Kitab Suci
Alma 2


Bab 2

Amlisi berusaha menjadi raja dan ditolak oleh suara rakyat—Para pengikutnya menjadikannya raja—Bangsa Amlisi melancarkan peperangan terhadap bangsa Nefi dan dikalahkan—Bangsa Laman dan bangsa Amlisi bergabung dan dikalahkan—Alma membunuh Amlisi. Kira-kira 87 tahun S.M.

1 Dan terjadilah bahawa pada permulaan tahun kelima masa pemerintahan mereka mulalah ada perselisihan di kalangan rakyat; kerana seorang lelaki tertentu, yang bernama Amlisi, dia adalah lelaki yang sangat licik, ya, lelaki yang bijak berkaitan dengan kebijaksanaan dunia, dia adalah pengikut agama orang itu yang membunuh Gideon dengan pedang, yang dihukum mati menurut hukum—

2 Sekarang, Amlisi ini telah, dengan kelicikannya, menarik banyak orang kepadanya; bahkan sedemikian banyaknya sehingga mereka mula menjadi sangat kuat; dan mereka mula berikhtiar untuk menetapkan Amlisi menjadi raja atas rakyat.

3 Sekarang, ini menggentarkan umat gereja, dan juga semua mereka yang tidak tertarik terhadap pujukan Amlisi; kerana mereka tahu bahawa menurut hukum mereka hal-hal seperti itu mesti ditentukan melalui suara rakyat.

4 Oleh itu, jika mungkin bahawa Amlisi akan memperoleh suara rakyat, dia, yang adalah orang yang jahat, akan merampas dari mereka hak dan hak istimewa mereka dalam gereja; kerana adalah niatnya untuk menghancurkan gereja Tuhan.

5 Dan terjadilah bahawa orang berhimpun bersama di seluruh negeri, setiap orang menurut fikirannya, sama ada untuk menyokong atau menentang Amlisi, dalam kelompok-kelompok terpisah, mengalami banyak perbantahan dan perselisihan yang mengagumkan di antara satu sama lain.

6 Dan demikianlah mereka berhimpun bersama untuk menyuarakan kehendak mereka berkenaan masalah ini; dan ianya disampaikan ke hadapan para hakim.

7 Dan terjadilah bahawa suara rakyat keluar menentang Amlisi, sehingga dia tidak dijadikan raja atas rakyat.

8 Sekarang, ini menyebabkan banyak sukacita dalam hati mereka yang menentangnya; tetapi Amlisi menghasut mereka yang menyokongnya hingga kemarahan terhadap mereka yang tidak menyokongnya.

9 Dan terjadilah bahawa mereka berkumpul bersama, dan mentahbiskan Amlisi menjadi raja mereka.

10 Sekarang, ketika Amlisi dijadikan raja atas mereka dia memerintahkan mereka agar mereka hendaknya mengangkat senjata melawan saudara-saudara mereka; dan ini dia lakukan agar dia boleh menundukkan mereka kepadanya.

11 Sekarang, bangsa Amlisi dibezakan dengan nama Amlisi, digelarkan bangsa Amlisi; dan sisanya digelarkan bangsa Nefi, atau umat Tuhan.

12 Oleh itu bangsa Nefi sedar akan niat bangsa Amlisi, dan oleh itu mereka bersiap untuk menghadapi mereka; ya, mereka mempersenjatai diri mereka dengan pedang, dan dengan golok, dan dengan busur, dan dengan anak panah, dan dengan batu, dan dengan umban, dan dengan segala macam senjata peperangan, daripada setiap jenis.

13 Dan demikianlah mereka siap untuk menghadapi bangsa Amlisi pada waktu kedatangan mereka. Dan dilantik panglima, dan panglima yang lebih tinggi, dan panglima utama, menurut jumlah mereka.

14 Dan terjadilah bahawa Amlisi mempersenjatakan askar-askarnya dengan segala macam senjata peperangan daripada setiap jenis; dan dia juga melantik para pemerintah dan pemimpin atas bangsanya, untuk memimpin mereka berperang melawan saudara-saudara mereka.

15 Dan terjadilah bahawa bangsa Amlisi naik ke atas Bukit Amnihu, yang berada di timur Sungai Sidon, yang mengalir dekat negeri Zarahemla, dan di sana mereka mula melancarkan peperangan melawan bangsa Nefi.

16 Sekarang, Alma, yang adalah hakim utama dan pentadbir bangsa Nefi, oleh itu dia pergi bersama bangsanya, ya, bersama para panglimanya, dan para panglima utama, ya, di depan tenteranya menghadap bangsa Amlisi untuk bertempur.

17 Dan mereka mula membunuh bangsa Amlisi di atas bukit di timur Sidon. Dan bangsa Amlisi berjuang melawan bangsa Nefi dengan kekuatan besar, sedemikian rupa sehingga banyak bangsa Nefi jatuh di hadapan bangsa Amlisi.

18 Walaupun demikian Tuhan menguatkan tangan bangsa Nefi, sehingga mereka membunuh bangsa Amlisi dengan pembantaian yang hebat, sehingga mereka mula melarikan diri dari hadapan mereka.

19 Dan terjadilah bahawa bangsa Nefi mengejar bangsa Amlisi sepanjang hari itu, dan membunuh mereka dengan pembantaian yang hebat, sedemikian rupa sehingga yang terbunuh daripada bangsa Amlisi dua belas ribu lima ratus tiga puluh dan dua jiwa; dan yang terbunuh daripada bangsa Nefi enam ribu lima ratus enam puluh dan dua jiwa.

20 Dan terjadilah bahawa ketika Alma tidak dapat lagi mengejar bangsa Amlisi dia menyuruh agar orangnya hendaknya memasang khemah-khemah mereka di Lembah Gideon, lembah yang dipanggil menurut nama Gideon itu yang telah dibunuh oleh tangan Nehor dengan pedang; dan di lembah ini bangsa Nefi memasang khemah-khemah mereka untuk malam itu.

21 Dan Alma mengutus pengintip-pengintip untuk mengikuti bangsa Amlisi yang selebihnya, agar dia boleh tahu tentang rancangan mereka dan komplot mereka, yang dengan itu dia boleh menjaga dirinya terhadap mereka, agar dia boleh melindungi bangsanya daripada dihancurkan.

22 Sekarang, mereka yang telah dia utus untuk mengawasi perkhemahan bangsa Amlisi bernama Zeram, dan Amnor, dan Manti, dan Limher; ini adalah mereka yang pergi bersama askar-askar mereka untuk mengawasi perkhemahan bangsa Amlisi.

23 Dan terjadilah bahawa pada keesokan harinya mereka kembali ke perkhemahan bangsa Nefi dengan amat bergesa-gesa, amat tercengang, dan diserang dengan banyak ketakutan, mengatakan:

24 Lihatlah, kami mengikuti perkhemahan bangsa Amlisi, dan yang membuat kami amat tercengang, di negeri Minon, di atas negeri Zarahemla, di jalan ke negeri Nefi, kami melihat sejumlah besar bala tentera bangsa Laman; dan lihatlah, bangsa Amlisi telah bergabung dengan mereka;

25 Dan mereka menyerang saudara-saudara kita di negeri itu; dan mereka sedang melarikan diri dari hadapan mereka bersama kawanan ternak mereka, dan isteri-isteri mereka, dan anak-anak mereka, menuju kota kita; dan kecuali kita bergegas mereka memperolehi penguasaan atas kota kita, dan bapa-bapa kita, dan isteri-isteri kita, dan anak-anak kita dibunuh.

26 Dan terjadilah bahawa bangsa Nefi membawa khemah-khemah mereka, dan pergi keluar dari lembah Gideon menuju kota mereka, iaitu kota Zarahemla.

27 Dan lihatlah, sewaktu mereka menyeberangi Sungai Sidon, bangsa Laman dan bangsa Amlisi, hampir sebanyak, seakan-akan, pasir laut, menyerang mereka untuk menghancurkan mereka.

28 Walaupun demikian, bangsa Nefi dikuatkan oleh tangan Tuhan, kerana telah berdoa dengan amat kuat kepada-Nya agar Dia akan membebaskan mereka daripada tangan musuh mereka, oleh itu Tuhan mendengar seruan mereka, dan menguatkan mereka, dan bangsa Laman dan bangsa Amlisi jatuh di hadapan mereka.

29 Dan terjadilah bahawa Alma bertarung dengan Amlisi dengan pedang, berhadapan muka; dan mereka berjuang dengan perkasa, dengan satu sama lain.

30 Dan terjadilah bahawa Alma, yang adalah hamba Tuhan, yang digerakkan dengan banyak iman, berseru, mengatakan: Ya Tuhan, berbelas kasihanlah dan biarkanlah aku hidup, agar aku boleh menjadi alat dalam tangan-Mu untuk menyelamatkan dan melindungi bangsa ini.

31 Sekarang, ketika Alma telah mengatakan perkataan-perkataan ini dia berjuang lagi melawan Amlisi; dan dia dikuatkan, sedemikian rupa sehingga dia membunuh Amlisi dengan pedang.

32 Dan dia juga berjuang melawan raja bangsa Laman; tetapi raja bangsa Laman melarikan diri berundur dari hadapan Alma dan menghantar para pengawalnya untuk berjuang melawan Alma.

33 Tetapi Alma, bersama para pengawalnya, berjuang melawan para pengawal raja bangsa Laman sampai dia membunuh dan mengundurkan mereka.

34 Dan demikianlah dia membersihkan tanah, atau lebih tepat tebing sungai, yang berada di barat Sungai Sidon, melemparkan mayat bangsa Laman yang telah terbunuh ke dalam Perairan Sidon, agar dengan demikian rakyatnya boleh ada ruang untuk menyeberang dan berjuang melawan bangsa Laman dan bangsa Amlisi di sebelah barat Sungai Sidon.

35 Dan terjadilah bahawa ketika mereka semuanya telah menyeberangi Sungai Sidon maka bangsa Laman dan bangsa Amlisi mula melarikan diri dari hadapan mereka, tidak kira mereka sedemikian banyaknya sehingga mereka tidak dapat dihitung.

36 Dan mereka melarikan diri dari hadapan bangsa Nefi menuju padang belantara yang berada di barat dan utara, jauh di seberang sempadan negeri; dan bangsa Nefi mengejar mereka dengan kekuatan mereka, dan membunuh mereka.

37 Ya, mereka dihadapi dari setiap arah, dan dibunuh dan dihalau, sampai mereka tercerai-berai ke barat, dan ke utara, sampai mereka telah mencapai padang belantara, yang dipanggil Hermons; dan itu adalah bahagian padang belantara yang diremuti oleh binatang yang buas dan rakus.

38 Dan terjadilah bahawa banyak yang mati di padang belantara kerana luka-luka mereka, dan dilahap oleh binatang-binatang itu dan juga oleh burung-burung hering di udara; dan tulang-tulang mereka telah ditemukan, dan telah tertimbun di atas bumi.