“Apakah Itu Kesatuan Ketuhanan?”, Liahona, Jun 2021
Pesanan Liahona Bulanan, Jun 2021
Apakah Itu Kesatuan Ketuhanan?
Bapa Syurgawi, Yesus Kristus, dan Roh Kudus ialah tiga peribadi yang berasingan dengan satu tujuan.
Seorang editor surat khabar pernah menanyakan Nabi Joseph Smith tentang kepercayaan ahli Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir. Sebagai jawapan, Nabi menulis 13 pernyataan kepercayaan yang kita sebut sebagai Fasal-fasal Kepercayaan. Pernyataan pertama menyatakan, “Kami percaya kepada Tuhan, Bapa yang Abadi, Putera-Nya, Yesus Kristus, dan Roh Kudus” (Fasal-Fasal Kepercayaan 1:1). Tiga peribadi ini membentuk Kesatuan Ketuhanan.
Tuhan, Bapa yang Abadi
Tuhan memiliki tubuh kebangkitan yang terdiri daripada daging dan tulang. Dia ialah Bapa kepada roh kita. Dia mengasihi setiap anak-Nya dengan sempurna. Tuhan itu sempurna, memiliki semua kuasa dan mengetahui segalanya. Dia seorang yang adil, berbelas kasihan dan baik hati. Kita hidup sebagai roh di sisi Tuhan sebelum kita dilahirkan ke dunia. Dia menghantar kita ke bumi untuk belajar dan berkembang. Hasrat terbesar Tuhan adalah supaya setiap anak-Nya kembali hidup bersama-Nya setelah kita mati. Tuhan mengajar kita harus mengikuti Yesus Kristus untuk kembali ke hadirat Tuhan.
Yesus Kristus
Yesus Kristus turut memiliki tubuh kebangkitan yang terdiri daripada daging dan tulang. Dia ialah Putera sulung Tuhan. Sebelum kita dilahirkan, Tuhan memilih Dia sebagai Juruselamat kita. Hal ini bererti Yesus datang ke bumi untuk menjadi teladan kita, mengajar injil-Nya, menebus dosa-dosa kita dan menyelamatkan kita daripada kematian. Kerana Yesus Kristus, dosa kita dapat diampuni apabila kita bertaubat. Yesus Kristus juga telah banyak menderita supaya Dia dapat memahami dan membantu kita. Yesus Kristus mati dan kemudian bangkit semula, membolehkan semua orang untuk hidup semula.
Roh Kudus
Roh Kudus merupakan satu-satunya anggota Kesatuan Ketuhanan yang tidak memiliki tubuh jasmani. Dia merupakan peribadi roh. Roh Kudus dapat berkomunikasi secara langsung dengan roh kita. Dia bersaksi kepada kita bahawa Tuhan itu nyata dan Yesus Kristus ialah Juruselamat kita. Roh Kudus bertindak sebagai utusan Tuhan untuk memberikan perasaan kasih, bimbingan atau penghiburan kepada kita. Apabila kita dibaptiskan dan ditetapkan, kita menerima kurnia Roh Kudus. Setelah pembaptisan kita, Roh Kudus akan sentiasa bersama kita apabila kita mematuhi perintah Tuhan.
Penglihatan Pertama Joseph Smith
Lama-kelamaan, orang ramai mula keliru tentang Kesatuan Ketuhanan. Orang ramai tidak sependapat mengenai penampilan Tuhan, Yesus Kristus, dan Roh Kudus. Inilah sebab pentingnya Penglihatan Pertama Joseph Smith. Dia melihat Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus memiliki badan dan merupakan dua peribadi yang terpisah.
Terpisah tetapi Bersatu
Kitab suci dan nabi moden mengajar kita bahawa Tuhan, Yesus Kristus, dan Roh Kudus merupakan peribadi yang terpisah tetapi mempunyai satu tujuan: kebaqaan dan kehidupan abadi kita (lihat Musa 1:39). Seperti ahli-ahli dalam pasukan yang sama, Mereka bekerjasama untuk membantu kita setiap hari. Kita dapat rasa lebih dekat dengan Mereka apabila kita bertaubat daripada dosa-dosa kita dan memilih jalan yang benar.
Ayat suci mengenai Kesatuan Ketuhanan
-
Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus mempunyai satu tujuan (lihat Yohanes 10:30).
-
Bapa Syurgawi berbicara dengan Putera-Nya (lihat Matius 3:16–17).
-
Yesus Kristus berbicara dengan Bapa-Nya (lihat Yohanes 11:41).
-
Yesus Kristus berdoa agar suatu hari nanti kita akan menjadi satu (lihat Yohanes 17:11).
-
Joseph Smith melihat Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus (lihat Joseph Smith—Sejarah 1:17).
-
Roh Kudus bersaksi bahawa Yesus Kristus merupakan Juruselamat kita (lihat Yohanes 15:26).
© 2021 by Intellectual Reserve, Inc. All rights reserved. Dicetak di Amerika Syarikat. Kelulusan Bahasa Inggeris: 6/19. Kelulusan terjemahan: 6/19. Terjemahan Monthly Liahona Message, Jun 2021. Malay. 17470 348