“Cahaya kita di Padang Belantara,” Liahona, Jan. 2024.
Pesanan Bulanan Liahona, Januari 2024
Cahaya Kita di Padang Belantara
Mereka yang ikhlas membaca Kitab Mormon, mematuhi ajaran-ajarannya, dan berdoa tentang kebenarannya akan merasakan Roh Kudus dan meningkatkan iman dan kesaksian mereka tentang Juruselamat.
Bahkan ketika masih budak, saya mempunyai kesaksian tentang Kitab Mormon. Saya berasa amat tertarik kepada cerita saudara lelaki Yared dan orang-orangnya dalam perjalanan mereka ke “negeri yang dijanjikan” (Eter 2:9).
Apabila menghadapi prospek perjalanan dalam kapal-kapal tongkang yang gelap, saudara lelaki Yared bertanya, “Lihatlah, Ya Tuhan, adakah Engkau akan membiarkan kami menyeberangi perairan luas ini di dalam kegelapan?” Tuhan menjawab dan berkata: Apakah yang kamu inginkan agar Aku harus lakukan sehingga kamu boleh mempunyai cahaya di dalam kapal-kapalmu? (Eter 2:22, 23).
Saudara lelaki Yared tahu bahawa Tuhan maha berkuasa. Dia tahu bahawa Tuhan adalah sumber semua cahaya. Dia tahu bahawa Tuhan telah memerintahkan umat-Nya untuk menyeru-Nya pada masa keperluan. Jadi, dengan menjalankan iman kepada Tuhan, saudara lelaki Yared menyediakan 16 batu kecil. Anda ingat, dia kemudian meminta Tuhan untuk menyentuh batu-batu itu dengan jari-Nya, “ia agar boleh bersinar dalam kegelapan” (Eter 3:4).
Gambar Tuhan menyentuh batu-batu itu telah terukir dalam minda saya sejak pertama kali saya membaca cerita itu. Saya dapat melihat kejadian itu seolah-olah ia sedang berlaku di hadapan mata saya. Mungkin kerana gambaran kegelapan diusir oleh cahaya adalah nyata bagi saya.
Apabila saya tidak merasakan Roh Kudus, ataupun tidak selaras dengan Roh Tuhan, saya merasakan kegelapan. Tetapi apabila saya membaca Kitab Mormon, cahaya itu kembali. Kitab Mormon bagi saya adalah seperti batu bersinar yang disentuh oleh Tuhan. Ia telah menerangi perjalanan saya melalui kehidupan.
Cahaya Selamanya
Seperti mereka yang dibawa oleh tangan Tuhan ke Benua Amerika purba, kita semua menghadapi ribut dan hari-hari kegelapan semasa perjalanan kita ke negeri permuliaan yang dijanjikan. Tetapi Tuhan akan melakukan untuk kita apa yang Dia lakukan untuk bangsa Yared dan bangsa Nefi. Dia akan membimbing kita dan menerangi jalan kita—jika kita mematuhi-Nya, menjalankan iman kepada-Nya, dan merayu untuk bantuan-Nya.
Tuhan memberitahu Nefi, “Dan Aku akan menjadi cahayamu di padang belantara; dan Aku akan menyediakan jalan di hadapanmu, jika terjadilah bahawa engkau mematuhi perintah-perintah-Ku; oleh kerana itu, sejauh mana engkau mematuhi perintah-perintah-Ku, engkau akan dituntun ke negeri yang dijanjikan; dan engkau akan tahu bahawa oleh Akulah engkau dituntun” (1 Nefi 17:13).
Tuhan memberitahu Yakub, saudara Nefi, “Aku akan menjadi suatu cahaya kepada mereka selama-lamanya, yang mendengar firman-Ku” (2 Nefi 10:14).
Tentang Juruselamat, nabi Abinadi bersaksi, “Dia ialah cahaya dan kehidupan dunia; ya, cahaya yang tanpa akhir, yang tidak akan dapat digelapkan” (Mosia 16:9).
Tentang Diri-Nya, Juruselamat bersaksi, “Akulah cahaya dan kehidupan dunia.” Dia menambah, “Lihatlah Aku adalah cahaya; Aku telah menunjukkan satu teladan bagimu” (3 Nefi 9:18;18:16).
Rasai Cahaya
Saya kasihi nabi kita, Presiden Russell M. Nelson. Saya diberkati untuk melayani bersama dia. Apabila dia masuk ke dalam bilik, ruangan itu segera berasa lebih terang. Dia membawa Cahaya Kristus bersamanya.
Cahaya Kristus adalah nyata. Ia “adalah tenaga, kuasa, atau pengaruh ilahi yang datang dari Tuhan melalui Kristus dan memberi kehidupan dan cahaya kepada segala hal.” Ia adalah kurnia rohani berharga yang boleh membimbing anak-anak Tuhan kepada Roh Kudus dan injil Yesus Kristus.1 Membaca Kitab Mormon menguatkan Cahaya itu.
Kadangkala kita perlu melihat kembali kehidupan kita untuk mengingati bagaimana kita telah dibantu dalam perjalanan kita. Apabila kita melihat kembali, kita dapat merasai pengaruh Juruselamat sekali lagi. Apabila tulisan suci berkata, “Ingatlah, ingatlah” (Helaman 5:12), saya rasa ia memberitahu kita, “Jangan hanya ingat apa yang anda pernah tahu atau rasa; sebaliknya, rasai cahaya itu lagi.”
Bagi sesetengah orang, perasaan cahaya rohani datang dengan mudah. Bagi orang lain, cahaya rohani mungkin sukar untuk dirasakan kerana pergelutan peribadi atau gangguan duniawi. Tetapi jika kita beriman, cahaya akan datang—kadangkala dalam cara yang kita tidak sangka.
Presiden Nelson, yang telah menasihati kita untuk “mengkaji Kitab Mormon dengan penuh doa setiap hari,”2 telah berkongsi beberapa cara Kitab Mormon dapat membawa kita lebih dekat kepada Juruselamat dan membantu kita merasakan cahaya injil, menggenggam kebenaran injil, dan menjalani ajaran-ajaran injil.
Semasa kita membaca Kitab Mormon, Presiden Nelson berkata, pemahaman, dan penghargaan kita untuk, Korban Tebusan Yesus Kristus akan berkembang.
Kita akan berhasrat untuk “dilahirkan semula” (Mosia 27:25) ketika kitab itu membantu kita mengalami perubahan hati (lihat Mosia 5:2).
Semasa kita membaca dan mengkaji ajaran-ajaran Kitab Mormon tentang pengumpulan Israel, kita akan merasakan hasrat yang lebih besar untuk mencari orang yang sudah meninggal dan melaksanakan tatacara keselamatan dan permuliaan untuk mereka di bait suci.
Kita akan merasa cahaya apabila kita menerima jawapan kepada soalan kita, bimbingan dalam membuat keputusan, dan kekuatan untuk bertaubat dan menahan kejahatan.
Dan semasa kita membaca kebenaran yang terdapat dalam Kitab Mormon, kita akan merasakan kesembuhan, ketenangan, pemulihan, sokongan, kekuatan, kelegaan dan meriangkan jiwa kita.3
“Ya maka, bukankah ini nyata?” Alma bertanya berkenaan pembesaran, percambahan benih kebenaran, pengetahuan, dan kesaksian yang bertunas. “Aku berkata kepadamu, Ya, kerana itu cahaya; dan apa pun yang cahaya, adalah baik, kerana itu dapat dikenali, oleh itu kamu mesti tahu bahawa itu baik” (Alma 32:35).
Carilah Juruselamat dalam Kegelapan
Apabila kawan saya Kamryn berumur 10 tahun, dia dijangkiti penyakit mata yang jarang berlaku tetapi berkekalan yang menjangkiti kornea mata kanannya.4 Kadangkala, apabila kesakitan yang berkaitan menjadi berterusan dan tidak tertahan, Kamryn tidak dapat menahani sebarang cahaya. Ibu bapanya, risau dia akan buta, jadi menggelapkan tingkap-tingkap bilik tidurnya untuk memastikan dia selesa. Ibu Kamryn, Janna, mengingat kembali:
“Kira-kira empat bulan selepas diagnosisnya, saya masuk ke dalam bilik gelapnya. Semasa mata saya disesuaikan, saya dapat melihat Kamryn berbaring dalam posisi fetal di atas katilnya. Dia mengalami kesakitan yang sangat basar sehingga dia tidak bergerak atau menangis apabila dia mendengar saya masuk. Dia hanya terbaring di situ dengan kedua-dua matanya tertutup.
“Saya berlutut di tepi katilnya, mengambil tangannya, dan memicit manja tangannya tiga kali—itu kod rahsia kami untuk ‘Saya sayang kamu.’ Biasanya dia akan memicit empat kali sebagai ‘Saya sayang kamu lebih,’ tetapi dia tidak membalas. Dia berada dalam kesakitan yang sangat besar. Dengan air mata mengalir di pipi saya, saya melihat anak saya yang berusia 10 tahun itu yang dulunya bersemangat kini renyuk bagai bola. Hati saya hancur.”
Janna mengucap doa dalam hati dan tulus.
“Saya memberitahu Bapa Syurgawi bahawa saya tahu Dia maha mengetahui, tetapi saya merayu, ‘Tolong dia.’ Semasa saya sedang duduk berdoa, perasaan kehangatan menguasai saya. Saya berasa tenang ketika fikiran tentang Juruselamat Yesus Kristus datang ke minda saya: ‘Dialah cahaya. Carilah Dia dalam kegelapan.’”
Janna mengangkat kepalanya dan berbisik dalam telinga Kamryn: “Kamu perlu mencari Juruselamat dalam kegelapan.”
Selepas itu, Kamryn tertidur mendengar lagu rohani dan tulisan suci di aplikasi Gospel Library Gereja.
Penyakit Kamryn kebanyakan masanya tidak aktif, tetapi apabila penyakitnya menyerang, Janna dan suaminya, Darrin, menenangkan dia dan sekali lagi meletakkan selimut di tingkap bilik tidurnya. Di waktu kesakitan itu, Kamryn berkata, “Saya hanya mencari Juruselamat dalam kegelapan.”5
Apabila kehidupan kelihatan seperti “padang belantara yang gelap dan suram” (1 Nefi 8:4), kita juga mungkin perlu mencari Juruselamat dalam kegelapan. Saya bersaksi bahawa Kitab Mormon, dengan kesaksiannya “bahawa Yesus ialah Kristus, Tuhan Yang Abadi,”6 akan memimpin kita kepada-Nya. Saya tahu bahawa sesiapa pun yang membaca Kitab Mormon dengan ikhlas, mematuhi ajaran-ajarannya, dan berdoa tentang kebenarannya akan merasakan Roh Kudus dan meningkatkan iman mereka dan kesaksian mereka tentang Juruselamat.
Semoga kita menunjukkan kesyukuran terhadap buku yang “paling benar” ini7 dengan membacanya, menghargainya, dan menggunakannya untuk menguatkan iman kita dan iman orang lain kepada Sang Cahaya Dunia itu.
© 2024 by Intellectual Reserve, Inc. All rights reserved Dicetak di Amerika Syarikat. Kelulusan Bahasa Inggeris: 6/19. Kelulusan terjemahan: 6/19. Terjemahan Monthly Liahona Message, January 2024. Language. 19273 348