“Kejatuhan Ialah Sebahagian daripada Rancangan Tuhan”, Liahona, Januari 2022
Pesanan Bulanan Liahona, Januari 2022
Kejatuhan Ialah Sebahagian daripada Rancangan Tuhan
Kerana Kejatuhan, kita dapat datang ke bumi dan suatu hari akan kembali untuk hidup bersama Bapa Syurgawi kita.
Di Taman Eden, Tuhan memerintahkan Adam dan Hawa untuk tidak memakan buah dari pokok pengetahuan tentang yang baik dan yang jahat. Kemudian Dia memberitahu mereka, “Engkau boleh memilih bagi dirimu sendiri, … tetapi, ingatlah bahawa Aku melarangnya” (Musa 3:17). Setan menggoda Hawa untuk memakan buah dari pokok itu. Dia memberitahunya, “Kamu akan menjadi seperti Tuhan, mengetahui yang baik dan yang jahat” (Musa 4:11). Dia makan buah itu dan kemudian berkongsi dengan Adam. Tuhan menyuruh mereka keluar dari Taman Eden.
Kejatuhan
Apabila Adam dan Hawa meninggalkan Taman Eden, mereka tidak lagi berada di hadirat Tuhan. Pemisahan ini daripada Tuhan dipanggil kematian rohani. Meninggalkan taman itu juga bererti Adam dan Hawa menjadi fana dan dengan itu boleh mati. Walaupun Adam dan Hawa tidak lagi bersama Tuhan dan sekarang fana, mereka berasa gembira dan penuh harapan apabila mereka melihat mereka dapat maju (lihat Musa 5:10–11). “Adam jatuh agar manusia boleh wujud; dan manusia wujud agar mereka boleh berbahagia” (2 Nefi 2:25).
Masa Pengujian
Apabila kita dilahirkan, kita hidup berpisah daripada Tuhan, sama seperti Adam dan Hawa selepas Kejatuhan. Setan menggoda kita untuk membuat pilihan yang buruk. Godaan ini membenarkan kita diuji dan memilih antara yang betul dan yang salah (lihat Alma 12:24). Setiap kali kita berdosa dan tidak bertaubat, kita menjadi lebih jauh daripada Bapa Syurgawi. Tetapi jika kita bertaubat, kita mendekati Bapa kita di Syurga.
Kematian Jasmani
Bumi dicipta untuk kita (lihat 1 Nefi 17:36). Kejatuhan memungkinkan Adam dan Hawa untuk melaksanakan perintah Tuhan, untuk mempunyai anak-anak, membolehkan kita datang ke bumi dalam tubuh jasmani. Badan kita akan mati suatu hari nanti, tetapi roh kita akan terus hidup. Tubuh dan roh kita akan bersatu semula apabila kita dibangkitkan.
Diselamatkan oleh Yesus Kristus
Melalui kuasa penebusan Yesus Kristus, kita boleh mengatasi kematian jasmani dan rohani. Kerana Kristus telah dibangkitkan, semua orang yang dilahirkan di bumi ini akan dibangkitkan dan hidup selamanya. Dan kerana Kristus menderita untuk dosa-dosa kita, kita dapat bertaubat dan diampuni agar kita dapat hidup bersama Bapa kita di Syurga lagi.
© 2021 by Intellectual Reserve, Inc. All rights reserved. Dicetak di Amerika Syarikat. Kelulusan Bahasa Inggeris: 6/19. Kelulusan terjemahan: 6/19. Terjemahan Monthly Liahona Message, January 2022. Malay. 18295 348