Pesanan Presidensi Utama, September 2017
Nabi-Nabi untuk Membimbing Kita
Beberapa tahun yang lalu, saya duduk di bilik Bait Suci Salt Lake di mana Presidensi Utama dan Kuorum Dua Belas Rasul bertemu seminggu sekali. Saya memandang ke atas dinding yang berhadapan dengan Presidensi Utama, dan di sana saya melihat gambar-gambar setiap Presiden Gereja.
Ketika saya melihatnya, para pendahulu saya—daripada Nabi Joseph Smith (1805–44) hingga Presiden Gordon B. Hinckley (1910–2008)—saya berfikir, “Saya sangat bersyukur untuk bimbingan setiap presiden.”
Mereka merupakan lelaki yang sungguh baik yang tidak pernah teragak-agak, tidak pernah tergoyah dan tidak pernah gagal. Mereka adalah lelaki Tuhan. Ketika saya berfikir tentang nabi-nabi zaman moden yang telah saya kenal dan sayang, saya mengingati kehidupan mereka, sifat-sifat mereka, dan ajaran-ajaran berilham mereka.
Presiden Heber J. Grant (1856–1945) menjadi Presiden Gereja bila saya dilahirkan. Ketika saya merenungkan kehidupannya dan ajaran-ajarannya, saya percaya satu sifat yang Presiden Grant selalu mempercontohkan ialah ketabahan—ketabahan dalam hal-hal itu yang baik dan mulia.
Presiden George Albert Smith (1870–1951) menjadi Presiden Gereja semasa saya melayani sebagai uskup bahagian saya di Salt Lake City. Dia memerhatikan bahawa terdapat pertandingan tarik tali besar sedang berlaku antara Tuhan dan si musuh. “Jika anda akan tetap berada di belah garis Tuhan,” dia ajar, “anda akan di bawah pengaruh-Nya dan tidak akan mempunyai keinginan untuk melakukan yang salah.”1
Saya dipanggil untuk melayani sebagai ahli Kuorum Dua Belas pada tahun 1963 oleh Presiden David O. McKay (1873–1970). Dia mengajar timbang rasa untuk orang lain dengan cara dia menjalani kehidupannya. “Agama Kristian,” dia ajar, “adalah kasih dalam tindakan.”2
Presiden Joseph Fielding Smith (1876–1972), salah satu daripada penulis Gereja yang terkenal, mempunyai kesarjanaan Injil sebagai asas bimbingan dalam kehidupan dia. Dia membaca tulisan suci tanpa henti dan menjadi paling biasa dengan ajaran-ajaran yang terdapat dalamnya lebih daripada sesiapa yang saya kenali.
Presiden Harold B. Lee (1899–1973) melayani sebagai presiden pancang saya sewaktu saya budak. Satu petikan kegemaran dia ialah “Berdirilah kamu di tempat-tempat kudus, dan janganlah tergerak.”3 Dia menggalakkan para Orang suci untuk dengar baik-baik kepada bisikan Roh Kudus dan untuk bertindak menurut bisikan.
Saya percaya satu asas bimbingan dalam kehidupan Presiden Spencer W. Kimball ialah dedikasi. Dia berdedikasi kepada Tuhan dengan menyeluruh dan tanpa ragu-ragu. Dia juga berdedikasi dalam mematuhi Injil.
Apabila Presiden Ezra Taft Benson (1899–1994) menjadi Presiden Gereja, dia memanggil saya untuk melayani sebagai Penasihat Keduanya dalam Presidensi Utama. Kasih ialah asas bimbingannya, yang dinyatakan dalam petikan kegemarannya, dikatakan oleh Juruselamat: “Kamu harus menjadi orang yang bagaimana? Sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, bahkan seperti Aku.”4
Presiden Howard W. Hunter (1907–95) selalu mencari yang terbaik dalam orang lain. Dia sentiasa sopan; dia sentiasa rendah hati. Melayani sebagai Penasihat Keduanya merupakan hak istimewa saya.
Presiden Gordon B. Hinckley mengajar kita untuk melakukan sedaya upaya kita. Dia memberi kesaksian berkuasa mengenai Juruselamat dan misi-Nya. Dia mengajar kita dengan kasih. Melayani sebagai Penasihat Pertamanya merupakan satu kemuliaan dan berkat untuk saya.
Juruselamat menghantar nabi-nabi kerana Dia mengasihi kita. Semasa persidangan umum bulan Oktober ini, para Penguasa Umum Gereja akan mempunyai kesempatan lagi untuk mengongsi firman-Nya. Kami memperlakukan tanggungjawab ini dengan bersungguh-sungguh dan rendah hati.
Kita sangat diberkati kerana Gereja Yesus Kristus yang dipulihkan berada di bumi dan kerana Gereja didirikan di atas batu wahyu. Wahyu berterusan ialah inti pati Injil Yesus Kristus.
Semoga kita bersedia menerima wahyu peribadi yang datang banyak sekali semasa persidangan umum. Semoga hati kita dipenuhi dengan keazaman yang mendalam apabila kita mengangkat tangan kita untuk menyokong nabi dan rasul yang hidup. Semoga kita diterangi, diangkat, ditolong, dan diperkukuh ketika kita mendengar pesanan-pesanan mereka. Dan semoga kita bersedia untuk komited lagi kepada Tuhan Yesus Kristus—Injil-Nya dan pekerjaan-Nya—dan untuk hidup dengan keazaman baru dalam mematuhi perintah-perintah-Nya dan melaksanakan kehendak-Nya.
© 2017 by Intellectual Reserve, Inc. All rights reserved. Dicetak di AS. Kelulusan Bahasa Inggeris: 6/17. Kelulusan Penterjemahan: 6/17 Penterjemahan First Presidency Message, September 2017. Malay. 97929 348