Liahona
Corak Perpaduan dalam Yesus Kristus
Oktober 2024


“Corak Perpaduan dalam Yesus Kristus,” Liahona, Okt. 2024.

Pesanan Bulanan Liahona, Oktober 2024

Corak Perpaduan dalam Yesus Kristus

Semasa kita bersatu dalam Yesus Kristus seperti orang-orang di 4 Nefi, hasrat kita untuk menjadi satu menggantikan perbezaan kita dan membawa kepada kebahagiaan.

Patung Kristus

Kita hidup dalam zaman apabila arus perbalahan dan perselisihan merebak di seluruh dunia. Dibantu oleh teknologi dan bersubahat dengan orang-orang berhati dingin, kuasa perpecahan ini mengancam untuk mengisi hati kita dengan penghinaan dan merosakkan komunikasi kita dengan pertikaian. Ikatan komuniti berpecah. Peperangan membadai.

Dalam konteks ini, pengikut sejati Yesus Kristus merindukan kedamaian dan secara aktif berusaha untuk membina masyarakat yang berbeza—yang berasaskan ajaran Yesus Kristus. Untuk tujuan ini, Tuhan telah meminta kita untuk “jadilah satu; dan jika kamu tidak bersatu kamu bukanlah milik-Ku” (Ajaran dan Perjanjian 38:27). Sesungguhnya, perpaduan adalah ciri Gereja Yesus Kristus yang sejati.

Bagaimanakah kita bekerja menentang kuasa perpecahan dan pertikaian? Bagaimana kita mencapai perpaduan?

Syukur, 4 Nefi dalam Kitab Mormon memberi kita contoh. Bab ini secara ringkas merekodkan cara orang-orang hidup selepas Juruselamat telah mengunjungi mereka, mengajar mereka, dan menubuhkan Gereja-Nya di kalangan mereka. Laporan ini menunjukkan bagaimana orang-orang ini mencapai perpaduan yang bahagia dan damai, dan memberi kita corak yang boleh kita ikuti untuk mencapai perpaduan yang sama.

Penukaran Hati

Dalam 4 Nefi 1:1, kita membaca: “Para pengikut Yesus telah membentuk gereja Kristus di seluruh negeri di sekitarnya. Dan [orang ramai] datang kepada mereka, dan benar-benar bertaubat dari dosa-dosa mereka.”

Kita bersatu bersama Tuhan dan Juruselamat Yesus Kristus. Semasa setiap orang belajar tentang Yesus Kristus, injil-Nya, dan Gereja-Nya, Roh Kudus bersaksikan kebenaran ke dalam hati setiap orang. Setiap kita kemudiannya boleh menerima jemputan Juruselamat untuk beriman kepada-Nya dan mengikuti-Nya dengan bertaubat.

Maka bermulalah perjalanan penukaran hati individu—menjauhi hasrat mementingkan diri dan berdosa, dan mengarah kepada Juruselamat. Dia adalah landasan iman kita. Dan semasa kita melihat kepada-Nya dalam setiap pemikiran (lihat Ajaran dan Perjanjian 6:36), Dia menjadi kuasa penyatuan dalam kehidupan kita.

Perjanjian

Laporan 4 Nefi menyatakan mereka yang datang ke Gereja dan bertaubat dari dosa-dosa mereka “dibaptiskan dalam nama Yesus; dan mereka juga telah menerima Roh Kudus” (4 Nefi 1:1). Mereka telah memasuki satu perjanjian—hubungan yang istimewa dan terikat—dengan Tuhan.

Apabila kita membuat dan mentaati perjanjian, kita mengambil nama Tuhan ke atas diri kita sebagai individu. Kita juga mengambil nama-Nya ke atas diri kita sebagai umat. Semua yang membuat perjanjian dan berusaha untuk mentaatinya menjadi umat Tuhan, kepunyaan-Nya (lihat Keluaran 19:5). Oleh itu, kita berjalan di jalan perjanjian secara individu dan bersama. Hubungan perjanjian kita dengan Tuhan memberi kita tujuan yang sama dan identiti yang sama. Semasa kita mengikat diri kita kepada Tuhan, Dia membantu “hati [kita] terkait bersama dalam perpaduan dan dalam kasih terhadap satu sama lain” (Mosia 18:21).

Keadilan, Kesaksamaan, dan Membantu Orang Miskin

Laporan 4 Nefi berterusan: “Tidak terdapat pertikaian dan perselisihan di antara mereka, dan setiap orang berurusan dengan adil di antara satu sama lain.

“Dan segala benda mereka merupakan kepunyaan mereka bersama; oleh itu tidak ada yang kaya dan miskin, yang terikat dan bebas, tetapi mereka semuanya dijadikan bebas, dan pengambil bahagian dari kurnia syurgawi” (4 Nefi 1:2–3).

Dalam urusan duniawi kita, Tuhan mahu kita bersikap adil dan wajar kepada satu sama lain dan tidak memperdayakan atau mengambil kesempatan atas satu sama lain (lihat 1 Tesalonika 4:6). Semasa kita mendekati Tuhan, kita “tidak akan memiliki fikiran untuk saling mencederai, tetapi untuk hidup dengan damai, dan untuk memberikan kepada setiap orang menurut apa yang adalah haknya” (Mosia 4:13).

Tuhan juga memerintahkan kita untuk menjaga orang yang miskin dan memerlukan. Kita harus “memberikan harta kekayaan [kita]” untuk membantu mereka, mengikut keupayaan kita untuk berbuat demikian, tanpa menghakimi mereka (lihat Mosia 4: 21–27).

Setiap kita harus “menjunjung tinggi saudaranya seperti dirinya” (Ajaran dan Perjanjian 38:24). Jika kita umat Tuhan dan bersatu, bukan sahaja kita mesti memperlakukan satu sama lain dengan setara, tetapi kita juga mesti benar-benar melihat satu sama lain sebagai setara dan merasa di dalam hati kita bahawa kita adalah setara—setara di hadapan Tuhan, yang mempunyai nilai dan potensi yang setara.

Kepatuhan

Pelajaran seterusnya daripada 4 Nefi datang dalam ungkapan mudah ini: “Mereka berjalan menurut perintah-perintah yang telah mereka terima daripada Tuhan dan Raja mereka” (4 Nefi 1:12).

Tuhan telah mengajar orang-orang ini tentang ajaran-Nya, memberi mereka perintah-perintah, dan memanggil para hamba untuk melayani mereka. Salah satu tujuan-Nya melakukan ini adalah untuk memastikan tidak akan ada perselisihan di antara mereka (lihat 3 Nefi 11:28–29; 18:34).

Kepatuhan kita kepada ajaran Tuhan dan para hamba-Nya adalah penting untuk kita bersatu. Ini termasuk komitmen kita untuk mematuhi perintah untuk bertaubat apabila kita membuat kesilapan dan membantu satu sama lain semasa kita berusaha untuk melakukan yang lebih baik dan menjadi lebih baik setiap hari.

orang melihat kitab suci dalam pertemuan

Berhimpun Bersama

Seterusnya, kita belajar bahawa orang-orang di 4 Nefi “terus berpuasa dan berdoa, dan sering berhimpun bersama baik untuk berdoa mahupun mendengarkan firman Tuhan” (4 Nefi 1:12).

Kita perlu berhimpun bersama. Pertemuan penyembahan mingguan kita adalah peluang penting untuk menemukan kekuatan, baik secara individu dan bersama. Kita mengambil sakramen, belajar, berdoa, menyanyi bersama, dan menyokong satu sama lain. Perhimpunan lain juga membantu memupuk rasa tergolong, persahabatan, dan tujuan bersama.

Kasih

Laporan dalam 4 Nefi kemudian menunjukkan kita apa yang terpenting—perkara yang tidak dapat dicapai tanpa perpaduan sebenar: “Tidak ada pertikaian di negeri itu, kerana kasih Tuhan yang berada di dalam hati bangsa itu” (4 Nefi 1:15).

Kedamaian peribadi dicapai apabila kita, dengan rendah hati, benar-benar mengasihi Tuhan. Inilah perintah yang terutama dan yang terpenting! Mengasihi Tuhan lebih daripada sesiapa pun atau apa-apa pun ialah syarat yang membawa kedamaian, penghiburan, keyakinan, dan kebahagiaan. Semasa kita mengembangkan kasih kepada Tuhan dan Yesus Kristus, kasih kepada keluarga dan sesama secara semula jadi akan mengikuti.

Kebahagiaan terbesar yang kita akan alami adalah apabila kita dipenuhi kasih kepada Tuhan dan kepada semua anak-Nya.

Kasih ihsan, kasih suci Kristus, adalah penawar kepada pertikaian. Ia ialah ciri utama seorang pengikut sejati Yesus Kristus. Apabila kita merendahkan hati di hadapan Tuhan dan berdoa dengan sekuat tenaga hati, Tuhan akan memberi kita kasih ihsan (lihat Moroni 7:48).

Semasa kita semua berusaha untuk mempunyai kasih Tuhan berdiam dalam hati kita, keajaiban perpaduan akan kelihatan semula jadi bagi kita.

Identiti Ilahi

Akhirnya, orang-orang di 4 Nefi mempamerkan tanda perpaduan yang patut kita perhatikan: “Tidak ada perompak, atau pembunuh, tidak juga ada bangsa Laman, atau apa-apa nama bangsa pun; tetapi mereka dalam kesatuan, anak-anak Kristus, dan para pewaris kerajaan Tuhan” (4 Nefi 1:17).

Label yang telah membahagikan bangsa itu selama beratus-ratus tahun hilang di hadapan identiti yang lebih berkekalan dan mulia. Mereka melihat diri mereka—dan orang lain—mengikut hubungan mereka dengan Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus.

Kepelbagaian dan perbezaan boleh menjadi baik dan penting kepada kita. Tetapi identiti terpenting kita adalah yang berkaitan dengan asal usul dan tujuan ilahi kita.

Pertama sekali, setiap kita adalah anak Tuhan. Kedua, sebagai ahli Gereja, setiap kita adalah anak perjanjian. Dan ketiga, setiap kita adalah pengikut Yesus Kristus. Saya menggesa kita semua untuk tidak membenarkan mana-mana pengecam lain untuk “mengambil tempat, menggantikan, atau mengambil keutamaan ke atas ketiga-tiga sebutan yang berkekalan ini.”

keluarga duduk bersama di atas lantai

Jadilah Satu

Tuhan menjemput semua untuk datang kepada-Nya. Terdapat ruang untuk semua orang. Kita mungkin berbeza dalam budaya, politik, etnik, citarasa, dan banyak lagi. Tetapi semasa kita bersatu dalam Yesus Kristus, perbezaan seperti itu pudar kepentingannya dan digantikan oleh hasrat kita untuk menjadi satu—supaya kita boleh menjadi milik-Nya.

Ingatlah pelajaran yang diajar dalam 4 Nefi. Semasa setiap kita berusaha untuk menggabungkan unsur-unsur penting perpaduan ini ke dalam kehidupan kita, orang akan gambarkan kita dengan berkata, “Sudah pastinya tidak terdapat orang yang lebih bahagia di kalangan semua orang yang diciptakan oleh tangan Tuhan” (4 Nefi 1:16).

Nota

  1. Untuk maklumat lanjut mengenai makna dan berkat membuat perjanjian dengan Tuhan, lihat Russell M. Nelson, “Perjanjian Abadi,” Liahona, Okt. 2022, 4–11.

  2. Russell M. Nelson, “Pilihan untuk Keabadian” (pertemuan rohani belia sedunia, 15 Mei 2022), Gospel Library.