“Tuhan Memfirmankan Kita untuk Dibaptiskan”, Liahona, Februari 2021
Pesanan Bulanan Liahona, Februari 2021
Tuhan Memfirmankan Kita untuk Dibaptiskan
Yesus Kristus menunjukkan teladan dengan dibaptiskan oleh seseorang yang mempunyai wewenang Tuhan.
Walaupun kita tidak mempunyai banyak butiran tentang kehidupan peribadi Yesus Kristus, kita tahu bahawa Dia telah dibaptiskan apabila Dia berumur lebih kurang 30 tahun (lihat Lukas 3:23). Berikut ialah beberapa perkara yang kita pelajari tentang pembaptisan daripada teladan-Nya.
Untuk Setiap Orang
Jika kita cukup umur dan matang untuk membezakan antara betul dan salah, Bapa Syurgawi inginkan kita dibaptiskan (lihat Ajaran dan Perjanjian 18:42). Yesus adalah sempurna tetapi Dia masih memilih untuk dibaptiskan agar mematuhi perintah Tuhan (lihat Matius 3:13–17; 2 Nefi 31:7). Bahkan mereka yang telah meninggal dunia boleh menerima pembaptisan. Kita mempersembahkannya kepada mereka dengan dibaptiskan bagi pihak mereka di bait suci. (Lihat Ajaran dan Perjanjian 128:15–18.)
Dilakukan dengan Wewenang
Yesus tidak dibaptiskan oleh sesiapa sahaja. Dia secara khusus pergi kepada sepupu-Nya, Yohanes, yang memiliki wewenang imamat daripada Tuhan. Setelah Yesus meninggal dunia dan para pengikut-Nya dibunuh, wewenang imamat hilang dari bumi. Kemudian, pada tahun 1829, Yohanes Pembaptis muncul kepada Joseph Smith dan memberinya wewenang untuk melakukan pembaptisan atas nama Tuhan. Kerana pemulihan itu, kita boleh dibaptiskan dengan wewenang yang sama pada hari ini.
Janji Dua Hala
Pembaptisan merupakan janji dua hala, atau perjanjian, antara kita dan Tuhan. Kita berjanji:
-
Untuk mengambil ke atas diri kita nama Yesus Kristus.
-
Untuk selalu mengingati-Nya.
-
Untuk mematuhi perintah-Nya.
Sebagai balasannya, Tuhan berjanji bahawa Roh-Nya akan sentiasa bersama kita. Kata-kata doa sakramen mengingatkan kita akan perjanjian ini setiap minggu. (Lihat Ajaran dan Perjanjian 20:77, 79.)
Menerima Roh Kudus Merupakan Bahagian Pembaptisan yang Penting
Selepas Yesus dibaptiskan, Roh Kudus muncul dalam bentuk seekor merpati (lihat 2 Nefi 31:8). Hari ini, selepas individu dibaptiskan, mereka ditetapkan. Ini bermakna mereka menerima berkat istimewa dan mereka dijemput untuk menerima kurnia Roh Kudus yang membersih secara rohani (lihat 2 Nefi 31:17). Roh Kudus boleh memberi amaran kepada kita tentang bahaya, menghiburkan kita, membimbing kita untuk membuat keputusan yang baik dan membantu kita merasa kasih Tuhan (lihat Ajaran dan Perjanjian 39:6).
Kita Boleh Selalu Bertaubat
Tuhan tahu kita akan melakukan kesilapan. Walaupun dengan usaha yang terbaik, kita akan berdosa dan bergelut menjalankan janji pembaptisan kita. Oleh itu, Dia memberi kita peluang untuk bertaubat. (Lihat Ajaran dan Perjanjian 18:13.) Setiap hari kita boleh melakukan yang terbaik untuk bertaubat dan memperbaiki kesilapan. Kita boleh berdoa dan meminta keampunan Tuhan. Kemudian, apabila kita mengambil sakramen dengan rendah hati, Roh Kudus akan menyertai kita (lihat 3 Nefi 18:11).
Apakah yang Dikatakan dalam Tulisan Suci tentang Pembaptisan?
Ibu bapa harus membantu anak-anak mereka membuat persediaan untuk pembaptisan (lihat Ajaran dan Perjanjian 68:25).
Mereka yang berumur kurang daripada lapan tahun tidak perlu dibaptiskan (lihat Moroni 8).
Apabila kita dibaptiskan, kita berjanji untuk “berduka nestapa bersama mereka yang berduka; … menghibur mereka yang memerlukan penghiburan, dan untuk berdiri sebagai saksi bagi Tuhan di segala waktu dan dalam segala hal, dan di segala tempat di mana kamu boleh berada” (Mosia 18:9).
© 2021 by Intellectual Reserve, Inc. All rights reserved. Dicetak di Amerika Syarikat. Kelulusan Bahasa Inggeris: 6/19. Kelulusan terjemahan: 6/19. Terjemahan Monthly Liahona Message, February 2021. Malay. 17464 348