2021
Menerapkan Asas Wahyu
Januari 2021


“Menerapkan Asas Wahyu”, Liahona, Januari 2021

Pesanan Bulanan Liahona, Januari 2021

Menerapkan Asas Wahyu

Saya menggalakkan agar anda mengambil langkah yang perlu untuk mendengar Tuhan dengan lebih baik dan lebih kerap agar anda boleh menerima kesedaran yang Dia ingin berikan kepada anda.

pokok

Foto daripada Getty Images

Pada 30 September 2017, selepas sesi petang persidangan umum, saya singgah di hospital untuk melawat ahli kuorum yang saya sayangi, Elder Robert D. Hales. Dia telah dimasukkan ke hospital sejak mengalami serangan penyakit jantung beberapa hari sebelumnya.

Lawatan kami sungguh menakjubkan dan keadaannya nampak bertambah baik. Dia bahkan bernafas sendiri dan ini merupakan petanda yang baik.

Namun, pada malam itu, Roh berbisik kepada hati dan fikiran saya bahawa saya harus kembali ke hospital pada hari Ahad. Semasa sesi persidangan umum pada pagi hari Ahad itu, tanggapan yang kuat itu kembali. Saya merasakan bahawa saya harus tidak makan tengah hari dan pergi ke tepi katil Elder Hales sebaik sahaja sesi pagi berakhir dan saya telah berbuat begitu.

Apabila saya tiba, saya dapat melihat bahawa keadaan Elder Hales telah menjadi lebih tenat. Malangnya, dia meninggal dunia 10 minit setelah saya tiba, tetapi saya bersyukur kerana saya berada di sisinya bersama isteri tersayangnya, Mary dan dua orang anak lelaki mereka semasa dia meninggal kefanaan.

Betapa bersyukurnya saya kerana bisikan Roh Kudus mendorong saya untuk melakukan sesuatu yang mungkin tidak saya lakukan sebaliknya. Selain itu, betapa bersyukurnya saya atas kenyataan wahyu dan bahawa syurga dibuka sekali lagi.

Pada tahun ini, pembelajaran peribadi dan kelas kami akan memfokuskan pada Ajaran dan Perjanjian. “Wahyu ilahi dan pengisytiharan yang mengilhamkan” ini boleh memberkati semua orang yang mempelajarinya dan bertindak mengikut arahan ilahi mereka. Mereka menjemput “semua orang dari jauh untuk mendengar suara Yesus Kristus”,1 kerana sesungguhnya “suara Tuhan adalah kepada semua orang” (Ajaran dan Perjanjian 1:2).

Bahaya, Kegelapan, Penipuan

Percubaan fizikal dan rohani yang mencabar merupakan sebahagian daripada kehidupan di permukaan bumi, sebagaimana yang diingatkan oleh wabak COVID-19 kepada kita. Juruselamat meramalkan hari-hari sebelum Kedatangan Kedua-Nya penuh kesengsaraan. Dia berkata, “Akan adanya kebuluran dan wabak, dan gempa bumi, di pelbagai tempat” (Joseph Smith—Matius 1:29).

Lebih memburukkan lagi, di samping kesengsaraan seperti itu, kegelapan dan penipuan akan semakin membelenggu kita. Seperti yang Yesus memberitahu pengikut-Nya, “Kederhakaan berleluasa” sebelum kepulangan-Nya (Joseph Smith—Matius 1:30).

Setan telah mengumpulkan kekuatannya dan sedang mengamuk melawan kerja Tuhan serta kita yang terlibat di dalamnya. Disebabkan bahaya yang semakin kita hadapi, keperluan kita untuk mendapatkan bimbingan ilahi telah menjadi begitu besar dan usaha kita untuk mendengar suara Yesus Kristus—Pengantara, Juruselamat dan Penebus kita—tidak pernah menjadi begitu mendesak.

Seperti yang saya katakan tidak lama setelah saya dipanggil sebagai Presiden Gereja, Tuhan bersedia untuk mengungkapkan fikiran-Nya kepada kita. Itulah salah satu berkat terbesar-Nya kepada kita.2

Di dunia kita, Dia telah berjanji, “Jika engkau akan meminta, engkau akan menerima wahyu demi wahyu, pengetahuan demi pengetahuan” (Ajaran dan Perjanjian 42:61).

Saya tahu Dia akan menjawab permintaan kita.

Cara Kita Dengarkan-Nya

Mengetahui cara Roh bercakap adalah sangat penting pada hari ini. Untuk menerima wahyu peribadi, untuk mencari jawapan dan untuk mendapatkan perlindungan serta arahan, kita mengingati pola yang ditetapkan oleh Nabi Joseph Smith untuk kita.

Pertama, kita mendalami diri kita pada tulisan suci. Dengan berbuat demikian, kita membuka minda dan hati kita kepada ajaran-ajaran serta kebenaran-kebenaran Juruselamat. Firman Kristus “memberitahu [kita] segalanya yang [kita] harus lakukan” (2 Nefi 32:3), terutamanya pada zaman yang penuh ketidakpastian dan pergolakan ini.

Kemudian, kita berdoa. Doa memerlukan inisiatif, jadi kita merendahkan diri di hadapan Tuhan, mencari tempat yang senyap, yang boleh kita pergi selalu, kemudian mencurahkan hati kita kepada-Nya.

Tuhan berfirman, “Dekatlah kepada-Ku dan Aku akan dekat kepadamu; carilah Aku dengan tekun dan kamu akan menemui-Ku; mintalah, dan kamu akan menerima; ketuklah, dan akan dibukakan bagimu” (Ajaran dan Perjanjian 88:63).

Mendekati Tuhan membawa keselesaan dan galakan, harapan dan penyembuhan. Jadi, kita berdoa atas nama-Nya tentang kebimbangan dan kelemahan kita, mereka yang kita rindui dan sayangi, panggilan dan pertanyaan kita.

Seterusnya, kita dengar.

Jika kita kekal berlutut seketika setelah kita selesai berdoa, fikiran, perasaan dan arahan akan datang kepada fikiran kita. Merakaman tanggapan itu akan membantu kita mengingati tindakan yang Tuhan mahu kita lakukan.

seorang wanita sedang belajar

Apabila kita mengulangi proses ini, kita akan, mengikut firman Nabi Joseph Smith, “menerapkan asas wahyu”.3

Layak untuk Menerima Wahyu

Penyempurnaan kemampuan kita untuk mengenal bisikan Roh Kudus dan peningkatan kemampuan kita untuk menerima wahyu memerlukan kelayakan. Kelayakan tidak memerlukan kesempurnaan, tetapi menghendakkan agar kita berusaha untuk meningkatkan kesucian.

Tuhan mengharapkan usaha setiap hari, peningkatan setiap hari, pertaubatan setiap hari. Kelayakan membawa kesucian dan kesucian melayakkan kita untuk Roh Kudus. Sambil kita mengambil “Roh Kudus untuk pembimbing [kita]” (Ajaran dan Perjanjian 45:57), kita layak untuk menerima wahyu peribadi.

Jika terdapat sesuatu yang menghalang kita daripada membuka pintu ke arah syurga, kita mungkin perlu bertaubat. Pertaubatan membolehkan kita membuka pintu supaya kita boleh mendengar suara Tuhan dengan lebih kerap dan jelas.

“Standard adalah jelas”, ajar Elder David A. Bednar daripada Kuorum Dua Belas Rasul. “Jika sesuatu yang kita fikirkan, lihat, dengar atau lakukan menjauhkan kita daripada Roh Kudus, maka kita harus berhenti berfikir, melihat, mendengar atau melakukan perkara itu. Jika perbuatan itu yang bermaksud untuk menghiburkan, misalnya, menjauhkan kita daripada Roh Kudus, maka sudah tentu hiburan seperti itu bukan untuk kita. Oleh kerana Roh tidak menerima perkara yang tidak sopan, kasar atau tidak senonoh, maka jelas perkara-perkara seperti itu bukan untuk kita”.4

Apabila kita menggandingkan kesucian dan kepatuhan yang lebih tinggi dengan berpuasa, tekun mencari, mempelajari tulisan suci dan firman-firman nabi yang hidup serta mengusahakan kerja bait suci dan sejarah keluarga, syurga akan dibuka. Tuhan, kemudiannya, akan menunaikan janji-Nya: “Aku akan memberi kepadamu Roh-Ku, yang akan menerangi fikiranmu” (Ajaran dan Perjanjian 11:13).

Kita mungkin perlu bersabar, tetapi Tuhan akan bercakap dengan kita melalui jalan-Nya sendiri dan pada waktu-Nya sendiri.

Roh Pengertian

Ayub memberitahu, “Ada roh dalam diri manusia: dan ilham dari Tuhan Yang Maha Kuasa yang memberinya pengertian” (Ayub 32:8). Pada tahun baharu ini, saya menggalakkan anda mengambil langkah yang perlu untuk mendengar Tuhan dengan lebih baik dan lebih kerap supaya anda boleh menerima kesedaran yang Dia mahu berikan kepada anda.

Sebelum Elder Hales meninggal dunia pada hari pertama bulan Oktober 2017, dia telah menyediakan ucapan pendek untuk persidangan umum yang tidak dapat dia berikan. Dalam ucapan itu, dia telah menulis, “Iman kita menyediakan kita untuk berada dalam hadirat Tuhan”.5

Apabila kita menerima wahyu, kita menghabiskan masa untuk berada dalam hadirat Tuhan apabila Dia mendedahkan fikiran, kehendak dan suara-Nya kepada kita (lihat Ajaran dan Perjanjian 68:4). Semoga kita meletakkan iman kita dalam tindakan, memanggil-Nya, hidup dengan layak ilham yang dijanjikan-Nya dan bertindak atas bimbingan yang kita terima.

Nota

  1. Pengenalan kepada Ajaran dan Perjanjian.

  2. Lihat Russell M. Nelson, “Wahyu untuk Gereja, Wahyu untuk Kehidupan Kita”, Liahona, Mei 2018, 94.

  3. Teachings of Presidents of the Church: Joseph Smith (2007), 132.

  4. David A. Bednar, “That We May Always Have His Spirit to Be with Us”, Liahona, Mei 2006, 30.

  5. Neil L. Andersen, “Suara Tuhan”, Liahona, Nov. 2017, 125.