“Iman kepada Yesus Kristus,” Liahona, Apr. 2023.
Pesanan Liahona Bulanan, April 2023
Iman kepada Yesus Kristus
Beriman kepada Yesus Kristus adalah asas pertama injil (lihat Fasal-Fasal Kepercayaan 1:4). Iman akan membantu kita membuat pilihan yang akan membawa kita kembali kepada Bapa Syurgawi. Kita boleh berusaha untuk menguatkan iman kita sepanjang hidup.
Apakah itu Iman?
Iman adalah satu kepercayaan yang teguh kepada sesuatu. Untuk memiliki iman termasuk berharap dan percaya dalam hal-hal yang benar, walaupun kita tidak dapat melihat atau memahami sepenuhnya (lihat Ibrani 11:1; Alma 32:21).
Iman Berpusatkan Yesus Kristus
Untuk memperoleh keselamatan, iman kita mesti berpusat pada Yesus Kristus sebagai Juruselamat dan Penebus kita. Beriman kepada Kristus bermaksud mempunyai keyakinan terhadap-Nya. Ia bermaksud bergantung sepenuhnya kepada Dia—mempercayai kuasa, kecerdasan, dan kasih-Nya. Ia juga termasuk percaya dan mengikuti ajaran-ajaran-Nya.
Meningkatkan Iman Kita
Iman adalah satu kurnia daripada Tuhan, tetapi kita mesti mencarinya dan berusaha untuk mengekalkan kekuatannya. Kita boleh meningkatkan iman kita dengan berdoa dan mengkaji tulisan suci dan ajaran-ajaran para nabi zaman akhir. Kita juga menguatkan iman apabila kita hidup dengan soleh dan mentaati perjanjian kita.
Hidup menurut Iman
Iman adalah lebih daripada kepercayaan sahaja. Iman termasuk bertindak ke atas kepercayaan itu. Kita menunjukkan iman dalam cara kita hidup. Iman kepada Yesus Kristus mendorong kita untuk mengikuti teladan sempurna-Nya. Iman membimbing kita untuk mematuhi perintah-perintah, bertaubat dari dosa-dosa kita, dan membuat dan mentaati perjanjian.
Iman Boleh Membawa Mukjizat
Iman yang benar membawa mukjizat, yang mungkin termasuk penglihatan, mimpi, kesembuhan, dan kurnia-kurnia lain yang datang daripada Tuhan. Tulisan suci mengandungi banyak cerita tentang orang yang menerima mukjizat daripada Tuhan kerana iman mereka kepada-Nya. Lihat “Mukjizat” dalam Panduan Tulisan Suci untuk beberapa contoh.
Iman Boleh Membawa Kedamaian
Beriman kepada Tuhan dan rancangan keselamatan-Nya dapat menguatkan kita semasa menghadapi cabaran. Iman boleh memberi kita kekuatan untuk terus maju dan menghadapi kesusahan kita dengan berani. Walaupun masa depan kelihatan tidak pasti, iman kita kepada Juruselamat boleh memberi kedamaian.
Iman kepada Yesus Kristus Membawa kepada Keselamatan
Menjalankan iman kepada Kristus akan membawa kepada keselamatan kita. Kristus telah menyediakan jalan bagi kita untuk menerima kehidupan abadi. Apabila kita hidup beriman kepada-Nya, kita boleh diampuni dosa-dosa dan kembali untuk hidup bersama Tuhan semula.
© 2023 by Intellectual Reserve, Inc. All rights reserved Dicetak di Amerika Syarikat. Kelulusan Bahasa Inggeris: 6/19. Kelulusan terjemahan: 6/19. Terjemahan Monthly Liahona Message, April 2023. Language. 19006 348