Kitab Suci
Alma 47


Bab 47

Amalikia menggunakan pengkhianatan, pembunuhan, dan komplot untuk menjadi raja bangsa Laman—Para pembelot bangsa Nefi lebih jahat dan garang daripada bangsa Laman. Kira-kira 72 tahun S.M.

1 Sekarang, kami akan kembali dalam catatan kami ini kepada Amalikia dan mereka yang telah melarikan diri bersamanya ke padang belantara; kerana, lihatlah, dia telah membawa mereka yang pergi bersamanya, dan pergi ke negeri Nefi di kalangan bangsa Laman, dan menghasut bangsa Laman menjadi marah terhadap bangsa Nefi, sedemikian rupa sehingga raja bangsa Laman menghantarkan suatu perisytiharan ke seluruh negeri, ke kalangan semua rakyatnya, agar mereka hendaknya berkumpul bersama lagi untuk pergi bertempur melawan bangsa Nefi.

2 Dan terjadilah bahawa ketika perisytiharan itu telah tersebar luas di kalangan mereka, mereka amat takut; ya, mereka takut untuk membuat raja murka, dan mereka juga takut untuk pergi bertempur melawan bangsa Nefi kalau-kalau mereka akan kehilangan nyawa mereka. Dan terjadilah bahawa mereka tidak mahu, atau bahagian yang lebih besar di antara mereka tidak mahu, mematuhi perintah-perintah raja.

3 Dan sekarang, terjadilah bahawa raja murka kerana ketidakpatuhan mereka; oleh itu dia memberikan Amalikia penguasaan atas bahagian itu daripada tenteranya yang patuh pada perintah-perintahnya, dan memerintahkannya agar dia hendaknya pergi dan memaksa mereka untuk mengangkat senjata.

4 Sekarang, lihatlah, inilah hasrat Amalikia; kerana dia seorang lelaki yang sangat cerdik untuk melakukan kejahatan, oleh itu dia mengatur rancangan dalam hatinya untuk menggulingkan raja bangsa Laman.

5 Dan sekarang, dia telah memperoleh penguasaan atas bahagian itu di antara bangsa Laman yang berpihak kepada raja; dan dia berupaya untuk memenangi hati mereka yang tidak patuh; oleh itu dia pergi ke tempat yang dipanggil Onida, kerana ke sanalah semua bangsa Laman telah melarikan diri; kerana mereka melihat tentera itu datang, mengira bahawa mereka datang untuk menghancurkan mereka, oleh itu mereka melarikan diri ke Onida, ke tempat persenjataan.

6 Dan mereka telah melantik seorang lelaki untuk menjadi raja dan pemimpin atas diri mereka, bersitegang dalam fikiran mereka dengan suatu keputusan tegas bahawa mereka tidak akan ditundukkan untuk pergi melawan bangsa Nefi.

7 Dan terjadilah bahawa mereka telah berkumpul bersama di atas puncak gunung yang dipanggil Antipas, dalam persiapan untuk bertempur.

8 Sekarang, bukanlah maksud Amalikia untuk melibatkan mereka dalam pertempuran seperti yang diperintahkan raja; tetapi lihatlah, memanglah maksudnya untuk memenangi hati tentera-tentera bangsa Laman, agar dia boleh menempatkan dirinya sebagai ketua mereka dan menggulingkan raja dan mengambil penguasaan atas kerajaan.

9 Dan lihatlah, terjadilah bahawa dia menyuruh tenteranya mendirikan khemah-khemah mereka di lembah yang dekat dengan gunung Antipas.

10 Dan terjadilah bahawa ketika sudah malam dia menghantar seorang duta rahsia ke gunung Antipas, berhasrat agar pemimpin mereka yang berada di atas gunung, yang namanya ialah Lehonti, agar dia hendaknya turun ke kaki gunung, kerana dia berhasrat untuk berbicara dengannya.

11 Dan terjadilah bahawa ketika Lehonti menerima pesanan itu dia tidak berani turun ke kaki gunung. Dan terjadilah bahawa Amalikia menghantar lagi untuk kali keduanya, menghasratkan dia untuk turun. Dan terjadilah bahawa Lehonti tidak mahu; dan dia menghantar lagi untuk kali ketiganya.

12 Dan terjadilah bahawa ketika Amalikia mendapati bahawa dia tidak dapat membuat Lehonti turun dari gunung, dia naik ke gunung, hampir ke perkhemahan Lehonti; dan dia menghantar lagi kali keempat pesanannya kepada Lehonti, berhasrat agar dia turun, dan agar dia membawa para pengawalnya bersamanya.

13 Dan terjadilah bahawa ketika Lehonti telah turun bersama para pengawalnya kepada Amalikia, maka Amalikia menghasratkan dia untuk turun bersama tenteranya pada waktu malam, dan mengepung orang itu di perkhemahan mereka, yang atasnya raja telah memberinya penguasaan, dan bahawa dia akan menyerahkan mereka ke dalam tangan Lehonti, jika dia akan menjadikan dia (Amalikia) seorang pemimpin kedua atas seluruh tentera itu.

14 Dan terjadilah bahawa Lehonti turun bersama orangnya dan mengepung orang Amalikia, sehingga sebelum mereka bangun pada fajar hari mereka dikepung oleh tentera-tentera Lehonti.

15 Dan terjadilah bahawa ketika mereka melihat bahawa mereka dikepung, mereka memohon kepada Amalikia agar dia membiarkan mereka bergabung dengan saudara-saudara mereka, agar mereka tidak dihancurkan. Sekarang, inilah sebenarnya apa yang Amalikia hasratkan.

16 Dan terjadilah bahawa dia menyerahkan orangnya, bertentangan dengan perintah raja. Sekarang, inilah apa yang Amalikia hasratkan, agar dia boleh mencapai rancangannya dalam memakzulkan raja.

17 Sekarang, merupakan kebiasaan di kalangan bangsa Laman, jika pemimpin utama mereka terbunuh, untuk melantik pemimpin yang kedua menjadi pemimpin utama mereka.

18 Dan terjadilah bahawa Amalikia menyuruh agar salah seorang orang suruhannya hendaknya memberikan racun secara beransur-ansur kepada Lehonti, sehingga dia mati.

19 Sekarang, ketika Lehonti mati, bangsa Laman melantik Amalikia untuk menjadi pemimpin mereka dan ketua utama mereka.

20 Dan terjadilah bahawa Amalikia berkawat bersama tentera-tenteranya (kerana dia telah mencapai hasratnya) ke negeri Nefi, ke kota Nefi, iaitu kota utama.

21 Dan raja keluar untuk menemuinya bersama para pengawalnya, kerana dia mengira bahawa Amalikia telah memenuhi perintahnya, dan bahawa Amalikia telah mengumpulkan bersama demikian besar tentera untuk pergi melawan bangsa Nefi untuk bertempur.

22 Tetapi lihatlah, sewaktu raja keluar untuk menemuinya Amalikia menyuruh agar para orang suruhannya hendaknya pergi untuk menemui raja. Dan mereka maju dan membongkokkan diri mereka di hadapan raja, seolah-olah menghormatinya kerana kebesarannya.

23 Dan terjadilah bahawa raja menghulurkan tangannya untuk membangunkan mereka, sebagaimana kebiasaan bangsa Laman, sebagai suatu lambang perdamaian, yang kebiasaan itu telah mereka ambil daripada bangsa Nefi.

24 Dan terjadilah bahawa ketika dia telah membangunkan yang pertama daripada tanah, lihatlah dia menikam raja di jantungnya; dan dia jatuh ke tanah.

25 Sekarang, para orang suruhan raja melarikan diri; dan para orang suruhan Amalikia melaungkan seruan, mengatakan:

26 Lihatlah, para orang suruhan raja telah menikamnya di jantungnya, dan dia telah jatuh dan mereka telah melarikan diri; lihatlah, datang dan saksikanlah.

27 Dan terjadilah bahawa Amalikia memerintahkan agar tentera-tenteranya hendaknya bergerak ke depan dan melihat apa yang telah terjadi pada raja; dan ketika mereka telah datang ke tempat itu, dan mendapati raja terlantar dalam darahnya sendiri, Amalikia berpura-pura berang, dan berkata: Barang siapa mengasihi raja, biarlah dia maju, dan mengejar para orang suruhannya agar mereka boleh dibunuh.

28 Dan terjadilah bahawa mereka semua yang mengasihi raja, ketika mereka mendengar kata-kata ini, maju ke depan dan mengejar para orang suruhan raja.

29 Sekarang, ketika para orang suruhan raja melihat sepasukan tentera mengejar mereka, mereka ketakutan lagi, dan melarikan diri ke padang belantara, dan tiba di negeri Zarahemla dan bergabung dengan orang Amon.

30 Dan tentera yang mengejar mereka kembali, setelah mengejar mereka dengan sia-sia; dan demikianlah Amalikia, dengan penipuannya, merebut hati rakyat.

31 Dan terjadilah pada keesokan harinya dia memasuki kota Nefi bersama tenteranya, dan mengambil penguasaan atas kota itu.

32 Dan sekarang, terjadilah bahawa ratu, ketika dia telah mendengar bahawa raja terbunuh—kerana Amalikia telah mengutus seorang duta kepada ratu memberitahu dia bahawa raja telah dibunuh oleh para orang suruhannya, bahawa dia telah mengejar mereka bersama tenteranya, tetapi itu sia-sia, dan mereka telah membuat pelolosan diri mereka—

33 Oleh itu, ketika permaisuri telah menerima pesanan ini dia menghantar utusan kepada Amalikia, menghasratkannya agar dia hendaknya membiarkan orang di kota itu hidup; dan dia juga menghasratkannya agar dia hendaknya datang kepadanya; dan dia juga menghasratkannya agar dia hendaknya membawa para saksi bersamanya untuk bersaksi berkenaan kematian raja.

34 Dan terjadilah bahawa Amalikia membawa orang suruhan yang sama yang membunuh raja, dan mereka semua yang berada bersamanya, dan datang kepada permaisuri, ke tempat di mana dia duduk; dan mereka semua bersaksi kepadanya bahawa raja dibunuh oleh para orang suruhannya sendiri; dan mereka berkata juga: Mereka telah melarikan diri; bukankah ini bersaksi menentang mereka? Dan demikianlah mereka memuaskan permaisuri berkenaan kematian raja.

35 Dan terjadilah bahawa Amalikia berupaya untuk memenangi hati ratu, dan mengambil dia bagi dirinya menjadi isteri; dan demikianlah dengan penipuannya, dan dengan bantuan para orang suruhannya yang licik, dia mendapatkan kerajaan; ya, dia diakui sebagai raja atas seluruh negeri, di kalangan semua bangsa Laman, yang terdiri daripada bangsa Laman dan orang Lemuel dan orang Ismael, dan semua pembelot daripada bangsa Nefi, dari masa pemerintahan Nefi hingga waktu sekarang.

36 Sekarang, para pembelot ini, mempunyai petunjuk yang sama dan maklumat yang sama daripada bangsa Nefi, ya, setelah diberi petunjuk dengan pengetahuan yang sama tentang Tuhan, walaupun demikian, adalah aneh untuk menuturkan, tidak lama selepas pembelotan mereka, mereka menjadi lebih keras dan tanpa rasa sesal, dan lebih liar, jahat dan garang daripada bangsa Laman—meneguk habis adat resam bangsa Laman; mengalah pada kemalasan, dan segala macam kegasangan; ya, sama sekali melupakan Tuhan Raja mereka.