Pengenalan
Kitab Mormon adalah sejilid tulisan suci kudus yang setanding dengan Alkitab. Ia adalah sebuah catatan tentang urusan Tuhan dengan para penduduk Benua Amerika zaman dahulu dan mengandungi seperti juga Alkitab, kegenapan Injil kekal.
Kitab ini ditulis oleh banyak nabi zaman dahulu melalui roh nubuat dan wahyu. Perkataan mereka, yang ditulis di atas kepingan-kepingan emas, telah dipetik dan diringkaskan oleh seorang nabi-sejarawan bernama Mormon. Catatan itu memberi laporan tentang dua peradaban besar. Yang satu datang dari Yerusalem pada tahun 600 S.M. dan sesudahnya terpisah menjadi dua bangsa, dikenali sebagai bangsa Nefi dan bangsa Laman. Yang lain datang jauh lebih awal ketika Tuhan mencelarukan bahasa-bahasa di Menara Babel. Kumpulan ini dikenali sebagai bangsa Yared. Selepas beribu-ribu tahun, semuanya dihancurkan kecuali bangsa Laman, dan mereka berada di kalangan nenek moyang kaum asli Amerika.
Peristiwa kemuncak yang tercatat dalam Kitab Mormon adalah pelayanan peribadi Tuhan Yesus Kristus di kalangan bangsa Nefi tidak lama selepas kebangkitan-Nya. Ia menerangkan ajaran-ajaran Injil, menggariskan rencana keselamatan, dan memberitahu manusia apa yang mesti mereka lakukan untuk memperoleh kedamaian dalam kehidupan ini dan keselamatan abadi dalam kehidupan yang akan datang.
Selepas Mormon menyelesaikan tulisan-tulisannya, dia menyerahkan laporan itu kepada anak lelakinya Moroni, yang menambahkan beberapa kata miliknya sendiri dan menyembunyikan kepingan-kepingan tersebut di Bukit Kumora. Pada 21 September 1823, Moroni yang sama, yang pada waktu itu makhluk yang dimuliakan, yang dibangkitkan, menampakkan diri kepada Nabi Joseph Smith dan memberinya tunjuk ajar berkaitan dengan catatan purba dan penterjemahannya yang ditakdirkan ke dalam bahasa Inggeris.
Tiba masanya kepingan-kepingan itu diserahkan kepada Joseph Smith, yang menterjemahkannya melalui kurnia dan kuasa Tuhan. Catatan tersebut sekarang diterbitkan dalam banyak bahasa sebagai suatu kesaksian baru dan tambahan bahawa Yesus Kristus ialah Putera Tuhan yang hidup dan bahawa semua orang yang mahu datang kepada-Nya dan mematuhi hukum dan tatacara Injil-Nya boleh diselamatkan.
Tentang catatan ini Nabi Joseph Smith berkata: “Aku telah memberitahu para saudara bahawa Kitab Mormon adalah yang paling benar dari kitab apa pun di atas bumi, dan batu kunci agama kita, dan seseorang akan menjadi lebih dekat kepada Tuhan dengan menuruti ajaran-ajarannya, lebih daripada kitab lain apa pun.”
Di samping Joseph Smith, Tuhan menyediakan sebelas orang yang lain untuk melihat sendiri kepingan-kepingan emas itu dan untuk menjadi saksi-saksi istimewa terhadap kebenaran dan keilahian Kitab Mormon. Kesaksian bertulis mereka disertakan di sini sebagai “Kesaksian Tiga Saksi” dan “Kesaksian Lapan Saksi.”
Kami mengajak semua orang di mana pun untuk membaca Kitab Mormon, merenungkan dalam hati mereka pesanan yang terkandung di dalamnya, dan kemudian bertanya kepada Tuhan, Bapa Yang Kekal, dalam nama Kristus jika kitab ini benar. Mereka yang menuruti cara ini dan bertanya dalam iman akan memperoleh kesaksian akan kebenaran dan keilahiannya melalui kuasa Roh Kudus. (Lihat Moroni 10:3–5)
Mereka yang memperoleh kesaksian ilahi ini daripada Roh Kudus akan juga mengetahui melalui kuasa yang sama bahawa Yesus Kristus ialah Juruselamat dunia, bahawa Joseph Smith ialah pewahyu dan nabi-Nya pada zaman terakhir ini, dan bahawa Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir adalah kerajaan Tuhan yang sekali lagi ditegakkan di atas bumi, sebagai persiapan untuk Kedatangan Kedua Mesias.