2019
Adakah Anda Tertinggal Bahagian Pelayanan yang Penting Ini?
Oktober 2019


Asas-asas Pelayanan, Oktober 2019

Adakah Anda Tertinggal Bahagian Pelayanan yang Penting Ini?

Pelayanan adalah untuk “bersukacita dengan mereka yang bersukacita” sebanyak untuk “menangislah dengan mereka yang menangis” (Roma 12:15).

ministering

Ilustrasi oleh Augusto Zambonato

Apabila kita berfikir tentang pelayanan, mudah untuk kita fikirkan tentang menawarkan bantuan kepada mereka yang memerlukannya. Kita berbincang tentang berkebun untuk balu, membawa makanan malam kepada pesakit atau membantu mereka yang tengah bergelut. Kita mengingati nasihat Paulus untuk “menangis dengan mereka yang menangis” tetapi adakah kita meletakkan tumpuan cukup pada bahagian pertama ayat itu—untuk “bersukacita dengan mereka yang bersukacita”? (Roma 12:15). Bersukacita dengan mereka yang kita layani—sama ada ini bermaksud meraikan kejayaan mereka atau membantu mereka mencari kegembiraan dalam masa susah—merupakan bahagian yang penting untuk melayani seperti Juruselamat.

Berikut ialah tiga idea yang dapat membantu (dan harus dielakkan) sambil kita berusaha untuk memfokuskan pada unsur baik yang Tuhan letakkan dalam kehidupan kita.

1. Mempunyai Kesedaran

Bonnie H. Cordon, Presiden Umum Remaja, membantu kita memahami bahawa kita perlu melihat mereka yang kita layani—melihat bukan setakat beban dan kesusahan mereka, tetapi kekuatan, bakat dan kejayaan mereka juga. Dia berkata bahawa kita perlu menjadi “seorang pejuang dan satu tempat mengadu bagi mereka—seseorang yang sedar tentang situasi mereka dan menyokong mereka dalam harapan serta aspirasi mereka.”1

Dalam perumpamaan domba dan kambing, Juruselamat berkata mereka yang ada pada tangan kanan-Nya akan bertanya: ‘Ya Tuhan, bilakah kami nampak Tuhan lapar lalu memberi Tuhan makan, atau dahaga lalu memberi Tuhan minum?

“Bilakah kami nampak Tuhan sebagai orang asing lalu menyambut Tuhan ke dalam rumah kami? Matius 25:37–38).

“Saudara dan saudari sekalian, kata kunci itu adalah nampak,” kata Sister Cordon. “Orang yang soleh nampak orang yang berkeperluan kerana mereka memberi perhatian. Kita juga boleh memberi perhatian untuk memberi bantuan dan hiburan, untuk meraikan mahupun berimpian.”2

2. Cari Sebab untuk Meraikan

Raikan kejayaan, besar atau kecil. Ini mungkin melibatkan usaha mengharungi penyakit kanser atau putus cinta, mencari pekerjaan baharu atau menemui kasut yang telah hilang, bertahan selama sebulan selepas kehilangan yang tersayang atau bertahan selama seminggu tanpa gula.

Buat panggilan untuk ucapkan tahniah, hantar kad atau makan tengah hari bersama. Dengan berkongsi berkat kita bersama, bersyukur dan meraikan berkat serta kejayaan orang lain, kita “merasakan kesukacitaan dalam kebahagiaan saudara-saudara kami” (Alma 30:34).

3. Lihat Tangan Tuhan

Kadang-kadang bersukacita dengan orang lain bermakna membantu mereka melihat sebab untuk bersukacita—tidak kira kesusahan atau kesenangan yang kita hadapi. Hakikat yang mudah bahawa Bapa Syurgawi mengenali kita dan bersedia untuk meningkatkan hidup kita boleh menjadi suatu sumber kegembiraan yang besar.

Anda boleh membantu orang lain melihat tangan Tuhan dalam hidup mereka dengan berkongsi cara anda telah melihatnya dalam hidup anda. Anda boleh menjadi lebih terbuka untuk berkongsi cara Bapa Syurgawi telah membantu anda melalui cabaran anda. Kesaksian ini dapat membantu orang lain mengenali dan mengakui cara Dia telah membantu mereka (lihat Mosia 24:14).

4. Jangan Membatasi Keupayaan Anda untuk Bersukacita

Malangnya, kita ada kalanya membatasi keupayaan kita sendiri untuk bersukacita dengan orang lain, terutamanya apabila kita berasa tidak yakin pada diri sendiri dengan perkara yang perlu kita tawarkan atau kedudukan kita dalam hidup. Daripada mencari kegembiraan dalam kebahagiaan orang lain, kita terperangkap dalam perbandingan. Dan seperti diajar oleh Elder Quentin L. Cook dari Kuorum Dua Belas Rasul: “Kegembiraan hampir pasti akan hilang apabila kita membandingkan berkat. Kita tidak boleh berasa bersyukur dan cemburu pada masa yang sama.”3

“Bagaimanakah kita dapat menangani kecenderungan sedemikian yang begitu lazim dalam hampir setiap orang?” tanya Elder Jeffrey R. Holland dari Kuorum Dua Belas Rasul. “… Kita boleh mengira berkat kita yang banyak dan kita boleh memuji pencapaian orang lain. Yang terbaik, kita dapat melayani orang lain, latihan paling murni yang pernah dipreskripsikan untuk hati. ”4 Daripada berbanding, kita boleh memuji mereka yang kita layani. Berkongsi dengan bebas perkara mengenai mereka atau ahli keluarga mereka yang anda berasa bersyukur.

Seperti yang Paulus ingatkan, kita semua ahli anggota tubuh Kristus dan apabila “satu anggota tubuh dipuji, semua anggota lain turut bersukacita” (1 Korintus 12:26). Dengan bantuan Bapa Syurgawi, kita dapat menyedari akan pengalaman orang lain, meraikan kejayaan besar dan kecil mereka, membantu mereka mengenali tangan Tuhan dan menangani perasaan cemburu supaya kita dapat benar-benar bersukacita bersama-sama dalam meraikan berkat, bakat serta kebahagiaan orang lain.

Nota

  1. Bonnie H. Cordon, “Menjadi Seorang Gembala,” Liahona, Nov. 2018, 75.

  2. Bonnie H. Cordon, “Menjadi Seorang Gembala,” 75.

  3. Quentin L. Cook, “Rejoice!” Ensign. Nov, 1996, 30.

  4. Jeffrey R. Holland, “The Other Prodigal,” Liahona, Mei 2002, 64.