Kitab Suci
Alma 57


Bab 57

Helaman menceritakan tentang penawanan Antipara dan penyerahan dan kemudian, pertahanan Kumeni—Para teruna orang Amonnya berperang dengan gagah berani; semuanya terluka, tetapi tiada seorang pun terbunuh—Gid melaporkan pembunuhan dan pelarian diri para tawanan bangsa Laman. Kira-kira 63 tahun S.M.

1 Dan sekarang, terjadilah bahawa aku menerima sepucuk surat daripada Amoron, si raja, menyatakan bahawa jika aku akan menyerahkan para tawanan peperangan yang telah kami tangkap maka dia akan menyerahkan kota Antipara kepada kami.

2 Tetapi aku mengirimkan sepucuk surat kepada raja, bahawa kami yakin pasukan-pasukan tentera kami cukup kuat untuk menguasai kota Antipara dengan kekuatan kami; dan dengan menyerahkan para tawanan demi kota itu kami kira diri kami tidak bijak, dan bahawa kami hanya akan menyerahkan para tawanan kami dengan pertukaran.

3 Dan Amoron menolak suratku, kerana dia tidak mahu bertukar tawanan; oleh itu kami mula membuat persiapan untuk pergi melawan kota Antipara.

4 Tetapi orang Antipara meninggalkan kota itu, dan melarikan diri ke kota-kota mereka yang lain, yang telah mereka kuasai, untuk mengubuinya; dan demikianlah kota Antipara jatuh ke dalam tangan kami.

5 Dan demikianlah berakhirnya tahun kedua puluh dan lapan zaman pemerintahan hakim-hakim.

6 Dan terjadilah bahawa pada permulaan tahun kedua puluh dan sembilan, kami menerima peruntukan bekalan, dan juga tambahan kepada tentera kami, dari negeri Zarahemla, dan dari wilayah sekitarnya, dengan jumlah enam ribu orang, selain daripada enam puluh anak lelaki orang Amon yang telah datang untuk bergabung dengan saudara-saudara mereka, kelompok kecilku yang dua ribu itu. Dan sekarang, lihatlah, kami kuat, ya, dan banyak bekalan juga telah dibawa kepada kami.

7 Dan terjadilah bahawa memanglah hasrat kami untuk mencetuskan pertempuran melawan pasukan yang ditempatkan untuk melindungi Kota Kumeni.

8 Dan sekarang, lihatlah, aku akan memperlihatkan kepadamu bahawa kami segera mencapai hasrat kami; ya, bersama pasukan tentera kami yang kuat, atau bersama sebahagian daripada pasukan tentera kami yang kuat, kami mengepung, pada malam hari, kota Kumeni, sekejap sebelum mereka akan menerima peruntukan bekalan.

9 Dan terjadilah bahawa kami berkhemah di sekitar kota itu selama bermalam-malam; tetapi kami tidur dekat pedang kami, dan menempatkan para pengawal, agar bangsa Laman tidak dapat menyerang kami pada malam hari dan membunuh kami, yang mereka usahakan berulang kali; tetapi berkali-kali mereka berusaha melakukan ini, darah mereka ditumpahkan.

10 Akhirnya bekalan mereka tiba, dan mereka hampir memasuki kota pada malam hari. Dan kami bangsa Nefi, bukan bangsa Laman; oleh itu, kami menangkap mereka dan bekalan mereka.

11 Dan sekalipun bangsa Laman terputus dari tunjangan mereka menurut cara ini, mereka masih bertekad untuk mempertahan kota itu; oleh itu menjadi perlu bahawa kami hendaknya mengambil bekalan itu dan menghantarkannya ke Yudea, dan para tawanan kami ke negeri Zarahemla.

12 Dan terjadilah bahawa tidak banyak hari berlalu sebelum bangsa Laman mula kehilangan segala harapan akan bantuan; oleh itu mereka menyerahkan kota itu ke tangan kami; dan demikianlah kami telah mencapai rancangan kami dalam mendapatkan kota Kumeni.

13 Tetapi terjadilah bahawa para tawanan kami sedemikian banyaknya sehingga, tidak mengira betapa besarnya jumlah kami, kami diwajibkan untuk menggunakan seluruh tentera kami untuk mengawal mereka, atau untuk menghukum mati mereka.

14 Kerana lihatlah, mereka melepaskan diri dalam jumlah besar, dan berlawan menggunakan batu, dan dengan gada, atau dengan benda apa pun yang dapat mereka peroleh ke dalam tangan mereka, sedemikian rupa sehingga kami membunuh lebih daripada dua ribu di antara mereka setelah mereka menyerahkan diri sebagai tawanan peperangan.

15 Oleh itu menjadi perlu bagi kami, bahawa kami hendaknya menamatkan nyawa mereka, atau mengawal mereka, pedang di tangan, sampai ke negeri Zarahemla; dan juga bekalan kami tidak lebih daripada mencukupi untuk orang kami sendiri, tidak mengira apa yang telah kami ambil daripada bangsa Laman.

16 Dan sekarang, dalam keadaan genting itu, menjadi masalah yang sangat tenat untuk memutuskan berkenaan para tawanan peperangan ini; walaupun demikian, kami memutuskan untuk menghantar mereka ke negeri Zarahemla; oleh itu kami memilih sebahagian daripada orang kami, dan memberi mereka tanggungjawab atas para tawanan kami untuk pergi ke negeri Zarahemla.

17 Tetapi terjadilah bahawa pada keesokan harinya mereka kembali. Dan sekarang, lihatlah, kami tidak bertanya kepada mereka berkenaan para tawanan itu; kerana lihatlah, bangsa Laman sedang menyerang kami, dan mereka kembali pada masanya untuk menyelamatkan kami daripada jatuh ke dalam tangan mereka. Kerana lihatlah, Amoron telah menghantar untuk tunjangan mereka peruntukan bekalan yang baru dan juga suatu tentera lelaki yang berjumlah besar.

18 Dan terjadilah bahawa orang itu yang kami hantarkan bersama para tawanan tiba pada saat tepat untuk menghentikan mereka, sewaktu mereka hampir mengalahkan kami.

19 Tetapi lihatlah, kelompok kecilku yang dua ribu dan enam puluh orang itu berperang paling sengit; ya, mereka teguh di hadapan bangsa Laman, dan menyebabkan kematian pada semua orang yang melawan mereka.

20 Dan sewaktu baki tentera kami hampir mundur dari hadapan bangsa Laman, lihatlah, kedua ribu dan enam puluh orang itu teguh dan tak gementar.

21 Ya, dan mereka mematuhi dan berusaha keras untuk melaksanakan setiap kata perintah dengan ketepatan; ya, dan bahkan menurut iman mereka, itu terjadilah bagi mereka; dan aku ingat kata-kata yang mereka katakan kepadaku yang telah ibu-ibu mereka ajarkan kepada mereka.

22 Dan sekarang, lihatlah, para puteraku inilah, dan orang itu yang telah dipilih untuk menghantar para tawanan, yang kepadanya kami berhutang bagi kemenangan besar ini; kerana merekalah yang mengalahkan bangsa Laman; oleh itu mereka dihalau kembali ke kota Manti.

23 Dan kami mempertahan Kumeni kota kami, dan tidak semuanya dihancurkan oleh pedang; walaupun demikian, kami telah menderita kerugian yang besar.

24 Dan terjadilah bahawa setelah bangsa Laman melarikan diri, aku dengan segera memberi perintah agar orangku yang telah terluka hendaknya diambil dari antara yang mati, dan menyuruh agar luka-luka mereka hendaknya dicuci dan dibalut.

25 Dan terjadilah bahawa ada dua ratus, daripada dua ribu dan enam puluh orangku, yang telah jatuh pengsan kerana kehilangan darah; walaupun demikian, menurut kebaikan Tuhan, dan yang membuat kami amat tercengang, dan juga seluruh tentera kami bersukacita, tidak ada satu jiwa pun di antara mereka yang binasa; ya, dan tidak juga ada satu jiwa pun di antara mereka yang tidak mengalami banyak luka.

26 Dan sekarang, pemeliharaan mereka itu mengagumkan bagi seluruh tentera kami, ya, bahawa mereka dibiarkan hidup sementara ada seribu daripada saudara-saudara kami yang terbunuh. Dan kami dengan tepat mengaitkannya kepada kuasa mukjizat daripada Tuhan, kerana iman mereka yang besar pada apa yang telah diajarkan untuk mereka percaya—bahawa ada seorang Tuhan yang adil, dan barang siapa tidak ragu, bahawa mereka akan dipelihara melalui kuasa-Nya yang menakjubkan.

27 Sekarang, inilah iman mereka ini yang telah aku bicarakan; mereka muda, dan fikiran mereka teguh, dan mereka menaruh kepercayaan mereka kepada Tuhan secara berterusan.

28 Dan sekarang, terjadilah bahawa setelah kami demikian menjaga orang kami yang terluka, dan telah mengebumikan orang kami yang mati dan juga yang mati daripada bangsa Laman, yang banyak, lihatlah, kami bertanya kepada Gid berkenaan para tawanan yang telah mereka mula membawa ke negeri Zarahemla bersamanya.

29 Sekarang, Gid ialah panglima utama atas kelompok yang ditetapkan untuk mengawal mereka hingga ke negeri itu.

30 Dan sekarang, inilah perkataan-perkataan yang Gid katakan kepadaku: Lihatlah, kami mula pergi ke negeri Zarahemla bersama para tawanan kami. Dan terjadilah bahawa kami bertemu para pengintip tentera-tentera kami, yang telah diutus untuk mengawasi perkhemahan bangsa Laman.

31 Dan mereka berseru kepada kami, mengatakan—Lihatlah, pasukan bangsa Laman sedang berkawat menuju kota Kumeni; dan lihatlah, mereka akan menyerang mereka, ya, dan akan menghancurkan rakyat kita.

32 Dan terjadilah bahawa para tawanan kami mendengar seruan mereka, yang menyebabkan mereka memberanikan diri dan mereka bangkit dalam pemberontakan melawan kami.

33 Dan terjadilah kerana pemberontakan mereka kami menyebabkan bahawa pedang kami hendaknya menyerang mereka. Dan terjadilah bahawa mereka dalam suatu kelompok berlari sampai terkena pedang kami, yang di dalamnya, kebanyakan mereka terbunuh; dan baki di antara mereka merempuh dan melarikan diri dari kami.

34 Dan lihatlah, ketika mereka telah melarikan diri dan kami tidak dapat memintas mereka, kami berkawat dengan selekasnya menuju kota Kumeni; dan lihatlah, kami tiba di mana kami boleh membantu saudara-saudara kami dalam memelihara kota itu.

35 Dan lihatlah, kami lagi dibebaskan daripada tangan musuh kami. Dan terpujilah nama Tuhan kita; kerana lihatlah, Dialah yang telah membebaskan kami; ya, yang telah melakukan hal yang besar ini bagi kami.

36 Sekarang, terjadilah bahawa ketika aku, Helaman, telah mendengar perkataan-perkataan Gid ini, aku dipenuhi dengan sukacita yang besar kerana kebaikan Tuhan dalam memelihara kami, sehingga kami tidak semuanya binasa; ya, dan aku percaya bahawa jiwa mereka yang telah terbunuh telah masuk ke dalam peristirahatan Tuhan mereka.