“Keberdikarian Menguatkan Kita,” Liahona, Ogos 2023.
Pesanan Bulanan Liahona, Ogos 2023
Keberdikarian Menguatkan Kita
Menjadi berdikari bermaksud kita boleh menjaga keperluan diri dan keluarga kita. Apabila kita berdikari, kita juga dapat melayani Tuhan dengan lebih baik dan menjaga orang lain. Tetapi keberdikarian tidak bermaksud kita perlu menghadapi cabaran sendiri. Kita boleh meminta bantuan daripada rakan, keluarga, ahli bahagian atau cabang dan orang profesional apabila kita memerlukannya.
Asas-Asas Keberdikarian
Menjadi berdikari memerlukan pendidikan, kepatuhan dan kerja keras. Kita melakukan usaha terbaik untuk menjaga diri kita, dan boleh meminta bantuan orang lain apabila diperlukan. Untuk menjadi benar-benar berdikari, walau bagaimanapun, kita juga mesti belajar untuk beriman kepada Yesus Kristus. Kemudian semasa kita berusaha untuk membantu diri kita, Dia akan menguatkan kita.
Keberdikarian Rohani
Kita boleh membina keberdikarian rohani dengan berusaha untuk memperkuatkan kesaksian kita tentang Yesus Kristus. Kita melakukan ini semasa kita berdoa, mengkaji tulisan suci, menghadiri gereja, mematuhi perintah-perintah dan melakukan hal-hal lain yang membawa kita lebih dekat kepada Kristus. Mengetahui bahawa Dia sedia membantu akan memberi kita iman untuk kekal kuat walaupun kehidupan susah.
Keberdikarian Duniawi
Keberdikarian duniawi termasuk mampu menjaga keperluan jasmani diri kita dan keluarga kita. Ini termasuk makanan, perumahan, kesihatan, dan keperluan lain. Kita melakukan ini dengan mendapatkan pendidikan, pembelajaran atau mengembangkan kemahiran yang diperlukan, bekerja keras, menggunakan masa kita dengan bijaksana, dan menguruskan wang kita dengan baik.
Keberdikarian Emosi
Keberdikarian emosi adalah keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan cabaran emosi dengan keberanian dan iman. Kita semua menghadapi cabaran dan halangan. Kerana adanya injil, kita tahu kita boleh memilih bagaimana untuk bertindak balas terhadap cabaran dan halangan. Bertindak dengan iman kepada Tuhan meningkatkan keupayaan kita untuk menghadapi kesusahan lain dengan lebih banyak harapan.
Pendidikan
Kita harus sentiasa belajar. Tuhan mahu kita mendidik minda kita dan meningkatkan kemahiran kita sepanjang hidup ini dan kehidupan yang akan datang. Semakin kita belajar, semakin kita boleh menjadi pengaruh yang lebih baik demi kebaikan dan menyara diri kita, keluarga kita, dan orang yang memerlukan.
Berkat-Berkat Menjadi Berdikari
Para nabi telah mengajar bahawa apabila kita meningkatkan keberdikarian kita, kita akan diberkati dengan harapan dan kedamaian yang lebih besar. Kita akan dapat membantu keluarga kita dan orang lain yang memerlukannya. Dan kita akan diberkati dengan lebih banyak peluang dan dengan kebolehan untuk terus maju.
Sumber Gereja
Pancang anda boleh menawarkan kumpulan keberdikarian. Ini boleh mengajar anda asas-asas keberdikarian dan kemahiran seperti menguruskan wang anda atau mencari pekerjaan yang lebih baik. Anda boleh mencari sumber-sumber yang berkaitan dalam Gospel Library. Pilih “Buku dan Pelajaran” dan kemudian “Keberdikarian.”
© 2023 by Intellectual Reserve, Inc. All rights reserved Dicetak di Amerika Syarikat. Kelulusan Bahasa Inggeris: 6/19. Kelulusan terjemahan: 6/19. Terjemahan Monthly Liahona Message, August 2023. Language. 19046 348