Kitab Suci
Yakub 5


Bab 5

Yakub memetik kata-kata Zenos berkaitan dengan kiasan tentang pokok zaitun yang terpelihara dan yang liar—Itu adalah suatu keserupaan akan Israel dan bangsa bukan Israel—Pencerai-beraian dan pengumpulan Israel diperlambangkan sebelumnya—Kilasan dibuat bagi bangsa Nefi dan bangsa Laman dan seluruh bani Israel—Bangsa bukan Israel akan dicantumkan ke dalam Israel—Pada akhirnya ladang itu akan dibakar. Kira-kira 544–421 tahun S.M.

1 Lihatlah, saudara-saudaraku, tidakkah kamu ingat telah membaca kata-kata nabi Zenos, yang dia ucapkan kepada bani Israel, mengatakan:

2 Dengarlah, Wahai kamu bani Israel, dan dengarlah kata-kata daripadaku, seorang nabi Tuhan.

3 Kerana lihatlah, demikianlah firman Tuhan, Aku akan menyamakan engkau, Wahai bani Israel, seperti sebatang pokok zaitun yang terpelihara, yang seseorang telah ambil dan pelihara di ladangnya; dan ia tumbuh, dan menjadi tua, dan mulai mereput.

4 Dan terjadilah bahawa tuan ladang itu pergi, dan dia melihat bahawa pokok zaitunnya mulai reput; dan dia berkata: Aku akan memangkasnya, dan mencangkul di sekitarnya, dan memeliharanya, agar barangkali ia boleh bertunaskan cabang-cabang muda dan lembut, dan tidak musnah.

5 Dan terjadilah bahawa dia memangkasnya, dan mencangkul di sekitarnya, dan memeliharanya menurut perkataannya.

6 Dan terjadilah bahawa setelah berhari-hari ia mulai sedikit mengeluarkan, cabang-cabang yang muda dan lembut; tetapi lihatlah, puncak utamanya mulai mati.

7 Dan terjadilah bahawa tuan ladang itu melihatnya, dan dia berkata kepada orang suruhannya: Memilukan bagiku bahawa aku akan kehilangan pokok ini; oleh kerana itu, pergi dan cabutlah cabang-cabang dari sebatang pokok zaitun liar, dan bawakannya kemari kepadaku; dan kita akan mencabut cabang-cabang utama itu yang mulai layu, dan kita akan melemparkannya ke dalam api agar ia boleh dibakar.

8 Dan lihatlah, berkatalah Tuan ladang itu, aku menyingkirkan banyak daripada cabang-cabang yang muda dan lembut ini, dan aku akan mencantumkannya di mana pun yang aku mahu; dan hal itu tidak penting, bahawa jika demikian halnya bahawa akar pokok ini akan musnah, aku boleh menyimpan buahnya bagi diriku sendiri; oleh kerana itu, aku akan mengambil cabang-cabang yang muda dan lembut ini, dan aku akan mencantumkannya di mana pun yang aku mahu.

9 Ambillah engkau cabang-cabang pokok zaitun liar, dan cantumkannya, sebagai penggantinya; dan ini yang telah aku cabut akan aku lemparkan ke dalam api dan membakarnya, agar ia boleh tidak mengotorkan tanah ladangku.

10 Dan terjadilah bahawa orang suruhan Tuan ladang itu melakukan menurut perkataan Tuan ladang itu, dan mencantumkan cabang-cabang pokok zaitun liar.

11 Dan Tuan ladang itu menyuruh agar ia hendaknya dicangkul di sekitarnya, dan dipangkas, dan dipelihara, mengatakan kepada orang suruhannya: Memilukan bagiku bahawa aku akan kehilangan pokok ini; oleh kerana itu, agar barangkali aku boleh memelihara akarnya agar ia tidak musnah, agar aku boleh menyimpannya bagi diriku sendiri, aku telah melakukan hal ini.

12 Oleh kerana itu, pergilah kembali ke jalanmu; jagalah pokok itu, dan peliharanyalah, menurut kata-kataku.

13 Dan ini akan aku tempatkan di bahagian paling jauh di ladangku, di mana pun aku kehendaki, bukanlah masalah bagimu; dan aku melakukannya agar aku boleh memelihara bagi diriku sendiri cabang-cabang semula jadi pokok itu; dan juga, agar aku boleh menyimpan buahnya menghadapi musim, bagi diriku sendiri; kerana memilukan bagiku bahawa aku akan kehilangan pokok ini dan buahnya.

14 Dan terjadilah bahawa Tuan ladang itu pergi ke jalannya, dan menyembunyikan cabang-cabang semula jadi pokok zaitun yang terpelihara di bahagian-bahagian paling jauh ladang itu, beberapa cabang di satu bahagian dan beberapa cabang di bahagian yang lain, menurut kehendak dan kesenangannya.

15 Dan terjadilah bahawa suatu masa yang lama berlalu, dan Tuan ladang itu berkata kepada orang suruhannya: Mari, biarlah kita pergi ke ladang, agar kita boleh bekerja di ladang itu.

16 Dan terjadilah bahawa Tuan ladang itu, dan juga orang suruhan itu, pergi ke ladang auntuk bekerja. Dan terjadilah bahawa orang suruhan itu berkata kepada tuannya: Lihat, lihatlah ke sini; lihatlah pokok itu.

17 Dan terjadilah bahawa Tuan ladang itu melihat dan nampak pokok di mana cabang-cabang pokok zaitun liar telah dicantumkan; dan ia telah tumbuh dan mulai menghasilkan buah. Dan dia melihat bahawa ianya adalah baik; dan buahnya adalah seperti buah semula jadinya.

18 Dan dia berkata kepada orang suruhan itu: Lihatlah, cabang-cabang pokok liar telah mengambil kelembapan daripada akarnya, sehingga akarnya telah menghasilkan banyak kekuatan; dan kerana kekuatan besar akarnya itu cabang-cabang liar itu telah menghasilkan buah yang terpelihara. Sekarang, jika kita tidak mencantumkan cabang-cabang ini, pokoknya akan telah musnah. Dan sekarang, lihatlah, aku akan menyimpan banyak buah, yang pokoknya telah hasilkan; dan buahnya akan aku simpan menghadapi musim, bagi diriku sendiri.

19 Dan terjadilah bahawa Tuan ladang itu berkata kepada orang suruhannya: Marilah, biarlah kita pergi ke bahagian paling jauh ladang, dan melihat sama ada cabang-cabang semula jadi pokok itu tidak menghasilkan banyak buah juga, agar aku boleh menyimpan buahnya menghadapi musim, bagi diriku sendiri.

20 Dan terjadilah bahawa mereka pergi ke mana tuan itu telah menyembunyikan cabang-cabang semula jadi pokok itu, dan dia berkata kepada orang suruhan itu: Lihatlah ini; dan dia melihat yang pertama bahawa ia telah menghasilkan banyak buah; dan dia melihat juga bahawa ianya baik. Dan dia berkata kepada orang suruhan itu: Ambillah buahnya, dan simpankannya menghadapi musim, agar aku boleh menyimpannya bagi diriku sendiri; kerana lihatlah, katanya, sepanjang waktu yang lama ini telah aku peliharakannya, dan ia telah menghasilkan banyak buah.

21 Dan terjadilah bahawa orang suruhan itu berkata kepada tuannya: Mengapa tuan datang kemari untuk menanam pokok ini, atau cabang pokok ini? Kerana lihatlah, tempat itu adalah bidang tanah yang paling gersang di seluruh tanah ladangmu.

22 Dan Tuan ladang itu berkata kepadanya: Janganlah menasihatiku; Aku tahu bahawa itu adalah sebidang tanah yang gersang; oleh kerana itu, aku berkata kepadamu, aku telah memeliharanya sepanjang waktu yang lama ini, dan engkau lihat bahawa ia telah menghasilkan banyak buah.

23 Dan terjadilah bahawa Tuan ladang itu berkata kepada orang suruhannya: Pandanglah ke sini; lihatlah aku telah menanam cabang yang lain dari pokok itu juga; dan engkau tahu bahawa bidang tanah ini lebih gersang daripada yang pertama. Tetapi, lihatlah pokok itu. Aku telah memeliharanya sepanjang waktu yang lama ini, dan ia telah menghasilkan banyak buah; oleh kerana itu, kumpulkannya, dan simpankannya menghadapi musim, agar aku boleh menyimpannya bagi diriku sendiri.

24 Dan terjadilah bahawa Tuan ladang itu berkata lagi kepada orang suruhannya: Pandanglah ke sini, dan lihatlah cabang yang lain juga, yang telah aku tanam; lihatlah bahawa aku telah memeliharanya juga, dan ia telah menghasilkan buah.

25 Dan dia berkata kepada orang suruhan itu: Pandanglah ke sini dan lihatlah yang terakhir. Lihatlah, ini telah aku tanam di sebidang tanah yang baik; dan aku telah memeliharanya sepanjang waktu yang lama ini, dan hanya sebahagian pokok itu telah menghasilkan buah yang terpelihara, dan bahagian lain pokok itu telah menghasilkan buah yang liar; lihatlah, Aku telah memelihara pokok ini seperti yang lain.

26 Dan terjadilah bahawa Tuan ladang itu berkata kepada orang suruhan itu: Cabutlah cabang-cabang yang tidak menghasilkan buah yang baik, dan lemparkannya ke dalam api.

27 Tetapi lihatlah, orang suruhan itu berkata kepadanya: Marilah kita memangkasnya, dan mencangkul di sekitarnya, dan memeliharanya sedikit lama lagi, agar barangkali ia boleh menghasilkan buah yang baik bagimu, agar tuan dapat menyimpannya menghadapi musim.

28 Dan terjadilah bahawa Tuan ladang itu dan orang suruhan Tuan ladang itu memelihara semua buah ladang itu.

29 Dan terjadilah bahawa suatu masa yang lama telah berlalu, dan Tuan ladang itu berkata kepada orang suruhannya: Marilah, biarlah kita pergi ke ladang, agar kita boleh bekerja lagi di ladang itu. Kerana lihatlah, waktunya mendekat, dan akhirnya segera tiba; oleh kerana itu, aku mesti menyimpan buah menghadapi musim, bagi diriku sendiri.

30 Dan terjadilah bahawa Tuan ladang itu dan orang suruhan itu pergi ke ladang; dan mereka tiba pada pokok yang cabang-cabang semula jadinya telah dipatahkan, dan cabang-cabang liar telah dicantumkan; dan lihatlah segala jenis buah membebani pokok itu.

31 Dan terjadilah bahawa Tuan ladang itu mencuba rasa buah itu, setiap jenis menurut jumlahnya. Dan Tuan ladang itu berkata: Lihatlah, sepanjang waktu yang lama ini telah kita pelihara pokok ini, dan aku telah menyimpan bagi diriku sendiri banyak buah menghadapi musim.

32 Tetapi lihatlah, kali ini ia telah menghasilkan banyak buah, dan tidak ada satu pun antaranya yang baik. Dan lihatlah, ada segala jenis buah yang buruk; dan ianya tidak menguntungkanku apa pun, tidak kira segala kerja kita; dan sekarang, memilukan bagiku bahawa aku akan kehilangan pokok ini.

33 Dan Tuan ladang itu berkata kepada orang suruhannya: Apakah yang akan kita lakukan dengan pokok itu, agar aku boleh menyimpan lagi buah yang baik darinya bagi diriku sendiri?

34 Dan orang suruhan itu berkata kepada tuannya: Lihatlah, kerana tuan telah mencantumkan cabang-cabang pokok zaitun liar, ia telah memelihara akarnya, sehingga hidup dan tidak musnah; oleh kerana itu tuan lihat bahawa akar itu masih baik.

35 Dan terjadilah bahawa Tuan ladang itu berkata kepada orang suruhannya: Pokok itu tidak menguntungkanku apa pun, dan akarnya tidak menguntungkanku apa pun selama ia akan menghasilkan buah yang buruk.

36 Walaupun demikian, aku tahu bahawa akarnya baik, dan untuk tujuanku sendiri aku telah memeliharanya; dan kerana kekuatan besarnya ia telah hingga kini menghasilkan, daripada cabang-cabang liar, buah yang baik.

37 Tetapi lihatlah, cabang-cabang liar telah tumbuh dan telah menguasai akarnya; dan kerana cabang-cabang liar telah menguasai akarnya ia telah menghasilkan banyak buah yang buruk; dan kerana ia telah menghasilkan sedemikian banyaknya buah yang buruk engkau lihat bahawa ia mulai musnah; dan akan segera menjadi matang, sehingga ia boleh dilemparkan ke dalam api, kecuali kita akan melakukan sesuatu baginya untuk memeliharanya.

38 Dan terjadilah bahawa Tuan ladang itu berkata kepada orang suruhannya: Marilah kita pergi ke bahagian-bahagian yang paling jauh di ladang itu, dan melihat sama ada cabang-cabang semula jadinya juga telah menghasilkan buah yang buruk.

39 Dan terjadilah bahawa mereka pergi ke bahagian-bahagian yang paling jauh di ladang itu. Dan terjadilah bahawa mereka melihat bahawa buah dari cabang-cabang semula jadinya telah menjadi buruk juga; ya, yang pertama dan yang kedua dan juga yang terakhir; dan buah itu semuanya telah menjadi buruk.

40 Dan buah liar dari yang terakhir telah menguasai bahagian pokok itu yang menghasilkan buah yang baik, bahkan sampai cabangnya telah layu dan mati.

41 Dan terjadilah bahawa Tuan ladang itu menangis, dan berkata kepada orang suruhan itu: Apa yang dapat aku lakukan lagi untuk ladangku?

42 Lihatlah, aku tahu bahawa semua buah dari ladang itu, kecuali yang ini, telah menjadi buruk. Dan sekarang, ini yang dahulunya telah menghasilkan buah yang baik telah juga menjadi buruk; dan sekarang, semua pokok ladangku tidak baik untuk apa pun kecuali untuk ditebang dan dilemparkan ke dalam api.

43 Dan lihatlah yang terakhir ini, yang cabangnya telah layu, aku telah tanam di sebidang tanah yang baik; ya, bahkan apa yang adalah pilihan bagiku melebihi semua bahagian lain daripada tanah ladangku.

44 Dan engkau lihat bahawa aku juga menebas apa yang telah mengotori bidang tanah ini, agar aku boleh menanam pokok ini sebagai penggantinya.

45 Dan engkau lihat bahawa sebahagiannya menghasilkan buah yang baik, dan sebahagiannya menghasilkan buah yang liar; dan kerana aku tidak mencabut cabang-cabangnya dan melemparkannya ke dalam api, lihatlah, ia telah menguasai cabang yang baik sehingga ia telah layu.

46 Dan sekarang, lihatlah, walau segala pemeliharan yang telah kita berikan kepada ladangku, pokok-pokoknya telah menjadi buruk, sehingga ia tidak menghasilkan buah yang baik; dan ini aku telah harap dapat kekalkan, untuk menyimpan buahnya menghadapi musim, bagi diriku sendiri. Tetapi, lihatlah, ia telah menjadi seperti pokok zaitun liar, dan tidak berharga selain untuk ditebang dan dilemparkan ke dalam api; dan memilukan bagiku bahawa aku akan kehilangan pokok itu.

47 Tetapi apa yang dapat aku lakukan lagi di ladangku? Adakah aku telah mengendurkan tanganku, sehingga aku tidak memeliharanya? Tidak, aku telah memeliharanya, dan aku telah mencangkul di sekitarnya, dan aku telah memangkasnya, dan aku telah memupuknya; dan aku telah mengulurkan tanganku hampir sepanjang hari, dan akhir itu semakin dekat. Dan memilukan bagiku bahawa aku mesti menebang semua pokok ladangku, dan melemparkannya ke dalam api agar itu mesti dibakar. Siapakah itu yang telah merosakkan ladangku?

48 Dan terjadilah bahawa orang suruhan itu berkata kepada tuannya: Bukankah ketinggian hati ladangmu—bukankah cabang-cabangnya telah menguasai akar yang adalah baik? Dan kerana cabang-cabang telah menguasai akarnya, lihatlah itu tumbuh lebih cepat daripada kekuatan akarnya, mengambil kekuatan bagi dirinya sendiri. Lihatlah, aku berkata, bukankah ini penyebab bahawa pokok-pokok di ladangmu telah menjadi rosak?

49 Dan terjadilah bahawa Tuan ladang itu berkata kepada orang suruhan itu: Marilah kita pergi dan menebang pokok-pokok di ladangdan melemparkannya ke dalam api, agar tidak mengotorkan tanah ladangku, kerana aku telah melakukan segalanya. Apa yang dapat aku lakukan lagi untuk ladangku?

50 Tetapi, lihatlah, orang suruhan itu berkata kepada Tuan ladang itu: Biarkanlah ia hidup sedikit lebih lama lagi.

51 Dan Tuan itu berkata: Ya, aku akan membiarkannya hidup sedikit lebih lama lagi, kerana memilukan bagiku bahawa aku akan kehilangan pokok-pokok ladangku.

52 Oleh kerana itu, marilah kita mengambil cabang-cabang dari ini yang telah aku tanamkan di bahagian-bahagian yang paling jauh di ladangku, dan marilah kita mencantumkannya ke pokok dari mana ia datang; dan marilah kita mencabut dari pokok itu cabang-cabang itu yang buahnya paling pahit, dan mencantumkan cabang-cabang semula jadi pokok itu sebagai penggantinya.

53 Dan ini akan aku lakukan agar pokok itu boleh tidak musnah, agar, barangkali, aku boleh memelihara bagi diriku akarnya untuk tujuanku sendiri.

54 Dan, lihatlah, akar cabang-cabang semula jadi pokok yang aku tanam di mana pun aku kehendaki masih hidup; oleh kerana itu, agar aku boleh memeliharanya juga untuk tujuanku sendiri, aku akan mengambil dari cabang-cabang pokok ini, dan aku akan mencantumkannya padanya. Ya, aku akan mencantumkan padanya cabang-cabang dari pokok induknya, agar aku boleh memelihara akarnya juga bagi diriku sendiri, agar ketika itu akan menjadi cukup kuat barangkali boleh menghasilkan buah yang baik bagiku, dan aku boleh masih memiliki kepuasan akan buah dari ladangku.

55 Dan terjadilah bahawa mereka mengambil dari pokok semula jadi yang telah menjadi liar, dan mencantumkan pada pokok-pokok semula jadi, yang juga telah menjadi liar.

56 Dan mereka juga mengambil dari pokok-pokok semula jadi yang telah menjadi liar, dan mencantumkan pada pokok induknya.

57 Dan Tuan ladang itu berkata kepada orang suruhan itu: Janganlah mencabut cabang-cabang liar dari pokok-pokok itu, kecuali itu yang paling pahit; dan di dalamnya kamu akan mencantumkan menurut apa yang telah aku katakan.

58 Dan kita akan memelihara sekali lagi pokok-pokok ladang itu, dan kita akan memangkas cabang-cabangnya; dan kita akan mencabut dari pokok-pokok cabang-cabang itu yang matang, yang mesti musnah, dan melemparkannya ke dalam api.

59 Dan ini aku lakukan agar, barangkali, akarnya boleh mengambil kekuatan kerana kebaikannya; dan kerana pergantian cabang-cabangnya, agar yang baik boleh menguasai yang buruk.

60 Dan kerana aku telah memelihara cabang-cabang semula jadi dan akarnya, dan aku telah mencantumkan cabang-cabang semula jadi itu lagi pada pokok induknya, dan telah memelihara akar pokok induknya, agar, barangkali, pokok-pokok ladangku boleh menghasilkan lagi buah yang baik; dan agar aku boleh merasakan sukacita lagi akan buah dari ladangku, dan, barangkali, agar aku boleh amat bersukacita bahawa aku telah memelihara akar dan cabang dari buah yang pertama—

61 Oleh kerana itu, pergilah, dan panggillah para orang suruhan, agar kita boleh bekerja dengan tekun dengan kekuatan kita di ladang itu, agar kita boleh menyediakan jalan, agar aku boleh menghasilkan lagi buah semula jadi, yang buah semula jadi itu baik dan paling berharga melebihi semua buah yang lain.

62 Oleh kerana itu, marilah kita pergi dan bekerja dengan kekuatan kita terakhir kalinya ini, kerana lihatlah akhir itu semakin dekat, dan ini adalah untuk terakhir kalinya aku akan memangkas ladangku.

63 Cantumkanlah cabang-cabang itu; mulailah dengan yang terakhir agar ianya boleh menjadi yang pertama, dan agar yang pertama boleh menjadi yang terakhir, dan cangkullah di sekitar pokok-pokok itu, baik yang tua mahupun yang muda, yang pertama mahupun yang terakhir; dan yang terakhir mahupun yang pertama, agar semuanya boleh dipelihara sekali lagi untuk kali terakhirnya.

64 Oleh kerana itu, cangkullah di sekitarnya, dan pangkasnyalah, dan bajainya sekali lagi, untuk kali terakhirnya, kerana akhir itu semakin dekat. Dan jika demikian halnya bahawa pencantuman terakhir ini akan tumbuh, dan menghasilkan buah semula jadi, maka akanlah kamu mempersiapkan cara baginya, agar ia boleh tumbuh.

65 Dan sewaktu ia mulai tumbuh kamu akan menyingkirkan cabang-cabang yang menghasilkan buah yang pahit, menurut kekuatan yang baik dan ukurannya; dan kamu tidak akan menyingkirkan yang buruk darinya semua sekaligus, jangan-jangan akarnya akan menjadi terlalu kuat untuk pencantuman, dan pencantumannya akan musnah, dan aku kehilangan pokok-pokok ladangku.

66 Kerana memilukan bagiku bahawa aku akan kehilangan pokok-pokok ladangku; oleh kerana itu kamu akan menyingkirkan yang buruk menurut seperti tumbuhnya yang baik, agar akar dan puncaknya boleh setara dalam kekuatan, sampai yang baik menguasai yang buruk, dan yang buruk ditebang dan dilemparkan ke dalam api, agar ia tidak mengotorkan tanah ladangku; dan demikianlah akan aku sapukan bersih yang buruk keluar dari ladangku.

67 Dan cabang-cabang pokok semula jadi akan aku cantumkan kembali pada pokok semula jadinya;

68 Dan cabang-cabang pokok semula jadi akan aku cantumkan pada cabang-cabang semula jadi pokok itu; dan demikianlah akan aku bawa cabang-cabang itu bersama lagi, agar menghasilkan buah semula jadi, dan ianya akan menjadi satu.

69 Dan yang buruk akan dibuang, ya, bahkan keluar dari seluruh tanah ladangku; kerana lihatlah, hanya kali ini sahaja akan aku pangkas ladangku.

70 Dan terjadilah bahawa Tuan ladang itu mengutus orang suruhannya; dan orang suruhan itu pergi dan melakukan seperti yang telah Tuan itu perintahkan kepadanya, dan membawa para orang suruhan lain; dan mereka sedikit sahaja.

71 Dan Tuan ladang itu berkata kepada mereka: Pergilah, dan bekerjalah di ladang anggur, dengan kekuatanmu. Kerana lihatlah, ini adalah yang kali terakhirnya aku akan memelihara ladangku; kerana akhir itu sudah akan sampai, dan musim itu cepat tiba; dan jika kamu bekerja dengan kekuatanmu bersamaku kamu akan merasakan sukacita akan buah yang akan aku simpan bagi diriku sendiri menghadapi waktu yang akan segera tiba.

72 Dan terjadilah bahawa para orang suruhan itu pergi dan bekerja dengan kekuatan mereka; dan Tuan ladang itu bekerja juga bersama mereka; dan mereka mematuhi perintah-perintah Tuan ladang itu dalam segala hal.

73 Dan mulai ada buah semula jadi lagi di ladang itu; dan cabang-cabang semula jadi mulai tumbuh dan berkembang dengan amat subur; dan cabang-cabang liar mulai dicabut dan dibuang; dan mereka menjaga akar dan puncaknya setara, menurut kekuatannya.

74 Dan demikianlah mereka bekerja, dengan segenap ketekunan, menurut perintah-perintah Tuan ladang itu, bahkan sampai yang buruk telah dibuang keluar dari ladang itu, dan Tuan itu telah menyimpan bagi dirinya sendiri sehingga pokok-pokok itu telah kembali menjadi buah semula jadi; dan buah-buah menjadi seperti satu kesatuan; dan buah-buahnya setara; dan Tuan ladang itu telah menyimpan bagi dirinya buah semula jadi, yang adalah paling berharga baginya sejak awal.

75 Dan terjadilah bahawa ketika Tuan ladang itu melihat bahawa buahnya baik, dan bahawa ladangnya tidak lagi rosak, dia memanggil para orang suruhannya, dan berkata kepada mereka: Lihatlah, untuk kali terakhirnya ini telah kita pelihara ladangku; dan engkau melihat bahawa aku telah melakukan menurut kehendakku; dan aku telah mengekalkan buah semula jadi, yang adalah baik, bahkan seperti adanya pada awalnya. Dan diberkatilah engkau; kerana engkau telah tekun dalam bekerja bersamaku di ladangku, dan telah mentaati perintah-perintahku, dan telah membawa kepadaku kembali buah semula jadi, sehingga ladangku tidak lagi rosak, dan yang buruk dibuang, lihatlah kamu akan merasakan sukacita bersamaku kerana buah dari ladangku.

76 Kerana lihatlah, tempoh masa yang lama akanlah aku simpan buah dari ladangku bagi diriku sendiri menghadapi musim, yang cepat tiba; dan untuk kali terakhirnya telah aku pelihara ladangku, dan memangkasnya, dan mencangkul di sekitarnya, dan membajainya; oleh kerana itu akan aku simpan bagi diriku sendiri buah itu, untuk tempoh masa yang lama, menurut apa yang telah aku ucapkan.

77 Dan ketika waktunya tiba bahawa buah yang buruk akan kembali masuk ke dalam ladangku, pada waktu itulah akan aku suruh yang baik dan yang buruk untuk dikumpulkan; dan yang baik akan aku simpan bagi diriku sendiri, dan yang buruk akan aku buang ke tempatnya sendiri. Dan kemudian tibalah musimnya dan akhirnya; dan ladangku akanlah aku suruh dibakar dengan api.