Liahona
Kita Dipanggil untuk Melakukan Kebaikan
Jun 2024


“Kita Dipanggil untuk Melakukan Kebaikan,” Liahona, Jun 2024.

Pesanan Liahona Bulanan, Jun 2024

Kita Dipanggil untuk Melakukan Kebaikan

Kita membina kerajaan Tuhan semasa kita melayani orang lain, mengangkat cahaya kita, dan berdiri untuk kebebasan agama.

Gideon mengetahui ajaran palsu apabila dia mendengarnya. Dia telah mendengarnya sebelum ini daripada Raja Nuh dan para imamnya—para imam yang “terangkat-angkat dalam keangkuhan hati mereka” dan yang “disokong dalam kemalasan mereka, dan dalam pemujaan berhala mereka, dan dalam pelacuran mereka, dengan cukai yang telah raja Nuh bebankan ke atas rakyatnya” (Mosia 11:5–6).

Lebih teruk lagi, Raja Nuh telah menghukum mati nabi Abinadi dan telah berusaha untuk menghancurkan Alma dan para penganutnya (lihat Mosia 17; 18:33–34). Untuk mengakhiri kejahatan seperti itu, Gideon berikrar untuk menghentikan raja, yang dia tinggalkan hanya kerana serangan bangsa Laman (lihat Mosia 19:4–8).

Kemudian, Gideon dengan betul menyalahkan para imam Nuh kerana membawa 24 orang anak perempuan bangsa Laman. Dia memerhatikan bahawa nubuat Abinadi terhadap bangsa itu telah digenapi kerana mereka enggan bertaubat. (Lihat Mosia 20:17-22.) Dia membantu membebaskan rakyat Limhi, yang berada dalam perhambaan kepada bangsa Laman (lihat Mosia 22:3–9).

Kini lebih tua, Gideon menghadapi kedua-dua keangkuhan dan kejahatan sekali lagi semasa dia berdiri di hadapan Nehor, yang telah memperkenalkan iman palsu di kalangan rakyat. Nehor “melawan gereja” dan cuba menyesatkan orang ramai. (Lihat Alma 1:3, 7, 12; lihat juga 2 Nefi 26:29.)

Menggunakan firman Tuhan sebagai senjatanya, Gideon berani menegur Nehor kerana kejahatannya. Marah, Nehor menyerang dan membunuh Gideon dengan pedangnya. (Lihat Alma 1:7-9.) Demikianlah berakhirnya masa “seorang lelaki yang soleh” yang telah “melakukan banyak kebaikan di kalangan rakyat ini” (Alma 1:13).

Zaman akhir di mana kita hidup menawarkan kita banyak peluang untuk mengikuti Gideon sebagai “alat dalam tangan Tuhan” (Alma 1:8) dengan menjadi “berguna” (Mosia 22:4) kepada orang lain, berdiri untuk kesolehan, dan menahan ancaman terhadap kebebasan kita untuk menyembah dan melayani Tuhan. Apabila kita mengikuti teladan beriman Gideon, kita juga boleh melakukan banyak kebaikan.

Imej
wanita dengan dulang makanan berdiri di sebelah seorang wanita sedang baring di katil

Bersatu dalam Pelayanan

“Sebagai pengikut [Juruselamat], kita berusaha untuk mengasihi Tuhan dan sesama kita di seluruh dunia,” Presidensi Utama telah berkata. “Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir ingin memberkati orang lain dan membantu mereka yang berkeperluan. Kita diberkati dengan keupayaan, sumber, dan perhubungan global yang dipercayai untuk melaksanakan tanggungjawab kudus ini.”1

Saya bersyukur atas pelayanan yang tidak mementingkan diri dan pelayanan yang para ahli Gereja tawarkan dalam bait suci dan bahagian, cabang, dan pancang mereka. Saya juga bersyukur bahawa ahli-ahli Gereja melayani dalam banyak organisasi komuniti, pendidikan, dan ihsan dan mereka terlibat dalam beribu-ribu projek kemanusiaan setiap tahun, berjuta-juta jam sukarela dalam hampir 200 negara dan wilayah.2

Satu cara Gereja meluaskan peluang pelayanan di beberapa negara adalah melalui JustServe.org. Ditaja oleh Gereja tetapi sedia ada bagi sesiapa yang ingin memberkati orang lainJustServe.org “menghubungkan keperluan sukarelawan komuniti dengan sukarelawan” yang “meningkatkan kualiti hidup dalam komuniti.”3

Gereja dan ahli-ahlinya juga bekerjasama dengan organisasi-organisasi pelayanan di seluruh dunia. Gereja, terima kasih kepada ahlinya, adalah “penyumbang tunggal pemacu darah Palang Merah terbesar pada tahun 2022.” Sebagai tambahan, Gereja baru-baru ini membuat sumbangan $8.7 juta kepada Palang Merah.4

Gereja juga bergabung dengan organisasi-organisasi untuk membawa air bersih dan projek sanitasi ke kawasan-kawasan di seluruh dunia. Pada tahun 2022, Gereja mengambil bahagian dalam 156 projek sedemikian.5 Kita juga bekerjasama dan menderma kepada agensi-agensi lain yang membawa kelegaan kepada anak-anak Tuhan yang menderita.6

“Apabila kita berganding bahu untuk melayani orang yang memerlukan,” kata Presiden Henry B. Eyring, Penasihat Kedua dalam Presidensi Utama, “Tuhan menyatukan hati kita.”7

Imej
tangan ditekup dengan cahaya matahari

Angkatlah Cahaya Anda

Sebagai pengikut Juruselamat, kita juga memberkati jiran kita apabila kita mematuhi perjanjian kita dan menjalani kehidupan seperti Kristus. Kitab Mormon mengajar bahawa “umat gereja” bukan sahaja mesti memilih kesolehan tetapi juga membuat suara soleh mereka didengari jika mereka ingin Tuhan melindungi dan memakmurkan mereka. (lihat Alma 2:3–7, lihat juga Mosia 29:27). Tuhan mengharapkan kita untuk berkongsi iman dan kepercayaan kita serta mengangkat cahaya kita. “Lihatlah Aku adalah cahaya yang harus kamu angkat”(3 Nefi18:24)

“Kita tidak melayani Juruselamat kita dengan baik jika kita takut kepada manusia lebih daripada Tuhan,” kata Presiden Dallin H. Oaks, Penasihat Pertama dalam Presidensi Utama. Dia menambah, “Kita dipanggil untuk menegakkan standard Tuhan, untuk tidak mengikuti dunia.”8

Sama ada di sekolah, kerja, atau bermain, bercuti, dating, atau dalam talian, para pengikut Tuhan tidak “malu mengambil pada diri mereka nama Kristus” (Alma 46:21) Dengan perkataan dan perlakuan kita, kita bersaksi bahawa Tuhan hidup dan kita mengikuti Putera-Nya.

“Iman kita tidak berbelah bahagi, atau memang tidak sepatutnya. Iman bukan hanya untuk gereja, ia bukan hanya untuk rumah, ia bukan hanya untuk [sekolah],” kata Paul Lambert, seorang Orang Suci Zaman Akhir yang pakar tentang pluralisme agama. “Ia adalah untuk segala yang anda lakukan.”9

Kita tidak tahu kesan kesaksian kita, teladan yang baik, dan perbuatan baik terhadap orang lain. Tetapi apabila kita berdiri demi kebenaran dan mengangkat cahaya Juruselamat, orang akan melihat kita dan syurga akan memberi galakan untuk kita.

Imej
wanita berdiri di luar bait suci

Berdiri untuk Kebebasan Agama

Penipuan imam hari ini, dengan masyarakat yang semakin sekular menentang orang yang beriman, tidak begitu berbeza dari zaman Kitab Mormon. Suara mereka yang menentang peranan penting agama dalam arena awam dan politik semakin kuat. Golongan sekular dan kerajaan, termasuk banyak sekolah dan universiti, memaksa kelakuan dan menyebarkan maksiat, ateisme, dan relativisme moral.

Serangan ke atas kebebasan agama akan berjaya jika kita tidak mempertahankan hak keagamaan kita. “Sebagai sebuah gereja,” saya baru-baru ini mengajar, “kita bergabung dengan agama lain yang melindungi orang dari semua kepercayaan dan pujukan serta hak mereka untuk menyatakan keyakinan mereka.”10

Peperangan di syurga diperjuangkan ke atas hak pilihan moral—kebebasan kita untuk memilih. Untuk memelihara hak pilihan kita memerlukan kesungguhan dalam melindungi kebebasan beragama kita.

Iman agama yang cergas memperkuatkan dan melindungi keluarga, komuniti, dan negara. Ia melibatkan kepatuhan kepada hukum, menanamkan rasa hormat terhadap kehidupan dan harta benda, dan mengajar kasih ihsan, kejujuran, dan kemurnian—nilai-nilai yang diperlukan untuk mengekalkan masyarakat yang adil, bebas, dan sivil. Kita tidak perlu meminta maaf atas iman kita.

Usaha misionari kita, kerja perwakilan kita dalam bait suci, usaha kita untuk membina kerajaan Tuhan, dan kegembiraan kita memerlukan kita berdiri demi iman dan kebebasan agama. Kita tidak boleh kehilangan kebebasan itu tanpa kehilangan kebebasan lain.

Nabi Joseph Smith mengajar, “Ia adalah kasih kebebasan yang mengilhami jiwa saya—kebebasan sivil dan agama kepada seluruh umat manusia.”11 Kebebasan agama juga akan mengilhami jiwa kita apabila kita mengikuti nasihat daripada pemimpin Gereja:

  • “Kekal dimaklumkan tentang isu kepentingan awam, dan kemudian bercakap dengan berani dan beradab.”12

  • “Menyedari bahawa hakisan kebebasan agama akan memberi kesan besar kepada peluang kita untuk berkembang dalam kekuatan dan pengetahuan injil, untuk diberkati oleh tatacara-tatacara kudus, dan bergantung kepada Tuhan untuk mengarahkan Gereja-Nya.”13

  • “Berdiri dan bersuara untuk menegas bahawa Tuhan wujud dan terdapat kebenaran mutlak yang ditetapkan oleh perintah-Nya.”14

  • “Cabar hukum-hukum yang akan menjejaskan kebebasan kita untuk mengamalkan iman kita.”15

  • “Pergilah ke dunia untuk berbuat baik, untuk membina iman kepada Tuhan Yang Maha Kuasa, dan untuk membantu membawa orang lain ke tempat yang lebih bahagia.”16

  • Belajar sumber di religiousfreedom.ChurchofJesusChrist.org dan di religiousfreedomlibrary.org/documents.

Kita membina kerajaan Tuhan semasa kita melayani, mengangkat cahaya kita, dan berdiri untuk kebebasan agama. Semoga Tuhan memberkati kita dalam usaha kita untuk melakukan “banyak kebaikan” di kalangan keluarga, komuniti dan negara kita.

Nota

  1. “Pesanan daripada Presidensi Utama,” dalam Caring for Those in Need: 2022 Annual Report of The Church of Jesus Christ of Latter-day Saints, 3, ChurchofJesusChrist.org.

  2. Lihat Caring for Those in Need: 2022 Annual Report, 4, ChurchofJesusChrist.org.

  3. Justserve.org/about. JustServe aktif di 17 negara. Beribu-ribu orang dan organisasi diberkati melalui usaha ini.

  4. Lihat Kaitlyn Bancroft, “Church Donates $8.7 M as Part of Red Cross Collaboration,” Church News, Apr. 22, 2023, 23.

  5. Lihat Mary Richards, “Church Joins with Groups around the World to Tap into the Gift of Water,” Church News, 27 Mei 2023, 12.

  6. Lihat Dallin H. Oaks, “Membantu Mereka yang Miskin dan Menderita,” Liahona, Nov. 2022, 6–8.

  7. Henry B. Eyring, “Opportunities to Do Good,” Liahona, Mei 2011, 25.

  8. Dallin H. Oaks, “Unselfish Service,” Liahona, Mei 2009, 94–95.

  9. Paul Lambert, dalam Rachel Sterzer Gibson, “Mengapakah Terdapat Keperluan Untuk Iman di Tempat Kerja?” Church News, Apr. 22, 2023, 16.

  10. Ronald A. Rasband, “Untuk Menyembuhkan Dunia,” Liahona, Mei 2022, 92.

  11. Teachings of Presidents of the Church: Joseph Smith (2011), 345.

  12. D. Todd Christofferson, “Religious Freedom—A Cherished Heritage to Defend” (ucapan di Freedom Festival Patriotic Service, Provo, Utah,26 Jun, 2016), 5–6, speeches.byu.edu.

  13. Ronald A. Rasband, “Free to Choose” (pertemuan rohani Brigham Young University, 21 Jan , 2020), 3, speeches.byu.edu.

  14. Dallin H. Oaks, “Truth and Tolerance” (pertemuan rohani Brigham Young University, 11 Sep, 2011), 2, speeches.byu.edu

  15. Dallin H. Oaks, “Truth and Tolerance,” 4.

  16. Ronald A. Rasband, “Free to Choose,” 5, speeches.byu.edu.

Cetak