Sejarah Gereja
Jane Elizabeth Manning James


“Jane Elizabeth Manning James,” Topik Sejarah Gereja

“Jane Elizabeth Manning James”

Jane Elizabeth Manning James

Jane Elizabeth Manning (sekitar 1822–1908) ialah salah seorang daripada lima orang anak kelahiran pasangan berbangsa Afrika Amerika yang bebas dari Connecticut pada masa ketika ramai orang berbangsa Afrika di Amerika Syarikat dijadikan hamba.1 Ketika dewasa muda, dia menyertai Gereja Jemaah Kanaan Baru pada tahun 1841, tetapi 18 bulan kemudian, pada musim sejuk tahun 1842–43, dia bersama beberapa ahli keluarganya dibaptiskan ke dalam Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir. Tidak lama kemudian Jane dan ahli keluarganya yang lain ingin menyertai Orang Suci di Nauvoo, jadi mereka membuat perjalanan dari Connecticut ke New York, dengan rancangan menaiki kapal stim dan kapal terusan. Namun, mereka dinafikan tempat di kapal kerana bangsa mereka, jadi mereka terpaksa berjalan kaki berbaki 800 batu (1287.48 km). Di Peoria, Illinois, pihak berkuasa tempatan meragui keluarga Manning sebagai hamba pelarian dan menuntut surat yang membuktikan status kebebasan mereka. Perkauman menjadi suatu rintangan yang Jane akan hadapi untuk sepanjang hidupnya.

gambar potret Jane Manning James

Potret Jane Manning James.

Dengan ihsan Perpustakaan dan Arkib Sejarah Gereja

Setibanya di Nauvoo, Jane segera menjalin persahabatan dengan Joseph dan Emma Smith. Dia hidup bersama mereka dan bekerja dalam rumah mereka. Pada suatu ketika, Emma menjemput Jane untuk diangkat sebagai anak kepada keluarga Smith melalui pemeteraian imamat.2 Jane menolak, kerana tidak memahami amalan asing dan baharu itu, tetapi dia percaya peranan kenabian Joseph. “Saya tahu Nabi Joseph,” dia kemudian bersaksi. “Dia seorang lelaki yang paling baik di dunia. … Saya pasti dia seorang nabi kerana saya ketahuinya.”3

Melalui perbualan-perbualan bersama Joseph dan ibu dia, Lucy Mack Smith, Jane belajar lebih mengenai Kitab Mormon dan penterjemahannya dan memperoleh pemahaman dan rasa hormat terhadap tatacara injil bait suci.

Jane mengahwini Isaac James, seorang penganut baru Afrika Amerika bebas yang berasal dari New Jersey. Mereka, bersama anak lelaki Jane, Sylvester, meninggalkan Nauvoo pada 1846 dan menghala barat bersama Orang Suci. Pada bulan Jun tahun itu, anak lelaki Jane dan Isaac, Silas dilahirkan. Tahun seterusnya keluarga itu merentasi dataran, dan tiba di Lembah Salt Lake pada musim luruh tahun 1847. Isaac dan Jane mempunyai enam lagi anak, namun hanya dua orang yang hidup lebih lama daripada Jane. Seperti penetap-penetap Lembah Salt Lake awal yang lain, Jane dan Isaac bekerja keras untuk menafkahi keluarga mereka. Isaac bekerja sebagai buruh dan kadangkala pemandu kereta kuda untuk Brigham Young, dan Jane menenun kain, menjahit baju, dan mencuci baju sepertimana dia lakukan di Nauvoo.

Ketegangan rumah tangga menyebabkan Isaac dan Jane bercerai pada tahun 1870. Jane kemudian berkahwin selama dua tahun kepada seorang bekas hamba, Frank Perkins, tetapi tidak lama kemudian meneruskan kehidupan sebagai ibu dan nenek tunggal. Keperluan kewangan dan kematian tiga anak menyebabkan Jane bekerja semula. Dia membuat dan menjual sabun, manakala dua anak lelakinya diupah sebagai pekerja buruh. Pada 1890, setelah berjauhan selama 20 tahun, Isaac kembali ke Salt Lake City, memperbaharui keahlian Gerejanya, dan menjalinkan perhubungan persahabatan bersama Jane. Apabila Isaac meninggal setahun kemudian, upacara pengebumian diadakan di rumah Jane.

Sepanjang kesusahan yang dihadapi dalam kehidupannya, Jane kekal kukuh terhadap imannya dalam ajaran-ajaran injil dan menghargai keahliannya di Gereja. Dia menderma kepada pembinaan bait suci dan terlibat dalam Lembaga Pertolongan dan Persatuan Penghematan Wanita Muda.4 Jane mempunyai pengalaman kaya dalam kurnia-kurnia Roh, termasuklah penglihatan, mimpi, penyembuhan melalui iman, dan kebolehan berbahasa. “Iman saya dalam Injil Yesus Kristus,” dia menulis bertahun kemudian, “adalah sekuat seperti hari ini, jika mungkin, lebih kuat dari hari pertama saya dibaptiskan.”5

Di antara 1884 dan 1904, Jane dari semasa ke semasa menghubungi pemimpin Gereja—John Taylor, Wilford Woodruff, Zina D. H. Young, dan Joseph F. Smith—dan memohon untuk menerima anugerahan bait sucinya dan untuk dimeteraikan.6 Pada ketika itu, ahli Orang Suci Zaman Akhir lelaki dan wanita yang berkulit hitam tidak dibenarkan untuk terlibat dalam kebanyakan tatacara injil bait suci. Pada 1888, presiden pancang Angus M. Cannon membenarkan Jane untuk melakukan pembaptisan bagi kaum kerabatnya yang telah meninggal.7 Pemimpin-pemimpin Gereja akhirnya membenarkan Jane untuk dimeteraikan melalui perwakilan ke dalam keluarga Joseph Smith sebagai orang suruhan pada tahun 1894, satu kejadian yang unik. Walaupun dia tidak menerima anugerahan bait suci atau pemeteraian keluarga dalam hayat hidupnya, tatacara-tatacara injil tersebut dilaksanakan bagi pihaknya pada tahun 1979.8

Dia meninggal pada 16 April 1908, berumur 95, seorang Orang Suci Zaman Akhir yang sentiasa beriman. Terbitan Deseret News melaporkan, “Hanya beberapa yang mempunyai iman dan kesetiaan seperti Jane Manning James dan kerana kerendahan hatinya dia mempunyai ratusan rakan dan kenalan.”9

Nota

  1. Ibu Jane telah diperhambakan tetapi dibebaskan oleh hukum pembebasan beransur Connecticut. Jane dilahirkan bebas, tetapi perhambaan adalah sah di negeri itu sehinggalah setelah Jane pergi. Untuk kehidupan Jane secara umumnya, lihat Henry J. Wolfinger, “A Test of Faith: Jane Elizabeth Manning James and the Origins of the Utah Black Community,” dalam Clark Knowlton, ed., Social Accommodation in Utah (Salt Lake City: University of Utah, 1975), 126–75 dan Quincy D. Newell, “The Autobiography and Interview of Jane Elizabeth Manning James,” Journal of Africana Religions, vol. 1, no. 2 (2013), 251–91.

  2. Surat Zina D. H. Young kepada Joseph F. Smith, 15 Jan 1894, Perpustakaan Sejarah Gereja, Salt Lake City.

  3. “‘Aunt’ Jane James,” dalam “Joseph Smith, the Prophet,” Young Woman’s Journal, vol. 16, no. 12 (Dis. 1905), 551, 553.

  4. Eighth Ward Relief Society Minutes and Records, 1867–1969, Bahagian Ke-Lapan, Pancang Liberty, 20 Ogos 1874; 20 Okt. 1874; 21 Dis. 1874; 20 Jan. 1875; 22 Mac 1875; 20 Mei 1875; 20 Nov. 1875, vol. 1, Perpustakaan Sejarah Gereja, Salt Lake City [Jane menggunakan nama akhir Perkins buat seketika]; “Ladies Semi-monthly Meeting,” Woman’s Exponent, vol. 22, no. 9 (1 Dis. 1893), 66. Jane menderma kepada pembinaan Bait Suci St. George, Logan, dan Manti, dan menyumbang kepada Misi Bangsa Laman (Indian). Lihat Linda King Newell dan Valeen Tippetts Avery, “Jane Manning James,” Ensign, Og. 1979, 29.

  5. Jane Elizabeth Manning James autobiography, sekitar 1902, direncanakan kepada Elizabeth J. D. Roundy, Perpustakaan Sejarah Gereja, Salt Lake City, 22.

  6. Surat Jane E. James kepada John Taylor, 27 Dis. 1884; Surat Jane E. James kepada Joseph F. Smith, 7 Feb. 1890; surat Jane E. James kepada Joseph F. Smith, 31 Ogos 1903.

  7. Surat Angus M. Cannon kepada Jane E. James, 16 Jun 1888; lihat juga Tonya Reiter, “Black Saviors on Mount Zion: Proxy Baptisms and Latter-day Saints of African Descent,” Journal of Mormon History, vol. 43, no. 4 (Okt. 2017), 100–123.

  8. Jane Elizabeth Manning James autobiografi, sekitar 1902. Jane rencanakan autobiografinya di Salt Lake City di antara tahun 1902 dan 1908; Ronald G. Coleman dan Darius A. Gray, “Two Perspectives: The Religious Hopes of ‘Worthy’ African American Latter-day Saints before the 1978 Revelation,” dalam Newell G. Bringhurst dan Darron T. Smith, eds., Black and Mormon (Urbana: University of Illinois Press, 2004), 54. Lihat juga Quincy D. Newell, “The Autobiography and Interview of Jane Manning James,” Journal of Africana Religions, vol. 1, no. 2 (2013), 256, 275 (nota 34).

  9. “Death of Jane Manning James,” Deseret News, 16 Apr. 1908.