Buku Panduan dan Panggilan
4. Kepimpinan dan Majlis dalam Gereja Yesus Kristus


“4. Kepimpinan dan Majlis dalam Gereja Yesus Kristus,” Buku Panduan Umum: Melayani dalam Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir (2021).

“4. Kepimpinan dan Majlis dalam Gereja Yesus Kristus,” Buku Panduan Umum.

mesyuarat majlis bahagian

4.

Kepimpinan dan Majlis dalam Gereja Yesus Kristus

4.0

Pengenalan

Sebagai seorang pemimpin gereja, anda telah dipanggil secara ilham melalui hamba-hamba Tuhan yang diberi kuasa. Anda berpeluang untuk membantu dalam pekerjaan Bapa Syurgawi untuk “mendatangkan kebaqaan dan kehidupan abadi bagi manusia” (Musa 1:39). Anda melakukan ini dengan menggalakkan ahli-ahli untuk terlibat dalam pekerjaan penyelamatan dan permuliaan bagi diri mereka, keluarga mereka, dan orang lain (lihat bab 1). Anda akan menemui kebahagiaan semasa anda melayani anak-anak Tuhan.

Mengikuti teladan Yesus Kristus, anda akan selalu melayani orang lain satu demi satu. Anda juga akan berpeluang untuk memimpin dalam pertemuan dan aktiviti Gereja. Tambahan, anda mungkin memberi pelayanan penting melalui majlis. Ini termasuk pertemuan presidensi, mesyuarat majlis bahagian, dan lain-lain. Bahagian 4.3 dan 4.4 menyediakan garis panduan untuk majlis yang berkesan. Butiran tentang mesyuarat majlis tertentu disediakan dalam bab 29.

Pelayanan pembaktian anda memerlukan pengorbanan masa, tetapi jangan mengabaikan keperluan anda sendiri dan keperluan keluarga anda. Carilah bimbingan Roh Kudus untuk membantu anda mengimbangi dan memenuhi tanggungjawab anda (lihat Mosia 4:27).

4.1

Tujuan Kepimpinan dalam Gereja

Pemimpin menggalakkan ahli-ahli untuk terlibat dalam pekerjaan Tuhan dengan menjadi “pengikut sejati … Yesus Kristus” (Moroni 7:48). Untuk melakukan ini, pemimpin berusaha menjadi pengikut Juruselamat yang beriman dengan mengikuti ajaran-ajaran dan teladan-Nya (lihat Lukas 18:22). Kemudian mereka boleh membantu orang lain mendekati Bapa Syurgawi, Yesus Kristus, dan Roh Kudus. Dalam proses membantu orang lain, mereka sendiri menjadi pengikut yang lebih baik (lihat Mosia 18:26; Ajaran dan Perjanjian 31:5).

Menjadi pengikut yang setia untuk membantu orang lain menjadi pengikut yang setia adalah tujuan di sebalik setiap panggilan dalam Gereja. Setiap panggilan merangkumi peluang untuk melayani, memimpin, dan memperkuatkan orang lain.

4.2

Asas-asas Kepimpinan dalam Gereja

Semasa pelayanan fana-Nya, Juruselamat menetapkan teladan kepimpinan bagi Gereja-Nya. Tujuan utama-Nya adalah melakukan kehendak Bapa Syurgawi-Nya dan membantu orang lain memahami dan mematuhi injil-Nya (lihat Yohanes 5:30; Mosia 15:7). Dia mengasihi umat yang Dia bimbing dan menunjukkan kasih dengan melayani mereka (lihat Yohanes 13:3–5).

Juruselamat meningkatkan keupayaan orang lain dengan memberi mereka tanggungjawab dan peluang untuk berkembang (lihat Matius 10:5–8; Yohanes 14:12). Dia menggalakkan dan membetulkan dengan jelas dan kasih (lihat Yohanes 21:15–17).

Tuhan berfirman, “Biarlah setiap lelaki mempelajari tugasnya, dan bertindak dalam jawatan yang telah ditetapkan kepadanya, dengan penuh ketekunan” (Ajaran dan Perjanjian 107:99). Kata-kata ini adalah untuk semua orang yang menerima tanggungjawab untuk melayani dan memimpin dalam Gereja Juruselamat.

Carilah bimbingan Tuhan untuk membantu anda belajar dan memenuhi tugas panggilan anda. Semasa anda mempelajari tulisan suci, carilah asas kepimpinan yang Juruselamat tunjukkan dan ajarkan. Menerapkan asas-asas dalam bab ini juga akan membantu anda memimpin dengan lebih berkesan dalam Gereja Juruselamat.

4.2.1

Bersedia secara Rohani

Yesus menyediakan diri-Nya secara rohani untuk misi duniawi-Nya (lihat Lukas 4:1–2). Anda juga boleh mempersiapkan diri secara rohani dengan mendekati Bapa Syurgawi melalui doa, kajian tulisan suci, dan kepatuhan kepada perintah-perintah-Nya. Mengikuti nabi-Nya juga membantu anda bersedia secara rohani (lihat Ajaran dan Perjanjian 21:4–6).

Carilah wahyu untuk memahami keperluan orang yang anda pimpin dan bagaimana untuk memenuhi pekerjaan yang Tuhan berikan anda. Melalui usaha anda untuk mendekati Tuhan, anda boleh menerima bimbingan dalam kehidupan peribadi anda, tanggungjawab keluarga, dan panggilan Gereja.

Tuhan juga berjanji untuk menganugerahkan kurnia-kurnia rohani kepada mereka yang mencarinya (lihat Ajaran dan Perjanjian 46:8). Semasa anda dengan rendah hati berdoa kepada Bapa Syurgawi untuk menerima kurnia-kurnia tersebut, Dia akan meningkatkan keupayaan anda untuk membimbing dan mengangkat orang yang anda layani.

4.2.2

Pelayanan kepada Semua Anak Tuhan

Yesus secara peribadi melayani orang-orang, menjangkau untuk mengangkat dan mengajar mereka yang berasa kesepian, putus harapan, atau sesat. Melalui firman dan tindakan-Nya, Dia menunjukkan kepada orang ramai bahawa Dia mengasihi mereka. Dia mengenali sifat ilahi dan nilai abadi setiap orang.

Kasihi orang yang anda layani sepertimana Yesus lakukan. Berdoa “dengan sekuat tenaga hati” untuk dipenuhi dengan kasih-Nya (Moroni 7:48). Membina persahabatan yang tulus. Mencapai kepada mereka yang kesunyian, memerlukan penghiburan, atau memerlukan keperluan lain. Kasih anda akan memberkati kehidupan mereka dan membantu mereka berhasrat untuk datang kepada Kristus.

Bantu individu-individu memperdalamkan penukaran hati mereka dan memperkuatkan iman mereka kepada Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus. Bantu mereka bersedia untuk membuat perjanjian semasa mereka menerima tatacara seterusnya. Galakkan mereka untuk mentaati perjanjian yang mereka telah buat dan mengambil bahagian dalam berkat-berkat pertaubatan. Bantu mereka tahu bahawa mereka boleh maju untuk memenuhi potensi ilahi mereka tanpa mengira cabaran yang mereka hadapi.

4.2.3

Mengajarkan Injil Yesus Kristus

Semua pemimpin adalah pengajar. Berusaha mengikuti teladan Juruselamat sebagai seorang pengajar (lihat bab 17; Teaching in the Savior’s Way). Melalui perkataan dan tindakan anda, ajarkan ajaran Yesus Kristus dan asas-asas injil-Nya (lihat 3 Nefi 11:32–33; Ajaran dan Perjanjian 42:12–14). Pengajaran berkesan mengilhami orang untuk memperkuatkan hubungan mereka dengan Tuhan dan menjalankan injil, maju menuju kehidupan abadi.

Mengajar dengan cara Juruselamat adalah lebih daripada bercakap; ia termasuk mendengar dan menanyakan soalan-soalan seperti yang Dia lakukan (lihat Matius 16:13–17).

Pengajar yang berkesan juga merupakan pelajar yang tekun. Jadikan pengkajian firman Tuhan satu keutamaan yang tinggi dalam hidup anda. Fahami bahawa pembelajaran adalah proses sepanjang hidup. Cari peluang untuk belajar dari orang lain, termasuk mereka yang anda ajar. (Lihat Ajaran dan Perjanjian 88:122.)

Mengajar dari tulisan suci dan kata-kata para nabi zaman akhir (lihat Ajaran dan Perjanjian 52:9). Ingatlah bahawa “pengkhutbahan firman mempunyai kesan yang lebih kuat pada fikiran orang daripada … apa-apa pun yang lain” (Alma 31:5).

Carilah pengaruh Roh semasa anda bersedia dan mengajar. Roh Kudus membawa kebenaran ke hati dan fikiran mereka yang anda ajar (lihat 2 Nefi 33:1).

Ajar ahli-ahli untuk mengabdikan diri dalam mempelajari injil secara peribadi dan bersama keluarga mereka.

Jika anda dipanggil atau ditugaskan untuk memimpin dalam pertemuan atau aktiviti Gereja, pastikan bahawa pengajaran itu meneguhkan dan benar (lihat Ajaran dan Perjanjian 50:21–23).

4.2.4

Memimpin dalam Kesolehan

Tuhan mengungkapkan bahawa “perlunya ada presiden, atau pemimpin-pemimpin utama” dalam Gereja-Nya (Ajaran dan Perjanjian 107:21). Mereka yang memegang kunci-kunci imamat memimpin dalam skop tanggungjawab mereka, seperti kuorum atau bahagian.

Organisasi lain dalam Gereja, termasuk Lembaga Pertolongan, Remaja Puteri, Sekolah Primer, dan Sekolah Minggu, juga dipimpin oleh seorang pegawai utama. Pemimpin-pemimpin ini dipanggil, ditetapkan, dan diberikan wewenang oleh seorang yang memegang kunci-kunci imamat atau seseorang yang dia telah wewenangkan (lihat 3.4.3).

Setiap pemimpin utama melayani di bawah arahan seseorang yang memegang kunci-kunci imamat (lihat 3.4.1). Struktur ini menyediakan arahan dan panduan jelas tentang tanggungjawab dan pertanggunjawaban dalam melakukan pekerjaan Tuhan.

Seorang pemimpin utama boleh menugaskan tugasan sementara untuk memimpin kepada orang lain. Contohnya, jika presiden Lembaga Pertolongan tidak dapat menghadiri pertemuan hari Ahad Lembaga Pertolongan, dia akan menugaskan penasihat pertamanya untuk memimpin dalam pertemuan itu. Jika penasihat pertama juga tidak hadir, presiden akan menugaskan penasihat keduanya untuk memimpin.

Seorang pemimpin yang memimpin dalam sesuatu organisasi, pertemuan, atau aktiviti Gereja memastikan tujuan Tuhan dicapai. Dalam melakukan ini, pemimpin itu mengikuti asas-asas injil, polisi Gereja, dan arahan Roh Kudus.

Mereka yang memimpin mengikut teladan Yesus Kristus dalam melayani dengan lembut, kelembutan hati, dan kasih suci (lihat Yohanes 13:13–15). Panggilan atau tugas untuk memimpin tidak menjadikan seseorang yang menerimanya menjadi lebih penting atau lebih bernilai daripada orang lain (lihat Ajaran dan Perjanjian 84:109–10).

Jika anda telah dipanggil atau ditugaskan untuk memimpin, ikutilah ajaran Juruselamat bahawa “jika seseorang antara kamu hendak menjadi yang pertama, dia harus menjadi hamba kamu semua” (Matius 20:27; lihat ayat 26–28). Berunding dengan orang lain dan mencari kesatuan dalam memahami kehendak Tuhan dan melakukan pekerjaan-Nya (lihat Ajaran dan Perjanjian 41:2; lihat juga 4.4 dalam buku panduan ini).

Tidaklah bijaksana untuk bercita-cita untuk memimpin dalam mana-mana organisasi Gereja Tuhan (lihat Ajaran dan Perjanjian 121:37). Tetapi, melayanilah dengan rendah hati dan beriman dalam jawatan yang anda dipanggil. Berusaha untuk melaksanakan pekerjaan Tuhan dengan tumpuan mata hanya pada kemuliaan-Nya (lihat Ajaran dan Perjanjian 4:5). Percaya bahawa Tuhan akan memberi anda peluang untuk berkembang dan memberkati anak-anak Bapa Syurgawi.

pertemuan bahagian

4.2.5

Penugasan Tanggungjawab dan Memastikan Pertanggungjawaban

Juruselamat memberi para pengikut-Nya tugasan dan tanggungjawab yang bermakna (lihat Lukas 10:1). Dia juga memberi mereka peluang untuk pertanggungjawaban atas pekerjaan yang diberikan kepada mereka (lihat Lukas 9:10).

Sebagai seorang pemimpin, anda boleh membantu orang lain berkembang dengan memberi tugasan kepada mereka. Dengan cara ini anda turut membantu mereka menerima berkat-berkat yang datang dari melayani. Berusaha untuk melibatkan semua ahli dalam melakukan pekerjaan Tuhan.

Menugaskan tugasan turut menjadikan pelayanan anda lebih berkesan. Jika anda cuba untuk melakukan terlalu banyak, anda akan “meletihkan dirimu” (Keluaran 18:18). Carilah bimbingan Roh tentang apa yang harus ditugaskan supaya anda dapat memberi tumpuan kepada keutamaan tertinggi anda.

Penugasan adalah lebih daripada sekadar memberikan tugasan. Ia juga merangkumi pengajaran dan mempercayai orang lain untuk memenuhi tugasan tersebut. Ia merangkumi unsur-unsur berikut:

  • Bertemu dengan orang itu untuk menjemput dia melayani Tuhan dalam satu tugasan. Bantu orang itu memahami tugasan dan tujuannya, termasuk bagaimana pelayanannya akan memberkati orang lain.

  • Berunding bersama tentang tugasan itu, siapa lagi yang boleh terlibat, dan bila ia harus diselesaikan. Pastikan orang itu memahami dan bersedia menerima tugasan. Nyatakan keyakinan terhadap kemampuannya.

  • Galakkan orang itu untuk mencari ilham tentang bagaimana untuk memenuhi tugasan itu. Tunjukkan kepercayaan anda dan bantu orang itu berjaya. Berikan arahan dan sokongan jika perlu.

  • Sekali sekala, minta orang tersebut untuk memberi laporan tentang tugasan itu. Terima usaha terbaik orang itu, dan nyatakan penghargaan ke atas apa yang telah dilakukannya.

4.2.6

Menyediakan Orang Lain untuk Menjadi Pemimpin dan Pengajar

Juruselamat menyediakan para Rasul-Nya untuk menjadi para pemimpin dalam Gereja-Nya. Anda juga membantu orang lain bersedia untuk menjadi pemimpin dan pengajar. Pekerjaan Tuhan tertumpu pada membantu orang, bukan hanya melaksanakan program Gereja. Program-program ini tidak bukan pengakhiran. Ia wujud untuk membantu orang berkembang.

Berdoalah apabila mempertimbangkan siapa yang boleh melayani dalam panggilan atau tugasan Gereja. Ingatlah bahawa Tuhan akan melayakkan mereka yang Dia panggil. Yang paling penting adalah mereka bersedia melayani, dengan rendah hati meminta bantuan Tuhan, dan berusaha untuk menjadi layak. Panggilan dan tugasan dapat membantu mereka berkembang dengan memberi peluang untuk menjalankan iman mereka, bekerja kuat, dan merasakan Tuhan mengembangkan usaha mereka. Memberi bimbingan dan bantuan kepada para remaja, ahli baharu dan orang lain yang memerlukan sokongan tambahan dalam memenuhi panggilan mereka.

Kadangkala orang yang sama dipanggil berulang kali ke jawatan kepimpinan. Ini membebankan mereka dan keluarga mereka dan mengambil peluang daripada orang lain. Cuba berikan semua ahli kesempatan untuk melayani dan berkembang.

Untuk maklumat lanjut tentang panggilan Gereja, lihat bab 30.

4.2.7

Merancang Pertemuan, Pengajaran, dan Aktiviti dengan Tujuan yang Jelas

Cari bimbingan Roh dalam perancangan pertemuan, pengajaran, dan aktiviti yang mempunyai tujuan jelas. Tujuan-tujuan ini harus menguatkan individu dan keluarga, mendekatkan mereka kepada Kristus, dan membantu melaksanakan pekerjaan penyelamatan dan permuliaan Tuhan (lihat bab 1 dan 2). Ketika merancang, ikuti asas-asas dalam bab 20 dan 29.

Buat rancangan jangka panjang untuk organisasi anda. Simpan kalendar tahunan. Tumpukan pada penggalakan perkembangan rohani ahli-ahli.

4.2.8

Menilai Usaha Anda

Kerap menyemak semula tanggungjawab dan perkembangan rohani anda sebagai seorang pemimpin. Pertimbangkan juga perkembangan mereka yang anda pimpin. Para pemimpin unit, kuorum imamat, dan organisasi lain boleh mengkaji semula petunjuk utama, laporan suku tahunan, dan laporan lain dalam Leader and Clerk Resources (Sumber Pemimpin dan Kerani) untuk melihat di mana terdapatnya kemajuan dan di mana terdapat potensi untuk berkembang.

Kejayaan anda sebagai seorang pemimpin diukur melalui komitmen anda untuk membantu anak-anak Tuhan menjadi pengikut Yesus Kristus yang setia. Kerana semua orang memiliki hak pilihan, sesetengah orang mungkin memilih untuk menyimpang dari jalan perjanjian. Ini mungkin mengecewakan anda, tetapi jika anda berpaling kepada Tuhan, Dia akan mengangkat dan menghiburkan anda (lihat Alma 26:27). Anda boleh tahu bahawa Tuhan gembira dengan usaha anda apabila anda merasai Roh bekerja melalui anda.

4.3

Majlis-majlis Dalam Gereja

Bapa Syurgawi telah menubuhkan majlis sebagai bahagian penting dalam menerima ilham, membuat keputusan, dan melaksanakan pekerjaan-Nya. Majlis-majlis wujud sebelum dunia dicipta. Setiap kita mengambil bahagian dalam majlis-majlis ini sebelum datang ke bumi. (Lihat Ajaran dan Perjanjian 121:32; Abraham 3:22–28.)

Mengikuti pola ini, Gereja Yesus Kristus ditadbirkan oleh majlis di setiap peringkat. Contohnya, Majlis Presidensi Utama dan Kuorum Dua Belas Rasul (lihat 5.1.1.1.1), Presidensi Kawasan (lihat 5.2.1), presidensi pancang, dan lembaga uskup semua adalah majlis. Selain daripada majlis pancang dan bahagian, setiap presidensi organisasi, kuorum atau kelas Gereja juga merupakan satu majlis.

Tuhan mengarahkan pemimpin-pemimpin Gereja-Nya untuk berunding bersama dalam melaksanakan pekerjaan-Nya (lihat Ajaran dan Perjanjian 41:2-3). Majlis-majlis menyediakan peluang kepada ahli majlis untuk menerima wahyu semasa mereka berusaha memahami keperluan anak-anak Tuhan dan merancang bagaimana untuk membantu mencapainya.

dua lelaki sedang berbual

4.4

Asas-asas Majlis Yang Berkesan

Beberapa asas-asas majlis yang berkesan digariskan dalam bahagian ini. Asas-asas ini boleh membantu para pemimpin dalam majlis Gereja dan ibu bapa dalam majlis keluarga mereka.

4.4.1

Tujuan Majlis

Tujuan utama majlis adalah untuk membantu ahli-ahli bekerjasama mencari bimbingan ilahi tentang hal-hal yang akan memberkati individu dan keluarga (lihat Ajaran dan Perjanjian 43:8–9). Majlis memberi penekanan khusus untuk membantu ahli-ahli menerima tatacara-tatacara dan mentaati perjanjian yang berkaitan. Ahli-ahli majlis juga mencari ilham tentang merancang dan menyelaraskan pekerjaan Tuhan dalam skop tanggungjawab mereka.

Sesetengah urusan pentadbiran, seperti perancangan kalendar, mungkin tidak memerlukan perbincangan dalam situasi majlis. Kebanyakan ini boleh dikendalikan melalui komunikasi sebelum dan selepas pertemuan.

Ahli-ahli majlis memberi perhatian khusus kepada individu dan keluarga dengan keperluan yang mendesak. Majlis membantu mengaturkan bantuan. Untuk maklumat tentang beberapa keperluan ini, berserta sumber untuk pemahaman dan bantuan, lihat Bantuan Hidup dalam Gospel Library.

4.4.2

Persediaan untuk Pertemuan Majlis

Presidensi dan majlis diharap untuk bertemu dengan kerap. Setiap presidensi dan majlis mempunyai seorang pemimpin yang telah dipanggil dan ditetapkan. Pemimpin-pemimpin ini mencari bimbingan Tuhan dalam perancangan mesyuarat majlis. Mereka juga mendapatkan pendapat ahli-ahli majlis dalam memutuskan apa yang harus dibincangkan.

Pemimpin memberitahu ahli majlis tentang hal-hal untuk perbincangan terlebih dahulu. Ahli-ahli majlis bersedia untuk berkongsi pandangan tentang hal-hal ini. Untuk majlis bahagian dan pancang, kebanyakan persediaan ini berlaku dalam pertemuan presidensi.

Ahli-ahli majlis menyediakan diri secara rohani untuk terlibat dalam mesyuarat majlis. Mereka berusaha untuk peka kepada dorongan Roh.

4.4.3

Perbincangan dan Keputusan

Tuhan berfirman, “Tetapi biarlah seseorang berbicara pada satu-satu masa dan biarlah semua mendengarkan perkataannya, agar apabila semua telah berbicara maka semuanya dapat diteguhkan, dan agar setiap orang boleh memiliki peluang yang sama rata” (Ajaran dan Perjanjian 88:122). Asas ini berkaitan dengan majlis Gereja.

Semasa mesyuarat majlis, pemimpin (atau seseorang yang ditugaskan oleh pemimpin) menjelaskan perkara yang dipertimbangkan. Pemimpin itu kemudian menggalakkan perbincangan di kalangan semua ahli majlis, menanya soalan dan mencari idea.

Pemimpin itu menggalakkan ahli-ahli untuk bercakap secara terbuka dan jujur. Latar belakang, umur, pengalaman, dan pandangan ahli majlis yang berbeza memperkayakan majlis. Ahli-ahli berkongsi cadangan dan mendengar satu sama lain dengan hormat. Apabila mereka berusaha untuk mengetahui kehendak Tuhan, roh ilham dan kesatuan dapat wujud.

Dalam satu majlis yang termasuk wanita dan lelaki, pemimpin mencari pandangan dan idea dari kedua-dua pihak. Wanita dan lelaki sering mempunyai perspektif berbeza yang memberi keseimbangan yang diperlukan. Lelaki dan wanita mencapai keputusan yang lebih baik dan memperoleh kejayaan yang lebih besar dalam pelayanan Tuhan apabila mereka menghargai sumbangan satu sama lain dan bekerjasama.

Seorang pemimpin membimbing perbincangan majlis. Walau bagaimanapun, dia harus lebih mendengar daripada bercakap. Apabila seorang pemimpin majlis berkongsi perspektifnya terlalu awal, ia boleh menghalang sumbangan orang lain. Apabila perlu, pemimpin majlis mengalihkan atau menumpukan semula perbincangan dengan perlahan-lahan.

Selepas perbincangan, pemimpin boleh memutuskan satu jalan tindakan atau menangguhkan keputusan sambil mencari maklumat dan bimbingan tambahan. Keputusan harus dimaklumkan oleh perbincangan dan ditetapkan oleh Roh. Proses majlis membantu membawa keputusan berilham yang melampaui penghakiman terbaik seorang pemimpin. Pemimpin juga boleh merujuk hal itu kepada majlis yang berbeza.

Kadangkala ahli majlis mungkin mempunyai perasaan yang tidak selesa tentang suatu keputusan penting. Apabila ini berlaku, pemimpin boleh menunggu pertemuan lain untuk mempertimbangkan hal itu dengan lebih lanjut dan mencari pengesahan rohani dan kesatuan. Dalam sesetengah kes, seorang ahli majlis mungkin ingin bertemu dengan pemimpin secara individu untuk membincangkan kebimbangannya.

4.4.4

Kesatuan

Tuhan mengarahkan pengikut-pengikut-Nya untuk “jadilah satu” (Ajaran dan Perjanjian 38:27). Ahli majlis berusaha untuk menjadi satu dalam hasrat dan matlamat dengan Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus. Mereka berusaha untuk bersatu dalam perbincangan dan keputusan mereka. Mereka juga berusaha untuk menjadi “satu hati dan satu fikiran” semasa mereka bekerjasama (Musa 7:18).

Ahli-ahli majlis harus mengelakkan pertikaian, penghakiman yang tidak soleh, dan mengumpat (lihat 3 Nefi 11:28–30). Apabila mereka bertindak dalam kesatuan, Bapa Syurgawi akan memberkati usaha mereka.

4.4.5

Tindakan dan Pertanggungjawaban

Ahli-ahli majlis melakukan kebanyakan pekerjaan mereka sebelum dan selepas mesyuarat majlis. Semasa pertemuan, mereka mencari ilham dalam membangunkan rancangan untuk melaksanakan keputusan. Pemimpin majlis menjemput ahli-ahli untuk memenuhi tugasan berkaitan dengan rancangan-rancangan ini. Ahli-ahli majlis biasanya menjemput orang lain dalam organisasi mereka untuk membantu. Individu-individu tidak harus dibebani dengan tugasan.

Ahli-ahli majlis melaporkan tugasan mereka. Kemajuan biasanya memerlukan perhatian dan tugas susulan yang berterusan.

4.4.6

Kerahsiaan

Semua maklumat peribadi mesti dijaga dengan hormat. Para pemimpin menggunakan budi bicara apabila berkongsi maklumat peribadi dengan satu majlis. Mereka biasanya mendapatkan keizinan seorang ahli sebelum berkongsi maklumat ini.

Majlis menghormati hasrat sesiapa yang meminta kerahsiaan. Ahli-ahli majlis tidak seharusnya berkongsi maklumat peribadi di luar majlis kecuali diperlukan untuk memenuhi tugasan daripada pemimpin majlis.

Terdapat hal-hal yang terlalu sensitif untuk dikemukakan kepada seluruh majlis. Jika sesuai, para pemimpin mengkaji hal-hal ini dengan individu ahli majlis. Atau mereka boleh merujuk beberapa perkara kepada majlis yang lain.