Kitab Suci
Mosia 12


Bab 12

Abinadi dipenjarakan kerana menubuatkan kehancuran bangsa itu dan kematian raja Nuh—Para imam palsu mengutip tulisan suci dan berpura-pura mentaati hukum Musa—Abinadi mula mengajar mereka Sepuluh Perintah. Kira-kira 148 tahun S.M.

1 Dan terjadilah bahawa setelah jangka masa dua tahun bahawa Abinadi datang ke kalangan mereka dalam penyamaran, sehingga mereka tidak mengenalinya, dan mulai bernubuat di kalangan mereka, mengatakan: Demikianlah Tuhan telah memerintahkanku, memfirmankan—Abinadi, pergi dan bernubuatlah kepada umat-Ku ini, kerana mereka telah mengeraskan hati mereka terhadap firman-Ku; mereka tidak bertaubat akan perbuatan jahat mereka; oleh kerana itu, Aku akan mengunjungi mereka dalam kemurkaan-Ku, ya, dalam kemurkaan dahsyat-Ku akan Aku kunjungi mereka dalam kederhakaan dan kekejian mereka.

2 Ya, celakalah bagi generasi ini! Dan Tuhan berfirman kepadaku: Hulurkan tanganmu dan bernubuatlah, mengatakan: Demikianlah firman Tuhan, akan terjadi bahawa generasi ini, kerana kederhakaan mereka, akan dibawa ke dalam perhambaan, dan akan ditampar pipinya; ya, dan akan dihalau oleh orang, dan akan dibunuh; dan burung hering di udara, dan anjing, ya, dan binatang buas, akan melahap daging mereka.

3 Dan akan terjadi bahawa nyawa raja Nuh akan dinilai bahkan bagaikan sehelai pakaian dalam relau panas; kerana dia akan tahu bahawa Aku adalah Tuhan.

4 Dan akan terjadi bahawa Aku akan mendera umat-Ku ini dengan kesengsaraan yang parah, ya, dengan kebuluran dan dengan wabak; dan Aku akan menyebabkan bahawa mereka akan meraung-raung sepanjang hari.

5 Ya, dan Aku akan menyebabkan bahawa beban akan diikatkan pada belakang mereka; dan mereka akan dihalau ke depan seperti keldai bisu.

6 Dan akan terjadi bahawa Aku akan mengirimkan hujan batu ke kalangan mereka, dan ia akan mendera mereka; dan mereka akan juga didera dengan angin timur; dan serangga akan menggangu negeri mereka juga, dan melahap biji-bijian mereka.

7 Dan mereka akan didera dengan wabak yang teruk—dan semua ini akan Aku lakukan kerana kederhakaan dan kekejian mereka.

8 Dan akan terjadi bahawa kecuali mereka bertaubat Aku akan sama sekali menghancurkan mereka dari muka bumi; namun mereka akan meninggalkan sebuah catatan setelah mereka, dan Aku akan menyimpannya untuk bangsa-bangsa lain yang akan menguasai negeri ini; ya, bahkan ini akan Aku lakukan agar Aku boleh mendedahkan kekejian bangsa ini kepada bangsa-bangsa lain. Dan banyak hal yang Abinadi nubuatkan menentang bangsa ini.

9 Dan terjadilah bahawa mereka marah terhadapnya; dan mereka menangkapnya dan membawanya terikat ke hadapan raja, dan berkata kepada raja: Lihatlah, kami telah membawa seorang lelaki ke hadapan kamu yang telah bernubuat yang jahat berkenaan rakyat kamu, dan berkata bahawa Tuhan akan menghancurkan mereka.

10 Dan dia juga bernubuat yang jahat berkenaan kehidupanmu, dan berkata bahawa nyawamu akan bagaikan sehelai pakaian dalam relau api.

11 Dan lagi, dia berkata bahawa kamu akan bagaikan sebatang tangkai, bahkan bagaikan tangkai kering di padang, yang dilindas oleh binatang-binatang dan diinjak-injak di bawah kaki.

12 Dan lagi, dia berkata kamu akan bagaikan bunga-bunga dari tumbuhan tisel, yang, ketika ia sepenuhnya matang, jika angin bertiup, ia terhembus ke depan di atas permukaan negeri ini. Dan dia berpura-pura Tuhan telah memfirmankannya. Dan dia berkata semuanya ini akan datang ke atas dirimu kecuali kamu bertaubat, dan ini kerana kederhakaan kamu.

13 Dan sekarang, Wahai raja, kejahatan besar apakah yang telah kamu lakukan, atau dosa-dosa besar apakah yang telah rakyat kamu buat, sehingga kita mesti dihukum oleh Tuhan atau dihakimi oleh lelaki ini?

14 Dan sekarang, Wahai raja, lihatlah, kita tak bersalah, dan kamu, Wahai raja, tidaklah berdosa; oleh kerana itu, lelaki ini telah berdusta berkenaan kamu, dan dia telah bernubuat dengan sia-sia.

15 Dan lihatlah, kita kuat, kita tidak akan jatuh ke dalam perhambaan, atau dibawa tertawan oleh musuh kita; ya, dan kamu telah makmur di tanah ini, dan kamu juga akan tetap makmur.

16 Lihatlah, inilah lelaki itu, kami menyerahkannya ke dalam tangan kamu; kamu boleh melakukan terhadapnya seperti yang tampaknya baik bagi kamu.

17 Dan terjadilah bahawa raja Nuh menyuruh agar Abinadi hendaknya dilemparkan ke dalam penjara; dan dia memerintahkan agar para imam hendaknya berkumpul bersama agar dia boleh mengadakan sidang bersama mereka berkenaan apa yang hendaknya dia lakukan terhadapnya.

18 Dan terjadilah bahawa mereka berkata kepada raja: Bawalah dia kemari agar kami boleh mempersoalkannya; dan raja memerintahkan bahawa dia hendaknya dibawa ke hadapan mereka.

19 Dan mereka mulai mempersoalkannya, agar mereka boleh membingungkannya, agar dengan demikian mereka boleh memiliki itu yang dengannya mereka dapat menuduhnya; tetapi dia menjawab mereka dengan berani, dan bertahan terhadap semua soalan mereka, ya, yang membuat mereka tercengang, kerana dia bertahan terhadap mereka dalam semua soalan mereka, dan menundukkan mereka dalam segala perkataan mereka.

20 Dan terjadilah bahawa salah seorang daripada mereka berkata kepadanya: Apa erti kata-kata yang tertulis, dan yang telah diajarkan oleh nenek moyang kita, mengatakan:

21 Betapa indahnya di atas gunung-gunung adalah kaki dia yang membawa khabar baik; yang memberitakan kedamaian; yang membawa khabar baik tentang kebaikan; yang memberitakan keselamatan; yang berkata kepada Sion, Tuhanmu memerintah;

22 Para penjagamu akan mengangkat suara; dengan suara bersama akanlah mereka bernyanyi; kerana mereka akan melihat dengan mata sendiri ketika Tuhan akan membawa kembali Sion;

23 Bersoraklah dalam kebahagiaan; bernyanyilah bersama kamu tempat-tempat tandus di Yerusalem; kerana Tuhan telah menghibur umat-Nya, Dia telah menebus Yerusalem;

24 Tuhan telah mendedahkan lengan kudus-Nya di mata segala bangsa, dan semua hujung bumi akan melihat penyelamatan daripada Tuhan kita?

25 Dan sekarang, Abinadi berkata kepada mereka: Adakah kamu imam, dan berpura-pura mengajar bangsa ini, dan memahami roh bernubuat, namun berhasrat untuk mengetahui daripadaku apanya erti hal-hal ini?

26 Aku berkata kepadamu, celakalah bagi kamu kerana menyimpangkan jalan Tuhan! Kerana jika kamu memahami hal-hal ini kamu tidak mengajarkannya; oleh kerana itu, kamu telah menyimpangkan jalan Tuhan.

27 Kamu telah tidak menumpukan hatimu pada pengertian; oleh kerana itu, kamu telah tidak bijak. Oleh kerana itu, apakah yang kamu ajarkan kepada bangsa ini?

28 Dan mereka berkata: Kami mengajarkan hukum Musa.

29 Dan dia berkata lagi kepada mereka: Jika kamu mengajarkan hukum Musa mengapa kamu tidak mentaatinya? Mengapa kamu menaruh hatimu pada kekayaan? Mengapa kamu berbuat pelacuran dan menghabiskan kekuatanmu bersama perempuan keji, ya, dan menyebabkan bangsa ini berbuat dosa, sehingga Tuhan memiliki alasan mengutusku untuk bernubuat menentang bangsa ini, ya, bahkan suatu kejahatan yang besar menentang bangsa ini?

30 Tidakkah kamu tahu bahawa aku mengucapkan kebenaran? Ya, kamu tahu bahawa aku mengucapkan kebenaran; dan kamu seharusnya bergementar di hadapan Tuhan.

31 Dan akan terjadi bahawa kamu akan didera kerana kederhakaanmu, kerana kamu telah berkata bahawa kamu mengajarkan hukum Musa. Dan apa yang kamu ketahui berkenaan hukum Musa? Adakah keselamatan datang melalui hukum Musa? Apakah yang kamu katakan?

32 Dan mereka menjawab dan berkata bahawa keselamatan datang melalui hukum Musa.

33 Tetapi sekarang, Abinadi berkata kepada mereka: Aku tahu jika kamu mentaati perintah-perintah Tuhan kamu akan diselamatkan; ya, jika kamu mentaati perintah-perintah yang Tuhan sampaikan kepada Musa di Gunung Sinai, memfirmankan:

34 Aku adalah Tuhan Rajamu, yang telah membawa kamu keluar dari negeri Mesir, keluar dari rumah perhambaan.

35 Jangan kamu memiliki Tuhan lain di hadapan-Ku.

36 Jangan kamu membuat bagi dirimu patung ukiran apa-apa pun, atau keserupaan apa pun daripada benda apa pun di langit di atas, atau benda-benda yang ada di bumi di bawah.

37 Sekarang, Abinadi berkata kepada mereka, Adakah kamu telah melakukan semua ini? Aku berkata kepadamu, Tidak, kamu tidak melakukannya. Dan adakah kamu telah mengajar bangsa ini bahawa mereka hendaknya melakukan segala hal ini? Aku berkata kepadamu, Tidak, kamu tidak melakukannya.