan saudari, peluang untuk menyinar sentiasa ada di sekeliling kita, setiap hari, tidak mengira apa jua keadaan. Apabila kita mengikut teladan Juruselamat, kita akan berpeluang untuk menjadi cahaya dalam kehidupan orang lain, tak kira ahli keluarga sendiri dan rakan-rakan, rakan sekerja, kenalan atau orang yang tidak dikenali.

Setiap anda putera atau puteri Bapa Syurgawi kita. Kamu telah meninggalkan hadiran-Nya untuk datang ke bumi ini buat seketika, untuk mencerminkan kasih dan ajaran Juruselamat dan membiarkan cahaya anda menyinar kepada semua dengan berani. Apabila masa di bumi berakhir, jika anda telah menyempurnakan peranan anda, anda akan mendapat berkat yang gemilang iaitu kembali untuk hidup bersama-Nya buat selama-lamanya.

Betapa menyakinkan kata-kata Juruselamat: “Akulah cahaya bagi dunia. Orang yang mengikut Aku tidak akan berjalan dalam kegelapan, tetapi beroleh cahaya yang memberikan hidup.”9 Saya bersaksikan Dia. Dialah Juruselamat dan Penebus, Pembela bersama Bapa. Dialah Contoh Terbaik dan asas kekuatan kita. Dialah “terang yang bersinar dalam kegelapan.”10 Semoga semua yang mendengari suara saya akan berikrar untuk mengikut-Nya, agar menjadi cahaya yang menyinar dalam dunia, adalah doa saya dalam nama kudus-Nya, Yesus Kristus Tuhan, amin.