“Kebahagiaan Yang Kekal dari Kehidupan Injil,” Liahona, Februari 2024.
Pesanan Bulanan Liahona, Februari 2024
Kebahagiaan Yang Kekal dari Kehidupan Injil
Kebahagiaan yang berpanjangan datang dengan bertahan dalam injil Yesus Kristus dan membantu orang lain melakukan yang sama.
Satu pernyataan yang ringkas tentang tujuan hidup kita boleh didapati dalam ajaran nabi Lehi tentang permulaan kehidupan manusia di bumi. Di Taman Eden, Adam dan Hawa hidup dalam keadaan tidak berdosa. Jika mereka kekal berada dalam keadaan itu, mereka akan “tidak mempunyai kebahagiaan, kerana mereka tidak mengenal kesengsaraan; tidak membuat baik, kerana mereka tidak mengenal dosa.” (2 Nefi 2:23). Oleh itu, seperti yang dijelaskan oleh Lehi, “Adam jatuh agar manusia boleh wujud; dan manusia wujud agar mereka boleh berbahagia” (2 Nefi 2:25, lihat juga Musa 5:10–11).
Apabila kita membesar di dunia yang terjatuh, kita belajar perbezaan antara kebaikan dan kejahatan dari apa yang kita diajarkan dan apa yang kita alami. [Kita] “merasakan kepahitan, agar [kita] tahu untuk menghargai kebaikan.” (Musa 6:55). Kebahagiaan datang apabila kita menolak yang pahit dan semakin menghargai dan berpegang teguh kepada yang baik.
Mencari Kebahagiaan
Kerana kasih sempurna-Nya untuk kita, Bapa Syurgawi ingin berkongsi kebahagiaan sempurna-Nya dengan kita, sekarang dan dalam keabadian. Itu merupakan motivasi-Nya dalam semua perkara dari permulaan, termasuklah rancangan kegembiraan-Nya dan pengorbanan Putera Tunggal-Nya untuk menebus kita.
Tuhan tidak cuba untuk memaksa kebahagiaan atau kegembiraan kepada kita, tetapi Dia mengajar kita bagaimana untuk mencarinya. Dia juga memberitahu kita di mana kebahagiaan tidak dapat ditemui—“kejahatan [bukanlah dan] tidak pernah merupakan kebahagiaan” (Alma 41:10). Ia adalah melalui perintah-perintah-Nya bahawa Bapa Syurgawi mengungkapkan jalan ke kebahagiaan kepada kita.
Presiden Russell M. Nelson menyatakan dengan cara ini:
“Inilah kebenaran besar: walaupun dunia menegaskan bahawa kuasa, harta milik, populariti dan keseronokan manusia membawa kegembiraan, ia tidak boleh! Ia tidak berupaya! Apa yang ia hasilkan hanyalah pengganti kosong untuk “keadaan diberkati dan bahagia bagi [mereka] yang mentaati perintah-perintah Tuhan.” [Mosia 2:41].
“Kebenarannya adalah ia lebih memenatkan untuk cari kebahagiaan di mana anda tidak akan temuinya! Walau bagaimanapun, apabila anda bersandar kepada Yesus Kristus dan lakukan pekerjaan rohani yang diperlukan untuk mengatasi dunia, Dialah yang memiliki kuasa untuk mengangkat anda dari tarikan dunia ini.”1
Oleh itu, kebahagiaan yang berpanjangan didapati dalam kepatuhan perintah-perintah Tuhan, dan perintah-perintah Tuhan terdapat dalam injil Yesus Kristus. Namun ia adalah pilihan kita. Jika kita gagal kerana kelemahan untuk mematuhi perintah-perintah buat satu masa, kita masih boleh kembali, menolak yang pahit dan mengamal kebaikan sekali lagi. Kasih Tuhan tidak mengampunkan dosa—itu adalah seperti belas kasihan merompak keadilan—tetapi melalui Korban Tebusan-Nya, Yesus Kristus menawarkan penebusan dari dosa:
“Amulek ucapkan … bahawa Tuhan pasti akan datang untuk menebus umat-Nya, tetapi bahawa Dia tidak akan datang untuk menebus mereka dalam dosa-dosa mereka, tetapi untuk menebus mereka dari dosa-dosa mereka.
“Dan Dia telah diberikan kuasa kepada-Nya daripada Bapa untuk menebus mereka dari dosa-dosa mereka kerana pertaubatan; oleh kerana itu, Dia telah mengutus para malaikat-Nya untuk memaklumkan khabar tentang syarat-syarat pertaubatan, yang membawa kepada kuasa Penebus, sehingga kepada keselamatan jiwa mereka. (Helaman 5:10–11; penekanan ditambah).
Yesus berkata:
“Jika kamu mentaati perintah-Ku, Aku akan tetap mengasihi kamu, seperti Bapa tetap mengasihi Aku kerana Aku mentaati perintah-Nya.
“Semua ini Aku katakan kepada kamu, supaya kegembiraan-Ku ada di dalam hati kamu dan kegembiraan kamu menjadi sempurna” (Yohanes 15:10-11).
Inilah perasaan Lehi dalam mimpinya semasa dia merasai buah pokok kehidupan—yang mewakili kasih Tuhan. Dia berkata, “Sewaktu saya makan buahnya, ia memenuhi jiwaku dengan kebahagiaan yang tersangat besar” (1 Nefi 8:12, lihat juga 11:21–23).
Lehi juga mendedahkan cara kedua kita boleh membawa kebahagiaan ke dalam hidup kita apabila dia berkata, “Oleh kerana itu, aku mulai berhasrat bahawa keluargaku patut memakan [buah itu] juga” (1 Nefi 8:12).
Membantu Orang Lain Mencari Kebahagiaan
Seperti rakyat Raja Benyamin, kita “dipenuhi dengan kebahagiaan” apabila menerima pengampunan dosa-dosa kita dan mengalami “kedamaian hati nurani” (Mosia 4:3). Kita merasakannya lagi apabila melihat sekeliling dan berusaha untuk membantu ahli keluarga dan orang lain menerima kebahagiaan dan kedamaian yang sama.
Sebagai seorang pemuda, Alma mencari kegembiraan dalam semua hal yang menentang injil Yesus Kristus. Selepas ditegur oleh seorang malaikat, dia mengalami pengalaman “yang pahit” kepada “yang baik” melalui pertaubatan “sampai hampir mati” (Mosia 27:28) dan rahmat besar Juruselamat. Tahun-tahun kemudian, Alma dengan sukacita mengisytiharkan kepada anak lelakinya Helaman:
“Dan ya, betapa bahagiaku, dan betapa menakjubkannya cahaya yang aku lihat; ya, jiwaku dipenuhi dengan kebahagiaan yang sama besarnya seperti rasa sakitku! …
“Ya, dan sejak waktu itu bahkan sampai sekarang, aku telah bekerja tanpa henti, agar aku boleh membawa jiwa-jiwa kepada pertaubatan; agar aku boleh membawa mereka untuk mengecapi kebahagiaan yang besar yang telah aku kecapi. …
“Ya, dan sekarang lihatlah, Wahai anakku, Tuhan memberiku sukacita yang amat besar dalam buah hasil kerjaku;
“Kerana firman [Injil Yesus Kristus] yang telah Dia berikan kepadaku, lihatlah, ramai yang telah dilahirkan dari Tuhan, dan telah mengecapi seperti yang telah aku mengecapinya” (Alma 36:20, 24–26).
Dalam peristiwa lain, Alma bersaksi:
“Inilah kemegahanku, agar barangkali aku boleh menjadi alat dalam tangan Tuhan untuk membawa satu jiwa pada pertaubatan, dan inilah kebahagiaanku.
“Dan lihatlah, ketika aku nampak banyak daripada saudara-saudaraku benar-benar menyesal, dan datang kepada Tuhan Raja mereka, pada waktu itu jiwaku dipenuhi dengan sukacita” (Alma 29:9-10).
Alma seterusnya mengisytiharkan kebahagiaan yang dirasainya ketika orang lain mengalami kejayaan dalam membawa jiwa-jiwa kepada Kristus:
“Tetapi aku tidak bersukacita dalam kejayaanku sahaja, tetapi sukacitaku lebih penuh kerana kejayaan saudara-saudaraku, yang telah pergi ke negeri Nefi.
“Lihatlah, mereka telah bekerja amat keras, dan telah menghasilkan banyak buah; dan betapa besar akan jadinya pahala mereka!
“Sekarang, ketika aku berfikir tentang kejayaan saudara-saudaraku ini jiwaku terhanyut, bahkan sampai seakan-akan pemisahannya dari tubuh, demikian besarnya sukacitaku” (Alma29:14-16).
Kita boleh mencari kebahagiaan yang sama apabila kita mengasihi orang lain dengan “kasih suci Kristus” (Moroni 7:47;, lihat juga ayat 48), berkongsi kebenaran yang dipulihkan dengan mereka, dan menjemput mereka untuk berkumpul dengan orang perjanjian.
Kebahagiaan Di Tengah-tengah Kesusahan
Kita tidak harus takut bahawa percubaan dan cabaran yang kita akan pasti hadapi dalam kefanaan akan menghalang atau menghancurkan kebahagiaan kita. Alma merupakan seseorang dimana pelayanan murah hatinya untuk orang lain telah menjejaskannya. Dia menderita penjara, jangka masa panjang dalam kelaparan dan kehausan, pukulan, ancaman kepada nyawanya, dan cemuhan dan penolakan yang berulang. Namun, semuanya “tertelan dalam kebahagiaan Kristus” (Alma 31:38). Mungkin penderitaan Alma membuat kegembiraan yang diikuti lebih besar.
Presiden Nelson mengingatkan kita bahawa kebahagiaan memainkan peranan dalam penderitaan Juruselamat—”kerana kebahagiaan yang menantikan-Nya [Dia] tidak peduli bahawa mati pada kayu salib” (Ibrani 12:2).
“Fikirkan itu! Agar Dia dapat menahan pengalaman paling menyeksakan yang pernah dilalui di bumi, Juruselamat berfokus pada kebahagiaan!
“Dan apakah kebahagiaan yang menantikan Dia? Tentunya ia termasuk kebahagiaan untuk membersihkan, menyembuhkan, dan memperkuatkan kita; kebahagiaan untuk menebus dosa-dosa bagi semua yang bertaubat; kebahagiaan untuk membolehkan kita pulang—bersih dan layak—untuk hidup bersama Ibu Bapa Syurgawi dan keluarga kita.
“Jika kita berfokus pada kebahagiaan yang akan datang kepada kita, atau orang yang kita kasihi, apakah yang boleh kita tahan yang sekarang nampaknya terlalu buruk, sakit, menakutkan, tidak adil atau tidak mustahil?”2
Kebahagiaan yang berpanjangan datang dengan bertahan dalam injil Yesus Kristus dan membantu orang lain melakukan yang sama. Kebahagiaan berkekalan datang apabila kita bertahan dalam kasih Tuhan, mematuhi perintah-perintah-Nya dan menerima rahmat Juruselamat. Dalam jalan injil, terdapat kebahagiaan dalam perjalanan dan juga kebahagiaan pada akhirnya. Injil Yesus Kristus adalah jalan ke kebahagiaan harian.
© 2024 by Intellectual Reserve, Inc. All rights reserved Dicetak di Amerika Syarikat. Kelulusan Bahasa Inggeris: 6/19. Kelulusan terjemahan: 6/19. Terjemahan Monthly Liahona Message, February 2024. Language. 19276 348