“Pekerjaan Agung Tuhan dan Peluang Besar Kita,” Liahona, Julai 2024.
Pesanan Bulanan Liahona, Julai 2024
Pekerjaan Agung Tuhan dan Peluang Besar Kita
Apabila kita mengasihi, berkongsi, dan menjemput, kita bekerja bersama Tuhan untuk membantu setiap jiwa berharga datang kepada-Nya.
Setiap nabi dalam zaman keagamaan yang hebat dan terakhir ini telah mengajar ahli-ahli Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir untuk berkongsi injil Yesus Kristus yang dipulihkan. Dalam hidup saya, beberapa contoh datang ke minda:
Presiden David O. McKay (1873–1970), nabi zaman remaja saya, mengisytiharkan, “Setiap ahli adalah seorang misionari.”
Presiden Spencer W. Kimball (1895–1985) mengajar, “Sekaranglah masa kita membawa injil ke banyak lagi tempat dan orang,” dan “kita harus meningkatkan usaha” untuk berkongsi injil dengan orang lain.
Presiden Gordon B. Hinckley (1910–2008) berkata: “Hebatnya pekerjaan kita, hebatnya tanggungjawab kita untuk membantu mencari orang untuk diajar. Tuhan telah memandatkan kita untuk mengajar injil kepada setiap makhluk. Ini memerlukan usaha [kita] yang terbaik.”
Dan Presiden Russell M. Nelson telah mengajar: “Pekerjaan misionari adalah bahagian penting dalam pengumpulan Israel. Pengumpulan itu adalah pekerjaan paling penting yang berlangsung di dunia pada masa kini. Tidak ada yang dapat dibandingkan dengan kebesarannya. Tidak ada yang dapat dibandingkan dengan kepentingannya. Para misionari Tuhan—para pengikut-Nya—terlibat dalam cabaran terbesar, tujuan terbesar, pekerjaan terbesar di bumi hari ini.”
Saya tahu ini ketika melayani sebagai seorang misionari muda dalam Misi British. Saya lebih pasti tentang ini sekarang. Sebagai seorang Rasul Yesus Kristus, saya bersaksi bahawa terdapat peluang di mana jua untuk membantu orang datang kepada Kristus dengan menunjukkan kasih, berkongsi kepercayaan, dan menjemput mereka untuk mengalami kebahagiaan injil Yesus Kristus.
Pekerjaan Maju Ke Hadapan
Saya berpeluang ditugaskan di Jabatan Misionari Gereja apabila edisi pertama Mengkhutbahkan Injil-Ku diperkenalkan pada tahun 2004, dan sekali lagi apabila edisi kedua dikeluarkan pada tahun 2023. Saya percaya bahawa Mengkhutbahkan Injil-Ku telah memberkati pekerjaan misionari secara mendalam.
Mengkhutbahkan Injil-Ku yang baharu termasuk segala yang kita pelajari sejak 2004, arahan berilham dari setiap ahli Presidensi Utama dan Kuorum Dua Belas Rasul, dan perubahan yang dilakukan dalam berkongsi injil di zaman digital ini. Beberapa perubahan ini telah menghasilkan kejayaan yang ketara.
Kami mendapati bahawa apabila berkongsi injil secara mudah, normal, dan semula jadi melalui asas-asas “kasih, kongsi, jemput” amat memberkati kerajaan. Yesus Kristus berkongsi injil dengan cara ini semasa Dia di bumi. Dia berkongsi kehidupan-Nya dan kasih-Nya dan menjemput semua orang untuk datang kepada-Nya (lihat Matius 11:28). Untuk mengasihi, berkongsi, dan menjemput seperti yang Dia lakukan adalah berkat dan tanggungjawab istimewa bagi setiap ahli Gereja.
Mulakan dengan Kasih
Di Taman Getsemani dan di salib, Yesus Kristus mengambil ke atas diri-Nya dosa-dosa dunia dan menderita semua kesedihan dan “kesakitan dan kesengsaraan dan cubaan daripada setiap jenis” (Alma 7:11). Ini “menyebabkan [Dia], … yang terbesar daripada semuanya, menggeletar kerana kesakitan, dan berdarah pada setiap liang roma” (Ajaran dan Perjanjian 19:18). Melalui Korban Tebusan dan Kebangkitan-Nya, Yesus Kristus telah memungkinkan keselamatan dan permuliaan untuk semua.
Berpaling kepada Juruselamat dan merenungkan segala yang Dia telah lakukan untuk kita akan mengisi hati kita dengan kasih kepada-Nya. Dia kemudian memalingkan hati kita terhadap orang lain dan memerintahkan kita untuk mengasihi mereka (lihat Yohanes 13:34–35) dan untuk berkongsi injil-Nya dengan mereka (lihat Matius 28:19; Markus 16:15). Jika orang di sekeliling kita dapat merasai bahawa kita mengasihi dan prihatin terhadap mereka , mereka lebih berkemungkinan untuk membuka hati mereka kepada pesanan kita, seperti Raja Lamoni membuka hatinya untuk menerima injil kerana kasih dan pelayanan Amon (lihat Alma 17–19).
Apabila kita berkongsi injil, mulakanlah dengan kasih. Apabila kita menjangkau orang dengan kasih—ingatlah bahawa mereka adalah saudara dan saudari kita dan anak-anak Bapa Syurgawi kita yang dikasihi—peluang akan terbuka bagi kita untuk berkongsi apa yang kita tahu adalah benar.
Bersemangat Terlibat dan Berkongsi
Tiada yang lebih berdedikasi untuk berkongsi injil daripada Presiden M. Russell Ballard (1928–2023). Dalam ucapan terakhir persidangan umumnya, dia bersaksi, “Salah satu perkara mulia dan menakjubkan di mana sesiapa pun di dunia ini boleh tahu— bahawa Bapa Syurgawi kita dan Tuhan Yesus Kristus telah memperlihatkan Diri Mereka di zaman akhir ini dan juga Joseph [Smith] telah dipanggil untuk memulihkan kegenapan injil Yesus Kristus.”
Sepanjang hidupnya, dan di seluruh dunia, Presiden Ballard bersemangat terlibat dalam berkongsi pesanan berharga ini dengan semua orang. Dia menggalakkan kita untuk lakukan yang sama. Dia mengajar bahawa kita kongsi injil “dengan menjadi jiran yang baik dan menjaga dan menunjukkan kasih.” Dengan itu, kita “memancarkan injil dalam kehidupan kita sendiri, dan … memancarkan berkat injil yang ditawarkan [kepada orang lain].” Kita juga “bersaksi tentang apa yang [kita] tahu dan percaya dan apa yang [kita] rasa.” Presiden Ballard mengajar, “Kesaksian murni … boleh dibawa oleh kuasa Roh Kudus ke dalam hati orang lain yang terbuka untuk menerimanya.”
Berkongsi injil Yesus Kristus yang dipulihkan adalah hasrat terbesar Presiden Ballard. Kita boleh bersemangat terlibat—seperti dia—dengan berkongsi injil dalam perkataan dan perbuatan. Kita tidak pernah tahu siapa di antara kita yang mungkin mencari cahaya injil tetapi tidak tahu di mana untuk mencarinya (lihat Ajaran dan Perjanjian 123:12).
Menghulurkan Jemputan Tulus Ikhlas
Dalam membantu orang lain datang kepada Kristus, kita menjemput mereka untuk mengalami kebahagiaan yang Juruselamat dan injil-Nya bawakan. Kita boleh melakukan ini dengan menjemput mereka untuk datang ke aktiviti, membaca Kitab Mormon, atau bertemu dengan para misionari. Kita juga boleh menghulurkan satu jemputan tulus ikhlas kepada mereka untuk menghadiri pertemuan sakramen bersama kita.
Kita menghadiri pertemuan sakramen setiap minggu untuk “menyembah Tuhan dan mengambil sakramen untuk mengingati Yesus Kristus dan Korban Tebusan-Nya.” Inilah masa yang sesuai bagi orang untuk merasai Roh, mendekati Juruselamat, dan menguatkan iman mereka kepada-Nya.
Apabila kita mencari cara untuk mengasihi, berkongsi, dan menjemput, perancangan dan usaha kita harus termasuk membantu orang untuk menghadiri pertemuan sakramen. Jika mereka akan menerima jemputan kita dan menghadiri pertemuan sakramen, mereka lebih cenderung untuk meneruskan perjalanan ke pembaptisan dan penukaran hati. Saya sepenuh hati percaya bahawa kejayaan besar akan datang apabila kita menjemput orang untuk menghadiri pertemuan sakramen dan membantu mereka mengenali berkat-berkat yang mereka boleh terima dari berbuat demikian.
Tuhan Akan Membimbing Kita
Kita tidak akan tahu apa kejayaan dan cabaran yang kita akan ada semasa kita mengasihi, berkongsi, dan menjemput. Para putera Mosia “pergi dari kota ke kota, dari sebuah rumah ibadat ke yang lain, … di kalangan bangsa Laman, untuk mengkhutbahkan dan untuk mengajarkan firman Tuhan di kalangan mereka; dan demikianlah mereka mula mengalami banyak kejayaan.” Melalui usaha mereka, “ribuan dibawa pada pengetahuan tentang Tuhan,” dan ramai “berpaling kepada Tuhan … [dan] tidaklah pernah jatuh” (Alma 23:4–6).
Walaupun ini tidak akan sentiasa menjadi pengalaman kita, Tuhan telah berjanji bahawa Dia akan bekerja bersama kita kerana setiap jiwa berharga bagi-Nya. Apabila kita meletakkan kepercayaan kita kepada Tuhan dan terlibat dalam pelayanan-Nya, Dia akan membimbing kita dalam cara berkongsi injil-Nya dengan orang lain dengan mengasihi mereka, berkongsi kehidupan dan kesaksian kita dengan mereka, dan menjemput mereka untuk menyertai kita dalam mengikuti Dia.
“Besarnya kebahagiaan [kita]” (Ajaran dan Perjanjian 18:15) apabila kita mengambil peluang yang ada di sekeliling untuk membantu Tuhan Yesus Kristus dalam pekerjaan agung-Nya untuk membawa jiwa-jiwa kepada-Nya.
© 2024 by Intellectual Reserve, Inc. All rights reserved Dicetak di Amerika Syarikat. Kelulusan Bahasa Inggeris: 6/19. Kelulusan terjemahan: 6/19. Terjemahan Monthly Liahona Message, July 2024. Malay. 19293 348