Bab 8
Terdapat persengketaan dan pertikaian ke atas kerajaan—Akis membentuk sebuah komplot rahsia yang terikat dengan sumpah untuk membunuh raja—Komplot-komplot rahsia berasal daripada iblis dan mengakibatkan kehancuran bangsa—Bangsa bukan Israel masa kini diberi amaran terhadap komplot rahsia yang akan berusaha untuk menjatuhkan kemerdekaan semua negeri, bangsa, dan negara.
1 Dan terjadilah bahawa dia melahirkan Omer, dan Omer memerintah sebagai penggantinya. Dan Omer melahirkan Yared; dan Yared melahirkan para putera dan puteri.
2 Dan Yared memberontak terhadap ayahnya, dan pergi dan tinggal di negeri Het. Dan terjadilah bahawa dia telah menghasut banyak orang, kerana perkataannya yang licik, sehingga dia mendapatkan setengah daripada kerajaan itu.
3 Dan apabila dia telah mendapat setengah daripada kerajaan tersebut dia bertempur dengan ayahnya, dan dia membawa ayahnya pergi ke dalam penawanan, dan telah memaksanya melayani di dalam penawanan;
4 Dan sekarang, pada zaman pemerintahan Omer dia berada dalam penawanan separuh daripada riwayatnya. Dan terjadilah bahawa dia melahirkan para putera dan puteri, yang di antaranya ialah Esrom dan Koriantumr;
5 Dan mereka sangat marah kerana perbuatan Yared saudara lelaki mereka, sedemikian rupa sehingga mereka membentuk bala tentera dan bertempur melawan Yared. Dan terjadilah bahawa mereka telah bertempur melawannya pada malam hari.
6 Dan terjadilah bahawa apabila mereka telah membunuh bala tentera Yared mereka hampir membunuhnya juga; dan dia merayu kepada mereka agar mereka tidak akan membunuhnya, dan dia akan menyerahkan kerajaan itu kepada ayahnya. Dan terjadilah bahawa mereka membiarkannya hidup.
7 Dan sekarang, Yared menjadi amat sedih kerana kehilangan kerajaan itu, kerana dia telah menaruh hatinya pada kerajaan itu dan ke atas kemuliaan duniawi.
8 Sekarang, anak perempuan Yared seorang yang amat cerdik, dan melihatkan kesedihan ayahnya, telah berfikir untuk merancang sebuah rancangan supaya dia dapat menebus kerajaan tersebut untuk ayahnya.
9 Sekarang, anak perempuan Yared sangatlah cantik. Dan terjadilah bahawa dia telah berbicara dengan ayahnya, dan berkata kepadanya: Apakah sebabnya ayahku mempunyai kesedihan yang besar? Belumkah dia membaca catatan yang telah dibawa oleh nenek moyang kita menyeberangi lautan dalam itu? Lihatlah, bukankah terdapat laporan tentang mereka pada zaman dahulu, bahawa melalui rancangan-rancangan rahsia mereka mendapatkan kerajaan dan kemuliaan yang besar?
10 Dan sekarang, oleh itu, biarlah ayahku memanggil Akis, anak lelaki Kimnor; dan lihatlah, aku seorang yang cantik, dan aku akan menari di hadapannya, dan aku akan menyenangkannya, sehingga dia akan menginginkanku untuk menjadi isteri; oleh itu jika dia akan menghasratkan daripadamu agar kamu akan memberikanku kepadanya untuk menjadi isteri, maka kamu harus berkata: Aku akan menyerahkan dia jika kamu akan membawakan kepadaku kepala ayahku, si raja.
11 Dan sekarang, Omer adalah sahabat Akis; oleh itu, setelah Yared memanggil Akis, anak perempuan Yared menari di hadapannya sehingga dia menyenangkannya, sedemikian rupa sehingga dia menghasratkannya untuk menjadi isteri. Dan terjadilah bahawa dia berkata kepada Yared: Berikanlah dia kepadaku menjadi isteri.
12 Dan Yared berkata kepadanya: Aku akan menyerahkan dia kepadamu, jika kamu akan membawa kepadaku kepala ayahku, si raja.
13 Dan terjadilah bahawa Akis mengumpulkan di dalam rumah Yared seluruh sanak saudaranya, dan berkata kepada mereka: Mahukah kamu bersumpah kepadaku bahawa kamu akan setia kepadaku dalam hal yang akan aku hasratkan daripadamu?
14 Dan terjadilah bahawa mereka semua bersumpah kepadanya, demi Tuhan syurga, dan juga demi langit, dan juga demi bumi, dan demi kepala mereka, bahawa sesiapa akan menyimpang dari bantuan yang diinginkan oleh Akis akan kehilangan kepalanya; dan sesiapa yang akan membocorkan apa pun hal yang Akis beritahukan kepada mereka, merekalah yang akan kehilangan nyawanya.
15 Dan terjadilah bahawa demikianlah mereka bersetuju dengan Akis. Dan Akis menjalankan ke atas mereka sumpah-sumpah yang telah diberikan oleh mereka dari zaman dahulu yang juga mencari kekuasaan, yang telah diturunkan bahkan daripada Kain, yang merupakan seorang pembunuh sejak dari mula lagi.
16 Dan mereka dipelihara oleh kuasa iblis untuk melaksanakan sumpah ini terhadap bangsa itu, untuk menjaga mereka dalam kegelapan, untuk membantu mereka yang mencari kuasa untuk memperoleh kekuasaan, dan untuk membunuh, dan untuk menjarah, dan untuk berdusta, dan untuk melakukan bermacam-macam kejahatan dan pelacuran.
17 Dan anak perempuan Yaredlah yang telah menaruhkan ke dalam hatinya untuk mencari semula hal-hal zaman dahulu ini; dan Yared menaruhkannya ke dalam hati Akis; oleh itu, Akis menjalankannya kepada sanak saudara dan sahabat-sahabatnya, menyesatkan mereka dengan janji-janji yang kosong untuk melakukan apa pun yang dia hasratkan.
18 Dan terjadilah bahawa mereka membentuk sebuah komplot rahsia, bahkan seperti mereka dahulu kala; yang mana komplot itu adalah paling keji dan jahat melebihi segalanya, di mata Tuhan;
19 Kerana Tuhan tidak bekerja dalam komplot-komplot rahsia, dan Dia juga tidak menghendaki agar manusia harus menumpahkan darah, tetapi telah melarangnya di dalam semua hal, sejak permulaan manusia.
20 Dan sekarang, aku, Moroni, tidak menuliskan cara bersumpah dan komplot-komplot mereka, kerana telah diberitahukan kepadaku bahawa ianya pernah berlaku di kalangan semua orang, dan ianya pernah berlaku di kalangan bangsa Laman.
21 Dan ia telah menyebabkan kehancuran bangsa ini iaitu mereka yang sedang aku bicarakan sekarang, dan juga kehancuran bangsa Nefi.
22 Dan apa pun bangsa yang akan menyokong komplot-komplot rahsia seperti ini, untuk memperoleh kekuasaan dan keuntungan, sehingga mereka akan tersebar ke serata bangsa itu, lihatlah, mereka akan dihancurkan; kerana Tuhan tidak akan membiarkan bahawa darah para orang suci-Nya, yang akan ditumpahkan oleh mereka, akan selalu berseru kepada-Nya dari dalam tanah untuk pembalasan terhadap mereka namun dia tidak membalas dendam bagi mereka.
23 Oleh itu, Wahai kamu bangsa bukan Israel, adalah kebijaksanaan di dalam Tuhan bahawa hal-hal ini akan diperlihatkan kepadamu, agar dengan demikian kamu boleh bertaubat dari dosa-dosamu, dan tidak membiarkan bahawa komplot-komplot yang membunuh ini akan mengatasi dirimu, yang dibangunkan untuk mendapatkan kekuasaan dan keuntungan—dan pekerjaan itu, ya, bahkan pekerjaan kehancuran datang kepada dirimu, ya, bahkan pedang keadilan daripada Tuhan Yang Abadi akan jatuh ke atas dirimu, sehingga ketumbangan dan kehancuran dirimu jika kamu akan membiarkan hal-hal ini terjadi.
24 Oleh itu, Tuhan memerintahkanmu, apabila kamu akan melihat hal-hal ini datang di antara kamu agar kamu akan terbangun menyedari keadaanmu yang dahsyat, kerana komplot rahsia ini yang akan berada di antara kamu; atau, celakalah ia, disebabkan oleh darah mereka yang telah dibunuh; kerana mereka berseru dari dalam debu untuk pembalasan ke atas dirinya, dan juga ke atas diri mereka yang membangunkannya.
25 Kerana terjadilah bahawa sesiapa yang membangunkannya berusaha untuk menjatuhkan kebebasan semua negeri, bangsa, dan negara; dan itu mendatangkan kehancuran semua orang, kerana dibangunkan oleh iblis, iaitu bapa segala kedustaan; bahkan pendusta yang sama itulah yang telah memperdayakan ibu bapa kita yang pertama, ya, bahkan pendusta yang sama itulah yang telah menyebabkan manusia melakukan pembunuhan sejak permulaan; yang telah mengeraskan hati manusia sehingga mereka telah membunuh para nabi, dan merejam mereka, dan mengusir mereka sejak dari permulaan.
26 Oleh itu, aku, Moroni, diperintahkan untuk menuliskan hal-hal ini agar kejahatan boleh diakhiri, dan agar waktunya akan tiba apabila Setan tidak mempunyai kuasa ke atas hati anak-anak manusia, tetapi agar mereka boleh didorong untuk melakukan kebaikan secara berterusan, agar mereka boleh datang kepada sumber air segala kesolehan dan diselamatkan.