Bab 28
Bangsa Laman dikalahkan dalam suatu pertempuran yang hebat—Berpuluh-puluh ribu terbunuh—Yang jahat diserahkan pada suatu keadaan celaka tanpa akhir; yang soleh mencapai suatu kebahagiaan yang tidak akan berakhir. Kira-kira 77–76 tahun S.M.
1 Dan sekarang, terjadilah bahawa setelah orang Amon menetap di negeri Yerson, dan sebuah jemaah juga ditegakkan di negeri Yerson, dan tentera bangsa Nefi ditempatkan di sekitar negeri Yerson, ya, di seluruh sempadan sekitar negeri Zarahemla; lihatlah tentera bangsa Laman telah mengikut saudara-saudara mereka ke padang belantara.
2 Dan oleh demikianlah adanya suatu pertempuran yang hebat; ya, bahkan yang sedemikian seperti yang belum pernah dikenal di kalangan semua orang di negeri itu sejak waktu Lehi meninggalkan Yerusalem; ya, dan berpuluh-puluh ribu bangsa Laman terbunuh dan tercerai-berai secara meluas.
3 Ya, dan juga ada suatu pembantaian yang hebat di kalangan bangsa Nefi; walaupun demikian, bangsa Laman dihalau dan dicerai-beraikan, dan bangsa Nefi kembali lagi ke negeri mereka.
4 Dan sekarang, ini suatu masa ketika ada duka nestapa dan ratapan hebat yang terdengar di seluruh negeri, di kalangan semua bangsa Nefi—
5 Ya, raungan balu berduka nestapa kerana suami mereka, juga bapa berduka nestapa kerana anak-anak lelaki mereka, dan anak perempuan kerana saudara lelaki, ya, saudara lelaki kerana bapa; dan oleh demikian raungan duka nestapa terdengar di kalangan mereka semua, berduka nestapa kerana kaum kerabat mereka yang telah terbunuh.
6 Dan sekarang, sememangnya ini suatu masa penuh duka nestapa; ya, masa kekhusyukan, dan masa untuk banyak puasa dan doa.
7 Dan demikianlah berakhir tahun kelima belas zaman pemerintahan hakim-hakim atas bangsa Nefi;
8 Dan inilah laporan tentang Amon dan saudara-saudaranya, perjalanan mereka di negeri Nefi, penderitaan mereka di negeri itu, dukacita mereka, dan kesengsaraan mereka, dan sukacita mereka yang tak difahami, dan penerimaan dan keselamatan saudara-saudara di negeri Yerson. Dan sekarang, semoga Tuhan, Penebus semua manusia, memberkati jiwa mereka selama-lamanya.
9 Dan inilah laporan tentang peperangan dan perselisihan di antara bangsa Nefi, dan juga peperangan antara bangsa Nefi dan bangsa Laman; dan tahun kelima belas zaman pemerintahan hakim-hakim berakhir.
10 Dan sejak tahun pertama sampai tahun kelima belas telah mendatangkan kehancuran beribu-ribu nyawa; ya, masa itu telah mendatangkan suatu pemandangan pertumpahan darah yang menyeramkan.
11 Dan tubuh badan beribu-ribu orang dikebumikan di dalam tanah, sementara tubuh badan beribu-ribu orang mereput dalam timbunan di atas permukaan bumi; ya, dan beribu-ribu orang berduka nestapa kerana kehilangan kaum kerabat mereka, kerana mereka memiliki sebab untuk berasa takut, menurut janji-janji Tuhan, bahawa mereka diserahkan pada suatu keadaan sengsara tanpa akhir.
12 Sementara beribu-ribu orang yang lain benar-benar berduka nestapa kerana kehilangan kaum kerabat mereka, namun mereka bersukacita dan bergirang hati dalam harapan, dan bahkan mengetahui, menurut janji-janji Tuhan, bahawa mereka dibangkitkan untuk hidup di sisi kanan Tuhan, dalam suatu keadaan kebahagiaan yang tidak akan berakhir.
13 Dan demikianlah kita melihat betapa besarnya ketidaksetaraan manusia kerana dosa dan pelanggaran, dan kuasa iblis, yang datang melalui rancangan-rancangan licik yang telah dia rancangkan untuk menjerat hati manusia.
14 Dan demikianlah kita lihat panggilan bersungguh-sungguh untuk manusia tekun bekerja di ladang anggur Tuhan; dan demikianlah kita lihat sebab yang besar untuk kedukaan, dan juga untuk bersukacita—kedukaan kerana kematian dan kehancuran di kalangan manusia, dan kebahagiaan kerana cahaya Kristus yang membawa kehidupan.