2011
Mimpi Lehi: Menggenggam Kuat kepada Batang Besi
Oktober 2011


“Mimpi Lehi: Menggenggam Kuat kepada Batang Besi,” Ensign atau Liahona, Okt. 2011, 32-37.)

Mimpi Lehi

Menggenggam Kuat kepada Batang Besi

Imej
Elder David A. Bednar

Tema yang menyeluruh dari Kitab Mormon—mengundang semua untuk datang kepada Kristus—adalah yang paling utama dalam penglihatan Lehi.

Saya suka Kitab Mormon. Beberapa kenangan injil masa kecil saya adalah saat ibu saya membacakan untuk saya dari Book of Mormon Stories for Young Latter-day Saints, oleh Emma Marr Petersen. Dalam pengalaman masa kanak-kanak itu dan pengkajian serta doa peribadi yang berterusan sepanjang hidup, Roh Kudus berulang kali memberikan kesaksian kepada jiwa saya bahawa Kitab Mormon adalah firman Tuhan.

Saya bersaksi bahawa Kitab Mormon adalah satu lagi kesaksian tentang Yesus Kristus. Saya tahu bahawa Nabi Joseph Smith menterjemahkan Kitab Mormon dengan dan melalui kuasa Tuhan. Saya bersaksi hari ini bahawa saya tahu Kitab Mormon, seperti yang Nabi Joseph Smith katakan: “adalah yang paling benar dari kitab apa pun di atas bumi, dan batu kunci agama kita, dan seseorang [akan] menjadi lebih dekat kepada Tuhan dengan menuruti ajaran-ajarannya, lebih daripada kitab lain apa pun.”1

Lambang-lambang Penting dalam Mimpi Lehi

Kepentingan membaca, mengkaji, menyelidiki, dan merenungkan tulisan suci secara umum dan Kitab Mormon secara khusus ditegaskan dalam beberapa unsur dari penglihatan Lehi tentang pokok kehidupan (lihat 1 Nefi 8).

Ciri utama dalam mimpi Lehi adalah pokok kehidupan—yang mewakili “kasih Tuhan” (lihat 1 Nefi 11:21–22). “Tuhan sangat mengasihi orang di dunia ini sehingga Dia memberikan Anak-Nya yang tunggal, supaya setiap orang yang percaya kepada Anak itu tidak binasa tetapi beroleh hidup sejati dan kekal.” (Yohanes 3:16). Oleh itu, kelahiran, kehidupan, dan korban tebusan Tuhan Yesus Kristus adalah pernyataan terbesar akan kasih Tuhan terhadap anak-anak-Nya. Seperti Nefi bersaksi, kasih ini adalah “paling dihasratkan melebihi segala-galanya” dan, seperti malaikat dalam penglihatannya nyatakan, “yang paling membahagiakan kepada jiwa” (1 Nefi 11:22–23; lihat juga 1 Nefi 8:12, 15). Bab 11 dari 1 Nefi membentangkan huraian terperinci tentang pokok kehidupan sebagai lambang untuk kehidupan, pelayanan, dan pengorbanan Juruselamat—“perendahan diri Tuhan” (1 Nefi 11:16).

Buah pada pokok tersebut adalah lambang bagi berkat-berkat Korban Tebusan. Mengambil buah dari pokok tersebut melambangkan penerimaan tatacara-tatacara dan perjanjian-perjanjian yang melaluinya Korban Tebusan dapat menjadi sepenuhnya berguna dalam kehidupan kita. Buah tersebut digambarkan sebagai “dihasrati untuk menjadikan seseorang gembira” (1 Nefi 8:10) dan menghasilkan sukacita yang besar serta hasrat untuk berkongsi sukacita tersebut kepada orang lain.

Ini bermakna, tema yang menyeluruh dari Kitab Mormon—mengundang semua untuk datang kepada Kristus—adalah yang paling utama dalam penglihatan Lehi. Minat yang khusus adalah tentang batang besi yang menuntun kepada pokok tersebut (lihat 1 Nefi 8:19). Batang besi tersebut adalah firman Tuhan.

Memegang lawan Sentiasa Menggenggam Kuat kepada Batang Besi

Lehi melihat empat kumpulan orang dalam mimpinya. Tiga kumpulan menekan ke hadapan di sepanjang lorong sempit dan kecil untuk mencapai pokok dan buahnya. Kumpulan keempat tidak mencari pokok tersebut, sebaliknya menghasratkan bangunan besar dan lapang tersebut sebagai tempat tujuan utama mereka (lihat 1 Nefi 8:31–33).

Dalam 1 Nefi 8:21–23 kita pelajari tentang orang-orang di kumpulan pertama yang mara ke depan dan bermula di jalan yang menuntun kepada pokok kehidupan. Bagaimanapun, semasa orang-orang tersebut bertembung dengan kabut kegelapan, yang mewakili “godaan-godaan iblis” (1 Nefi 12:17), mereka hilang arah mereka, berkeliaran, dan menjadi sesat.

Perhatikan bahawa ayat ini tidak menyebut tentang batang besi. Mereka yang tidak menghiraukan atau mengambil remeh tentang firman Tuhan tidak mempunyai akses untuk kompas ilahi yang menuju kepada Juruselamat. Pertimbangkan bahawa kumpulan ini mendapatkan jalan dan menekan ke hadapan, memperlihatkan suatu ukuran iman kepada Kristus dan kepercayaan rohani, tetapi mereka telah dialihkan oleh godaan-godaan iblis dan menjadi sesat.

Dalam 1 Nefi 8:24–28 kita baca tentang orang-orang dalam kumpulan kedua yang sampai kepada lorong sempit dan kecil yang menuju kepada pokok kehidupan. Kumpulan ini “menekan ke hadapan melalui kabut kegelapan, memegang kuat kepada batang besi itu, bahkan sehingga mereka dapat keluar dan makan buah dari pokok itu” (ayat 24). Tetapi, semasa orang-orang yang berpakaian mewah di bangunan besar dan lapang mengejek orang-orang kumpulan kedua ini, “mereka malu” dan “jatuh ke dalam jalan-jalan terlarang dan menjadi sesat” (ayat 28). Sila perhatikan bahawa kumpulan ini digambarkan sebagai “memegang kuat kepada batang besi itu” (1 Nefi 8:24; penekanan ditambah).

Adalah penting bahawa kumpulan kedua menekan ke hadapan dengan iman dan komitmen. Mereka juga memiliki berkat yang ditambahkan dari batang besi, dan mereka memegang padanya! Bagaimanapun, semasa mereka menghadapi penganiayaan dan kesulitan, mereka jatuh ke dalam jalan-jalan terlarang dan menjadi sesat. Bahkan dengan iman, komitmen, dan firman Tuhan, kumpulan ini telah akhirnya tersesat—mungkin kerana mereka hanya berkala membaca atau mengkaji atau menyelidiki tulisan suci. Memegang kepada batang besi menyarankan kepada saya bahawa ia adalah sekadar pembacaan “mendadak” berkala atau pembacaan bukan rutin dan bukannya konsisten, dan berlanjutan dalam firman Tuhan.

Dalam ayat 30 kita baca tentang orang-orang kumpulan ketiga yang menekan ke hadapan “senantiasa memegang [menggenggam] kuat kepada batang besi itu, sehingga mereka keluar dan jatuh dan memakan buah dari pokok itu.” Kunci ayat ini adalah sentiasa memegang [menggenggam] kuat kepada batang besi.

Kumpulan ketiga juga menekan ke hadapan dengan iman dan kesungguhan; bagaimanapun, tidak ada tanda-tanda mereka berkeliaran, terjatuh ke jalan-jalan yang terlarang, atau menjadi sesat. Mungkin orang-orang ketiga ini secara berterusan membaca dan mengkaji dan menyelidiki tulisan suci. Mungkin dalam ketekunan dan pengabdian pada “[hal] yang kecil dan sederhana” (Alma 37:6) yang menyelamatkan kumpulan ketiga ini dari kebinasaan. Mungkin ia adalah “pengetahuan tentang Tuhan” dan “pengetahuan tentang kebenaran” (Alma 23:5, 6) yang diperoleh melalui pembelajaran yang beriman tentang tulisan suci yang menghasilkan kurnia rohani kerendahan hati “jatuh dan memakan buah dari pokok itu” (1 Nefi 8:30; penekanan ditambah). Mungkin ia adalah pemeliharaan dan kekuatan rohani yang disediakan dengan sentiasa “berjamu dengan firman Kristus” (2 Nefi 31:20)yang membolehkan kumpulan ini untuk tidak menghiraukan ejekan dan cemuhan orang-orang di dalam bangunan besar dan lapang (lihat 1 Nefi 8:33). Kumpulan inilah yang anda dan saya harus berusaha untuk ikuti.

Saudara-saudara Nefi menanyakan, “Apakah maksud batang besi yang bapa kita nampak, yang menuntun kepada pokok itu?

“Dan [Nefi] berkata kepada mereka bahawa ia adalah firman Tuhan; dan barang siapa yang mematuhi firman Tuhan, dan berpegang kuat kepadanya, mereka langsung tidak akan terbinasa; tidak juga dapatlah godaan dan anak panah berapi dari musuh mengalahkan mereka sehingga kebutaan, untuk menuntun mereka kepada penghancuran. (1 Nefi 15:23–24; penekanan ditambah).

Oleh itu, apakah perbezaan antara memegang dan menggenggam kuat kepada batang besi? Izinkan saya mencadangkan bahawa menggenggam kuat kepada batang besi merangkumi, secara luas, penggunaan yang penuh doa, konsisten, dan bersungguh-sungguh akan tulisan suci sebagai sebuah sumber yang pasti tentang kebenaran yang diungkapkan dan sebagai bimbingan yang dapat dipercayai untuk perjalanan di sepanjang lorong sempit dan kecil menuju pokok kehidupan—bahkan kepada Tuhan Yesus Kristus.

“Dan terjadilah bahawa aku nampak bahawa batang besi itu yang telah bapaku lihat adalah firman Tuhan, yang menuntun kepada sumber air hidup, atau kepada pokok kehidupan” (1 Nefi 11:25).

Kitab Mormon Adalah untuk Kita di Zaman Sekarang

Kitab Mormon menyatakan kebenaran-kebenaran yang berkaitan dan penting di zaman kita dan untuk keadaan kita. Kaitan rohani dan praktikal Kitab Mormon dalam kehidupan kita ditegaskan oleh Moroni: “Lihatlah, aku berbicara kepadamu seolah-olah kamu sudah ada, namun kamu belum ada lagi. Tetapi lihatlah, Yesus Kristus telah memperlihatkanmu kepadaku, dan aku mengetahui perbuatanmu.” (Mormon 8:35). Setelah melihat zaman dan keadaan kita melalui pra-pengetahuan Tuhan, para penulis utama Kitab Mormon secara khusus menyertakan topik-topik dan contoh-contoh tentang kepentingan paling besar kepada penduduk bumi di zaman akhir.

Saya mengundang anda untuk pertimbangkan dengan penuh cermat dan penuh doa soalan berikut: Pelajaran apakah yang saya dapat dan harus pelajari dari penglihatan Lehi tentang pokok kehidupan dan dari asas sentiasa memegang [menggenggam] kuat kepada batang besi yang akan membolehkan saya untuk berdiri teguh secara rohani dalam dunia yang kita kini hidup?

Sewaktu anda bekerja dengan tekun dan mencari ilham untuk menjawab soalan penting ini, anda akan memahami dengan lebih mendalam melalui kuasa Roh Kudus, dalam hati dan dalam minda anda, kepentingan sentiasa memegang [menggenggam] kuat kepada batang besi. Dan anda akan diberkati untuk menerapkan pelajaran-pelajaran tersebut dengan iman dan ketekunan dalam kehidupan peribadi anda dan dalam rumah anda.

Semoga kita semua memiliki mata untuk melihat dan telinga untuk mendengar pelajaran-pelajaran tambahan dari penglihatan Lehi yang akan membantu kita untuk “maju terus dengan ketabahan di dalam Kristus, memiliki kecerahan harapan yang sempurna, dan kasih bagi Tuhan dan bagi semua manusia. Oleh kerana itu, jika kamu akan maju terus, berjamu dengan firman Kristus, dan bertahan sampai akhir, lihatlah, demikian firman Bapa: Kamu akan memperoleh kehidupan abadi” (2 Nefi 31:20).

Nota

  1. Ajaran Presiden-Presiden Gereja: Joseph Smith (2007), 64.

Cetak