“Yesus Kristus Meminta Kita Mengambil Sakramen”, Liahona, Mac 2021
Pesanan Bulanan Liahona, Mac 2021
Yesus Kristus Meminta Kita Mengambil Sakramen
Kita dibersihkan dan disembuhkan apabila kita mengingati Juruselamat kita setiap minggu.
Sebelum Dia meninggal, Yesus Kristus telah makan hidangan terakhir yang digelar Jamuan Terakhir. Pada penghujung jamuan ini, Dia memperkenalkan sakramen kepada para pengikut-Nya. Dia memecahkan roti dan memberkatinya. “Berbuatlah demikian untuk mengenang Aku”, Dia berkata (Lukas 22:19). Kemudian Dia memberkati dan berkongsi secawan air anggur.
Sebahagian daripada Penyembahan Mingguan
Apabila Gereja Yesus Kristus dipulihkan ke bumi, sakramen menjadi sebahagian daripada penyembahan mingguan. Sepanjang sesi gereja, sakramen diberkati dan diedarkan oleh mereka yang memegang imamat. Mereka berdoa menggunakan kata-kata dari tulisan suci (lihat Moroni 4; 5). Kemudian setiap orang dalam kalangan umat makan roti dan minum air untuk mengingati Yesus Kristus dan pengorbanan-Nya untuk kita, seperti yang Dia minta.
Membuat Persediaan untuk Mengambil
Untuk bersedia mengambil sakramen, kita harus memikirkan tentang kehidupan dan pilihan kita dengan jujur. Kita harus bertaubat atas kesalahan dan dosa pada minggu lalu, termasuk meminta keampunan daripada Tuhan. Kita tidak perlu menjadi sempurna untuk mengambil sakramen, tetapi kita harus merendahkan hati.
Lebih Sekadar Roti dan Air
Mengambil sakramen merupakan masa yang suci dan kudus. Doa sakramen mengingatkan kita bahawa semasa kita mengambil roti dan air, kita mengingati tubuh dan darah yang Yesus Kristus berikan untuk kita. Kita berjanji untuk mengikuti-Nya dan menjalani kehidupan Kristian. Kita berjanji akan berusaha mematuhi perintah Tuhan. Sebagai balasannya, Roh Kudus akan menghiburkan, membimbing dan menyembuhkan kita.
Memperbaharui Perjanjian
Apabila kita yang telah dibaptiskan mengambil sakramen dengan hati yang suci, kita memperbaharui perjanjian yang kita telah buat semasa pembaptisan. Ini termasuk menerima Roh Kudus dan dibersihkan daripada dosa seolah-olah kita dibaptiskan semula. Inilah harapan dan belas kasihan yang Yesus persembahkan kepada setiap kita. Ia tidak pernah terlambat untuk bertaubat dan dimaafkan.
Apakah yang Dikatakan dalam Tulisan Suci tentang Sakramen?
Kita harus memeriksa diri sendiri secara rohani, merenung secara jujur, sebelum mengambil sakramen (lihat 1 Korintus 11:28).
Selepas Dia Dibangkitkan, Yesus menunjukkan kepada orang-Nya di Benua Amerika cara mengambil sakramen (lihat 3 Nefi 18).
Para nabi moden telah memberitahu kita agar menggunakan roti dan air untuk sakramen tetapi apa yang kita makan dan minum tidaklah penting (lihat Ajaran dan Perjanjian 27:2). Kadangkala mereka yang mengalami alahan perlu gunakan bahan pengganti lain untuk roti.
© 2021 by Intellectual Reserve, Inc. All rights reserved. Dicetak di Amerika Syarikat. Kelulusan Bahasa Inggeris: 6/19. Kelulusan terjemahan: 6/19. Terjemahan Monthly Liahona Message, March 2021. Malay. 17464 348