“Tulisan suci: Firman Tuhan,” Liahona, Julai 2022.
Pesanan Liahona Bulanan, Julai 2022
Tulisan suci: Firman Tuhan
Tulisan suci adalah kitab-kitab kudus yang ditulis oleh para nabi. Tulisan suci bersaksi tentang Yesus Kristus dan mengajar tentang injil-Nya. Tulisan suci rasmi Gereja adalah Alkitab (yang termasuk Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru), Kitab Mormon, Ajaran dan Perjanjian, dan Mutiara yang Sangat Berharga.
Perjanjian Lama
Perjanjian Lama adalah catatan tentang urusan Tuhan dengan umat perjanjian-Nya pada zaman purba. Ia termasuk ajaran-ajaran para nabi seperti Musa, Yosua, Yesaya, Yeremia dan Daniel. Walaupun ia ditulis beratus-ratus tahun sebelum kelahiran Yesus Kristus, banyak nabi Perjanjian Lama menulis tentang Dia.
Perjanjian Baru
Perjanjian Baru mencatatkan kelahiran, kehidupan fana, ajaran dan Korban Tebusan Yesus Kristus. Ia juga termasuk ajaran-ajaran Para Rasul Kristus dan para pengikut lain. Perjanjian Baru membantu kita memahami bagaimana untuk mematuhi injil Yesus Kristus hari ini.
Kitab Mormon: Satu Lagi Kesaksian Tentang Yesus Kristus
Kitab Mormon adalah catatan tentang bangsa yang tinggal di Benua Amerika purba. Ia termasuk ajaran-ajaran daripada para nabi, dan tujuan utamanya adalah untuk meyakinkan semua orang bahawa Yesus ialah Kristus. Nabi Joseph Smith menterjemahkannya dari kepingan-kepingan emas dengan kurnia dan kuasa Tuhan.
Ajaran dan Perjanjian
Ajaran dan Perjanjian mengandungi wahyu-wahyu yang diberi kepada Joseph Smith dan para nabi zaman akhir yang lain. Wahyu-wahyu ini menggambarkan bagaimana Gereja Kristus diorganisasikan. Mereka juga mengandungi ajaran-ajaran injil penting tentang imamat, tatacara-tatacara injil dan apa yang berlaku selepas kehidupan ini.
Mutiara yang Sangat Berharga
Mutiara yang Sangat Berharga termasuk kitab Musa dan Abraham, kesaksian Joseph Smith dan Fasal-Fasal Kepercayaan Gereja. Ia juga termasuk Joseph Smith—Matius, sebahagian daripada terjemahan Perjanjian Baru Joseph Smith.
Mengkaji Tulisan Suci
Para nabi telah mengajar kita untuk mengkaji tulisan suci setiap hari. Ini membantu kita meningkatkan iman kita dan mendekati Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus. Semasa kita mengkaji tulisan suci dengan penuh doa, Roh Kudus akan membantu kita mencari jawapan kepada soalan-soalan kita.
Nabi-nabi Moden
Apabila para nabi dan rasul hari ini berucap melalui kuasa Roh Kudus, kata-kata mereka adalah seperti tulisan suci. Salah satu contoh ini ialah persidangan umum. Kita boleh mengkaji ajaran-ajaran dari persidangan dalam terbitan Liahona bulan Mei dan November.
© 2022 by Intellectual Reserve, Inc. All rights reserved. Dicetak di Amerika Syarikat. Kelulusan Bahasa Inggeris: 6/19. Kelulusan terjemahan: 6/19. Penterjemahan Monthly Liahona Message, July 2022. Malay. 18298 348