“Pekerjaan Bait Suci,” Liahona, Oktober 2021
Pesanan Bulanan Liahona, Oktober 2021
Pekerjaan Bait Suci
Bait suci adalah rumah Tuhan. Kita boleh menerima tatacara-tatacara dan membuat perjanjian dengan-Nya di bait suci. Kita juga boleh melaksanakan tatacara-tatacara di bait suci untuk nenek moyang kita.
Sepanjang sejarah, Tuhan telah memerintah umat-Nya untuk membina bait suci. Bait suci adalah tempat kudus di mana kita dapat merasai kasih Tuhan, menerima tatacara, dan membuat janji dengan Dia. Gereja sedang membina bait suci di seluruh dunia supaya lebih ramai orang boleh mempunyai berkat-berkat ini.
Anugerahan
Ahli-ahli Gereja yang hidup dengan soleh pergi ke bait suci untuk menerima tatacara dan membuat perjanjian, atau janji, dengan Tuhan. Satu tatacara yang kita terima di bait suci ialah anugerahan. Perkataan anugerahan bermaksud “kurnia.” Anugerahan bait suci adalah kurnia daripada Tuhan. Dalam tatacara ini kita belajar tentang rancangan Bapa Syurgawi untuk keselamatan kita, dan kita membuat perjanjian untuk mematuhi perintah-perintah Tuhan. Jika kita setia kepada perjanjian yang kita buat, Tuhan akan memberkati kita.
Memeteraikan Keluarga Bersama
Perkahwinan di bait suci juga dipanggil pemeteraian. Apabila satu pasangan dimeteraikan di bait suci dan mereka mentaati perjanjian mereka, mereka akan dikahwinkan selamanya. Jika mereka mempunyai anak, kanak-kanak itu juga akan dimeteraikan kepada mereka. Ibu bapa yang dimeteraikan selepas mereka mempunyai anak-anak boleh dimeteraikan kepada anak-anak mereka. Jika mereka hidup dengan soleh, mereka akan menjadi keluarga sepanjang keabadian.
Pekerjaan Bait Suci untuk Semua Anak Tuhan
Kita melakukan pekerjaan sejarah keluarga untuk belajar tentang nenek moyang kita. Kemudian kita buat pekerjaan bait suci bagi pihak mereka. Kita melaksanakan untuk mereka semua tatacara yang orang hidup memerlukan: pembaptisan, penetapan, penerimaan imamat (untuk lelaki), anugerahan dan pemeteraian. Mereka kemudiannya boleh memilih jika mereka ingin menerima tatacara-tatacara ini. Dengan cara ini, semua anak Tuhan dapat menikmati berkat-berkat injil.
Berkat Pekerjaan Bait Suci
Jika kita mematuhi perjanjian yang kita buat di bait suci, kita akan diberkati, dilindungi dan diperkuatkan. Kita akan memiliki kuasa imamat bersama kita. Keluarga kita akan bersama buat selamanya.
Bait suci juga adalah satu tempat kedamaian dan wahyu. Semasa kita melakukan pekerjaan bait suci, kita boleh menerima bimbingan rohani dan merasai kasih Tuhan.
© 2021 by Intellectual Reserve, Inc. All rights reserved. Dicetak di Amerika Syarikat. Kelulusan Bahasa Inggeris: 6/19. Kelulusan terjemahan: 6/19. Terjemahan Monthly Liahona Message, October 2021. Malay. 17474 348